Salam Perjuangan

01 Januari 2015

ABDULLAH HUSSAIN: SASTERAWAN NEGARA MENINGGAL DUNIA

SASTERWAN Negara, Datuk Abdullah Hussain, 94, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Petaling Jaya, kira-kira jam 9 malam tadi.

Berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ialah isteri, Datin Siti Saroja Basri dan lima anak berusia 32 hingga 47 tahun.

Anak lelaki Allahyarham, Ahmad Patria Abdullah, 47, berkata jenazah bapanya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini sebelum solat Zuhur, hari ini.

"Ayahanda menghembuskan nafas dengan tenang dan kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika dihubungi.

Abdullah yang dilahirkan pada 25 Mac 1920 menerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1996.

Penulis kelahiran Kampung Sungai Limau, Sikh, Yan, Kedah itu menghasilkan lebih 25 novel, tiga kumpulan cerpen, sembilan terjemahan, sebuah autobiografi dan enam biografi.

Anugerah lain diterimanya ialah SEA Write Award dari kerajaan Thailand pada tahun 1981 dan hadiah pertama Sayembara Novel Nasional - mengenang Pak Sako.
Interlok adalah novelnya yang paling popular. (disesuaikan daripada sumber: BH, 01.01.15)

TB ucapkan takziah kepada ahli keluarganya. Sebelum ini adik Allahyarham lbrahim Hussein, pelukis negara tersohor yang telah meninggal dunia beberapa tahun lalu dan disusuli Allahyarham Pendeta Prof.Emeritus lsmail Hussein aktivis budaya dan sastera negara yang telah meninggal dunia juga beberapa bulan lalu.

TB terasa amat sedih lantaran apa yang TB masih ingat; suatu masa dahulu TB pernah berhajat mahu membuat penyelidikan ke atas karya-karyanya  cereka prosanya (cepen dan novel) di peringkat master dan PhD. Tetapi lantaran masalah ketiadaan penyelia, TB telah beralih ke arah penyelidikan di bidang psikologi sastera yang mengkaji aspek-aspek batini dalam puisi-puisi Melayu/Malaysia.TB kagum dengan novel 'lnterlok' yang telah menyerlahkan gagasan Satu Malaysia sewal tahun-tahun 1970-an lalu.Gaya penceritaannya yang lebih ke arah pendekatan journalisme atau gaya kewartawanan membuat pembaca mahu terus membaca. Tidak banyak penulis muda sekarang yang kaya pengalaman seperti Abdullah Husain.

INTERLOK yang TB baca sewaktu sekolah menengah rendah dahulu, sehingga kini amat terkesan.Banyak fakta yang bersumberkan  sejarah dan ilmu dipaparkan.Hanya orang yang tidak berilmu dan rasis sahaja yang mempertikaikan segala sumber ilmu yang benar dan betul. TB harap agar generasi kini dan kemudian akan berani membuat penyelidikan ke atas karya-karya SN Abdullah Hussain (Datuk) yang dikatakan telah melangkaui zaman.

Sesuatu yang TB tidak lupakan suara Bung Dollah yang lembut,lunak dan perlahan tetapi jelas ini dan sering mengemukakan pendapat-pendapat dan hujah (seperti juga Allahyarham SN Arena Wati) dalam seminar-seminar Hari Sastera dan hari Puisi lalu masih terngiang-ngiang di cuping TB. Abdullah sering memberitahu bahawa disiplinnya menulis sehari 10 muka kertas dan sentiasa berpakaian kerja dan kemas walaupun berada di rumah amat memberi makna besar akan erti disiplin dan kerja sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi 'bukit'.Bagi warga Brunei Darussalam yang mana Abdullah pernah bertugas di DBP Brunei pada tahun-tahun 1980-an tentu ada memori indah yang tersimpan.

TB: Salam takziah dan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dalam kalangan orang beriman. Kaji dan selidiklah novel IMAM sebagai amanat agama yang mahu disampaikan Abdullah lewat novel tersebut.Al-Fatihah.

Tiada ulasan: