ANTARA sebab mengapa Penilaian Menengah Rendah (PMR) dihapuskan dan diganti dengan sistem Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) adalah kerana desakan masyarakat agar pendekatan pendidikan kementerian dikaji semula. PMR dilihat sebagai terlalu berteraskan peperiksaan lantas mengekang percambahan kemahiran berfikir dengan kreatif dan sikap proaktif di kalangan pelajar.
Namun begitu, apabila dilihat bagaimana PBS dan PT3 dilaksanakan di sekolah, saya kira masih ada banyak persoalan yang perlu kita jawab dengan jujur.
Masih lagi sebuah peperiksaan awam
Petikan perenggan ketiga ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Mac menyebut, “PBS adalah sistem pentaksiran yang akan digunakan bagi menjamin pencapaian seseorang murid supaya tidak lagi dinilai berasaskan peperiksaan semata-mata.”
Namun begitu, saya sedikit kesal apabila visi asal PBS yang wajar dipuji ini seperti sudah lari daripada landasan sebenar. Hakikatnya, PT3 yang merupakan komponen besar dalam PBS, masih lagi berfungsi sebagai peperiksaan awam serta turut memainkan peranan penting dalam mencorak pendekatan kita terhadap pendidikan.
Penjelasan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata PT3 akan menggantikan PMR sudah cukup membuktikan bahawa ia masih lagi sebuah peperiksaan awam, hanya dipakejkan dalam bungkusan berbeza.
Keputusan PT3 masih berfungsi untuk permohonan ke sekolah sains dan sekolah berasrama penuh di samping menempatkan pelajar mengikut pengkhususan subjek mereka di tingkatan 4. Ini menyebabkan pelajar akan tetap meletakkan prioriti terhadap PT3.
Apabila prioriti ini ada maka guru juga akan mengkaji format dan bentuk soalan untuk menyediakan pelajar terhadap teknik-teknik menjawab soalan. Perkara ini seterusnya akan membuatkan kita berada dalam pengulangan kitaran seperti PMR iaitu guru mengajar pelajar untuk peperiksaan.
Kecelaruan prioriti subjek
Perkara kedua yang ingin saya bangkitkan adalah berkaitan fokus penilaian terhadap sesuatu subjek. Contohnya subjek Kemahiran Hidup, salah satu subjek teras PT3. Ketika PMR, pelajar dinilai berdasarkan 40% ujian bertulis dan kerja kursus sebanyak 60% markah. Melalui cara ini, pelajar turut dinilai berdasarkan penglibatan dan hasil kerja kursus mereka.
Walaubagaimanapun, dalam PT3, markah diambil seratus peratus daripada ujian bertulis manakala kerja kursus tidak memberikan kesan ke atas markah keseluruhan mereka. Pendekatan ini saya lihat sebagai bertentangan dengan prinsip penilaian berasaskan sekolah itu sendiri.
PBS dan PT3 = beban kerja bertambah
Dalam PBS, guru-guru masih perlu menyimpan data dan menyediakan fail PBS secara offline yang lengkap dengan pencapaian pelajar bagi setiap bab, markah mereka dan evidens. Hal ini hanya menambahkan lebih banyak kerja untuk guru. Apakah kepentingan diadakan fail untuk merekod pencapaian pelajar bagi setiap bab yang diajar?
Pada saya, salah satu sebab adalah untuk memudahkan pihak atasan menilai pengajaran menggunakan data tersebut. Namun dengan jumlah tugasan dan kerja yang sedia ada, penambahan tugasan seperti ini hanya membebankan para guru dan memalingkan masa serta tenaga mereka daripada tugasan sebenar iaitu mengajar.
PT3 adalah langkah pertama
Bagi saya, peperiksaan awam berpusat adalah satu cara yang berkesan untuk menilai pencapaian pelajar kita secara umum. Justeru, pada masa ini ia wajar dikekalkan. Apabila pelajar dihadapkan dengan PMR atau PT3, mereka akan lebih serius terhadap pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Dari satu segi, kelebihan PT3 berbanding PMR terletak pada jenis soalannya yang menguji Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan standard gred yang lebih tinggi. Namun begitu, usaha awal kementerian untuk berpaling ke arah penilaian berasaskan sekolah sebenarnya tidak begitu berjaya ekoran daripada besarnya pengaruh peperiksaan dalam PT3 itu sendiri.
Demi memenuhi hasrat asal PBS seperti yang disarankan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam petikan ucapannya di atas, saya menyarankan agar pihak kementerian mengambil kira cadangan-cadangan berikut sebagai langkah awal dalam merombak pendekatan pendidikan kita ke arah penilaian yang lebih berasaskan sekolah:-
Pecahkan peratusan markah subjek-subjek PT3. Pembahagian peratusan markah contohnya 60% daripada ujian bertulis dan 40% lagi diberikan hak kepada guru untuk mentaksir sama ada berdasarkan penglibatan pelajar di dalam kelas, kerja kursus, purata markah ujian bulanan, tugasan bulanan, eksperimen, pembentangan atau lain-lain cara yang sesuai. Lembaga Peperiksaan boleh memainkan peranan regulasi bagi memastikan keadilan penilaian guru.
Menghapuskan dokumentasi PBS yang rumit dan leceh. Untuk tujuan data, ujian bulanan boleh digunakan sebagai kayu ukur pencapaian dan buku serta kertas latihan pelajar pula sebagai evidens. Tiada keperluan signifikan untuk ditambah beban kerja guru dengan dokumentasi PBS.
Substance over form. Pelaksanaan projek seperti kerja kursus Sejarah dan Geografi boleh dipermudahkan sekiranya hal-hal seperti format pendokumentasian diberikan kelonggaran. Sebaliknya pelajar wajar diberikan ruang bereksperimentasi dari segi penyampaian isi kandungan. Ini akan turut menggalakkan kreativiti dan sikap proaktif dalam pendidikan.
Skema jawapan yang lebih luas. Salah satu kebaikan soalan jenis KBAT adalah para pelajar perlu berfikir dengan sendiri. Namun begitu, antara kekangan yang dihadapi adalah jawapan pelajar perlu mempunyai kaitan dengan fakta di dalam buku teks. Ini adalah satu hal yang membingungkan dan kurang adil bagi pelajar sekiranya dia dapat menjawab mengikut logik namun jawapannya tidak tersenarai dalam skema.
PT3 sebagai tabir reality
Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah berjaya menempuh PT3. Berbeza dengan PMR pada tahun-tahun yang sudah, gred PT3 kali ini telah membuktikan tahap pencapaian anda yang sebenar. Gred ini juga membuktikan bahawa apabila guru diberikan tanggungjawab menilai pelajar, majoriti akan melaksanakannya dengan adil lantas menerangkan perbezaan pencapaian PMR dan PT3.
Mungkin inilah kejayaan sebenar PT3 yang paling harus dikekalkan. Petanda yang menunjukkan bahawa kita tidak lagi mahu bersembunyi di sebalik manipulasi graf dan sugar-coated reports semata-mata untuk melihat yang indah-indah dalam pendidikan kita.
Warga Malaysia sudah bersedia menghadapi realiti pendidikan. Tahniah! (sumber: Faez,Hdaily02/01/15)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan