BERDASARKAN catatan sejarah, Sungai Muar yang kini terletak dalam negeri Johor Darul Takzim dan Sungai Duyung yang terletak dalam negeri Melaka Bandar Raya Bersejarah adalah penempatan/petempatan (sila rujuk Kamus Dewan) orang-orang Melayu asal (Melayu asli...bukan Orang Asli istilah yang dipakai selepas merdeka yang berbeza pengertiannya) yang telah wujud lebih 600 tahun yang lampau. Sebab itulah apabila Parameswara yang datang dari Palembang tahun masehi 1401 (masih dalam Alam Kepulauan Melayu)lalu memudiki Sungai Muar telah mendapati ada 'masyarakat ketika itu' yang telah sedia mendiami di sepanjang pesisir Sungai Muar.
Pada mulanya Parameswara dan anggota rombongannya mahu membuka 'negeri baharu' di Muar.Namun melihatkan situasi ketika itu maka baginda telah membatalkan hasratnya lalu terus memudiki ke Sungai Kesang dan terus ke` Sungai Melaka lalu berehat di tepi sungai di sebatang pokok.Keadaan pesisir Sungai Melaka ketika itu masih hutan tebal.Sungai Melaka dan Sungai Duyung ini saling bertemu menuju ke Selat Melaka. Apabila baginda melihatkan kehebatan seekor pelanduk yang dapat mengalahkan beberapa ekor anjing maka timbullah insiprasi baginda untuk membuka "negeri baharu". Dan berdasarkan nama pokok Melaka tempat baginda bersandar rehat maka sejak itu terbukalah negeri/kota Melaka pada tahun 1401.Baginda kemudian ditabalkan sebagai Sultan Melaka pertama yang bergelar "Sultan Muhammad Shah" (setelah memeluk lslam).
Hari ini, ditakdirkan rezeki Allah SWT, ibu kandung TB memiliki dua rumah di dua tempat itu iaitu di sebuah tempat di pinggir Sungai Muar dan sebuat tempat di pinggir Sungai Duyung. Secara kebetulan dua tempat ini adalah penempatan orang Melayu asal yang telah sedia wujud beratus-ratus tahun silam. Dalam buku Sejarah Melayu disebut Hang Mahmud dan isterinya Dang...(?) telah membesarkan anaknya Hang Tuah di Kampung Sungai Duyung. Di kampung inilah Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya Hang Jebat,Hang Kasturi,Hang Lekir dan Hang Lekiu dilahirkan dan dibesarkan. Dan akhirnya sehingga mereka mendapat perhatian sultan Melaka ketika itu (Sultan Mansur Shah) pada abad ke-15.
Diringkaskan cerita, moyang TB Penghulu Latis (dikhabarkan juga dari sumber Madrasah Parit Perupuk, Muar ada seorang pendakwah bernama Latis yang mengajar agama pada abad 19...TB belum dapat pasti sama ada mempunyai kaitan atau sebaliknya) di mukim Temiang & Sungai Terap di pesisir Sungai Muar pada abad ke-19.
Pada tahun 1877 moyang TB, Penghulu Latis dan segala penghulu telah bersepakat dengan Temenggung lsmail bin Temenggung lbrahim mengiktiraf Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar bagi negeri Johor moden. Kesepakatan ini telah dibuktikan dengan menandatangani surat perjanjian bersama.Pada ketika itu jawatan penghulu setaraf menteri atau exco yang turut menganggotai Jemaah DiRaja.Muar ketika itu umpama sebuah negeri termasuk daerah Kesang (sebab itu Sultan Ali yang bersengketa iaitu putera Sultan Hussin yang bermastautin di Teluk Belanga, Singapura mahu mengistiharkan dirinya sebagai "Sultan" bagi Muar dan Kesang tetapi gagal)
Semasa pemerintahan Maharaja Abu Bakar, negeri Johor terus maju membangun. Banyak pembangunan dan pembukaan ladang gambir, pinang dan getah.lni menggalakkan kehadiran rumpun Melayu dari seluruh pelosok Kepulauan Melayu termasuk suku Bugis,Jawa,Banjar, Minang (Padang) dan sebagainya. Selain itu kedatangan imigran/pendatang asing Cina dari China dan lndia (Tamil) dari lndia Selatan yang dibawa oleh orang-orang lnggeris kian mencurah-curah. Sebab itu Johor adalah sebuah negeri yang terkenal dengan ladang-ladang getah yang luas dimiliki konglomerat lnggeris ketika itu.
Justeru, tidaklah menghairankan semasa TB kecil di sekitar kampung TB ada 'orang tua' yang digelar/disebut nama seperti Mat Bugis, Dolah Banjar, Wak Jurimi Jawa, Mat Riau,Mat Penang dan lain-lain lagi.Sebenarnya terlalu banyak mahu TB catatkan tetapi memadailah setakat ini. Wallahualam. (Rujuk buku Sejarah Johor oleh Buyong Adil, Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Hikayat Johor, Hikayat Malim Deman dsb.)
TB: Haji Rajiee bin Abdul Hadi bin Manja bin Sintal bin Latis (Penghulu Latis) bin..???
Tiada ulasan:
Catat Ulasan