Salam Perjuangan

09 Januari 2012

DATUK HASAN ALI DIPECAT


Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat hari ini membuat keputusan memecat Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali daripada parti berkuat kuasa serta-merta.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awangr) berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan semua pandangan daripada ahli jawatankuasa pada mesyuarat parti berkenaan .
“Setelah berbincang, kami sebulat suara membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan tindakan-tindakan beliau yang menyalahi dan merugikan kepentingan Pas seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kontroversi membabitkan Hasan bermula apabila beliau bersetuju dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan terhadap sebuah gereja di Damansara tahun lalu yang disyaki memurtadkan beberapa orang Islam.

Ekoran tindakan tersebut, Hasan menerima kecaman daripada pihak-pihak tertentu, khususnya pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor sekali lagi menjadi tumpuan apabila mempertikaikan perubahan perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Sejak itu, beliau sering menjadi sasaran pemimpin tertinggi parti yang menuduh bahawa Hasan diperalatkan UMNO.
Beliau bagaimanapun tidak keseorangan dalam isu tersebut apabila disokong oleh bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Kelantangan Hasan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan agama Islam telah mengundang rasa tidak senang DAP serta beberapa pemimpin tertinggi PKR sehingga ada yang menganggapnya sebagai ‘duri dalam daging’ kepada pakatan pembangkang.

Terbaru, Hasan sekali lagi menjadi perhatian apabila tidak menyokong perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 esok dan menyarankan orang ramai khususnya mahasiswa tidak menyertainya.

Kenyataan tersebut mengundang kemarahan PKR selaku penganjur perhimpunan sehingga Timbalan Presidennya, Azmin Ali menggesa Pas mengambil tindakan terhadap Hasan.(sumber:UM,07/01/12)

Tiada ulasan: