RAKYAT Malaysia masih lagi dalam mood raya dengan pelbagai sambutan rumah terbuka di rumah dan organisasi masih rancak diraikan di sini sana.
Budaya kunjung mengunjung dan bermaaf-maafan masih lagi menjadi prinsip dan landasan masyarakat Malaysia dalam menyambut hari raya, tetapi kita perlu merenung kembali tradisi ini yang kian hari kian menipis di kalangan masyarakat khususnya golongan orang muda dan antaranya penyebabnya adalah sikap suka menonton TV, bermain dengan Gadget IT (Information Technology) dan menyendiri untuk relaks diri.
Dikatakan hari raya di era globalisasi ini tidak lagi semeriah pada tahun-tahun 60-an, 70-an atau 80-an yang rata-rata masyarakat kita masih bersederhana dalam urusan perayaan tetapi teguh dan kukuh dalam mengeratkan silaturahim melalui kunjung-mengunjung dan bermaaf-maaf antara tua muda, sanak-saudara, sahabat handai dan juga jiran tetangga.
Tetapi suasana hari raya kini semuanya hampir menjadi sepi dan kurang mesra di hati terutamanya dalam budaya kunjung-mengunjung antara rumah ke rumah kerana golongan muda kini lebih gemar beraya depan TV yang menyajikan cerita dari malam hingga ke pagi.
Malah ada remaja yang mengunci diri di bilik dan hanya membiarkan ibu bapa dan saudara-saudara tua sahaja yang melayan tetamu dan beramah-mesra dan apabila kita tanya "mana anak-anak bujang dan dara" maka dijawablah si ibu bapa anak mereka "ada kat atas atau kat bilik, tengok TV dan main komputer."
Berhari raya depan TV dan asyik bergayut dengan telefon bimbit dan komputer (Ipod, Ipad) ini telah menjadi perbualan masyarakat hari ini terutama golongan dewasa dan warga yang prihatin dengan perkembangan semasa ini.
Kita tidak menyalahkan rancangan raya di TV atau alat komputer terkini, tetapi sikap suka beraya depan TV ini perlu diberi perhatian oleh warga Malaysia yang pastinya terlibat dalam pelbagai perayaan untuk dibuat renungan dan penambahbaikan.
Didiklah anak-anak muda dengan adat budaya berhari raya dengan landasan etika yang mengikut kehendak dan keperluan yang bersesuaian agama dan bangsa di mana "Budaya disanjung, budi bahasa dijunjung".(sumber: DR. RUSINAH SIRON, KUALA LUMPUR)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan