Perjalanan hidupnya panjang dan berliku. Beliau tersisih dari kehidupan dan rakan-rakan. Selepas zaman kemuncaknya dalam dunia sastera beliau kini menjalani kehidupan hari tua yang sepi. Kudrat untuk berkarya semakin susut ditambah pula ingatannya semakin berkurangan.
Demikianlah kenyataan hidup seorang sasterawan Haji Ali Haji Ahmad atau Nora yang pernah mencatatkan nama di persada dunia sastera negara ini.
Pertemuan saya dengan Pak Nora kali ini amat berbeza dengan pertemuan dulu terutama ketika beliau masih bertugas di Utusan Melayu. Kini Pak Nora menetap di Taman Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor. Pak Nora kini berusia 80 tahun, uzur dan menghidapi alzheimer, perlahan-lahan hilang daya ingatannya. Namun kudrat kemahuannya masih ceria dan bersemangat bercerita tentang sastera , dunia penulisan dan kewartawanan.
Pak Nora lahir di Kampung Sungai Mati, Muar, Johor pada 25 Jun 1927. Mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Beliau pernah berkhidmat dalam pasukan polis (1951-1959) tetapi kerana minat mendalam dalam bidang penulisan, beliau diberhentikan.
Kemudian berpindah ke Kuala Lumpur menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu pada 1969 hingga 1982. Di samping menulis cerpen, beliau aktif menghasilkan drama (pentas, radio dan tv), novel dan esei. Antara novelnya ialah Puntung Hanyut (1965), Gelodak (1968), Gelandangan (1975) dan Kemarau di Hujung Daun (1977),lktikaf (1994) dan banyak lagi.
Pada tahun 1976, beliau memenangi hadiah ketiga mengarang novel anjuran GAPENA dengan judul Seribu Musim Kering. Cerpen-cerpennya terkumpul dalam kumpulan cerpen perseorangan, Di Kelopak Senja (1973) dan lain-lain lagi. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan ExxonMobil dan Hadiah Karyawan Sastera Johor.
Hari ini Pak Nora meneruskan kehidupan yang yang di penghujung. Sejak enam tahun lalu isterinya, Maznah juga terlantar akibat angin ahmar. Dahulu isterinyalah yang membuat kuih-muih tradisional untuk Pak Nora menghantarnya ke gerai-gerai sekitar Ampang Jaya, Selangor. Kini keadaan sudah banyak merubah hidupnya. Kedua-dua mereka terlantar tidak berdaya dan mengharapkan bantuan orang untuk menguruskan hidup.
Apakah dalam mengejar kebendaan masyarakat kita kini, tiada pihak yang menyanjungi insan yang menghasilkan banyak khazanah bangsanya? Saya berharap kita tidak hanya mengenangkan seniman kreatif setelah ketiadaannya. Semoga karya-karya beliau dapat dihayati oleh generasi muda dengan beberapa inisiatif yang boleh difikirkan bersama untuk dihadirkan kembali kepada khalayak.
Saya sebenarnya telah lama berhajat berkunjung ziarah ke rumah Pak Nora. Saya pernah ke rumah beliau di Ampang Jaya dan bermalam di situ pada tahun 1976 dahulu sewaktu melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.
Malah saya pernah berkunjung ke meja penyunting ruangan Sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia/Utusan Zaman ketika Pak Nora bertugas di sana. Pak Nora pada ketika itu berkhidmat sebagai wartawan dan penyunting akhbar Utusan Malaysia/Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin , Kuala Lumpur.
Semarak obor semangat dalam bidang penulisan ketika itu dibajai hasil kunjungan ke pejabat Utusan Melayu sekaligus mendekati Pak Nora yang menjadi kebanggaan kampung halaman kelahiran saya di Johor
Kesan kunjungan itu karya-karya saya yang menggunakan pelbagai nama pena yang memaparkan pelbagai kisah kasih sayang dan masyarakat mendapat tempat di akhbarUtusan Malaysia dalam kolum Secebis Kisah yang dikelolakan Pak Nora.
Kali terakhir saya menemui Pak Nora pada tahun 1987 di majlis baca puisi di UPM Serdang, Selangor. Selepas itu kami berpisah dan tidak kesempatan bertemu. Tetapi baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke sebuah kedai buku dan menemui sebuah autobiografi kisah hidup Pak Nora yang disusun oleh Zakaria Sungip daripada Penerbitan Galeri llmu.
Pak Nora selepas bersara daripada Utusan Melayu lebih dikenali sebagai "Sasterawan Agama" yang terus menerus mengalirkan tintanya untuk dakwah dan tarbiah. Khalayak bukan hanya membaca fakta, cerita dan kenangannya tetapi turut juga merasakan detak dan nilai rasa, limpahan sungai pengalaman kehidupannya dan sama-sama merasai bahang keyakinan menerusi himpunan tulisan Pak Nora yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah di media-media dakwah tanah air.
Saya berjaya menghubungi Zakaria Sungip di Galeri llmu dan daripada beliau akhirnya penulis dapat berhubung dengan anak Pak Nora dan menjelaskan keadaan beliau.(sumber: "Pak Nora Tabah Meredah Sengsara : oleh Dr Rajiee Hadi :Mingguan Malaysia,27/1/11)
Catatan: Sasterawan Nora kembali ke rahmatullah pada 7 April 2012 lalu pada usia 82 tahun. Sebagai anak jati Sungai Mati; adakah masyarakat setempat menyedarinya? Adalah wajar pihak yang berkaitan mengenangkan buat sesuatu kepada anak bangsa ini misalnya pihak berkuasa tempatan boleh menamakan sebatang jalan di Sungai Mati atau dalam daerah Tangkak dengan nama pena atau nama penuh beliau.
Penulis dan Sasterawan bukanlah mudah dilahirkan.Mereka adalah anugerah alam dengan bakat batini dan deria rasa kurnia Allah SWT.
Kini saya, Dr Rajiee Hadi anak jati Serom 2 Hilir akan meneruskan legasi dan akan memupuksuburkan sastera bangsa selagi hayat dikandung badan.
Catatan: Sasterawan Nora kembali ke rahmatullah pada 7 April 2012 lalu pada usia 82 tahun. Sebagai anak jati Sungai Mati; adakah masyarakat setempat menyedarinya? Adalah wajar pihak yang berkaitan mengenangkan buat sesuatu kepada anak bangsa ini misalnya pihak berkuasa tempatan boleh menamakan sebatang jalan di Sungai Mati atau dalam daerah Tangkak dengan nama pena atau nama penuh beliau.
Penulis dan Sasterawan bukanlah mudah dilahirkan.Mereka adalah anugerah alam dengan bakat batini dan deria rasa kurnia Allah SWT.
Kini saya, Dr Rajiee Hadi anak jati Serom 2 Hilir akan meneruskan legasi dan akan memupuksuburkan sastera bangsa selagi hayat dikandung badan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan