DALAM beberapa waktu ini, saya
mengambil sedikit masa untuk menyelami persoalan-persoalan yang sering berlegar
di fikiran saya berkenaan hal-hal yang berlaku di negara kita pada waktu ini.
Ikhlas saya katakan, sebagai seorang yang telah lama berkecimpung dalam dunia
politik dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam pentadbiran negara,
tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa kita akan berada dalam situasi
yang serumit hari ini.
Ke
mana-mana sahaja saya pergi, pasti ada orang yang bertanya apa sudah jadi
dengan Malaysia. Ternampak di wajah mereka satu perasaan yang sukar
digambarkan. Kecewa, putus harap, bimbang, berang semuanya ada. Malah ada yang
mengatakan bahawa mereka sudah naik mual dengan apa yang berlaku. Mereka sudah
tidak percaya lagi kepada orang yang diamanahkan untuk memimpin kerana ramai
yang mengkhianati amanah.
Ketika
rakyat sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup, beban cukai GST,
kejatuhan nilai matawang, kehilangan pekerjaan, ada pemimpin yang disahkan
menerima kemasukan wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi, dan wang ini
digunakan untuk perbelanjaan peribadi. Lebih menyedihkan, antara sumber wang
ini adalah daripada syarikat yang mendapat dana daripada tabung awam.
Namun,
amat pelik apabila penerimaan wang yang bersumberkan dana awam oleh seorang
pemimpin negara tidak dianggap sebagai satu kesalahan. Malah, siasatan ke atas
laporan salah laku dan rasuah melibatkan orang berkenaan diarahkan ditutup.
Apa
sudah jadi dengan negara kita? Kita tahu bahawa sebelum ini terdapat penjawat
awam, ahli perniagaan dan ahli politik yang disiasat, didakwa dan akhirnya
dihukum kerana menyalahgunakan dana awam dan menerima rasuah. Tetapi dalam
skandal kewangan terbesar di negara kita yang melibatkan 1MDB dan SRC
International, tiada sesiapa pun didakwa.
Malah
terdapat pihak yang secara terang-terangan mempertahankan dan melindungi
salah-laku orang-orang tertentu walaupun saya tahu jauh di sudut hati mereka,
mereka juga tahu apa yang berlaku.
Di
manakah nilai kejujuran, kebenaran dan keadilan yang kita semua sanjung? Adakah
nilai-nilai ini sudah tiada ertinya lagi? Adakah yang bertakhta cuma sikap
rakus dan tamak haloba untuk merebut kesenangan dunia semata-mata? Atau, adakah
seluruh jiwa telah diselimuti oleh perasaan takut dan bimbang untuk menyatakan
kebenaran dan menghapuskan kebatilan?
Saya
perhatikan masalah besar yang sedang melanda negara kita ialah ketiadaan roh
perjuangan untuk berpegang kepada prinsip-prinsip murni dalam kehidupan. Kerana
itu berlaku masalah pecah amanah, tiada tanggungjawab terhadap rakyat dan
mungkin tiada perasaan takut kepada balasan Allah s.w.t.
Kemelut
yang berlaku nampaknya seperti tiada kesudahan. Misteri kehilangan wang dan
harta negara tidak akan terungkai, walaupun bagi yang mengetahui ia seperti
rompakan di siang hari. Pelbagai cerita akan terus direka untuk mengaburi mata
rakyat demi melindungi salah laku individu tertentu. Keadilan yang ditagih
tidak akan tertegak dengan mudah. Awan gelap akan terus meliputi negara kita
untuk beberapa ketika.
Walupun
jelas tergambar perasaan duka dan kecewa di wajah orang-orang yang saya temui,
termasuk sahabat handai dan mereka yang tidak saya kenali, jauh di sudut hati
mereka masih menaruh harapan. Harapan agar Malaysia dapat diselamatkan. Supaya
Malaysia kembali pulih dan tidak menjadi sebuah negara yang gagal.
Ini
permulaan kepada satu perjuangan. Perjuangan untuk memulihkan Malaysia.
Perjuangan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik. Kerana kita
semua berhak untuk menikmati setiap kebaikan yang dianugerahkan oleh Tuhan
kepada negara kita.
Jika
bersendirian kita tidak akan punya kekuatan. Tetapi jika kita semua bersatu
hati, membuka minda dan nurani untuk melihat kebenaran, melawan kemungkaran dan
bertindak untuk menjadikan masyarakat dan negara kita lebih baik daripada hari
ini, maka nescaya kita akan berjaya jua akhirnya.
Bagi
saya, dalam hidup kita mesti ada prinsip. Prinsip yang paling utama ialah
berpihak kepada kebenaran. Jangan sekali-kali kita berpihak kepada kebatilan.
Sebagai seorang Muslim, ini adalah tuntutan agama.
Justeru,
saya tidak akan berpaling daripada perjuangan menegakkan kebenaran. Saya yakin,
seluruh rakyat Malaysia berpendirian yang sama dan saya akan terus bersama-sama
anda dalam perjuangan ini!
Marilah
kita bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah s.w.t. mudah-mudahan kita
semua sentiasa diberikan kekuatan oleh-Nya. Amin Ya Rabbal Alamin! (sumber:FB.TSMMY)
TAN
SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
5 Februari 2016
5 Februari 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan