Salam Perjuangan

25 Jun 2016

Puisi: Di Antara Seribu Satu Kisah

Puisi: DI ANTARA SERIBU SATU KISAH


Maaf singgahsana pena istanaku
kerana membiarkan laman mindaku
berbulan-bulan sepi tanpa hadirku
kerana kemabukan rasa
dilambung samudera sendaloka
terleka melakar impian
yang kini fatamorgana hampa

Berbulan-bulan saling bertukar cerita
ikat janji dibuai gelombang
sengsara bahtera pijar mentari
ikan-ikan yang tiada berenang di sini
ganas ombak yang menerpa
buat kita waspada

Berhari-hari juga kita tempuhi
harapan dan seri pagi keesokan hari
namun bulan gersang malam jua
yang engkau kejari sesudah nista itu
tidak kuupaya mengucap kata indah
sesudah merdu kecapi dinikmati
engkau pun meludah bumimu
dan menjilat kembali hanyir lukamu
mahu berangkat pergi

kisah seribu satu paparan ini
bukan kekesalan diri seorang nakhoda
kerana itulah kasih sayang hakiki
kerana-Nya ya Rabbi llahi setulus hati
Yang Maha Mengetahui perilakumu
memberiku kekuatan mahu mengemudi
bahtera pincang usang di jasad dirimu
yang pudar di mata dan buta kalbumu!



DR HAJI RAJIEE HADI,
25 Jun 2016.







Tiada ulasan: