Salam Perjuangan

27 Julai 2012

OLIMPIK LONDON

Hari pertama Sukan Olimpik London semalam dicemari dengan insiden memalukan apabila pasukan bola sepak wanita Korea Utara enggan beraksi selepas penganjur tersalah memaparkan bendera negara mereka sebelum perlawanan.

Britain, yang berbelanja besar untuk temasya kali ini memulakan saingan bola sepak dengan kemenangan 1-0 ke atas New Zealand dalam saingan wanita yang bermula awal sebelum majlis pembukaan secara rasmi Sukan Olimpik, London hari ini.

Amerika Syarikat menewaskan Perancis 4-2 dan Jepun bangkit untuk menang 2-1 ke atas Kanada.
Bagaimanapun perlawanan melibatkan Korea Utara menentang Colombia terganggu selepas skrin gergasi Stadium Glasgow di Hampden Park memaparkan bendera Korea Selatan hingga mengundang kemarahan di kalangan pemain.

Perlawanan yang dijadual berlangsung pada pukul 7.45 malam hanya bermula pada 8.50 malam selepas pihak penganjur memohon maaf terhadap kesilapan memalukan itu kepada pasukan Korea Utara.
“Hari ini (semalam) ketika perlawanan bola sepak wanita di Hampden Park, bendera Korea Selatan ditayangkan di skrin besar dan bukannya bendera Korea Utara.

“Secara jelas ia adalah kesilapan, kami akan meminta maaf kepada pasukan serta Majlis Olimpik Kebangsaan dan kami akan pastikan insiden sebegini tidak akan berulang kembali," kata kenyataan penganjur Sukan Olimpik London 2012.

Insiden tersebut sudah tentu mengundang mimpi ngeri pada temasya yang berlangsung selama 19 hari terutama apabila kedua negara Korea Selatan dan Utara masih terlibat dalam peperangan.
“Ya, sudah tentu kami marah kerana pemain kami diperkenalkan dengan bendera Korea Selatan sesuatu yang akan memberi kesan besar kepada kami.

“Walaupun menang perlawanan namun ia tidak dapat mengganti apa yang telah berlaku. Ini adalah sesuatu yang berbeza dan kami harap perkara sebegini tidak akan berlaku pada perlawanan akan datang," kata jurulatih Korea Utara, Sin Ui-Gun.

Namun bukan itu sahaja yang berlaku. Pada Rabu lalu pasukan Britain menghantar emel yang merujuk pasukan bola sepak wanita itu sebagai ‘England’.

Selain itu pihak penganjur menawarkan untuk memulangkan bayaran balik harga tiket yang dibeli peminat sukan terjun yang sukar untuk melihat disebabkan bentuk binaan Pusat Akuatik. Sumber:UM,27/7/12)

Tiada ulasan: