Salam Perjuangan

26 September 2012

IMIGRESEN OH IMIGRESEN !

EMPAT  pegawai Imigresen termasuk seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda M361,400 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam selepas didapati bersalah memperoleh rasuah daripada pemandu feri dan orang perantara membabitkan nilai keseluruhan RM86,850 pada 2010.
    
Kesemua tertuduh yang ketika kejadian bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang didakwa memperoleh wang suapan itu yang dimasukkan ke dalam akaun mereka atau individu lain sebagai upah bagi memudahkan
urusan kemasukan penumpang warga Indonesia ke negara ini tanpa perlu mematuhi syarat ditetapkan.
    
Hakim Asmadi Hussin menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM361,400 ke atas Md Shahrizal Che Dan, 27, selepas dia didapati bersalah terhadap 31 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM51,760.
    
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di empat cawangan Public Bank Pelabuhan Klang, bandar Klang, Taman Sentosa dan Taman Bukit Tinggi, kesemuanya di Klang, antara 20 April dan 16 Jun 2010.
    
Md Shahrizal juga boleh dipenjarakan 34 tahun dan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.

Mohamad Izuwansyah Samsuri, 26, pula dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM261,950 selepas didapati bersalah terhadap 25 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM31,690.
    
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Petronas, Jalan Pandangan, Klang antara 21 April hingga 17 Jun 2010.
    
Mohamad Izuwansyah juga boleh dipenjara 25 tahun dan enam bulan lagi sekiranya dia gagal membayar denda.
    
Selain itu, Nor Shahazlina Sulaiman, 26, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM14,500 atau setahun penjara sekiranya gagal membayar denda selepas didapati bersalah memperoleh suapan berjumlah RM2,900 pada 29 Ogos lepas, di Maybank Cawangan Pandamaran, Klang, antara 10 malam hingga 12 tengah malam, 29 Ogos 2010.
    
Sementara Mohammad Huzzail Ahmad, 32, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda selepas didapati bersalah memperoleh suapan RM500 di depan sebuah rumah di Persiaran Seraya, Taman Palm Grove, Klang, pada 25 September 2010. 
    
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
    
Hakim Asmadi membenarkan permohonan keempat-empat tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi tetapi menolak permohonan mereka untuk menangguhkan pembayaran denda. 

Beliau turut memerintahkan mereka melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada Ahad pertama setiap bulan dan menaikkan jumlah jaminan setiap tertuduh kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.
    
Terdahulu, peguam Aminuddin Mohd Ramli yang mewakili Nor Shahazlina memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas anak guamnya atas alasan wanita itu merupakan pesalah pertama dan tidak pernah dikenakan tindakan disiplin sepanjang bertugas di Jabatan Imigresen.
    
Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Mohammad Huzzail dan Mohamad Izuwansyah juga memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas kedua-dua anak guamnya atas alasan mereka telah insaf atas perbuatan masing-masing.
    
"Saya bersama Mohammad Huzzail selama setahun sejak kes dijalankan dan saya lihat dia telah menjadi manusia baik kerana kes ini memberi pengajaran cukup hebat padanya. Sementara Mohamad Izuwansyah mempunyai seorang anak berusia setahun tujuh bulan dan isterinya kini sedang mengandung anak kedua hampir tujuh bulan," katanya.
    
Peguam Mohamad Fozi Md Zain yang mewakili Md Shahrizal berkata walaupun anak guamnya menghadapi paling banyak pertuduhan tidak ada sedikitpun wang rasuah digunakan dan didapati padanya.
    
Beliau juga memohon Md Shahrizal tidak dijatuhi hukuman penjara kerana hukuman denda yang dikenakan ke atasnya sudah amat berat.
    
Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Nik Haslinie Hashim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dan setimpal ke atas keempat-empat tertuduh atas alasan kesalahan mereka amat serius kerana mencemarkan maruah negara dan imej serta integriti penjawat awam di negara ini.
    
"Sebagai anggota pegawai Imigresen yang bertugas di pintu masuk negara mereka sepatutnya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah serta menunjukkan nilai-nilai murni, berbudi pekerti dan kejujuran.
    
"Bila undang-undang dan peraturan Jabatan Imigresen boleh dibeli dengan perbuatan rasuah bukan sahaja maruah Malaysia dan penjawat awam tercalar malah ia juga membawa masalah jenayah lain seperti kebanjiran warga asing yang
menimbulkan masalah sosial seperti melakukan jenayah rompakan dan dadah," katanya yang hadir bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Sinti.(sumber:Bernama, 25/9/12)

- Bernama

Tiada ulasan: