Salam Perjuangan

24 Mac 2012

TOKOH WARTAWAN : MAZLAN NORDIN (AL-FATIHAH)

MAZLAN menerima pingat Johan Setia Mahkota daripada Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara pada 1975. Peribadi, komitmen abdikan diri dalam dunia kewartawanan tidak pernah terhenti PERGINYA seorang tokoh wartawan tulen yang sukar dicari ganti. Peribadi dan komitmen Tan Sri Mazlan Nordin dalam mengabdikan diri sebagai wartawan tidak dapat dibuat perbandingan. Jika mahu dicari seorang pejuang yang menggunakan penanya sebagai senjata, selayaknya beliau diangkat sebagai tonggaknya. Semalam, dalam usia 86 tahun, Mazlan pergi menyahut panggilan Ilahi, meninggalkan lima orang cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan serta empat orang cucu. Meninggalkan juga sejarah hebatnya selama membabitkan diri dalam dunia kewartawanan. Tokoh wartawan yang dilahirkan pada 14 Oktober 1925 di Tanjung Malim, Perak itu menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tepat jam 4.15 petang selepas dimasukkan ke situ akibat terjatuh di bilik air di rumahnya. Pembabitan Mazlan dalam dunia kewartawanan adalah sebahagian sejarah kewartawanan tanah air. Jika dihitung pengalaman dan sumbangannya dalam arena ini, sukar untuk sesiapa bermimpi untuk menjadi seperti beliau. Dalam keadaan kesihatan yang sudah kurang sempurna, beliau masih berupaya hadir setiap hari ke Balai Berita NSTP, di Jalan Riong, bagi menyiapkan tugasan meskipun ia tidak dapat disiapkan kerana Allah lebih menyayanginya. Di penghujung usianya, beliau masih menjalankan tanggungjawab menulis mengenai seorang lagi tokoh wartawan yang dianggap sebagai ‘sifunya’, Tan Sri A Samad Ismail (Pak Samad). Saban hari, kakitangan di tingkat empat, Balai Berita berselisih dengan insan cekal ini yang masih mengerah tenaganya menyumbang kepada dunia penulisan. Masih terbayang-bayang bagaimana beliau dengan terompahnya berjalan perlahan ke pintu kaca biliknya untuk menunaikan solat apabila tiba waktunya di tingkat empat dan tidak pula pernah lekang dengan senyuman. Sesiapa saja yang berselisih dengannya akan berasa begitu selesa kerana beliau tidak langsung menonjolkan darjat seperti seorang penulis hebat. Lagaknya merendah diri dan penuh berhemah. Itulah peribadi Mazlan. Justeru, pemergiannya nyata satu kehilangan besar kepada dunia kewartawanan kerana masih terasa seperti baru semalam membaca penulisannya. Masih terasa yang penanya begitu ligat lagi menari mencoret cerita. Tidak langsung terasa yang menulis itu seorang insan yang sudah terlalu lanjut usia kerana Mazlan tidak pernah kelihatan seusia itu dalam penulisannya. Isinya sentiasa sarat dengan pengetahuan terkini dan semasa. Menyorot latar belakang hidupnya, Mazlan memulakan kerjaya sebagai pembantu di Kedai Buku Yahaya Ariff & Sons di Kuala Kangsar. Dari sini minat beliau dalam bidang kewartawanan mulai tumbuh, lalu beliau menulis surat kepada Utusan Melayu di Singapura. Beliau diterima bekerja sebagai penterjemah di Utusan Melayu pada Jun 1950. Pada ketika itu, Ketua Pengarang Utusan Melayu ialah Tan Sri A Samad Ismail, orang yang bertanggungjawab membuka selok-belok menulis berita dengan betul. Tidak lama selepas beliau bekerja, berlaku peristiwa Natrah, wanita keturunan Belanda yang dibela oleh keluarga Islam dan dituntut semula oleh keluarga kandungnya. Beliau telah diberi tanggungjawab untuk mewawancara Natrah yang pada ketika itu telah dibawa ke gereja dan dikatakan kembali kepada Kristian. Berita ini menjadi berita utama muka depan Utusan Melayu ketika itu. Selain bekerja di Utusan Melayu, Mazlan memanfaatkan kemahiran dwibahasanya iaitu bahasa Melayu dan Inggeris dengan menjadi pemberita sambilan, iaitu menulis semula berita ke dalam bahasa Inggeris untuk Singapore Free Press (kemudian dikenali sebagai Malay Mail). Namun, beliau hanya sempat bekerja selama empat bulan di Utusan Melayu kerana mendapat tawaran sebagai wartawan penyiaran di Voice of American di New York. Pada 1953, beliau kembali ke tanah air dan menyertai semula Utusan Melayu, sebelum bekerja pula dengan Berita Harian sebagai pengarang lima tahun kemudian. Kandungan Berita Harian yang pada ketika itu hanya terjemahan daripada New Straits Times mula berubah. Beliau yang menjadi penterjemah dan pemberita sekali lagi bergandingan dengan Pak Samad. Pada Februari 1973 hingga 1982, beliau menyertai kembali Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah Urusan pada 1983 hingga 1987. Beliau menjadi Perunding Jabatan Pengarang di New Straits Times Press (M) Bhd pada 2000 hingga September 2001. Beliau juga menulis dalam ruangan tetap di beberapa buah akhbar seperti Mingguan Malaysia, The Sun, New Straits Times dan majalah Asiaweek dan pernah menjadi Penulis Tamu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selain itu, beliau juga terbabit aktif dalam pelbagai pertubuhan dan kelab. Antaranya beliau pernah menjadi Pengerusi Malaysian Press Institute (1989-2003), Ahli Lembaga World Enterprise Institute (2000), Pengerusi Press Foundation of Asia (1999), Pengerusi Afro-Asian People’s Solidarity Organisation Malaysia dan sebagainya. Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, pelbagai anugerah dan pingat telah dikurniakan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, antaranya pingat Ahli Mangku Negara (1966), Johan Setia Mahkota (1975), Johan Mangku Negara (1980), Setia Diraja Kedah (1982), Setia Mahkota Pahang (1982), Dato’ Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Dato’ (1993) dan Panglima Setia Mahkota (2005). Selain itu, Mazlan turut dianugerahkan ASEAN Award (1987), Anugerah Wartawan Cemerlang Negara oleh Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (1996), Tokoh Wartawan Negara oleh Malaysian Press Institute (2001) dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (2005). Di penghujung usianya, Mazlan diberi peranan menyiapkan sebuah autobiografi mengenai Pak Samad berdasarkan pengalamannya yang begitu rapat dengan Allahyarham sepanjang pembabitan dalam bidang kewartawanan. Kredibilitinya untuk menulis mengenai Samad adalah kerana tidak ada lagi wartawan sezamannya yang masih hidup dan mahu terus menulis. Malah, kesungguhannya untuk menunjukkan betapa beliau bukan sekadar menulis berdasarkan pengalaman peribadi wajar dijadikan contoh kerana beliau sentiasa berhubung dengan rakan wartawan veteran untuk mendapatkan bahan serta fakta sahih mengenai ‘sifunya’ itu. Nyata, pemergian Mazlan begitu meninggalkan kesan. Sehingga artikel ini ditulis, kelihatan seorang demi seorang berhenti dan memandang sayu ke bilik kaca yang selama hampir setahun ini menjadi ruang tarian penanya. Meskipun tidak begitu lama, bunyi terompahnya ketika mahu mengerjakan solat pasti akan terus dirindui. – Al Fatihah BIODATA: Allahyarham Tan Sri Mazlan Nordin • Tarikh / Tempat Lahir: 14 Oktober 1925 di Tanjung Malim, Perak • Anak: Lima orang. Empat lelaki dan seorang perempuan • Memulakan kerjaya sebagai pembantu di Kedai Buku Yahaya Ariff & Sons di Kuala Kangsar. • Diterima bekerja sebagai penterjemah di Utusan Melayu pada Jun 1950. • Pemberita sambilan, untuk Singapore Free Press • Wartawan penyiaran di Voice of American di New York. Menyertai semula Utusan Melayu pada 1953. • Pada 1958 bertugas dengan Berita Harian sebagai pengarang • Ketua Pengarang Utusan Melayu pada Februari 1973 hingga 1982 dan dilantik Pengarah Urusan pada 1983 hingga 1987. • Perunding Jabatan Pengarang NSTP 2000 hingga September 2001. (sumber:BH, 23/03/12)

Tiada ulasan: