Salam Perjuangan

10 Oktober 2016

POLIGAMI ADALAH TEMAN SEJEMAAH


oleh SYEIKH AL- LATIS


APAKAH yang perlu dilakukan oleh seorang isteri termasuk si suami sekiranya ditakdirkan menempuh alam poligami? Apabila suami telah menyatakan hasrat hati untuk berkahwin lagi;bermakna isteri perlu bersiap sedia untuk menerima kedatangan bakal isteri kedua,ketiga atau keempat sang suami dalam satu-satu masa..Alangkah bertuahnya sang isteri, suami yang jujur menyatakan hasrat berterus terang sebelum pernikahan itu terjadi. lnilah sikap "lelaki sejati" yang kebanyakannya wanita terlepas pandang.

Bagaimanakah sikap isteri dalam menerima kedatangan 'madu' ini? Bagi sesetengah isteri, kedatangan ‘orang baharu’ itu dinanti dengan dada berdebar-debar, dan ketika itu mulalah ia tidak lalu makan, tidak lena tidur (tidak semua)  dan memikirkan perkara yang bukan- bukan atau sentiasa ditayangkan bayang-bayang palsu yang ditayangkan oleh para iblis syaitan laknatullah itu yang bertujuan menimbulkan perselisihan,perbalahan,perpecahan,persengketaan dan  api cemburu melampau yang membara.

 “Mungkin aku dah tidak secantik seperti dahulu…. Dah tak mengghairahkan lagi…Dah tua...”Dan pelbagai persoalan seumpamanya bermain-main dalam kotak fikiran. Sesungguhnya Allah turunkan ayat mengharuskan poligami, jauh sekali hendak menganiayai kaum wanita. Sebenarnya, poligami adalah medan perjuangan yang besar untuk menundukkan hawa nafsu dalam diri wanita itu sendiri. Ketika itulah nafsu akan tertekan. Dan amat bersyukurlah jika kita sentiasa diberikan hidayah dan pintu taubat oleh Allah SWT.

Tiga isteri sedang bermusyawarah & bersilaturahim berbincang demi kebaikan bersama (Gambar hiasan).

Bermadu (istilah budaya Melayu/Nusantara)  terasa menyakitkan kerana nafsu meronta-ronta minta diturutkan kehendaknya. Sekiranya kita berjaya menundukkannya, baharulah datangnya nikmat bermadu. Dan bersamanya datang nikmat beribadah, nikmat mengadu, merintih dan menangis di hadapan Allah SWT. Oleh itu mereka yang bersama-sama teman sejemaah itu bukan semata-mata kerana nafsu seks semata-mata. Walaupun hubungan lahiri dan batini adalah wajib bagi melempiaskan pelbagai rasa kasih sayang,kerinduan dan kebertanggungjawaban namun ini adalah salah satu perjuangan. Perjuangan menguji kepemimpinan, daya tahan mental dan stamina kesihatan diri, kemahiran komunikasi dan keibubapaan dan seumpamanya adalah ciri-ciri lelaki sejati sebagai suami/bapa (imam) dan pemimpin atau pengurus dalam rumah tangga. 

Kita akan menangis, bukan kerana kesal berpoligami tetapi kerana kesal memandangkan selama ini kita lalai dengan nikmat Allah di sebalik tabir kehidupan ini sehingga Allah menarik nikmat itu sedikit demi sedikit, untuk diberikan kepada kita di akhirat kelak. Dalam menerima kedatangan madu yang merupakan orang baharu dalam keluarga, isteri hendaklah berlapang dada. Sebab itu, jika kita mengutamakan nikmat dan keutamaan akhirat maka kita akan dapat nikmat dan keutamaan dunia jua. Percaya dan yakinlah.

Kebanyakan ‘orang baharu’ ini kurang tahu akan dunia rumah tangga yang baru dimasukinya. Isteri pertamalah yang perlu mendidik 'teman jemaahnya' (madunya) dalam soal ini. Contohnya, dia memberitahu madunya mengenai kesukaan suami mereka, mengenai penjagaan pakaian suami, masakan kegemaran suami, dan yang lebih penting bagaimana untuk ‘tackle’ masalah suami. Mereka juga boleh merancang percutian bersama dan bantu membantu dan tolong menolong dalam penjagaan/pengasuhan anak-anak dan apa jua jika ada situasi kecemasan.

Perkara ini memang sulit untuk dipraktikkan kerana adakalanya isteri pertama khuatir madunya akan mengatasi dirinya (tidak semua berfikiran begitu). Sikap ini tidak sepatutnya ada. Sebaliknya, fikirkanlah bagaimana untuk berganding bahu menghiburkan suami agar perjuangan suami di luar rumah berjalan lancar. Jika umpamanya kita tidak mampu memainkan peranan untuk membantu perjuangan suami, biarlah madu kita mengambil peranan itu. Pokoknya wujudkan situasi kebersamaan dalam beberapa situasi. Dan wujud jua suasana 'privacy" dalam sesuatu masa yang tertentu demi mencipta kehidupan peribadi dengan suami yang dikasihi.

Yang penting, isteri-isteri yang bersama dalam kehidupan dengan suami yang sama ini akan  dapat saling membantu, saling menyayangi, saling menghormati, saling memahami dan saling mengasihi untuk memberi hiburan kepada suami dan anak-anak daripada suami/ayah yang sama. Inilah yang dikatakan cinta suami kerana Allah. Bagaimana sekiranya isteri pertama,kedua,ketiga dan keempat kurang bijak dalam sesuatu perkara manakala teman jemaahnya pula lebih tahu serba sedikit urusan rumah tangga? Dalam hal ini, isteri pertama perlulah mempunyai sifat tawaduk dan berfikiran terbuka.Konsep dan formula  menerima pandangan teman sejemaah yang terbaik secara musyawarah adalah sikap terbuka yang terbaik demi  untuk kebaikan rumah tangga mereka.Sebenarnya adalah lebih baik tidak mengkategorikan/mengklasifikasikan isteri-isteri dengan digit/nombor. Lebih baik sebut 'isteri-isteri' . Dan anak-anak yang berbapakan sama tentu seronok dan tidak rasa keterasingan dan kejanggalan jika dari bayi/kanak-kanak mereka telah ada 1.lbu 2.Ummi 3.lbu 4.Mama atau seterusnya mami,emak,ma, dan sebagainya.

Yang penting, jagalah hati teman sejemaah. Ketika memberi pandangan, jangan sekali-kali memperlihatkan kelemahan si ‘kakak/adik”. Dalam banyak hal, isteri-isteri  hendaklah bersikap seperti murid/freshie kerana dia adalah orang yang baharu hendak mengenali ahli keluarga suaminya. Jangan sekali-kali bersikap ego apabila si ‘kakak adik’ memberi nasihat. Merendah dirilah dengan banyak bertanya walaupun banyak yang kita telah tahu. Ini akan menimbulkan kemesraan.

Sekiranya kita nampak sesuatu kelemahan atau kesalahan pada ‘kakak adik’ kita, cubalah betulkan secara berhikmah kerana ada isteri  biasanya sangat sensitif dengan setiap perkataan dan perbuatan teman sejemaahnya. Jagalah hati masing-masing. Sesama teman sejemaah hendaklah sentiasa bertolak ansur. Sekiranya madu kita payah hendak bertolak ansur atau beralah, kitalah yang perlu bermujahadah. Carilah jalan yang boleh melembutkan dan memikatkan hati dengan cara yang positif. Misalnya,hadiahilah dia dengan sesuatu yang disukainya apabila berpergian, pergi bercuti atau ke luar kawasan. Namun semuanya bergantung kesesuaian bukan kemestian. 

Ini memerlukan kesabaran yang bukan sedikit.Namun  manalah tahu, berkat kesabaran kehidupan keluarga yang berpoligami akan lebih dimurahi rezeki dan diberkati serta diberikan rahmat yang berlipat ganda daripada Allah SWT.. Isteri-isteri yang berpoligami sebenarnya tidak dapat lari daripada dilanda sifat resah negatif, cemburu melampau ,pemarah atau buruk sangka sesama sendiri. Kendatipun tidak semua. Apa yang nyata, jika perjalanan awal telah betul pada landasan, insya-Allah belai lebih banyak dinikmati daripada badai yang memusnahkan impian. Apa yang penting di sini, pandulah perasaan itu mengikut syariat. Untuk membuang terus segala sifat hati yang keji itu agak mustahil. Dengan mengutamakan sentiasa bertasbih dengan kesyukuran dan istigfar' kita boleh membendung dan melontarkan perasaan durjana itu daripada bersarang dalam diri masing-masing. 

Kosongkan fikiran kita ketika perasaan itu datang, dan isikan dengan memikirkan kebesaran Allah, tentang nikmat dunia yang tidak kekal, atau tentang mati yang belum tahu bila masanya. Fikirkanlah tentang dosa-dosa yang lalu dan selalu ingatkan bahawa ujian-ujian yang datang ini mungkin untuk menghapuskan dosa-dosa itu.

Sekiranya sifat-sifat hati yang keji itu dibiarkan subur, kita akan menjadi orang yang kecewa, pemarah tidak bertempat dan selalu menyimpan sakit hati sama ada terhadap sesama teman sejemaah atau terhadap suami. 

Justeru, jika kita melayan unsur negatif dalam fikiran dan kehidupan kita jadilah kita orang yang tidak tenang dan gopoh gapah dalam bertindak. Di samping itu, perkuatkan keyakinan bahawa Allah Maha Adil.Denngan ini   tidak timbul resah gelisah dengan takdir Tuhan yang menentukan kita bersuamikan suami yang sama.. Banyakkanlah mengingati Allah ketika dilanda perasaan berkecamuk.

Berdoalah kerana ia adalah senjata yang paling ampuh ketika dilanda ujian. “Ya Allah, satukanlah hatiku dan hati maduku.Lembutkanlah hati kami supaya dapat berbaik-baik. Ya Allah, tolonglah aku yang lemah ini……”

Kesimpulannya berserahlah kepada Allah kerana semuanya adalah urusan Allah, yang sudah tentu banyak hikmah dan iktibar daripada-Nya. Daripada Allah kita datang kepada Dia kita kembali. Amin ya Rabbal alamin.

Tiada ulasan: