Salam Perjuangan

08 Februari 2012

ABDUL RASHID DOGOL, JAILANI AHMAD, TAN & DR HAJI ALI MAHMOOD

PADA minggu ini TB alami suatu peristiwa yang nostalgik walaupun singkat tetapi bermakna. Sebagai seorang ahli akademik perantau, penulis,penyair,aktivis dan pengembara pulang ke tanah air kebetulan bertemu rakan -rakan yang  lama tidak bertemu sekitar 15- 30 tahun lebih sesuatu anugerah llahi. Apatah lagi dengan dipanjangkan usia, diberikan kesihatan dan ketrampilan yang sihat sejahtera walaupun tidak menafikan fitrah Azajallah dari aspek keterbatasan pergerakan; kami dapat bertemu bertanyakan khabar terkini dan melihat sendiri perubahan diri dan segalanya.

Sahabat, Abdul Rashid Dogol (kini Guru Besar di sebuah SK di Melaka) ialah teman sekolej dahulu (Maktab Perguruan Bahasa,Kuala Lumpur sesi 1976/77; kini IPGM/KBM,KL). Walaupun kami tidak sekelas tapi rakan semaktab yang akrab yang sering juga bertemu,bercerita dan bergelak ketawa ketika itu. Suara dan pergerakannya masih seperti dahulu walaupun beberapa aspek fizikal telah mengalami proses alami..almaklumlah.Pertemuan sekejap di bandar Jasin,Melaka tetap mesra.

Jailani Ahmad (TB tidak pasti sama ada beliau Guru Besar atau GPK di sebuah SK di Muar) ialah teman sekelas TB semasa menuntut di Tingkatan Enam di sebuah sekolah di bandar Muar sekitar tahun 1973. Jailani yang ramai kawan memanggilnya 'Wak Kang' kerana loghat kejawaannya yang pekat masih tidak berubah telor Jawanya.Susuk tubuhnya yang gempal besar (hahaha..pernah menjawat sebagai Penolong Ketua Pengawas sekolah) kini agak susut sedikit; sementara rambutnya mula kian gugur. Menurut isterinya (lahir 1971) yang baru dinikahi hampir setengah tahun lalu, Jailani mula mengamalkan diet dan makan ubat mengawal berat badan. Ada apa-apa ke? Hehehe....secara lucu isterinya bagaikan tidak percaya TB adalah rakan sebaya dan teman sekelas di bangku persekolahan dahulu. Kerana apa? Wallahualam.Doa TB agar Jailani yang kini telah mempunyai 4 cucu akan terus bahagia dengan rumah tangga barunya setelah kematian isteri pertamanya dahulu.

Tan atau Cikgu Tan TB temui  semasa TB berlegar-legar dalam kereta di bandar Jasin,Melaka.TB nampak seorang warga emas keturunan Cina bersama isteri dan anaknya sedang melintas jalan. TB rasa ada sesuatu yang menyentuh hati TB secara tiba-tiba. TB berpusing kereta lalu berhenti memanggil secara rambang dengan vokal 'Cikgu!, Cikgu!' .TB pasrah. Tiba-tiba dia menoleh dan TB hampirinya  lalu menyapa , ' lni guru SMK Bukit Gambir Muar dulu ya???' Dia mengangguk. 'Saya dahulu pun mengajar di sana'. TB menjelaskan dengan beriya-iya. Dia menggeleng-gelengkan kepala tidak dapat mengingati dan mengenali TB lebih daripada 100%! TB terus memancing dan bercerita serta menyebut nama penuh TB. Kemudian Tan baru dapat mengingati sedikit ' oh dulu awak kurus, awak dulu tiap minggu 'conduct' lagu Negaraku dan lagu Negeri Johor 'lan? 'Ya,ya,ya..' TB mengukuhkan ingatannya yang mula pudar. Rupa-rupanya Tan kini telah berusia lebih 62 tahun! . Beliau mengajar di SMK Bukit Gambir sekitar tahun 1980-81. TB pula pernah berkhidmat di situ sekitar tahun 1978-83. ' Saya ingat tadi kamu anak murid saya'. TB hanya tersenyum dan bersyukur kerana dipanjangkan usia bertemu kawan lama sempena Cap Goh Mei tahun naga air ini.

Dr Haji Ali Mahmmod rakan sekelas dan sekuliah TB semasa menuntut ijazah pertama di UPM,Serdang,Malaysia 1982/83. Ali kini Timbalan Pengarah sebuah IPGM di Kuala Lumpur. Ali masih tetap 'low profile', berperawakan sederhana dan masih terus tampak alim tapi mesra kawan. Banyak juga kenangan manis pahit sewaktu sama-sama melanjutkan pelajaran di menara gading dahulu. Baiklah kerana kesuntukan waktu, ada waktu nanti TB ceritakan jua. Dengan takdir, TB dapat bertemu Ali kerana menghantar (mengiringi?) anak ketiga TB yang berjaya mengikuti kursus perguruan KPLI/Diploma Perguruan Lepasan ljazah setelah tamat pengajian ijazah pertamanya di UniZa, Kuala Terengganu.

Semoga empat (4) pertemuan dalam seminggu ini memberi makna dan erti mendalam dalam kehidupan. Begitulah benar bak kata pujangga 'hidup ini umpama roda'. Harapan dan doa, agar kami semua dan rakan-rakan lain dikurniakan kesihatan baik dan dapat bertemu pada masa-masa mendatang! (TB).

Tiada ulasan: