Salam Perjuangan

18 Julai 2012

HARI KEPUTERAAN SULTAN BRUNEI ke-66 TAHUN...DAULAT TUAN PATIK!

Ribuan rakyat dan penduduk berkumpul di Padang Bandaran di sini sejak dari awal pagi lagi 16 Julai lalu untuk sama-sama memanjatkan doa kesyukuran dan menjunjung kasih ke hadapan Majlis Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan yang menyambut hari keputeraan ke-66 tahun pada 15 Julai 2012 dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, bagi memeriahkan dan menyaksikan dengan lebih dekat lagi acara Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait.

Suasana penuh gilang-gemilang, berwarna-warni dan ceria terpancar pada wajah semua yang hadir bagaikan lautan masyarakat berbilang bangsa bersatu bagi sama-sama menyembahkan rasa kasih pada Raja dan Pemimpin yang disanjung, dihormati serta dikasihi.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Helipad Jalan Maulana telah dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Dimuliakan Pehin Dato Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman.

Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran DiGadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat Diraja telah diiringi dengan pukulan hadrah oleh murid-murid dari Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan SOAS Kuala Belait. Lagu Kebangsaan "Allah Peliharakan Sultan" telah memulakan acara pada pagi ini, kemudiannya diikuti dengan laungan "Daulat Kebawah Duli Tuan Patik" dipimpin oleh penghulu dan ketua kampung Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Belait.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sembah alu-aluan oleh Pegawai Daerah Belait Awang Haji Haris bin Othman, selaku wakil Rakyat dan Penduduk Daerah Belait, yang antara lain menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas kurnia perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat bercemar duli ke Daerah Belait.

"Hamba Kebawah Duli Tuan Patik dengan penuh kesyukuran serta dengan semarak cinta dan kasih hamba rakyat dan penduduk daerah ini, sukacita menyembahkan ucapan selamat ulang tahun Hari Keputeraan Baginda dengan iringan doa semoga Baginda serta kerabat Diraja sekalian dilanjutkan usia, sihat wal'afiat, sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan Allah Subhanahu Wataala, kekal karar memerintah turun temurun di atas takhta singgahsana Kerajaan dan Negara Brunei Darussalam dalam keadaan aman dami lagi sejahtera serta mendapat rahmat dan berkat daripada Allah Subhanahu Wataala."

Beliau mewakili seluruh rakyat dan penduduk di daerah ini menyembahkan dan membaharui ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan berikrar untuk terus menjunjung Titah Baginda sempena Hari Keputeraan Baginda pada 15 Julai kelmarin.

"Bersukut hari dan bulan Syaaban yang penuh keberkatan dan kerahmatan ini, abis hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik bertekad untuk terus komited berusaha serta berdoa untuk tidak lalai bagi memenuhi Titah Ulung Kebawah Duli Tuan Patik semasa pemasyhuran Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam iaitu supaya Negara Brunei akan selama-lamanya kekal menjadi Negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran ugama Islam menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah," sembah beliau.

Baginda Sultan berserta kerabat Diraja seterusnya dijunjung bagi menyaksikan Persembahan Khas (Sketsa) dengan Tema "Menyusur Tamadun Ilmu" bagi mendokong tema kebangsaan "Wawasan Raja, Wawasan Rakyat, Wawasan Negara."

Acara kemuncak bagi majlis tersebut ialah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat Diraja dijunjung bagi menerima junjung ziarah daripada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa, peserta Persembahan Khas serta rakyat dan penduduk Daerah Belait.

Mengakhiri majlis gilang gemilang ialah keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat Diraja ke Dewan Santap untuk majlis santap dan menerima pesambah dan kemudiannya berangkat meninggalkan majlis.(sumber  disesuaikan daripada Media Permata, 18/07/2012)

Tiada ulasan: