Sekalipun sokongan orang Cina kepada pakatan pembangkang sekarang ini begitu tinggi tetapi pastinya tidak ramai di antara mereka yang akan menyertai tunjuk perasaan yang dijangka akan diadakan pada 9 Januari depan untuk kempen pembebasan Anwar Ibrahim.
Sebaliknya kita dapat jangkakan seperti demonstrasi yang diadakan sebelum ini, termasuk Bersih, hanya segelintir bukan Melayu berada di barisan depan. Orang Melayulah yang akan lebih banyak menyertainya sedangkan bukan Melayu menjadi penonton.
Orang Cina pada keseluruhannya akan mengelakkan diri daripada terlibat dengan sesuatu tindakan yang boleh mencetuskan sengketa perkauman. Mereka lebih suka kepada pengekalan keadaan aman dan tenteram untuk membolehkan mereka meneruskan penghidupan seharian sebagai peniaga kecil atau besar dan lain-lain kerja sendiri.
Orang Melayu mudah membuang masa untuk tunjuk perasaan kerana kebanyakan mereka makan gaji, sama ada sebagai kakitangan kerajaan, swasta, penganggur, bergantung kepada ibu bapa atau hidup atas biasiswa kerajaan. Meninggalkan kerja atau ponteng tidak menjejaskan pencarian hidup.
Hal ini berlainan dibandingkan dengan tunjuk perasaan anjuran Barisan Sosialis Rakyat Malaya (Ikatan Setiakawasan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya) pada awal 60-an kerana menentang kapitalisme dan imperialisme. Di barisan depan pada keseluruhnya adalah anak anak muda Cina yang percaya dan komited kepada ideologi komunis dan sosialis.
Tunjuk perasaan ini kerap kali berlaku di Jalan Tuanku Abdul Rahman berhampiran Jalan Chow Kit. Tetapi pada ketika itu kebanyakan orang Cina secara diam menentang tunjuk perasaan ini kerana berada dalam iklim ekonomi yang baik hasil dari dasar terbuka kerajaan Perikatan.
Maka itu timbul pertanyaan mengapakah tidak ramai orang Cina yang menyertai tunjuk perasaan sedangkan ramai di antara mereka sekarang berpendirian anti kerajaan dan mahu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13?
Mereka menjadi semakin nekad kerana telah dapat merasakan betapa kuasa yang sedikitpun sangat berkesan ekoran Tsunami 2008. Mereka telah berupaya menyebabkan kerajaan BN banyak bertolak ansur malah tidak berani bertegas dalam soal-soal dasar yang melibatkan Dasar Pelajaran, Agama dan lain lain perkara sensitif.
Mereka melihat Anwar sebagai wira. Bagi mereka soal moral bukan suatu soal yang penting dan besar berbanding dengan masyarakat Cina Singapura yang telah terbentuk dengan nilai moral yang baik di bawah kepimpinan yang berani dan tegas.
Apakah faedah yang akan didapati oleh orang Cina dengan mereka berkecuali daripada tunjuk perasaan anti-kerajaan?
Apa yang diharapkan oleh mereka ialah pergaduhan antara sesama orang Melayu di dalam sesuatu tunjuk perasaan yang diadakan, iaitu antara Melayu yang pro-Anwar Ibrahim dan yang anti Anwar. Atau antara yang prokerajaan dan anti kerajaan.
Jika ini berlaku maka tentunya imej demokrasi Malaysia akan tercemar. Dengan secara spontan akan timbul anggapan dunia tentang wujudnya ketidakadilan sosial, ekonomi dan politik di Malaysia seperti yang telah pun diuar-uarkan sekian lama oleh Anwar Ibrahim di luar negara.
Dunia luar yang tidak banyak mengetahui keadaan Malaysia yang sebenarnya akan sekali gus menyamakan kekacauan yang timbul kelak sama dengan kebangkitan rakyat di Mesir, Libya, Syria dan lain-lainnya. Dunia lebih yakin kerana orang Melayu atau peribumi sendiri yang telah berperang sesama sendiri. Ini bukan lagi soal ketidakadilan kepada bukan Melayu tetapi juga peribumi sendiri.
Maka itu, adalah lebih bijak bagi masyarakat Melayu yang setia dan yakin kepada kerajaan agar tidak memberikan reaksi terhadap provokasi yang cuba dilakukan oleh pihak pakatan pembangkang yang didalangi Anwar Ibrahim. Tindak balas inilah yang diharapkan oleh mereka.
Kita sewajarnya menyerahkan kepada kebijaksanaan polis bagi menangani tunjuk perasaan yang bakal diadakan secara tegas dan berani berasaskan kepada undang-undang. Janganlah pula rakyat yang setia merancang tunjuk perasaan sebagai tindakan balas.
Tindakan NGO dan juga orang awam yang banyak membuat laporan polis membantah tunjuk perasaan 901 itu adalah suatu langkah terhormat, bijak dan dan sewajarnya disokong oleh semua pihak yang mahukan negara ini terus menjunjung undang-undang dan bukannya menjadikan isu salah laku seseorang sebagai isu negara. Sebarang tunjuk perasaan lain pada hari yang sama untuk menyokong kerajaan akan menyulitkan lagi kerja polis. Api tidak mesti dilawan dengan api.
Apa yang harus dilakukan oleh seluruh rakyat yang setia dan sayangkan negara ini ialah memberikan kepercayaan dan sokongan terus menerus kepada pihak keselamatan dalam menjalankan tugas mereka dan juga akibat yang akan dihadapi daripada tindakan mereka, seperti fitnah, pembohongan, saman dan sebagainya.
Harus diingat, Anwar amat memerlukan kejayaan besar bagi kempen menyokongnya kali ini kerana sepanjang perbicaraannya dijalankan, terutama sekali selepas penyebaran video lucah yang dikatakan melibatkan dirinya, maka sokongan kepadanya telah terhakis berbanding dengan kehadiran penyokong ketika perbicaraannya mula diadakan. Jika tidak ramai yang hadir memberikan simpati pada hari penentuan hukuman terhadapnya maka pasti akan memalukannya dan dia akan terpaksa membilang hari-hari terakhirnya.
Pihak keselamatan mudah menghadapi pengganas komunis pada masa darurat dahulu kerana kebanyakan mereka terdiri daripada orang Cina dan hanya segelintir orang Melayu serta mengasingkan diri di hutan rimba. Tetapi dalam menghadapi masalah peribadi Anwar, pihak keselamatan menghadapi pengganas yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan lebih menyukarkan mereka tidak terpisah ke dalam hutan tetapi berada di dalam bandar. Mereka menjadi pengganas bandar (urban terrorist).
Maka itu adalah lebih bijak bagi orang Melayu yang terpelajar dan berperadaban menjauhkan diri daripada demonstrasi jalanan walaupun atas maksud yang baik. Sebarang tindak balas akan menyekutukan diri dengan keganasan.
Biarlah hanya suatu pihak sahaja yang terlihat ganas. Asingkan mereka dengan mengecualikan diri kita supaya pihak polis mudah mengenali Melayu pengganas dan yang bukan pengganas. -ZAINUDDIN MAIDIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan