SEBELUM Persekutuan Tanah Melayu (PTM) mencapai kemerdekaan pada
31 Ogos 1957, rata-ratanya penduduk Tanah Melayu menjalankan kegiatan pertanian
sara diri sekadar ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.’ Bahkan
pepatah lama , ‘rezeki secupak,tidak akan jadi segantang’ begitu menebal di
sanubari masyarakat Melayu tradisi. Kebanyakan mereka mengusahakan sawah padi
, menoreh getah dan menangkap ikan sungai sebagai punca pendapatan..
Justeru ,bagi penduduk Kampung Serom 2 Hilir dalam Mukim Serom
(mengandungi Kampung Serom 1 (satu) hingga Kampung Serom 8 (lapan), pos Sungai
Mati dalam negeri Johor Darul Takzim yang terletak kira-kira 14km dari
Bandar Muar (dikenali Bandar Maharani) masih dibelenggu kehidupan desa yang
asli serba kekurangan infrastruktur. Apabila mahu ke Bandar Maharani,Muar
mereka akan berkumpul di jeti penambang Tanjung Agas menanti feri kecil yang
sering berulang-alik mengambil dan menurunkan penumpang menyeberang Sungai Muar
iaitu sungai terpanjang negeri Johor ke Bandar Maharani,Muar.Tambang feri
ketika itu sekitar 10-20 sen sehala perjalanan. Kuih apam balik, kacang rebus
dan mee bandung Muar menjadi sangat popular untuk
dijadikan ole-ole dibawa pulang dan bagaikan suatu kemestian .Apabila
jambatan Muar yang dikenali dengan nama Jambatan Sultan lsmail dibuka secara
rasmi 1967 maka perkhidmatan feri penambang pun dihentikan sedikit demi
sedikit.
Pada zaman itu, penduduk Kampung Serom 2 Hilir yang terletak 1 km
dari jalan besar menuju ke Bandar Muar masih menggunakan sumber air perigi dan
lampu gasolin dan pelita minyak tanah. Pada malam hari bunyi bersahutan
burung-burung hutan adalah suatu kebiasaan. Pada masa itu, cerita hantu kopek, hantu galah, hantu Jepun dan
pontianak menjadi hiasan bibir orang-orang tua dan menakutkan anak-anak
remaja dan kanak-kanak. Apatah lagi pada waktu itu siri cerita pontianak
lakonan Maria Menado begitu terkenal dan banyak ditayangkan di pawagam seluruh
negeri Johor.
Kampung Serom 2 Hilir yang
berkongsi sebatang jalan merah ke Kampung Sungai Keladi di penghujung
jalan di pesisir hulu Sungai Muar, tidak ketinggalan mengusahakan pertanian
getah, pinang, kelapa, dusun buah-buahan dan tanaman kontan seperti pisang, ubi
keladi dan sayur-sayuran. Penduduk Kampung Sungai Keladi, Belemang dan Kampung
Serom 3 Panggung (panggung bermaksud lantai yang bertiang di tepi sungai yang
dijadikan jeti/pangkalan kecil bagi meninjau ke seberang sungai) menjalankan
aktiviti harian memancing, menjala, memukat dan memasang lukah ikan
tapah, mayung, sembilang, keli, udang dan ketam di pesisiran Sungai Muar yang
kaya dengan hasil sungainya.
Ibu saya, Misah (dikenali
di kampung dengan nama Kintan) adalah anak kedua yang berbapakan Mos bin Haji
Hassan (dikenali juga dengan nama Musa) dan beribukan Fatimah binti
Hussein Abang sulung ibu saya ialah Abdul Rahman. Apabila jodoh Mos (tidak lama
kemudian meninggal dunia) bersama Fatimah tidak panjang, nenek saya ’Fatimah’
(saya panggil ’atuk’)berkahwin secara ’salin tikar’ bernikah dengan Puteh bin
Midon yang telah kematian isterinya(kakak kepada nenek saya). Puteh, datuk tiri
saya (yang saya panggil ’ayah’) membawa dua anak juga iaitu Tijah dan Rahmah.
Selepas perkahwinan Puteh dan Fatimah mereka dikuniakan empat anak iaitu
Zainun (Allahyarham), Ahmad, 0nn dan Abdul Hamid. Walaupun dalam keluarga ibu
saya ada yang tidak seibu sebapa namun hubungan mereka adik beradik amat akrab
seperti adik beradik kandung.Bahkan saya sendiri membesar sehingga dewasa
tidak merasakan wujudnya perbezaan dalam hubungan antara sepupu kami. Hubungan
kami di rumah gadang peninggalan datuk moyang kami sungguh meriah dengan kasih
sayang.
Ibu saya Misah @ Kintan
(kini Hajah Misah) berkahwin dengan Abdul Hadi bin Manja (lahir 1911,
Allahyarham, meninggal dunia 1994) pemuda Kampung Sungai Mati, Muar yang telah
berusia lewat 30-an pada tahun 1951.Manakala ibu saya ketika itu baharu berusia
18 tahun (lahir 1933) .Abdul Hadi berbapakan Manja bin Sintal dan
beribukan Mimah binti Buang. Manja adalah anak Sintal yang mana datuknya adalah Penghulu Latis yang menjadi penghulu bagi mukim Temiang dan Sungai Terap dalam daerah Muar. Muar ketika itu umpama sebuah negeri.
Penghulu Latis yang hidup pada abad ke-19 dikhabarkan antara penghulu yang menandatangani surat pengistiharan tahun 1877 kepada Temenggung lsmail yang memperakukan Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Abu Bakar iaitu Sultan Johor moden. .Dan Mimah ialah nenda saya yang berbinti Buang. Nenda Mimah dikatakan daripada susur galur keturunan bergelar "Raja" daripada keturunan raja-raja Bugis dari Kepulauan Melayu Riau.Oleh kerana ibu sebelah nenda saya yang berkahwin dengan "orang kebanyakan" maka gelaran "Raja" telah tidak digunakan lagi. Walaupun nenda saya berkahwin dengan datuk Manja bersaudara sepupu tetapi jodoh
mereka tidak panjang.Sebagai anak tunggal, Abdul Hadi tinggal bersama ibunya di
sebuah rumah usang berhampiran pekan Sungai Mati di hadapan Sekolah Menengah
Jenis Kebangsaan lnggeris Pei Hwa, Sungai Mati.
Kemudian Mimah bernikah
dengan Limat dan dikuniakan anak-anak: Jaafar, Rajimah, Etan dan Umar. Manja
pula bernikah dengan Yamah @ Endut dan dikurniakan anak-anak: Hashim, Nong, Rogayah @ Gayah,
Md.Zin dan Nafsiah @Not. Walaupun datuk saya Manja dikhabarkan banyak
meninggalkan harta dan tanah pesaka dan berasal daripada keturunan penghulu abad ke-19 yang mana ketika itu penghulu setaraf umapama menteri pada zaman sekarang namun bapa saya
yang sejak kecil hidup dalam daif dan kemiskinan bersama ibu kandungnya tidak
pernah menuntut haknya sehingga ke akhir hayatnya.Usia bapa yang lanjut dan
matang menyebabkan saya sebagai anaknya memperoleh banyak pengalaman daripada
cara didikannya kepada saya.
lbu melahirkan anak
sulungnya Mohamad Zaidin pada tengah hari 27 Disember 1952 di rumah
gadang datuk saya di Kampung Serom 2 Hilir. Anak comel yang berkulit putih
cerah kemerah-merahan ini ditatang dengan penuh kasih sayang bagai menatang
minyak yang penuh. Ketika itu bapa saya sudah pun meninggalkan kerja-kerja kampung
membuka,menajak dan membajak tanah bendang di Kampung Pulau Penarik, Sungai
Mati bersama bapa tirinya, Limat. Bapa saya juga pernah menjadi
drebar/pemandu teksi tetapi berhenti kerana menurut ibu saya bapa sering
beriktikaf di Masjid Jame’ Sungai Mati. Nenek Mimah (saya juga memanggilnya
’atuk’) mahukan bapa mendirikan rumah sendiri di belakang rumahnya selepas
berkahwin dengan ibu. Tetapi ibu kurang bersetuju. lantaran ada kawan bapa
mencadangkan agar bapa mecari rezeki di tempat baru di Wealth Estate iaitu
ladang getah milik konglomerat lnggeris (dikenali juga dengan nama Joo
Kam Estate), Jementah, Segamat,Johor. Dan pada tahun 1952 bapa dan ibu pun berpindah di tempat baharu.
Setiap menyambut Aidilfitri
dan Aidiladha, bapa dan ibu akan balik ke Kampung Serom 2 Hilir rumah sebelah
ibu dan menjenguk juga rumah datuk sebelah bapa di Kampung Sungai Mati.. Jarak
antara kampung ini lebih kurang 4 km sahaja. Apabila ibu mengandungkan
saya, ibu juga pulang ke rumah gadang itu. Pada era pramerdeka ketika semangat menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sedang membara dan membakar semangat para nasionalis tanah air maka selepas zuhur
sekitar jam 3.00 petang saya pun dilahirkan untuk berhijrah ke alam duniawi
dari rahim ibu dengan begitu mudah di rumah datuk saya di bumi bertuah Kampung
Serom 2 Hilir.
Saya dan abang sulung
Mohamad Zaidin dibawa tinggal bersama bapa dan ibu di Wealth Estate,Jementah,
Segamat. Menurut cerita ibu, semasa bayi ,tubuh saya yang montel dan berkulit
cerah sering dikelek,ditatang dan dikendong oleh gadis-gadis remaja ,anak
jiran-jiran di kuarters ladang tersebut. Bapa dan ibu yang menoreh getah di
ladang akan mengambil kami di rumah pengasuh yang dipanggil ’Kak Zai’ pada
sebelah tengah hari.
Apabila ibu saya
mengandungkan anak ketiganya Zulasri, bapa dan ibu berpindah ke tempat baharu
bagi menambah rezeki dengan lebih baik iaitu di Sagil Estate,Tangkak,Johor
milik Dunlop Estate Berhad yang beribu pejabat di
Melaka. Di Sagil Estate atau Ladang Sagil kami
ditempatkan di kuarters yang bernama Kongsi Sepuluh atau Gunung
Ledang Division yang terletak kira-kira 65 km dari Bandar Muar dan 35
km dari Bandar Segamat.Di kuarters ini kami sekeluarga tinggal di barek teres
setingkat. Kami berkongsikan air pili yang dipam dari tangki kecil berhampiran
rumah. Rumah barek yang tidak berbilik hanya disediakan bilik mandi, ruang
dapur dan ruang tidur yang beralaskan ambin papan.Ada juga
disediakan pangkin di bahagian luar bagi tujuan berbaring
berseorangan atau duduk bersantai.
Pada tahun 1959, abang
sulung Mohamad Zaidin atau ‘Abang Din’
yang amat manja dengan bapa mula menginjak usia tujuh tahun. Demi masa hadapan,
bapa yang mahukan anak-anaknya berjaya menuntut ilmu telah sedia berkorban
berpisah dengan anak sulungnya. Bapa melepaskan ’Abang Din’ tinggal bersama
datuk di Kampung Serom 2 Hilir,Muar. Abang Din mendaftar masuk darjah satu
di Abdullah English Primary School di pekan Sungai Mati. Abang
Din sering dihantar Tuk Puteh@ayah yang setiap awal pagi mencari rezeki dengan
memandu teksi yang disewanya sering menumpangkan Abang Din ke sekolah dengan
teksinya. Saya pernah mendengar cerita bahawa rakan persekolahan Abang
Din antaranya ialah Jaafar 0nn seorang seleberiti yang terkenal.Semasa cuti
sekolah Abang Din akan pulang ke rumah kami di kuarters Kongsi
Sepuluh..Saya masih ingat, ketika itu usia saya empat tahun, Abang Din
berkebolehan dan amat gemar menyanyi lagu Allahyarham P.Ramlee berjudul ’Kalaulah
Kaca Menjadi Intan’
Dan tidak siapa pun menduga
pada awal tahun pembukaan persekolahan tahun 1961, Abang Din yang pada
pagi itu tidak menumpang teksi Tuk Puteh tetapi membonceng duduk di palang
hadapan basikal yang ditunggangi Pak Cik Onn (bapa saudara saya, adik ibu saya
yang ketika itu berusia 12 tahun) telah mendapat kemalangan ngeri, dihempap
batang pokok kelapa yang tiba-tiba tumbang menghempap kepala Abang Din di
hadapan Sekolah Menengah lnggeris Pei Hwa, pekan Sungai Mati. Akibat
malapetaka itu, Abang Din meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami
pendarahan teruk di tempurung kepalanya. Takdir telah menentukan, Pak Cik Onn
terselamat dan panjang umur hingga ke saat ini.
Saya masih ingat, kejadian
itu memberi bekas mendalam dalam kehidupan bapa dan ibu saya. Dan selepas Abang
Din meninggal dunia, saya secara peribadi merasakan jiwa dan raga saya hingga kini bagaikan anak
sulung. Saya belajar ke menara gading dan mahu dijadikan teladan dan motivasi kepada
adik-adik dan ahli keluarga yang lain.Apabila saya mula bekerja sebagai guru
terlatih, saya berasa bertanggungjawab menolong ibu bapa saya yang sudah pun
berpindah kerana bersara ke Kampung Serom 2 Hilir pada tahun 1976. Dengan gaji
sebagai guru terlatih lepasan maktab yang tidak seberapa ketika itu dapatlah
saya membantu ibu bapa saya membaiki rumah Melayu lama di bahagian serambi dan
dapur.
Berbalik lepada kisah saya
semasa kanak-kanak, apabila saya mula diterima belajar ketika berusia enam
tahun (sebenarnya lima tahun) pada tahun 1961 di Kelas Tumpangan
(seakan kelas tadika pada zaman sekarang) di Sekolah Kebangsaan
Sagil Estate (SKSE) yang terletak di Central Sagil Estate iaitu
kira 20 km dari barek kami. Pada awalnya bapa saya telah menghantar saya ke
sekolah dengan berbasikal berulang-alik. Mujur tidak lama kemudian seorang
lelaki Cina yang kami panggil ’Ah Kau’ dan kemudian adik
iparnya ’Ah Chow’ bersedia menawarkan perkhidmatan menggunakan
kereta persendiriannya bagi menghantar saya dan kawan-kawan pergi-pulang
dari sekolah secara bayaran bulanan.
SKSE ini dikongsi bersama dengan murid-murid
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil yang beroperasi pada sebelah petang.
Sekolah ini hanya berdindingkan kadbod keras yang memisahkan antara satu kelas
dengan satu kelas yang lain.Guru-gurunya hanya sekitar enam hingga lapan
orang. Saya masih ingat antara nama-nama guru yang mengajar SKSE ketika itu
ialah Cikgu Mahmud, Cikgu Haris, Cikgu Misdi dan Cikgu Baharom. Tidak ada guru
bahasa lnggeris yang mengajar kami. Rakan-rakan sekelas saya antaranya yang
masih saya ingat ialah Abdul Rashid Omar (nama gelaran ‘Abu’), Abdul Samat
Musa, Ramlah Jalal dan Jamaluddin Mohamad.
Saya hanya bertahan belajar
di SKSE hingga setakat darjah empat.Saya bertukar ke sekolah lain kerana ibu
bapa saya mementingkan pelajaran Agama lslam kerana ketika itu di ladang
tersebut tidak ada sekolah atau kelas fardu ain. Di samping itu SKSE sebuah
sekolah di pedalaman yang terlalu banyak ketinggalan terutama aspek ketiadaan
guru, kemudahan asas sekolah dan tidak berpotensi menjanjikan masa hadapan.
Apatah lagi sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa di ladang hanya berpuas hati
anak-anak mereka memperoleh pelajaran asas hinggá setakat darjah enam sahaja.
Kini SKSE hanya tinggal
tapak nostalgia. Pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina sekolah kebangsaan di tapak yang baharu
di Northern Division,
Ladang Sagil yang jaraknya
empat kilometer dari pekan Sagil, Tangkak,Ledang. Dan dengan rasminya pada
tahun 1970 SKSE telah berpindah ke tapak dan bangunan baharu bersebelahan jalan
besar Muar-Segamat. Kira-kira empat tahun kemudiannya SKSE telah ditukar dengan
nama baharu Sekolah Kebangsaan Puteri Ledang (SKPL). Dengan ’sekolah baharu’
maka penjenamaan semula sekolah ini telah dilakukan secara drastik selari
dengan arus perdana sistem pendidikan negara dan statusnya sebagai sekolah
bantuan kerajaan sepenuhnya.
Sebenarnya selepas
kemalangan ngeri yang menyebabkan kematian Abang Din pada tahun 1961, bapa dan
ibu saya agak serik mahu menghantar saya bersekolah di kampung datuk yang
prasarananya lebih baik.Tetapi memandangkan di rumah kongsi tidak ada guru yang
boleh mengajar membaca al-Quran, akhirnya saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan
Lelaki Serom Tiga (3), (SKLST) pekan Serom pada tahun 1966 dan masuk ke darjah
lima.Di sekolah ini saya menempuh suasana baharu kerana SKLST adalah sekolah
yang terdiri hanya murid-murid lelaki sahaja.Murid-murid lelaki sekolah ini
agak nakal dan suka membuli pelajar baharu seperti saya.Saya sering berendam
air mata teringatkan bapa dan ibu yang jauh di mata.Namun syukurlah sejak zaman
kanak-kanak saya bagaikan sudah mengerti makna reda dan sabar menghadapi
cabaran ini. Rakan-rakan sekelas yang masih tidak luput di kotak memori saya
ialah Abdul Rashid Wahab, Rahmat Johan, Abdul Rahman Limat, Mohamad Zan Abu
Bakar, Yunus Chik, Yusof Othman, Hamdi Yasin, Mohamad Zaki Azim, Mohamad
Norklar Azli (digelar Matnor Kelawar),Abdul Razak Mohamad, Ngarisan Jurimi,
Harun Masdar, Rif’an Said, Md.Deris Tahir
dan lain-lain lagi.
Dan babak kehidupan
seterusnya saya tinggal bersama datuk di rumah gadang di Kampung Serom 2 Hilir,
tempat saya dilahirkan sehinggalah saya masuk belajar di tingkatan satu di
Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar, (STMI) Sungai Mati, Muar pada
tahun 1968. Di kampung ini saya belajar mengaji
al-Quran sehingga khatam dengan Puan Zaharah yang mesra dipanggil ’Kak
Arah’ iaitu ibu kepada sahabat sekampung saya, ldris Abon yang lebih akrab dipanggil
’Apah’. Di kampung ini juga saya dan adik-adik saya yang turut ikut jejak
tinggal di kampung datuk iaitu Zulasri dan Mohamad Shafiee telah belajar kelas
agama Jabatan Agama lslam Johor (JAIJ) pada sebelah petang.
Apabila Pak Uteh Abdullah
(menantu datuk saya) meninggal dunia pada tahun 1966 dan kemudian disusuli
isterinya, Mak Uteh Zainun (adik ibu saya) pada tahun 1967, mereka meninggalkan
lapan orang anak yatim piatu iaitu Mohamad Zain, Zabedah, Abdul Karim, Abdul
Rashid, Zambroo, Zalina,Nora dan Halib. Pada awal tahun –tahun kematian ibu
bapa mereka, datuk saya telah memelihara lapan anak yatim piatu ini bersama
saya dan dua adik saya. Dan turut tinggal sama juga sepupu saya Sulaiman dan
Abdul Kadir. Oleh itu bagi saya untuk memperoleh kasih sayang dan
perhatian sepenuhnya daripada datuk saya tentulah mustahil.Namun masa saya yang
terluang banyak disikan dengan membaca buku-buku cerita, akhbar jawi
Utusan Melayu dan novel. Saya juga gemar meneliti buku atlas peta dunia dan
membaca bahan yang berkaitan sejarah dan ilmu alam (geografi).
Tidak tinggal bersama
ibu bapa dan kehilangan kasih sayang adalah asam garam kehidupan saya semasa
kecil dan remaja..Pada masa itu, bukan tiada remaja nakal yang ponteng sekolah,
merokok, menghisap ganja dan berjudi.Mujur saya tidak terjebak dengan elemen
negatif yang melanggar disiplin sekolah. Dengan memperoleh keputusan
terbaik,kepujian dan lulus semua subjek dalam peperiksaan Sijil Rendah
Pelajaran (SRP) 1970 maka melayakkan saya belajar di tingkatan empat.
Kemudian dengan meraih
pangkat kedua dan menjadi pelajar terbaik subjek Sejarah dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1972, saya bersama rakan sekelas
iaitu Ngarisan bin Jurimi (pesara Guru Besar), Liza binti Sitam (Allahyarham,
bekas kakitangan perkhidmatan awam Negeri Johor), dan Norizan bin Kulob (Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor/SUK, mantan Pengrah Jabatan Agama lslam Negeri Johor) telah terpilih sebagai para
pelajar cemerlang sekolah dan terpilih memasuki ke tingkatan enam pada tahun
1973 di sekolah berasrama harian berprestij ketika itu, Sekolah Menengah
Dato’Seri Amar DiRaja (SDAD)di Bandar Maharani, Muar, Johor. Saya juga kemudian lulus kertas peperiksaan English Sylabus X MCE iaitu peperiksaan Bahasa lnggeris untuk pelajar dari aliran lnggeris.
Di lereng kehidupan ini,
saya mula yakinkan diri akan memulakan pendakian ke puncak kejayaan. Pada
awalnya, kerjaya sebagai peguam sentiasa berputik dan tersemat dalam jiwa saya.
Apabila ada masa terluang saya akan cuba menghadirikan diri ke galeri awam
dalam mahkamah di Bandar Maharani, Muar sekitar tahun 1974 bagi mengikuti
tertib prosiding yang dijalankan.Dalam diri saya berazam mahu menjadi seorang
pejuang demi masa hadapan keluarga, agama, bangsa dan negara saya. Namun
demikian saya sebagai hamba-Nya yang lemah hanya mampu merancang. Dan bagaimana
pula saya bertukar arah menjadi seorang guru atau pendidik, hanya sejarah dalam
kehidupan yang telah melakarnya dari semasa ke semasa setelah dilantik
menjadi guru terlatih pada 3 Januari 1978.(TB@ Dr Haji Rajiee Hadi al-Latis)