Salam Perjuangan

11 September 2012

WARGA ASING KE MALAYSIA BANYAK BURUKNYA


Pembangunan yang pesat di negara ini telah membuka peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor. Bidang perindustrian dan perkilangan merupakan sektor yang memerlukan jumlah pekerja yang banyak. Memandangkan rakyat tempatan tidak berminat dalam sektor berkenaan kerana gaji yang ditawarkan sedikit atau pihak berkenaan ingin mengurangkan kos, maka pekerja asing menjadi tumpuan mereka.

Tidak dapat dinafikan pekerja asing telah membantu masyarakat Malaysia dalam melengkapkan visi dan misi pembangunan negara. Namun begitu, kebanjiran pekerja asing juga menyebabkan negara ini mengalami kerugian. Pelbagai masalah timbul disebabkan kebanjiran pekerja asing. Antaranya ialah masalah tempat tinggal. Segelintir majikan menyediakan tempat tinggal kepada pekerjanya, manakala sebahagiannya tidak. Ini menyebabkan penempatan setinggan kian bertambah dan menimbulkan suasana pemandangan yang jelek.
Sekiranya pelancong asing melihat pemandangan yang kotor serta kedaifan dan kemiskinan warga asing yang mendiami kawasan tersebut, pastinya mereka beranggapan bahawa Malaysia sebuah negara miskin dan mengamalkan budaya hidup yang tidak sihat. Situasi seumpama ini mendatangkan kesan yang negatif dari sudut kehadiran pelancong, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata dunia.

Kehadiran pekerja asing di negara kita juga antara penyebab kadar jenayah semakin meningkat. Perkara sebegini pasti mendatangkan kebimbangan dan kerisauan masyarakat kerana keselamatan mereka tergugat. Kes kecurian, pergaduhan dan pembunuhan sering berlaku akhir-akhir ini. Kegiatan pelacuran dan perdagangan manusia juga semakin meningkat.

Selain itu, negara kita menanggung kerugian lebih daripada RM4 bilion melalui aliran keluar mata wang secara besar-besaran oleh pekerja asing yang menghantar wang kepada keluarga mereka. Hal ini menjejaskan imbangan pembayaran negara dan membantutkan perkembangan ekonomi negara. Manakala dari segi putaran modal pula, negara mengalami kerugian kerana kebanyakan wang yang dikeluarkan dalam bentuk gaji tidak digunakan untuk dibelanjakan di negara ini. Pihak hospital juga turut menanggung kerugian kerana ramai antara pekerja asing tidak melunaskan bil tuntutan yang dikenakan ke atas mereka. Sebagai contoh, pada 2006, pihak hospital di seluruh negara mengalami kerugian sebanyak RM6.75 juta bil hospital yang belum dibayar oleh pekerja asing. Manakala pada 2007, jumlahnya semakin meningkat kepada RM7.17 juta.
Kesimpulannya, walaupun kita tidak mampu untuk mengawal jumlah kemasukan pendatang asing, namun tindakan yang tegas dan bijaksana harus diambil oleh pihak kerajaan untuk menangani kebanjiran warga asing ini, agar memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya terus terpelihara. (sumber: MUHAMMAD ZAHID MOHD. ZAIN, PASIR MAS, KELANTAN)

Tiada ulasan: