Salam Perjuangan

16 Mei 2013

SELAMAT HARI GURU 2013 : 1 ASPIRASI 1 AGENDA

Pada hari ini (pelancaran perasmian kebangsaan 16 Mei) sambutan prarasmi Hari Guru peringkat kebangsaan telah pun bermula. Pada kali ini sambutan diadakan di Stadium Tertutup Nilai dan Seremban Negeri Sembilan. Pada tahun 2012 lalu pula  di Kuala Kangsar, Bandar DiRaja bagi negeri Perak Darul Ridhuan.Pada kebiasaannya pada hari prapelancaran diadakan pertandingan pidato atau perbahasan Bahasa Melayu dan Bahasa lnggeris antara guru-guru. Di samping itu pameran dan gerai-gerai yang berkaitan telah mula dididirikan. Khabarnya di Kuala Kangsar dahulu   meriah kerana banyak pameran akan diadakan.Diharapkan di Seremban pun begitu jua.

Setiap kali sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan tetap menjadi nostalgia. Bukan setakat ketika zaman pelajar era 1970-an TB menyambutnya di sekolah tetapi kenangan manis pada tahun 1976 TB menyambutnya perasmian Hari Guru Kebangsaan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Lagu 'Guru Malaysia' yang berkumandang dan bersemangat pada saat itu  terus membibit azam untuk mendidik anak bangsa terus mengalir ke dalam tubuh TB hingga ke hari ini.

Tahun berganti tahun, selama 17 tahun TB ditugaskan mengajar di sekolah menengah; baik harian mahupun di Sekolah Berasrama Penuh. TB bertugas di Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. TB hadapi kerenah para pelajar kelas-kelas peralihan, menengah rendah dan menengah atas iaitu termasuk tingkatan lima dan enam. banyak suka duka kenangan pahit manis yang dilalui; terutama sekolah-sekolah yang terkenal 'brutal' di kota raya Kuala Lumpur.

Selepas 17 tahun, TB diberi peluang mendidik dan melatih bakal-bakal guru di maktab-maktab perguruan di Malaysia (kini IPGM). Semasa di Bahagian Pendidikan Guru KPM kenangan yang tidak dilupakan ialah turut bersama-sama menggubal soalan-soalan M-Test untuk kemasukan bakal guru pelatih Diploma Pendidikan KPLl ambilan 2003. Kerana kepentingan ilmu, masa-masa yang berlalu TB isikan dengan membuat penyelidikan ijazah lanjutan hingga ke peringkat PhD. Alhamdulillah.

Sambutan Hari Guru Kebangsaan mengingatkan TB yang pernah dilantik menjadi AJK lnduk Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan dari tahun 1996 hingga 2004 iaitu ketika Ketua Pengarah Pendidikan (kini 'Pelajaran) Tan Sri Dr Wan Zahid Nordin hingga KPP KPM Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah. Ketika itu TB bersama-sama teman seperti Siva Subramaniam (Datuk),Alimuddin Mohd Dom (Tan Sri), Haji Muhammad Mustapha,Haji Karim Abdullah,  Chong, Naga dan beberapa nama lagi (maaf, TB terlupa) sering 'memanaskan' mesyuarat Jawatan Kuasa bagi turut membantu AJK Pelaksana dapat melaksanakan program sambutan berjalan licin. Tanpa diduga, mulai 2008  kerana berpindah tugas, TB telah menyambut sambutan Hari Guru di Negara Brunei Darussalam yang disambut pada bulan September. Lain padang, lain belalang. Ah, terlalu banyak mahu diceritakan!

Selamat Hari Guru. Sekali Cikgu Tetap Cikgu Selama-lamanya! (TB)

Tiada ulasan: