Salam Perjuangan

15 Mac 2012

NURUL NADIRAH @DIRANG- AL-FATIHAH

PEMBUNUHAN kejam adik Nurul Nadirah Abdullah atau nama manjanya, Dirang berusia lima tahun dengan membakarnya hidup-hidup sehingga rentung di kawasan ladang kelapa sawit di Masai, Johor, sungguh menyayat hati.

Kejadian ini benar-benar menyentuhkan perasaan sesiapa juga kerana kita dapat membayangkan betapa kejamnya si pembunuh kerana tergamak membakar kanak-kanak yang belum mengenal erti kehidupan dunia sebenarnya.

Sebelum ini ada kanak-kanak yang hilang dibunuh dengan kejam, dirogol dan didera. Ada juga yang teraniaya menjadi peminta sedekah jalanan oleh sindiket yang tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi terhadap anak-anak yatim piatu.

Ada pula cerita kanak-kanak diculik dan dicacatkan anggotanya supaya mudah mendapat simpati untuk dijadikan peminta sedekah.

Kejam sekali apa yang diperlakukan oleh manusia yang berhati binatang ini. Sepatutnya mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak atau melakukan kekejaman yang melampau terhadap kanak-kanak dihukum semaksimum yang boleh, seperti dikenakan hukuman penjara maksimum dan sebat dengan rotan.
Akta Perlindungan Kanak-Kanak hendaklah diperketatkan lagi dan jika perlu dipinda agar kanak-kanak terjaga haknya dan terpelihara daripada segala kekejaman.

Sudah sampai masanya kanak-kanak yang dipergunakan oleh sindiket untuk dijadikan hamba atau sebagai peminta sedekah di tangga-tangga masjid dan di tangga-tangga jambatan serta di lorong-lorong atau di tempat-tempat awam, diselamatkan serta-merta.

Dalam keadaan apa sekalipun tiada maaf bagi sesiapapun yang menggunakan kanak-kanak untuk dijadikan sebagai alat bagi mendapatkan keuntungan serta kepentingan diri sendiri.

Pada masa yang sama, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekolah-sekolah termasuk tadika dan taman kanak-kanak hendaklah dilengkapi lebih banyak CCTV di setiap ceruk dan kawasan yang dianggap sesuai untuk memerangkap penjenayah yang tidak diundang.

Kawasan taman perumahan dan rumah persendirian juga seboleh-bolehnya dilengkapi dengan kamera CCTV bagi membantu dan menghindarkan berlakunya jenayah.

Kita tidak mahu lagi mendengar pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak seperti yang berlaku kepada Nurul Nadirah dan kanak-kanak lain yang senasib dengannya sebelum ini.

Al-Fatihah untuk Nurul Nadirah. Rakyat Malaysia simpati dan turut sedih dengan apa yang berlaku.(sumber : UM, 15/03/12)

Tiada ulasan: