Saudara-saudariku,
Andalah penentu segalanya.
Ramai yang sudahpun memutuskan undi mereka akan kepada siapa. Hanya segelintir lagi yang masih belum berbuat demikian, dan di tangan andalah terletak masa depan kita semua.
Dalam mempertimbangkan pilihan kita, izinkan saya bandingkan situasi yang kita hadapi dengan menggunakan perumpamaan pasaraya Tesco dan Giant.
Apabila hanya ada Tesco di kawasan kita, adakah Tesco mempunyai motivasi untuk rendahkan harga mereka atau memberi perkhidmatan yang baik?
Sekiranya kita tiada pilihan dan selalu terpaksa pergi ke Tesco, pemilik Tesco boleh bertindak sesuka hati, dari segi penentuan harga barang dan cara pelanggan dilayan.
Pelanggan yang tiada pilihan adalah pelanggan yang tiada kuasa.
Semakin lama Tesco sahaja yang dibenarkan menjual barang di kawasan kita, semakin buruklah layanan mereka terhadap kita, para pelanggan. Akan tetapi, sekiranya Giant membuka pintu di kawasan yang sama, situasi akan jauh berbeza.
Pada peringkat awal, mungkin pelanggan segan untuk mencuba benda yang baru. Tetapi, sekiranya semakin ramai pelanggan pergi ke Giant, Tesco pasti akan terasa.
Sekarang, Tesco tidak boleh lagi bertindak sesuka hati, kerana pelanggan yang tidak puas hati dengan senangnya boleh sahaja pergi ke Giant untuk mendapatkan barang keperluan mereka.
Selagi ada lebih daripada satu pilihan, kedua-dua Tesco dan Giant akan selalu bersaing antara sendiri untuk merendahkan harga, melayan pelanggan dengan lebih baik, memberi tawaran serta ganjaran yang lebih menarik, dan sebagainya.
Mana-mana pihak yang gagal berbuat sedemikian sudah tentu akan kehilangan semua pelanggan mereka.
Dalam sejarah Malaysia, kita hanya pernah ada "Tesco". Walaupun mungkin baik pada awalnya, jiwanya sudah semakin tercemar akibat terlalu lama menikmati monopoli kuasa.
Pada saat bersejarah ini, bakal muncullah pesaing yang baru.
Sekiranya Tesco dipilih dan kita menolak permohonan Giant untuk membuka kedai mereka, apa yang akan Tesco faham adalah: kita boleh buat sesuka hati, rakyat akan tetap pilih kita.
Sekiranya Giant dipilih, apa yang Giant akan faham adalah: rakyat telah beri satu peluang pertama ini kepada kami. Jika kami gagal, sudah pasti mereka tidak akan pilih kami lagi.
Rakyat yang tiada pilihan adalah rakyat yang tiada kuasa.
Giant ini bukanlah sempurna, dan pemimpinnya bukanlah semua alim dan berintegriti.
Walaubagaimanapun, mereka telah membuktikan diri dalam pengurusan beberapa negeri yang telah mula nampak ada pembaharuan dan pembaikan. Semakin banyak diberi balik kepada rakyat untuk memenangi hati dan minda, dan persaingan antara Tesco dan Giant semakin sengit. Hasilnya, rakyat yang untung.
Siapa pun yang kita pilih, kita mesti selalu mengingatkan Giant mahupun Tesco: “Kuasa di tangan rakyat - siapa yang kami angkat, kami boleh turunkan kembali, sepertimana yang kami turunkan kali ini. Sempurnakanlah amanah dan peluang yang diberikan, atau sediakanlah diri untuk dipecat lagi.”
Demi anak cucu kita, kita mesti sedia dan berani mengambil kesempatan ini untuk mematangkan demokrasi Malaysia, dan mengembalikan negara kita ke tangan rakyat. (Sumber :Harakahdaily 1/5/2013).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan