Salam Perjuangan

28 Februari 2012

PUSAT DAKWAH ISLAMIAH TIDAK BERFUNGSI?


PUSAT  Dakwah Islamiah Negeri Sembilan yang terletak di Paroi adalah sebuah pusat yang membanggakan kerana kawasannya indah dan besar serta dilengkapi pelbagai kemudahan seperti asrama, dewan besar dan dewan-dewan kuliah. Juga sebuah surau yang tersergam indah.

Sayangnya surau tersebut nampak kelihatan sepi dan hanya sekali-sekala sahaja kelihatan meriah dan bercahaya apabila adanya sesuatu majlis ataupun aktiviti keagamaan diadakan.

Saya cadangkan agar pengurusan pentadbiran pusat dakwah itu memenuhi kegiatan aktiviti keagamaan sepanjang tahun dan tidak hanya bermusim pada hari-hari kebesaran Islam sahaja.

Adalah sesuatu yang merugikan umat Islam jika sudah mempunyai kemudahan yang begitu canggih dipersia-siakan begitu sahaja. Saya rasa Menteri Besar Negeri Sembilan pernah membangkitkan perkara sama tidak berapa lama dahulu.
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan, umpamanya memberi motivasi bercorak keagamaan kepada pelajar, kakitangan kerajaan dan swasta dari seluruh daerah di Negeri Sembilan. Ini kerana kemudahan asrama yang begitu lengkap.

Begitu juga untuk warga emas, bolehlah juga diadakan motivasi mengulang kaji, menambah ilmu dan mengembalikan semangat untuk bekalan akhirat dengan adanya pakej untuk mereka beberapa hari di sana.

Kita mahu lihat Pusat Dakwah itu hidup dan bercahaya kerana keberkatan itu akan datang dengan sendiri jika sesuatu tempat ibadah atau majlis itu digegarkan dengan zikirullah, Qiamullail, bacaan ayat suci al-Quran dan sudah tentu dengan pengisian majlis ilmu disepanjang masa.

Kesemuanya itu nanti boleh menghidupkan suasana ketenangan dengan santapan kerohanian.

Disyorkan juga supaya pusat Dakwah Islamiah Paroi ini mengambil beberapa pelajar tahfiz dan bahasa Arab sebagai program pengajian tetapnya bagi persediaan asas sebelum mereka dihantar ke pusat pengajian yang lebih tinggi nanti.(sumber: SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, 28/02/12)

BADRULAMIN SEDIA BERI KETERANGAN


AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron menyuarakan kesediaan berundur sekalipun didapati tidak bersalah sekiranya dengan langkah itu dapat menyelamatkan perjuangan parti yang jauh lebih besar.


Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu yang ditemui di pekarangan bangunan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini hari ini berkata, perkara itu telah difikirkannya sebelum arahan daripada kerajaan negeri semalam supaya beliau berehat kerana tidak mahu melibatkan sesiapa dalam hal ini.

''Biar saya tanggung sendiri tak apa. Pilihan saya begini, kita masyarakat bertamadun dan bagi saya sekiranya ada perkara yang boleh memudaratkan jemaah atau institusi yang kita wakili, janganlah mereka mudarat, biar saya mudarat seorang.

''Dan ini mungkin tak pernah berlaku di Malaysia tapi di Barat kalau ada skandal seperti ini mereka (pemimpin) tidak teragak-agak untuk meletak jawatan, saya tidak sampai ke situ lagi, sekadar berehat satu atau dua bulan," katanya.
Ditanya mengenai ada pemimpin tertentu yang diketahui turut dikaitkan dengan skandal moral tetapi tidak pernah mengambil keputusan berehat atau meletak jawatan seperti yang ingin dilakukannya, Badrulamin, 52, berkata;
''Itu masing-masing punya pendirian. Tapi saya sayang sangat perjuangan ini, biarlah saya tanggung sendirian."
Diminta mengulas lanjut mengenai nadanya yang agak berlainan hari ini, Badrulamin menafikan ia ada kaitan dengan perpecahan dalaman PKR atau rasa kecewa dengan layanan pemimpin parti dalam kes beliau itu.
Terdahulu, Badrulamin yang tiba di pekarangan bangunan JAIP pada pukul 2.50 petang diiringi isteri pertamanya, Zumrah Husni dilihat berada dalam bilik siasatan selama lebih dua jam.

Ketua Cabang PKR Sabak Bernam itu turut ditemani barisan peguamnya diketuai Mohamed Sazali Abdul Aziz manakala beberapa pemimpin PKR tempatan hanya dilihat hadir kira-kira 20 minit kemudian.

Mereka bagaimanapun tidak menunggu sehingga Badrulamin selesai memberi siasatan yang berakhir kira-kira pukul 5.20 petang.

Mengulas proses memberi siasatan hari ini, Badrulamin, yang mempunyai dua orang isteri dan 10 anak berkata, beliau berpuas hati dengan proses tersebut yang dianggapnya berjalan secara profesional walaupun pada masa sama kecewa dikaitkan dengan laporan ditangkap khalwat oleh JAIP.

Berhubung sama ada masih mengekalkan pendirian tentang diri beliau diperangkap, Badrulamin berkata, kemungkinan tersebut tidak dapat ditolak walaupun pada masa ini tidak dapat mengaitkan mana-mana pihak.
''Namun belum masanya untuk saya buat laporan polis," katanya yang turut enggan membuat laporan polis mengenai dakwaannya yang beliau dipukul oleh hampir 20 lelaki ketika malam kejadian.

Beliau dalam sidang akhbar itu sekali lagi menegaskan tidak bersalah dalam kes khalwat yang dikaitkan dengannya dan mempertimbangkan dengan serius untuk menyaman pihak yang telah mengaibkannya.
Sementara itu, wanita yang dikaitkan dengan Badrulamin tiba di bangunan JAIP kira-kira pukul 3.05 petang ditemani beberapa anggota keluarganya dan difahamkan suami beliau tidak berada bersamanya.

Wanita yang bertugas di sebuah institut kemahiran di Rompin itu kelihatan tenang ketika selesai memberi keterangan di bahagian penguatkuasaan JAIP.Beliau yang berumur 28 tahun mengenakan baju kurung berwarna kuning turut diwakili peguam yang sama mewakili Badrulamin.


Selepas selesai memberi keterangan, wanita itu yang ditemui pemberita mendakwa dia diperangkap sambil enggan mengulas apabila ditanya mengenai suaminya.Beliau turut berpuas hati dengan siasatan yang dilakukan sambil bergegas meninggalkan pekarangan bangunan JAIP pada pukul 6.20 petang.


Sementara itu, Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan yang dijalankan ke atas Badrulamin di bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 hari ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai perkara ini sebab saya sekarang sedang mengikuti kursus di Putrajaya," katanya yang enggan mengulas mengenai bilakah suami wanita terbabit akan dipanggil untuk membantu siasatan.(sumber:UM,28/02/12)

25 Februari 2012

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI: POLITEKNIK DI SISI LAIN


TB ucapkan syabas kepada Kementerian Pengajian Tinggi yang kini diterajui oleh menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kini  kian mengorak langkah dengan misi dan visi mahu memacu KPT dan IPTA ke arah tranformasi pendidikan tinggi yang lebih dinamik,progresif dan maju ke hadapan serta berdaya saing.

Pemandangan Salah Sebuah Politeknik di Malaysia (Gambar Hiasan).
Suatu ketika dahulu, sahabat lama TB, Datuk Mohd Shafiee Salleh  mantan menteri KPT pernah menerajui KPT di peringkat awal. Namun ketika itu KPT masih baru setelah 'berpisah' dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Kini KPT boleh berdiri gah dan berbangga dengan segala pencapaian dan iltizamnya. Syabas!

Justeru, kini institusi politeknik yang pernah bersama KPM seiring dengan maktab-maktab perguruan dahulu (kini telah dinaikkan taraf IPGM setaraf lPTA) sekarang pula di bawah naungan KPT yang dikelompokkan bersama-sama semua IPTA dan IPTS. Tidak secara langsung masyarakat di luar memandang tinggi dan hebat kepada institusi politeknik!.

0leh kerana itulah kini politeknik-politeknik bersiap sedia menghadapi hari-hari mendatang dengan segala persediaan termasuklah kelayakan akademik para pensyarahnya (walaupun masih ada pengarahnya yang berijazah pertama!), infrastruktur dan prasananya, segala aspek inovasi, R&D dan profesionalismenya.

Namun demikian, TB pernah terima rungutan daripada tenaga pengajar atau para pensyarahnya tentang aspek kebajikan dan struktur gaji dan elaun serta gred pangkat bagi pensyarah yang telah memiliki ijazah lanjutan baik sarjana (master) mahupun doktor falsafah (PhD). Sayugia diingat, isu seperti ini janganlah memalukan status politeknik yang dikatakan IPTA. Apatah lagi ada politeknik yang bergelar atau berstatus 'Premier'. 

Justeru, kini sudah tiba masanya pihak pengurusan Jabatan Politeknik KPT dan mana-mana politeknik menggalakkan dan sedia memahami serta menyokong para pensyarahnya yang sedang atau mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi (ijazah lanjutan) sama ada di dalam mahpun di luar negara.lni selari dengan seruan YB Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin yang mahukan matlamat peratusan tinggi pensyarah IPTA memiliki ijazah PhD!

Oleh itu kerja-kerja penyelidikan dan pembentangan kertas kerja wajib disokong dan digalakkan dengan memberi keutamaan bantuan dalam bentuk geran dan pembiayaan perbelanjaan untuk pembentangan baik di dalam mahupun di luar negara selaras hak-hak mereka sebagai pegawai kerajaan atau penjawat awam. Dengan sokongan daripada pentadbir politeknik dan Jabatan Pengurusan Politeknik, TB percaya impian dan harapan KPT menjadi kenyataan. Bahkan bukan dogma atau bukan impian kosong! (TB)

23 Februari 2012

BRUNEI: SELAMAT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-28

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM pada hari ini, 23 Februari genap menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-28 daripada Great Britain. Seperti biasa, sambutan dan perarakan serta perhimpunan akan bermula seawal pagi ini di Dataran Taman Sir Omar Ali Saifuddin.KeBawah Duli Tuanku Sultan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat bersama rakyat jelata bagi menyempurnakan istiadat sambutan rasmi yang gilang-gemilang.

Bendera dan panji-panji kebesaran serta pelbagai pemidang akan turut mewarnai sepanjang jalan di seluruh Bandar Seri Begawan.Sambutan perayaan ini tentu diserikan beberapa persembahan pentas dan pelbgai persembahan kebudayaan.

Kepada Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam Paduka Seri Sultan Hasanal Bolkiah, para kerabat diraja,para pegawai kerajaan serta seluruh rakyat jelata, TB ucapkan selamat menyambut hari kebangsaan yang sungguh bermakna.Semoga Tuanku,seluruh rakyat jelata dan Negara Brunei Darussalam terus dilimpahi rahmat,aman makmur dan kekal sentosa dan dilindungi Allah AWT jua dari semasa ke semasa.Ampun Tuanku!

BUKIT KEPONG : MENGENANG TRAGEDI




Semangat Patriotisme Wajar Dipupuk Di Peringkat Kanak-Kanak Lagi
PADA tarikh hari ini, 62 tahun yang lalu berlaku tragedi yang terpahat dalam sejarah pahit negara yang tidak mungkin dilupakan rakyat negara ini. Ia melibatkan kekejaman pengganas komunis yang menyerang dan membakar Balai Polis Bukit Kepong yang terletak kira-kira 59 kilometer dari bandar Muar, Johor.

Tanpa belas kasihan, pengganas menembak anggota polis yang cuba keluar dari balai yang terbakar dan melontar mereka yang tercedera serta mayat mereka yang terkorban ke dalam api. Serangan itu dibuat sebagai peringatan kepada rakyat mengenai apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan komunis.
Kejadian itu bermula kira-kira pukul 4.30 pagi, 23 Februari 1950 apabila anggota Pasukan Kompeni Bebas Keempat Parti Komunis Malaya (PKM) meniup trompet buat kali pertama dan kemudian mula melepaskan tembakan ke arah balai polis yang diperbuat daripada kayu itu.

Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil Mohd. Shah dan semua 25 anggota bawahannya mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk membalas tembakan.

Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. Seramai 180 pengganas yang melakukan serangan itu dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding anggota polis yang hanya dilengkapi dua pucuk senjata automatik. Jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, komunis adalah tujuh kali ganda lebih banyak berbanding polis. Separuh daripada pengganas mengepung di bahagian hadapan balai dan bakinya mengelilingi balai polis tersebut.

Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki kawasan balai walaupun melakukan serangan dari segenap sudut selama dua jam. Mereka berharap serangan itu mengejutkan pihak polis, sebaliknya apa yang mereka hadapi adalah tentangan hebat terutamanya daripada dua kedudukan mesingan ringan jenis Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah bilik kawalan.

Sekitar pukul lima pagi, sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan dari Kampung Jawa bagi memberi bantuan tetapi malangnya mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta-merta. Kemudian salah seorang anggota komunis bernama Muhammad Indera dengan menggunakan pembesar suara, sebanyak tiga hingga empat kali, meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat.

Jamil kemudiannya menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Katanya, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu ramai di kalangan anggotanya telah meninggal dunia dan ada yang cedera parah. Sebaik sahaja Jamil berkata demikian, pihak komunis meniup trompet buat kali ketiga dan berlaku serangan bertali arus daripada kumpulan pengganas itu.

Bagaimanapun, pengganas terbabit gagal memasuki kawasan balai sehinggalah mereka melakukan serangan dengan molotov cocktail (bom botol) hingga menyebabkan balai polis dan berek kelamin terbakar. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin.

Pada ketika itu hanya tiga anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis tetapi ditembak pengganas terbabit. Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis itu.

Seramai 14 anggota polis termasuk Jamil dan Timbalan Ketua Balai, Koperal Mohd. Yassin Wahab; lima polis bantuan; tiga pengawal kampung; tiga isteri polis dan dua anak mereka terbunuh dalam kejadian tersebut. Hanya empat anggota polis dan sembilan ahli keluarga termasuk isteri dan anak mereka terselamat.

Peristiwa itu jelas memperlihatkan semangat keperwiraan anggota keselamatan yang berjuang habis-habisan sehingga seorang demi seorang gugur.

Seramai 40 musuh juga berjaya dibunuh walaupun pihak pengganas pada mulanya beranggapan mampu menawan balai polis dengan mudah. Tanggapan itu adalah berikutan mereka mempunyai kelebihan dari segi bilangan senjata dan anggota serta kedudukan balai polis itu yang terpencil dengan bot menjadi pengangkutan utama.

Tragedi itu turut memperlihatkan semangat juang dua isteri anggota polis yang mengangkat senjata apabila melihat suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota lain sehingga kehabisan peluru.
Oleh itu, diharapkan tiada lagi pemimpin parti politik tertentu yang cuba mempertikaikan pengorbanan luar biasa anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi tersebut sehingga sanggup mengisytiharkan golongan pengganas sebagai hero.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam yang mengulas perkara itu, menyifatkan pihak-pihak yang cuba mengiktiraf komunis yang menyerang balai polis terbabit adalah mereka yang buta sejarah.
Katanya, mana-mana individu yang tergamak mengeluarkan kenyataan sedemikian sebenarnya telah menghina anggota keselamatan yang mempertahankan negara.

"Janganlah kita sekali-kali menuduh mereka menjadi alat kepada British kerana anggota polis dan keluarga mereka di Bukit Kepong sebenarnya berjuang menentang golongan yang melakukan kekejaman," katanya.
Beliau yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, tragedi Bukit Kepong adalah peristiwa yang menyedihkan dan ia merupakan antara enam balai polis yang diserang komunis.

"PKM telah menyerang balai polis itu setelah membuat pemantauan selama beberapa hari dan mereka melakukan serangan mengejut tanpa belas kasihan," katanya.

Sebenarnya, peristiwa Bukit Kepong yang menyaksikan sekumpulan kecil anggota polis dan keluarga mereka gigih berjuang menentang pengganas komunis yang jauh lebih besar boleh menjadi pengajaran kepada kita. Kalau wira dan wirawati terbabit boleh berbuat demikian, sudah tentu kerajaan dan rakyat yang bilangannya lebih ramai boleh memerangi apa sahaja anasir yang cuba merosakkan negara. (sumber:Nizam Yatim, 23/02/12)

MELAYU: SUATU PERINGATAN !


SAYA ingin menarik perhatian ramai mengenai sikap orang Melayu sekarang yang sudah tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, tidak kesah, tidak ambil 'pot' sehingga menyebabkan mereka ketinggalan dalam banyak hal.


Apa yang berlaku amat menyedihkan kerana ini akan membuat kita akan terus ketinggalan ke belakang. Banyak contoh depan mata dapat kita lihat, malah tabiat ini lebih terserlah diamalkan generasi muda kita:

* Sebagai warganegara mereka tidak peduli mendaftar untuk mengundi, tidak kesah dengan hala tuju negara.

* Tidak peduli dan ambil tahu apa yang berlaku, malah ramai tidak membaca untuk mengetahui apa berlaku di sekeliling, banyak masa dibuang di talian internet, malah mudah untuk mempercayai apa terdapat dalam pengisiannya, tidak kesah dan ramai percaya serta menerima isi kandungnya bulat-bulat.

* Tidak peka dengan persekitaran di mana mereka berada dengan membuang sampah merata-rata selepas ada sesuatu majlis, pesta dan ceramah.

* Tidak peduli dengan peraturan dan undang-undang ketika memandu, menunggang motosikal, contohnya apabila sampai persimpangan lampu isyarat, ramai melanggar lampu merah, malas hendak tunggu hingga hijau. Kejadian ini terjadi di merata-rata tempat di Malaysia.

* Tidak peduli anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen di kampung dan ke sekolah, malah tidak peduli memakai topi keledar untuk menjaga keselamatan diri.

* Ramai yang tidak peduli dengan penjualan tanah milik orang Melayu di kampung dan juga di pekan kecil kepada bukan bumiputera. Orang Melayu di pejabat tanah tidak peduli tanah tergadai. Ini berlaku di seluruh Malaysia.

* Tidak peduli membiarkan anak-anak yang sepatutnya bersekolah mengutip derma atas nama masjid, madrasah dan sekolah tahfiz. Mereka sekarang ini terdapat di R & R, stesen minyak, depan bank, pintu pasar raya, malah sekarang ini disediakan resit. Mereka ini mengutip derma hingga tengah malam.

* Tidak peduli dengan iklan haram jual ubat kuat, pinjaman wang ah long dan iklan jual rumah oleh ejen haram, iklan urut juga sekarang ini terdapat merata-rata, tidak ada tindakan, siapa kesah?

* Tidak peduli dengan kedatangan ramai warga Afrika atas alasan belajar dan melancong, siapa peduli mereka sudah mula berniaga di jalanan dan malah membuka salon rambut dan barangan keperluan mereka di pasar raya.

* Tidak peduli berpolitik sehingga sanggup mengadai agama Islam yang suci demi untuk berkuasa di dunia ini.

* Tidak peduli, sanggup memberi sokongan kepada Israel kerana untuk kuasa.

* Bangsaku tidak peduli hingga sanggup menjual Islam dan maruah untuk kuasa dan wang. Bangsaku tidak kesah apa yang dia kata dulu hingga mengkafirkan orang.

* Tidak peduli dulu Negara Islam sekarang Negara Kebajikan, apa kesah kalau boleh ke Putrajaya bersama-sama pihak terang-terang anti Islam.

* Tidak peduli dangan fitnah, caci mencaci bangsa sendiri di hadapan bukan Islam asalkan dapat sokongan mereka untuk menang.

* Ada mahasiswa universiti yang tidak bersyukur dengan sumbangan yang diberikan untuk menimba ilmu, malah ada yang tidak peduli sanggup baring di atas jalan dan berdemonstrasi.

* Tidak peduli tanah di bandar dan pinggiran pekan dijual dan tidak kesah bangsaku terus hilang dan tinggal jauh dihujung kampung.

Ramai bangsaku yang masih tidak peduli, mereka terlupa apa yang terjadi hari ini akan dihadapi oleh anak cucu kita nanti. Pandanglah jauh ke depan demi agama, bangsa dan negara. (sumber :YHussin, Bangi ,23/02/12)

TB: Walaupun ada pandangan Negara lslam dan Negara Kebajikan itu berbeza dari sudut politik namun lebih baik letakkan konsep 'NEGARA ISLAM BERKEBAJIKAN.' Melayu juga harus renung-renungkanlah apa untungnya bangsa Melayu yang melampau-lampau melaung-laungkan slogan  SATU MALAYSIA? Melayu juga kena fikir-fikirkan apa untungnya Melayu sama Melayu bergaduh,beriri hati dan berhasad dengki?Melayu sama Melayu kena ingat juga apa faedahnya menekan orang Melayu dalam satu pejabat atau jabatan sedangkan kaum lain sesama mereka di sebaliknya?

22 Februari 2012

BERBAHASA MALAYSIA (BM) JIKA MENGAKU WARGA ATAU RAKYAT MALAYSIA


TIMBALAN Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa patriotisme pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara.
Tajuk berita mengenainya:Patriotism not in one 's language, those study in vernacular school are loyal to country, says Wee ( Sunday Star 19 February 2012)

"Bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu" katanya.

Pandangan ini ada logiknya tetapi menidakkan atau menafikan peranan "Satu bahasa Satu Bangsa" untuk jalinan penghayatan perasaan kenegaraan, persefahaman, saling hormat-menghormati dan bagi pembangunan dan kesepaduan suatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum.

Pandangan ini juga menolak kejayaan Singapura membangunkan suatu Bangsa Singapura (Singaporean Singapore) menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris walaupun bahasa ibunda masing-masing dibenarkan untuk dipelajari sebagai bahasa kedua (Dasar Dwi Bahasa).

Singapura melaksanakan dasar Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama semua sekolah dengan tegas, berani dan tanpa tolak ansur terutama terhadap kaum Cina sendiri (lihat buku Lee Kuan Yew : My Life Long Challenge : Singapore Bilingual Journey). Keberkesanannya yang terbesar adalah menghapuskan cauvinisme Cina berpunca dari sekolah Cina yang berpotensi menjadi ancaman besar kepada ketenteraman dan keharmonian politik Singapura dari awal 60 an hingga 80an.

Di Malaysia Sekolah Kebangsaan (Pengantar Melayu) tidak mencapai matlamat seperti sekolah aliran kebangsaan di Singapura (aliran Inggeris) kerana pendekatan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan bermula dengan pendekatan jingoism atau fahaman perkauman Melayu yang sempit yang tidak menampakkan pendekatan liberal dan berdiplomasi supaya diterima selesa oleh bukan Melayu sebagai bahasa mereka.

Pendekatan ini lebih hendak menonjolkan kebanggaan bahasa Melayu adalah hak kepunyaan orang Melayu sekalipun hasrat utama adalah untuk menjadikannya bahasa nasional atau bahasa bagi semua kaum.

Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menganjurkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia tetapi seakan ditolak oleh pejuang bahasa dan fanatik bahasa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ini kesempitan dalam pendekatan ini dapat dilihat dari papan-papan iklan atau poster promosi penggunaan Bahasa Melayu di lebuh raya dan di lain-lain tempat umum yang menggunakan gambar lelaki dan wanita Melayu berpakaian Melayu.

Ini memberikan gambaran penggunaan Bahasa Melayu mestilah juga menggunakan budaya Melayu atau Bahasa Melayu itu hanya terbatas kepada orang Melayu dan Islam sahaja. Kenapa tidak memakai wajah berbilang kaum dalam pakaian harian.

Kempen menggalakkan penggunaannya masih memakai slogan lapuk dan beku" Gunakanlah Bahasa Melayu". Pada hakikatnya dalam interaksi seharian antara kaum sekarang ini adalah menggunakan bahasa Melayu kecuali di bidang perdagangan dan ekonomi yang tetap memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.

Slogan ini tidak dinamik dan beku yang menunjukkan kejumudan berfikir pejuang bahasa yang bertanggungjawab yang tanpa sedar menyinggung perasaan generasi baru bukan Melayu yang telah pun menguasai dan menggunakan bahasa itu.

Ketidakterbukaan sikap ini juga mempengaruhi corak pendekatan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga anak anak bukan Melayu merasa terasing dan menjadi antara salah satu fakta menyebabkan orang Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sesetengah sekolah ini pula agak keugamaan kerana sikap pengetua atau guru.

Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri diawal kemerdekaan negaranya telah melihat ancaman perkauman Cina dari sekolah-sekolah Cina kepada perkembangan keharmonian kaum dan kestabilan Singapura. Oleh kerana jumlah besar penduduk Singapura orang Cina maka cabaran besar yang pertama sekali dihadapi adalah dari generasi muda berpendidikan Cina yang dibudayakan oleh Bahasa Cina.

LKY dengan berani, tegas dan menggunakan tangan besinya memerangi pejuang-pejuang pendidikan Cina dan menutup sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Melayu dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama yang akhirnya menjadi alat paling berkesan bagi kecairan perkauman Cina. Dalam 1987, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal sekolah Singapura.

Air mata mengalir di kalangan masyarakat India apabila sekolah Tamil ditutup di Singapura pada 1982 terutama sekali di kalangan penjual-penjual akhbar Tamil yang yang penutupan sekolah itu bererti berakhirnya riwayat akhbar Bahasa Tamil di Singapura. (Men In White - hlm 611)

Mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama rakyat Singapura, LKY berkata " Selepas 1965, kami terpaksa membuat keputusan mengenai bahasa bersama. Jika kami menjadikan Cina sebagai bahasa bersama , maka kebudayaan Cina menjadi dominan dan akan membawa kepada perpecahan masyarakat. (Ibid hlm 613)
Tidak dapat dinafikan bahawa berikutan dengan kebangkitan Republik Rakyat Cina menuju ke arah menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia maka dasar Singapura kini tercabar tetapi tidak mungkin Singapura mahu meleburkan asas kekuatannya seperti yang dibenarkan berlaku di Malaysia sehingga mengakibatkan tsunami 2008.

LKY berjaya melahirkan rakyat Cina yang berfikiran Singapura atau Singapura yang tidak kecinaan berbanding dengan aliran pemikiran Cina Malaysia yang mengwujudkan suasana yang memaksa kepimpinan politik Cina untuk mencari populariti menerusi isu perkauman Cina.

Kesilapan LKY adalah hendak menjual eksperimen kejayaan politik kosmopolitannya di Singapura ke Malaysia (Malaysian Malaysia) tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti masyarakat tradisi Melayu. Beliau mahu melakukan apa yang dilakukannya terhadap majoriti rakyat Cina Singapura.

Dalam buku Men In White halaman 610 disebutkan bagaimana LKY menghadapi golongan pejuang pejuang bahasa Cina pada 1965. LKY menulis "under the full glare of TV light I met the committees of all four chambers of commerce. I left the Chinese representative in no doubt that I would not allow anyone to exploit the Chinese language as a political issue. That put an end to their attempts to elevate the status of the Chinese"

Hal ini tidak mungkin akan dilakukan oleh LKY jika beliau tidak melihat mereka yang bersekolah Cina akan terbentuk dengan pemikiran perkauman Cina dan keperluan penggunaan satu bahasa untuk pembinaan perasaan kenegaraan atau kesetiaan kepada Singapura.

Contoh kecil bahawa golongan berpendidikan Cina bersikap perkauman Cina yang menyebabkan mereka berpandangan sempit dan kecinaan jelas dalam tulisan Joceline Tan diSunday Star 19 Februari 2012 mengenai debat Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut Joceline golongan berpendidikan Cina menganggap orang Cina seperti Soi Lek dan Guan Eng sebagai pisang, kuning di luar tetapi Barat di dalam kerana mereka tidak berpendidikan Sekolah Cina tetapi hanya bersekolah Kebangsaan dan Sekolah Inggeris.

Demikian juga dalam bukunya My Life Long Challenge: Singapore Bilingual Journey, LKY menyatakan bahawa orang Cina yang mendapat pendidikan Inggeris memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kedua untuk anak-anak mereka kerana menyedari hakikat bahawa Singapura berada di rantau Melayu tetapi orang China yang berpendidikan Cina tetap memilih bahasa Cina sebagai bahasa kedua.

Menafikan sesuatu bahasa membibitkan perasaan kenegaraan adalah menafikan proses pembentukan kejatian diri sesuatu bangsa. Dalam hal ini Singapura mencapai kejayaan dalam masa singkat dan boleh dijadikan contoh.
Dalam masa tiga dekad (1960 -1980) , Sekolah Rendah dan Menengah pengantar Bahasa Cina tidak wujud lagi di Singapura. Dalam 1980, Nanyang Universiti dipaksa bergabung dengan Universiti of Singapura untuk menjadi National Universiti of Singapore (Lihat Men in White hlm 612).

Bagaimanapun rakyat Malaysia yang mahukan suatu identiti nasional tidak seharusnya bersikap sentimen, marah atau prejudis terhadap bukan Melayu yang tidak mahu menerima Sekolah Kebangsaan atau tidak mahu menghantar anak anak mereka ke Sekolah Kebangsaan.

Ini adalah sikap pengasingan diri secara sukarela yang sewajarnya dihormati dalam masyarakat berbilang kaum yang negaranya percaya kepada perpaduan menerusi integrasi. Mereka tidak mahu diserapkan dalam suatu acuan bangsa seperti yang berlaku kepada orang Cina di Indonesia atau di Thailand yang menjalankan dasar asimilasi terhadap pendatang.

Dalam kata-kata lain, kewujudan masyarakat bukan Melayu yang mahukan kebebasan untuk terus kekal dengan identiti bangsa pendatang dan tidak mahu berada dalam aliran perdana sewajarnya dibiarkan.

Mereka akan dikenali dengan pertuturan dialek Bahasa Melayu yang tersendiri kerana tidak mahu menerima guru bahasa dari orang Melayu dan menolak sekolah wawasan. Ini berbanding dengan keturunan India yang bersekolah kebangsaan dari peringkat rendah. Mereka bercakap Melayu seperti orang Melayu.

Golongan "pemencilan diri sukarela" ini juga akan dikenali dengan identiti pemikiran yang terasing dari aliran perdana. Dalam menangani situasi ini yang perlu adalah kerajaan Malaysia memperkasakan terus kualiti Sekolah Kebangsaan dan Pendidikan Tinggi Nasional terutama sekali dalam memantapkan pengajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di samping Bahasa Malaysia.

Saya percaya ramai orang Cina yang akan kembali menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan sekiranya Bahasa Inggeris digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Orang Cina ialah orang yang praktikal, pragmatik dan amat mementingkan nilai. Inilah yang ditakuti oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan.
Tidak ada ruginya kepada negara jika ada mana-mana kaum dalam masyarakat berbilang kaum mahu terpisah dari aliran nasional dengan lebih mengutamakan kemantapan bahasa dan kebudayaan sendiri. Semakin jauh kejayaan Sistem Pelajaran Kebangsaan dengan pengantar Bahasa Melayu dan kemantapan Bahasa Inggeris (Pasti akan berlaku) akan semakin nyata mereka terpisah dari aliran perdana dan akan semakin mudah mereka dikenali sebagai bangsa asing. Ini bukanlah kehendak kita tetapi pengasingan diri mereka secara sukarela.

Ini berbanding dengan masyarakat Cina Indonesia yang berbahasa Indonesia sesama mereka dan terlihat sebati dengan bumiputera Indonesia dan dikenali oleh orang asing bahawa mereka adalah bangsa Indonesia. Kita sendiri merasa bangga mendengar Cina Indonesia berbahasa Indonesia.

Sebuah hotel di Singapura yang pernah saya menginap, ramai pekerjanya yang terdiri dari orang Cina dan India Singapura berbahasa Indonesia dengan baik kerana sekian lama menjadi tumpuan penginapan keturunan Cina Indonesia.

Maka itu kenyataan Ka Siong tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, kemarahan atau kerisauan di kalangan rakyat di aliran perdana negara sekalipun berbeza pendapat dengan menterinya sendiri. Biarkan dan biarkan. (sumber: Tan Sri Zainuddin Maidin, 22/02/12)

20 Februari 2012

LATIF IBRAHIM MENINGGAL DUNIA: ALFATIHAH


Penyanyi dan pelakon era 70-an, Latiff Ibrahim meninggal dunia di Institut Jantung Negara, di sini pada pukul 5.50 petang tadi akibat komplikasi jantung.

Jenazah beliau akan dibawa ke Taman Keramat, Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian. -(sumber : UM , 20/02/12)

VISA PELAJAR ASING DIHENTIKAN DISOKONG


KEMENTERIAN  Pengajian Tinggi menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya hanya mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran melanjutkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kelolaan kementerian.

Beliau berkata, perbincangan mengenai perkara berkenaan sudah dilakukan bersama Jabatan Imigresen dua bulan lalu dan pemberian pas dihentikan kecuali mereka menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Malaysia.

"Mereka yang dikesan terbabit dengan kegiatan jenayah dan penyeludupan dadah kebanyakan pelajar yang mengikuti program sementara dan pengajian bahasa di IPT yang bukan di bawah kelolaan kementerian. Mengikut rekod polis, tidak banyak pelajar yang berada di bawah kelolaan kementerian terlibat dengan kegiatan tersebut.

"Pihak pengurusan IPTA dan IPTS juga perlu memaklumkan kepada kementerian jika ada penuntut asing yang mengabaikan pelajaran supaya kementerian dapat menyiasat sekiranya mereka terbabit dengan kegiatan negatif," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Mesra Ilmu Siri Tiga anjuran Fakulti Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Taman Cendana, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.

Mohamed Khaled mengulas saranan Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang menyarankan supaya kementerian itu mengkaji semula dasar terlalu terbuka pemberian visa dan pas lawatan pelajar bagi membendung negara ini menjadi hab dadah antarabangsa.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, program anjuran UKM itu secara tidak langsung dapat membantu penduduk setempat khususnya pelajar meningkatkan pengetahuan.
Beliau memberitahu, seramai 104 mahasiswa menjalankan program khidmat komuniti selama tiga hari bermula 17 Februari lalu.

"Saya berharap UKM dapat meneruskan program ilmu ini bagi membantu penduduk dan pelajar setempat untuk lebih bermotivasi," katanya. (sumber: UM, 20/02/12)

19 Februari 2012

DATO DR HASAN ALI & JATI: SECEBIS KISAH

DR. RAJIEE HADI
SEINGAT TB, pernah TB terserempak, bertemu dan bersembang seketika bersama Dato Hasan Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Bandar Seri Begawan Negara Brunei Darussalam pada tahun 2008 yang lalu.Ketika itu Dr Hassan mahu pulang ke Kuala Lumpur.TB pula menghantar teman yang mahu pulang ke destinasi yang sama juga. Pada waktu itu TB berkhidmat dengan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.
DR. HASAN ALI

Dato Dr Hasan Ali pertama TB temui di pejabatnya ketika desas-desus menghadapi pilihan raya pada tahun 1999 lalu. Ketika itu ada ura-ura nama beliau akan tercalon mewakili PAS bagi kerusi parlimen Bandar Baru dan DUN Sungai Burung. TB diminta untuk membantu beliau berdasarkan pengalaman TB sebagai 'think tank' dalam beberapa pilihan raya kebangsaan pada masa lalu.Kebetulan anak murid TB, Adimas Halim adalah pembantu khas kepada beliau ketika itu. Justeru, apabila bertemu Dr Hasan beliau cepat ingat siapa TB walaupun TB tidak nafikan kemungkinan beliau boleh 'ingat-ingat lupa'.

Dalam sembang-sembang singkat di lapangan terbang itu, TB ada menarik perhatian Dato Dr Hasan tentang pengalaman TB semasa berkhidmat di Brunei mengenai kebajikan rakyat yang diberikan perhatian utama oleh KeBawah Duli Tuanku Sultan; termasuk kemakmuran negara yang dapat dinikmati rakyat jelata di negara monarki yang dianggap salah sebuah negara terkaya di dunia. TB juga menyokong penuh dasar NBD yang berpaksikan kepada MELAYU, ISLAM, BERAJA (MIB). Falsafah MIB itu dalam perbualan singkat TB dengan Dr Hasan turut dipersetujui dan selari dengan idealisme beliau. Selepas daripada pertemuan itu, kami berpisah membawa haluan perjuangan masing-masing.

Apabila isu tahun 2011-2012 menimpa Dr Hasan dan penubuhan  NGO JATI (khabarnya akronim bagi 'Jalur Tiga') yang bakal dilancar 21 Februari (jika tidak silap) yang membawa maksud 'lslam, Melayu,Beraja' maka TB teringat peristiwa pertemuan dengan Dr Hassan pada masa lalu.Pada mulanya TB menjangkakan 'JATI' itu tentu memberi pengertian kepada J=Jemaah, A=Amal, T=Takwa, l=lman. Apapun setiap matlamat yang ikhlas dan murni, insya-Allah akan dirahmati Allah. Apatah lagi, TB sebagai anak Melayu jati pasti tetap bersama lslam, Melayu dan Raja yang menjadi teras kesatuan dan jati diri sejak zaman berzaman. Semoga institusi raja juga sentiasa bersama rakyat dan saling sayang menyayangi. (TB).

AIRASIA , LCCT & MALAYSIA TERKINI

 LCCT (Terminal Tambang Murah) yang terletak di KLIA Sepang, Selangor kini berubah wajah. Jika suatu ketika dahulu keadaan kelam-kabut bagai tidak terurus sering mengundang pelbagai masalah kepada pengunjung terutamanya para penumpang perkhidmatan Air Asia yang kini telah mendapat kepercayaan selruh dunia. Walaupun banyak cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Air Asia dan Malaysia Airport Berhad (MAB) namun TB percaya tentulah peneraju LCCT ini mahu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada para pengguna.

Di ruang legar lobi pelepasan didapati banyak kiost, kedai serbaguna dan restoran yang selesa memberi kemudahan kepada pengunjung. Kemudahan tempat duduk yang bersantai kini banyak disediakan.Kemudahan perbankan, surau, tandas dan sebagainya agar teratur dan bersistematik. Kini ada sebuah klinik terdapat dalam bangunan tersebut yang bersedia 24 jam untuk memberi kemudahan dan rawatan hatta dalam kecemasan.

Namun apa yang diharapkan agar para petugas keselamatan atau polis bantuan yang bertugas di setiap pelosok bangunan LCCT itu biarlah tampak serius,tegas,segak dan bersiap sedia sepanjang masa menghadapi sebarang kemungkinan atau kejadian yang tidak diingini. Tidak salah menunjukkan ketegasan kepada orang ramai khususnya kepada para pelanong agar biar ada rasa 'digeruni' tetapi dilindungi keselamatannya.Kita sedia maklum, kini,LCCT menjadi pintu utama kemasukan para pelancong khususnya dari luar negara.

                                                                  Walaupun bukan tuduhan, tetapi tidak dinafikan bahawa para pelancong luar kini bukan semuanya berniat baik. Bahkan seperti mana laporan PDRM baru-baru ini, kini LCCT menjadi pintu masuk utama keldai-keldai dadah, pengedar dadah, para penyeludup dan GRO serta pelacur-pelacur asing yang mengambil kesempatan menggunakan pas lawatan sosial untuk datang ke Malaysia bagi tujuan yang tidak baik; khususnya mengancam ketenteraman awam.

Justeru TB berharap; selaku warganegara Malaysia yang sayangkan negara ini, pihak KDRM (Kastam) dan lmigresen hendaklah memantau,memeriksa rapi tanpa kompromi. Pegawai kastam dan imigresen harus menyedari zaman  'tersenyum-senyum' kepada pelancong asing sudah berakhir. Jikalau mahu ramah dan tersenyum biarlah kepada rakyat tempatan.

Kad ketibaan (Arrival Card) yang tercatat berapa lama tinggal, hotel nama menginap, berapa banyak wang dibawa dan sebagainya hendaklah serius diteliti dan diambil tindakan pemantauan dari semasa ke semasa. Kita tidak mahu ada pelancong asing yang melencong datang atas nama pelancong atau pelajar yang berkunjung ke Malaysia tetapi tidak memberi sebarang faedah; sebaliknya mengundang banyak malapetaka dan bahaya sama ada pada jangka pendek mahupun pada jangka panjang kepada rakyat dan negara. Awasilah! (TB)


18 Februari 2012

BEIJING CHINA, CATATAN SEBUAH PERJALANAN

 SAYA dan rombongan TM Travel & Tours dibawa ke dataran Tianamen yang dingin cuaca dan suhu ketika itu untuk melihat lokasi bersejarah itu dan yang menjadi tumpuan para pelancong asing datang dan bergambar.

Penulis (TB) di Dataran Tianamen
Sungguh ramai manusia datang ke sini, jadi tidak pelik apabila bertembung dengan kumpulan pelancong dari Malaysia sendiri.
Kebiasaannya para pelancong datang ke dataran Tianamen untuk bergambar dengan berlatarbelakangkan bangunan Parlimen, Muzium Kebangsaan dan pintu gerbang masuk ke Forbidden City.
Forbidden City (Kota Larangan) Beijing,China

Pintu-pintu gerbang ini bukan seperti gerbang biasa tetapi lebih menyerupai bangunan besar yang mempunyai laluan terowong di bawahnya untuk masuk ke perkarangan yang ke seterusnya.
Di Hadapan Sebuah Restoran Muslim

Pada zaman dahulu untuk masuk ke Forbidden City, seseorang itu akan melalui 9 pintu gerbang sebelum tiba di perkarangan utama. Sebahagian daripada pintu itu telah lama dirobohkan.

Setelah melewati tiga gerbang dan perkarangan, barulah tiba di kaunter tiket. Tiket untuk masuk ke Forbidden City ialah RMB60.Namun kami dikhabarkan telah termasuk dalam pakej lawatan kami.



Sebuah Tasik Yang Beku Ketika Musim Sejuk
Orang-orang di sini kata, tidak sah datang Beijing jika tidak buat tiga perkara iaitu melawat Forbidden City atau kota larangan memanjat Tembok China dan makan itik panggang Peking.Hmm, tapi saya tidak makan itik panggang itu.

Bahagian dalam Forbidden City bermula dengan sederet jambatan. Jambatan di tengah-tengah adalah hanya untuk maharaja, di sebelahnya adalah untuk permaisuri dan diikuti dengan pembesar-pembesar istana. Jambatan paling tepi adalah untuk mereka yang berpangkat paling rendah.

Ruang perkarangan forbidden city agak luas dan tidak berpokok seperti yang kita sering tonton dalam filem-filem China dan Hong Kong, serta terbahagi kepada banyak perkarangan. 
Balairong maharaja terletak di bahagian tengah forbidden city, manakala beberapa bangunan lagi seperti perpustakaan berada di belakangnya.


Bermain Salji Sungguh Menyeronokkan

Di bahagian belakangnya juga ada taman-taman dan tasik. Mengikut kisahnya, terdapat 999½ bilik di dalam kompleks istana ini, memang satu hari pun tidak cukup untuk meninjau semua kawasan di situ. (diolahsuaikan daripada UM,16/9/11-TB)

HARI INI

Awan kian syahdu
langit mendung kelabu
tatapku menyimpan rindu
tiada tempat mengadu

Desa kian jauh
kota di hutan batu
layar kehilangan sauh
teman menjadi sekutu

Desir tanpa arah
haluan tanpa kemudi
sahabat kian parah
kehidupan tidak bersendi

Arus musim bersilih ganti
gelombang hadir tidak menentu
perhentian ini kita menanti
untuk menuju ke alam situ!


RAJIEE HADI,
Bandar Bukit Mahkota,Bangi.
18 Februari 2012.




15 Februari 2012

LEFTENAN ADNAN SAIDI: MEMORI SYAHDU 14 FEBRUARI

DALAM keghairahan masyarakat terutamanya generasi muda pada hari ini menyambut tarikh 14 Februari sebagai Valentine Day atau hari memperingati kekasih, kita lupa pada tarikh itu juga mencatatkan satu peristiwa penting yang perlu diingati untuk membangkitkan semangat cinta dan kasihkan negara.
Tarikh 14 Februari menyaksikan satu tragedi, satu pengorbanan dan satu perjuangan seorang anak Melayu, yang tidak pernah merasa gentar berdepan dengan maut demi mempertahankan tanah melayu dari penaklukan tentera Jepun.
Allahyarham Leftenan Adnan Saidi yang keberaniannya menjadi sebutan sehingga kini.



Walaupun tewas namun perjuangan beliau tidak pernah ada noktahnya dan semangat itu terus membara bersama-sama pahlawan dan para perjuang tanah air yang lain sehingga ke hari ini.
Mungkin ramai generasi muda hari ini masih tidak mengenali tokoh pejuang ini, Lt. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau kelahiran Sungai Ramal, Kajang, Selangor dilahirkan pada 1915.

Adnan mendapat pendidikan awal di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan merupakan seorang pelajar yang pintar dan berdedikasi. Setelah tamat persekolahan beliau memulakan karier sebagai guru pelatih selama setahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun.
Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta terpilih sebagai rekrut terbaik.

Pada 1936, beliau dinaikkan ke pangkat Sarjan dan setahun kemudian Lt. Adnan terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI.
Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus beliau dinaikkan ke Pangkat Leftenan Muda dan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni 'C' .

Lt. Adnan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.

Pada 1941, Lt. Adnan membawa keluarganya tinggal di Pasir Panjang dan ketika berita pihak Jepun bersedia menyerang Singapura, beliau membawa keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang dan pada ketika itu isterinya sedang mengandungkan anak yang ketiga. Itulah kali terakhir Lt. Adnan bersama keluarganya sebelum beliau menemui ajal di tangan Jepun.

Pertempuran Bukit Candu

PERTEMPURAN Bukit Candu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, berlaku sehari sebelumnya.
Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.

Bukit Candu merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik iaitu ia boleh melihat bahagian utara Singapura dengan lebih jelas dan merupakan laluan langsung ke kawasan Alexandra yang mana terdapatnya depot bekalan peluru dan gudang utama bekalan makanan, hospital tentera dan kemudahan-kemudahan lain Tentera British. Justeru, lokasi ini perlu dipertahankan dengan sebaik mungkin.

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi melancarkan serangan ke pesisiran Selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.

Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya, namun Kompeni 'C' dan Lt. Adnan yang ditempatkan di perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai 'Celah' (Gap) telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun beralah dan berundur walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.

Pada tengah malam hari yang sama, 'C' Coy dengan kekuatan 42 orang terdiri daripada gabungan sebahagian anggota Rejimen Askar Melayu, Rejimen ke-2 Tentera British dan Briged India ke-44, diperintahkan untuk bergerak ke tapak pertahanan baru - Pt. 226, Bukit Candu.

Setelah memilih lokasi yang sesuai untuk pertahanan, Lt. Adnan memerintahkan anggotanya memperkukuhkan benteng pertahanan dengan beg pasir di sekeliling kawasan tersebut. Pada petang 14 Februari, pihak Jepun mengatur strategi menggunakan helah dengan menyamar sebagai "Tentera Punjabi", British-Indian Army.

Bagaimanapun Lt. Adnan dapat menyedari helah tersebut apabila perasan sesuatu tidak kena dengan tentera berturban yang mara itu, bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British.
Menyedari helah itu, Lt. Adnan membiarkan tentera Jepun tersebut menghampiri garisan pertahanan sebelum beliau dan anak buahnya melepaskan tembakan daripada mesingan Lewis dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat serta tentera Jepun sekali lagi terpaksa berundur dari Pertahanan Bukit Candu. Dua jam kemudian tentera Jepun melancarkan serangan balas besar-besaran dalam bilangan yang lebih besar.

Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu dengan melibatkan pelbagai jenis senjata seperti granet, bayonet dan parang turut digunakan untuk menghalang askar Jepun daripada menguasai kedudukan tersebut namun bilangan tentera musuh yang ramai tidak mampu dilawan oleh Lt. Adnan dan pasukannya.
Pertempuran yang berlangsung selama 48 jam itu menyebabkan ramai jiwa Askar Melayu terkorban dan tidak kurangnya yang cedera. Namun bagi Lt. Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.

"Biar Berputih Tulang, Jangan Berputih Mata", kata-kata inilah yang membakar dan terus menyemarakkan lagi semangat juangnya dan rakan-rakan yang lain agar tidak gentar menghadapi Jepun demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah yang terakhir.

Namun Lt. Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Candu akhirnya ditawan Jepun dan beliau sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung di sebatang pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan bayonet Jepun.

Mayat beliau dilarang diturunkan daripada pokok tersebut sebagai peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang cuba menentang Jepun akan turut menerima nasib yang sama.
Kematian Lt. Adnan merupakan episod perjuangan seorang anak Melayu yang berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta. Semangat dan pengorbanan beliau perlu dikenang dan disemai dalam setiap generasi muda hari ini dengan menjadikan 14 Februari tarikh untuk dikenang, gugurnya seorang pahlawan dan pejuang negara.

Lt. Adnan turut dianugerahkan dengan Darjah Kebesaran Negeri Selangor oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2001 yang membawa gelaran Datuk.
"Biar putih tulang, jangan putih mata," jadi pengajaran
SESUNGGUHNYA keberanian Lt. Adnan dan rakan-rakan yang bertempur bermati-matian merupakan episod yang kekal dalam lipatan sejarah.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Lt Datuk Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi? Masih adakah anak bangsa pada hari ini yang mahu mengikut jejak langkahnya yang sanggup berputih tulang daripada berputih mata? Pastinya jika Lt. Adnan dapat melihat Malaysia pada hari ini yang begitu makmur dan pesat membangun, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara ini dengan darah dan nyawanya.

Keberanian Lt. Adnan turut diakui oleh General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan "Jika terdapat 10 orang Leftenan Adnan, belum pasti Malaya jatuh ke tangan Jepun".
Iktibar dan pengajaran yang boleh kita perolehi dari kisah keberanian Lt. Adnan adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati di kalangan seluruh rakyat tidak kira bangsa dan agama. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan oleh musuh negara.

Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah dan bangsa demi kepentingan material dan diri sendiri serta tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.

Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran yang dikecapi hari ini.
Mereka perlu disedarkan agar tidak sesekali terjerat dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghuru harakan negara demi kepentingan pihak tertentu.
Mereka harus menjadikan semangat Lt. Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan serta sayang dan cintakan negara.

Seluruh rakyat Malaysia harus bersatu demi mengekalkan keharmonian dan kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Terima kasih kepada para pahlawan dahulu yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan negara ini.

Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan. Sesukar manapun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab untuk mempertahankan sebuah negara yang merdeka.

Pada tanggal ini, 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Lt. Adnan dan marilah bersama-sama kita menghadiahkan sekalung doa buat insan-insan yang selama ini berjuang bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.(sumber: Kementerian Pertahanan Malaysia)

14 Februari 2012

'NASIONALISME: PUPUK ANAK GENERASI MUDA!'












BUKTI MELAYU UTAMAKAN PENDATANG?


SEMPENA cuti panjang selepas menyambut Maulidur Rasul baru-baru ini, saya dan isteri ke Kuala Lumpur untuk mengintai peluang perniagaan. Kesempatan ini saya gunakan untuk melawat beberapa tempat menarik dan tumpuan orang ramai di KL. Ini termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India, Bukit Bintang dan KLCC.

Dalam pemerhatian, saya dapati rata-rata peniaga di kawasan ini bukan Melayu. Orang Melayu hanya berniaga di kaki lima, pinggiran gedung dan kedai. Kebanyakan mereka hanya berniaga di pasar malam di mana khemah didirikan di waktu petang dan terus berniaga hingga malam.

Saya juga memantau ke Pasar Seni dan Bangunan Aked Mara di mana terdapat Melayu berniaga tetapi tidak serancak di kedai-kedai yang terdapat di Bukit Bintang.

Seperti sedia maklum, gedung-gedung membeli belah dan kedai-kedai di KL semuanya dimiliki oleh bukan Melayu. Kalau adapun hanya tiga hingga lima peratus sahaja dimiliki Melayu. Sewa pula terlalu mahal untuk peniaga Melayu. Kalau begini sampai bila kita hendak melihat lebih ramai Melayu terlibat dalam perniagaan di bandar-bandar besar.
Saya juga ke Petaling Street dan Little India di Brickfields kerana sudah tiga tahun tidak ke sana. Tempat ini lebih cantik dan menarik berbanding apa yang saya pernah lihat dahulu. Ini kerana ia telah dinaik taraf oleh kerajaan untuk menarik pelanggan dan juga pelancong. Saya melihat identiti Petaling Street sebagai dimonopoli oleh kaum Cina dan Little India oleh kaum India.

Setelah pergi ke semua tempat ini saya bertanya kepada diri sendiri di manakah orang Melayu berniaga di KL seperti kaum Cina dan India yang masing-masing ada Chinatown dan Little India?

Apakah kaum Melayu yang terdiri daripada majoriti rakyat Malaysia tidak ada tempat untuk memperagakan ke-Melayuan kita? Haruskah dibiar bangsa kita terpinggir hinggakan tiada identiti di negara sendiri?

Saya ingin cadangkan agar kerajaan menyediakan tempat perniagaan untuk orang Melayu dengan identiti Melayu. Kerajaan perlu berkorban mencari tanah, tempat yang strategik, boleh berdaya maju serta menarik, lengkap dengan kemudahan awam. Jadikan tempat ini sebagai kawasan yang melambangkan bangsa Melayu dan juga boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Dapatkan tanah di tengah kota atau pinggir kota untuk usaha ini. Bina seperti 'mall' yang terdapat di dalam dan di luar negara, barisan kiri-kanan bangunan dua hingga tiga tingkat yang berunsur Melayu. Di tengahnya pula dijadikan kawasan kaki lima yang luas dihias dengan gerai-gerai kecil, berbumbung serta berudara nyaman.

Letakkan juga pondok jual barangan cenderamata seperti kain batik, songket, produk kraftangan, juga warung kopi, kafe dan restoran. Sediakan dataran dan pentas bagi upacara budaya dan surau untuk beribadat.

Jadikan ia tempat tumpuan beli belah keluarga yang beriadah di hujung minggu serta tarikan pelancong. Biarlah tempat ini nampak ada kelas dan selesa.

Kalau kerajaan telah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menaik taraf Petaling Street, Little India dan baru-baru ini Perdana Menteri umumkan peruntukan RM2 juta untuk sediakan Pusat Budaya India di Batu Caves, apalah kiranya kerajaan menyediakan peruntukan untuk membina kawasan 'Warisan Melayu' ini supaya kita tidak dilihat terpinggir?
Saya terkilan melihat rata-rata tidak ada satu pun pusat beli belah yang dikendalikan sepenuhnya oleh bangsa Melayu di KL. Kepada bangsaku yang telah dilimpahkan Allah dengan rezeki yang luas, lihatlah di keliling kita, bantulah usaha ini. Kita mahu bangsa kita juga berjaya.

Kepada syarikat bumiputera dan juga syarikat milik kerajaan (GLC) yang telah berjaya, inilah masanya untuk sama-sama memberi sumbangan dengan membantu kerajaan memajukan projek 'Warisan Melayu' tersebut demi maruah anak bangsa kita.

Diharap kerajaan bantulah anak bangsa kita dari kaca mata yang lebih luas, lebih besar dan lebih jauh. Bantulah mereka untuk memasarkan produk dan perkhidmatan yang terdapat di kompleks warisan ini supaya terus maju dan berkembang. Masukkan ia dalam kelendar pelancongan sebagai satu lagi tempat untuk dilawati pelancong dari dalam dan luar negara.(sumber: Y Hussin,UM 14/02/12)

11 Februari 2012

KFC: KENTUCKY FRIED CHICKEN (INSIDE STORY)

PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan menemui kakitangan restoran Kentucky Friend Chicken i-City, Shah Alam untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden kekasaran yang berlaku di premis berkenaan Isnin lalu.
Setiausaha agung pertubuhan itu, Syed Hassan Syed Ali berkata, PERKASA akan berbuat demikian memandangkan pelanggan yang mendakwa diserang dalam insiden tersebut telah mendapat perhatian media.
"Nampaknya pihak yang didakwa diserang oleh pekerja KFC sahaja yang dapat perhatian media. PERKASA rasa mereka (staf KFC yang terlibat) perlu diberi peluang menjelaskan kepada orang ramai apa sebenarnya berlaku.
"PERKASA akan berjumpa dengan staf KFC terbabit dalam masa terdekat ini untuk mendapat penjelasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga memerhatikan bahawa komen yang timbul berhubung isu berkenaan "sangat tidak adil kepada staf KFC tersebut."
Katanya lagi, pelanggan yang tampil dalam sidang media semalam – Danny Ng – tidak sepatutnya bertindak memarahi kakitangan resoran berkenaan.
"Pastinya ada cara nak luahkan kehampaan apabila apa yang kita hendak sudah habis. Mengapa pula lebih suka menjerit-jerit marah dalam premis yang bukan dia punya? Dia hanya seorang pelanggan sahaja, apa hak dia nak marah-marah pekerja KFC," soalnya lagi.
Syed Hassan turut melahirkan keprihatinannya ke atas kakitangan terlibat yang menurutnya perlu "berdiri sepanjang hari dan bergerak ke sana sini dalam dapur" dan perlu melayani pelanggan yang ramai.
Malaysiakini juga telah mengunjungi premis berkenaan hari ini, namun pihak pengurusan restoran yang ditemui enggan mengulas mengenai insiden tersebut.
Tinjauan ke restoran dua tingkat itu mendapati premis tersebut beroperasi seperti biasa dan para pelanggan turut memenuhi ruang makan di tingkat bawahnya untuk makan tengah hari. (sumber: my.news.yahoo.com, 11/02/12)

TB turut bersimpati nasib pekerja-pekerja makanan segera yang komited dan rajin  di restoran-restoran makanan segera yang tumbuh melata di negara  kita dewasa ini.Yang kebanyakannya pula anak-anak muda bumiputera yang hendak mencari rezeki sesuap nasi sambil menimba pengalaman.lronisnya dan amat menyedihkan, kurang banyak mana-mana pertubuhan membela nasib mereka. Apatah lagi upah elaun kepada pekerja yang amat rendah.Bahkan ada yang tidak masuk akal. Walhal ‘taukeh’ yang berada ‘di atas’ mengumumkan keuntungan jutaan ringgit setiap tahun. Di manakah keadilannya?Di manakah silapnya? (TB)

TRAGEDI PASIR SALAK




USAHA memulihkan semula rumah dan kubu Datuk Maharajalela di Pasir Salak wajar dilakukan demi memartabatkan perjuangan mereka dalam menentang Inggeris.


SEGALA-GALANYA sudah tersurat. Tidak ada apa-apa yang boleh mengubah suratan takdir ini. Namun, setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Begitulah permulaan persengketaan di dalam keluarga diraja Perak selepas Sultan Perak ke-24, Sultan Ali Al-Mukamal Inayat Shah mangkat di Sayong pada tahun 1871.

Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit sepatutnya mudik ke Sayong untuk ditabalkan sebagai sultan tetapi beliau enggan berbuat demikian. Ini mengakibatkan jenazah Almarhum Sultan tidak dapat dimakamkan selama sebulan, dan bagi menyelesaikan masalah itu, Raja Bendahara Ismail ditabalkan sebagai Sultan.

Akibat pertabalan itulah, perselisihan faham berlaku dan berlarutan di antara Raja Abdullah dengan Sultan Ismail. Memburukkan lagi keadaan apabila pergaduhan besar berlaku di antara dua kongsi gelap pelombong Cina iaitu puak Ghee Hin dan Hai San di sekitar Kelian Pauh dan Kelian Baharu. Akibatnya, peperangan puak berlaku sepanjang tahun 1861 hingga 1862 dan 1871 hingga 1874.

Pihak Inggeris yang tidak mahu kepentingan ekonominya terjejas terutama bijih timah telah menggunakan isu tersebut untuk mencampuri urusan negeri Perak.

Dengan penuh bijaksana, pihak Inggeris berjaya ‘memerangkap’ Raja Abdullah dan beberapa Orang Besar-Besar Perak untuk berunding di Pulau Pangkor. Turut dijemput dalam rundingan itu adalah wakil kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San. Muslihat Inggeris gagal dihidu pihak istana sehingga termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874. Sejak itu, bermulalah perjuangan orang-orang Melayu Perak menentang Inggeris sehingga Residen Pertama Inggeris di Perak, J.W.W. Birch dibunuh pada 2 November 1875.

Walaupun peristiwa itu telah berlaku kira-kira 137 tahun yang lalu, namun kesannya masih boleh dilihat di Pasir Salak. (sumber: UM,11/02/12)

10 Februari 2012

NAJIB RAZAK SUDAH MELAMPAU?

MUFTI Perak Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan rasa terkilan dengan sikap Datuk Seri Najib Razak yang “menggadai akidah” apabila hadir dalam upacara keagamaan sempena sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves baru-baru ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun namun perdana menteri itu seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka.
“Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Beliau menambah menteri hal ehwal agama Islam atau penasihat agama sepatutnya menasihatkan Najib agar tidak hadir dalam perayaan itu.
“Kita tidak boleh sambut (perayaan agama lain), mereka lakukan upacara keagamaan dan kita sebagai umat Islam tidak boleh hadir... itu upacara ibadat mereka.
“Sebagai perdana menteri, Najib sepatutnya sedar dan menghantar wakil. Saya sudah tegur perkara ini setiap tahun namun tidak dipedulikan,” katanya menambah Najib wajar mencontohi sikap perdana menteri terdahulu yang menghantar wakil masing-masing.
Pada 7 Februari lalu, Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves selain turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM2 juta untuk membina pusat kebudayaan di kawasan itu.
Najib yang lengkap berpakaian Kurta berwarna kuning muda ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengakui gembira untuk turut sama memeriahkan Hari Thaipusam dan ini merupakan kali ketiga beliau mengunjungi Batu Caves sempena perayaan itu sejak 2010.
“Jangan gadai akidah kita, hukumnya syirik apabila kita hadir dalam perayaan mereka seperti kita merestui agama kaum lain... kita sepatutnya menjauhi perbuatan khufur yang boleh merosakkan akidah.
“Perkara ini serius kerana ia masalah akidah, saya wajib tegur... kalau tidak mahu dengar terpulang,” kata Harussani menambah tiada halangan sekiranya menghadiri majlis rumah terbuka tetapi bukan upacara keagamaan.(sumber:Syed Mu’az Syed Putra,TMI, 10/02/12)

TB harap juga pengacara siaran langsung yang beragama Islam janganlah membuat ulasan seolah-olah mengagung-agungkan perayaan keagamaan bukan Islam yang keterlaluan kerana dikhuatiri akan terpesong.  Justeru adalah lebih baik pada masa-masa akan datang disarankan agar pengacara TV bukan Islam yang membuat ulasan secara langsung bagi acara keagamaan yang  bukan Islam.