Salam Perjuangan

22 September 2012

SEKOLAH MENENGAH DAT0' MOHD SAID, NILAI 1987-88.

TB masih ingat, segar dalam ingatan Sekolah Menengah Dato Mohd Said, Nilai,Negeri Sembilan DK (SMKADMS) adalah antara tempat TB pernah bertugas sebagai guru siswazah pada tahun 1987-1988, selama dua tahun.Tidak diduga lagi disangka kini, pekan koboi usang Pekan Nilai (Nilai lama) yang ketika itu bagaikan menanti 'saat kematian' kini pada hari ini bertukar wajah. Ketika itu harga rumah semi-D sekitar Rm40-50 ribu sahaja. Bayangkan sekarang, tanah hutan, tanah estet yang luas terbentang sekarang telah bertukar menjadi kawasan perumahan yang tumbuh melata, bandar-bandar baru seperti Putra Nilai (Bandar Baru Nilai), Taman Semarak, Dataran Nilai,Nilai Spring, USIM dan banyak lagi.Bahkan jarak perjalanan ke KLIA-LCCT sekitar 10 minit telah melonjakkan harga hartanah di situ yang kian berpotensi.

Takdirnya, setelah berhijrah, merantau, mengembara dan bertugas di kota dan di luar negara; tanpa diduga TB bermastautin dan bersemenda di Nilai pada tahun lalu.Begitulah kehendak Tuhan, manusia merancang, tetapi Allah jua yang Maha Mengetahui. Esok lusa, TB tidak pasti adakah TB akan berhijrah lagi di mayapada ini.

SMKADMS ketika TB bertugas 1987 mengandungi kelas-kelas dari tingkatan peralihan hingga ke
tingkatan enam. Peralihan, satu dan dua di sebelah sesi petang. Yang lain sesi pagi. Selain mengajar Tingkatan Enam, Lima dan Empat, TB adalah Ketua Panitia BM/KM yang mana seramai 27 guru di bawah tanggungjawab TB. Banyak cabaran,pengalaman dan coretan ragam yang TB perolehi ketika itu.Namun usia yang masih amat cergas tidak menghalang tanggungjawab itu.Alangkah beruntung dan bertuahnya guru zaman sekarang yang mengajar Tingkatan Enam telah dikategorikan sebagai kenaikan khas pangkat dan gred gaji.

TB masih ingat juga antara guru yang mengajar tiga kelas Tingkatan Enam (jika tidak silap) ialah TBselaku Ketua Panitia yang mengajar BM/KM, Cikgu Sallehuddin mengajar BM (pencen Pengarah IPGM Kota Bharu),Cikgu Anwar mengajar Geografi (pencen Pengetua di Nilai),Cikgu Mohd Yazid mengajar Kertas Am, Ekonomi (pencen GPK di Seremban),Cikgu Robiah mengajar BM/KM (pencen KJ di IPGM Seremban), Cikgu Kamaruzzaman mengajar B.I (AlFatihah,Allahyarham), Cikgu Aishah mengajar Geografi (tidak tahu di mana sekarang), Ustaz Razali mengajar Sejarah lslam (pencen Guru Pakar di Kajang) dan ada beberapa nama lagi.

Antara nama pelajar TB di Tingkatan Enam yang TB masih ingat ialah Hilmi Samad (dahulu pernah berkhidmat sebagai wartawan NST/BH) dan Siti Rohaidah  Ujang yang TB tidak tahu ke manalah gerangan.Begitu juga pelajar-pelajar lain.Banyak kenangan dan keletah mereka yang terpahat dalam memori.
TB juga dapat tahu Amelina (suatu waktu dikenali penyanyi ala dangdut Malaysia) ketika itu belajar menengah rendah sesi  petang .Susulan tahun berikutnya sesi 1988/89 TB telah berjaya diterima mendaftar sebagai pelajar pascasiswazah peringkat sarjana (M.A)di Pusat Pengajian siswazah di bawah seliaan  Fakulti Kemanusiaan dan Kemasyarakatan UKM,Bangi, SDE.

TB berhijrah menetap di Selangor Darul Ehsan dan segalanya merubah dan mewarnai rona kehidupan. Ya, masa telah jauh meninggal pergi.,..namun penawar dan terapi yang sentiasa positif akan segar bagai ulam-ulam pagi yang nyaman buat digamit kenangan! (TB).


Tiada ulasan: