Salam Perjuangan

03 Januari 2012

DATUK SALLEH MAJID: al-FATIHAH


TOKOH ekonomi tersohor negara yang juga bekas Presiden Bursa Malaysia, Datuk Salleh Majid, 62, meninggal dunia hari ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit kanser usus dan sakit buah pinggang.

Allahyarham yang dimasukkan ke HKL sejak empat hari lalu meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi hari ini dan difahamkan kesihatan beliau terjejas teruk sejak April tahun lalu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumah ibu beliau, Halijah Mohd Jamil di Kampung Pasir, Hulu Klang untuk dimandikan sebelum dikebumikan pada pukul 5.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan di Jalan Hulu Kelang, Ampang.

Menurut adik Allahyarham, Ibrahim Abdul Majid, 60, Allahyarham menghidap sakit buah pinggang sejak 1990-an lagi dan pada awal tahun lalu beliau didapati menghidap kanser usus.
"Oleh kerana tekanan darahnya yang tidak stabil, penyakit Allahyarham tidak dapat diubati dan dia meninggal dunia pada pukul 10.20 pagi ini.

"Semasa menghembuskan nafas terakhir, kesemua ahli keluarga serta anak-anaknya turut berada di sisinya di hospital," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Ibrahim, Allahyarham meninggalkan tiga orang balu dan enam orang anak yang berusia antara sembilan hingga 36 tahun.

Katanya, Allahyarham sememangnya seorang yang cukup mengambil berat mengenai hal keluarga dan mudah menolong orang serta berjaya membuktikan kejayaan anak Melayu dalam bidang ekonomi.
Allahyarham yang merupakan graduan perintis daripada Institut Teknologi MARA pernah menyandang jawatan Presiden Bursa Malaysia dari 1984 hingga 2003 dan beliau juga adalah pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak.
Allahyarham yang aktif dalam bidang penulisan ekonomi mempunyai ruangan tetap dalam akhbar Utusan Malaysia dikenali Saranan Salleh.
Tulisan terakhir Allahyarham bertajuk Dilema Mengimbangi Kewangan Awam disiarkan pada 10 Disember lalu.
Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa
(Perkasa), Datuk Ibrahim Ali; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar dan bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Azman Ujang.(sumber:UM,03/01/12)

Tiada ulasan: