“KEYAKINAN rakyat semakin bertambah. Sudah rasa-rasa bunyi (Pilihan Raya Umum) sudah dekat,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau membayangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir berikutan keyakinan rakyat yang semakin meningkat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Menurut Najib, calon boleh menang akan menjadi asas bagi memastikan kejayaan BN kali ini dengan menggunakan pengalaman ketika pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, di sini.
“Kedua-dua pilihan raya kecil itu boleh dianggap sebagai titik peralihan kepada kejayaan BN selepas PRU-12 pada 2008,” katanya pada majlis penyerahan rumah mampu milik berkualiti di Taman Intan Duyung, di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G Palanivel dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Pada majlis itu, Perdana Menteri secara simbolik menyerahkan 70 unit rumah mampu milik berharga RM42,000 yang lebih murah berbanding harga asal sebanyak RM52,000.
Najib turut menempelak pembangkang yang berjanji jika berkuasa bukan hanya akan menghapuskan bayaran tol lebuh raya, malah bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selain menurunkan harga minyak.
“Bagaimanapun, pembangkang hanya bercakap mengenai cara untuk berbelanja, tapi soal hasil langsung tidak disebut,” katanya.
Menurut beliau, rakyat perlu melihat keadaan yang menyelubungi pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila ramai orang yang sebelum ini bersamanya meninggalkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
“Mereka termasuk bekas pengasas PKR, Dr Chandra Muzaffar yang pernah menyatakan jika Anwar menjadi Perdana Menteri, ia adalah malapetaka dahsyat.
“Orang lain pula termasuk bekas setiausaha politik, Ezam Mohd Noor; peguam Datuk Zulkifli Nordin dan rakannya, Datuk S Nallakaruppan,” katanya.
Semalam, Najib turut menghadiri majlis jamuan makan tengah hari di Dataran Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson dan majlis mesra rakyat serta pelancaran Kempen Kesedaran Sayangi Warga Emas di padang awam Taman Desa Rhu, Seremban pada sebelah petang.(sumber:MA, 26/03/12)
TB: Janganlah ketara 'tabur wang' di sana sini...Walaupun UMNO tidak banyak hilang kerusi pada PRU 12 lalu, janganlah abaikan perasaan dan hati nurani orang Melayu..nampaknya MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti BN bukan Melayu amat beruntung. Walaupun kalah 'menunggeng' namun masih beruntung dapat 'makan kiri kanan'. Janganlah ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Sudah banyak kali lagu ini diulang tayang. TB dan ramai yang di luar itu pun sudah menyampah seribu kali menyampah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan