PUSAT Dakwah Islamiah Negeri Sembilan yang terletak di Paroi adalah sebuah pusat yang membanggakan kerana kawasannya indah dan besar serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti asrama, dewan besar dan dewan-dewan kuliah. Juga sebuah surau yang tersergam indah.
Sayangnya surau tersebut nampak kelihatan sepi dan hanya sekali-sekala sahaja kelihatan meriah dan bercahaya apabila adanya sesuatu majlis ataupun aktiviti keagamaan diadakan.
Saya cadangkan agar pengurusan pentadbiran pusat dakwah itu memenuhi kegiatan aktiviti keagamaan sepanjang tahun dan tidak hanya bermusim pada hari-hari kebesaran Islam sahaja.
Adalah sesuatu yang merugikan umat Islam jika sudah mempunyai kemudahan yang begitu canggih dipersia-siakan begitu sahaja. Saya rasa Menteri Besar Negeri Sembilan pernah membangkitkan perkara sama tidak berapa lama dahulu.
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan, umpamanya memberi motivasi bercorak keagamaan kepada pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta dari seluruh daerah di Negeri Sembilan. Ini kerana kemudahan asrama yang begitu lengkap.
Begitu juga untuk warga emas, bolehlah juga diadakan motivasi mengulang kaji, menambah ilmu dan mengembalikan semangat untuk bekalan akhirat dengan adanya pakej untuk mereka beberapa hari di sana.
Kita mahu lihat Pusat Dakwah itu hidup dan bercahaya kerana keberkatan itu akan datang dengan sendiri jika sesuatu tempat ibadah atau majlis itu digegarkan dengan zikirullah, Qiamullail, bacaan ayat suci al-Quran dan sudah tentu dengan pengisian majlis ilmu disepanjang masa.
Kesemuanya itu nanti boleh menghidupkan suasana ketenangan dengan santapan kerohanian.
Disyorkan juga supaya pusat Dakwah Islamiah Paroi ini mengambil beberapa pelajar tahfiz dan bahasa Arab sebagai program pengajian tetapnya bagi persediaan asas sebelum mereka dihantar ke pusat pengajian yang lebih tinggi nanti.(sumber: SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, 28/02/12)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan