Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.
“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.
Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.( baca penuh di UM 24/09/2010).
TIUBBOCOR: TB nak bertanya…berapa lamakah kerajaan BN (dahulu Perikatan) berkuasa selepas 53 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan?Kerajaan pimpinan siapakah yang memacu negara dengan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan sekian banyak Rancangan Malaysia untuk pembangunan dan infrasturuktur rakyat luar Bandar yang khusus majoriti didiami masyarakat pribumi?Apakah kerajaan sudah tidak berminat membuka tanah-tanah rancangan baru untuk memajukan bidang komoditi pertanian bagi memberi peluang berterusan kepada bumiputera? Tidakkah kerana dengan wujudnya FELDA maka telah merubah nasib bumiputera dan anak-anak menjadi golongan berpelajaran ? Jika ya, maka mengapa tidak diteruskan usaha pembukaan baru tanah-tanah rancangan? Maka adakah mahu dibiarkan anak-anak generasi baru yang tidak berupaya maju dalam bidang pendidikan dibiarkan sebagai penganggur yang mana kelak mereka akan terjebak ke kancah gejala-gejala sosial yang lebih buruk? Apakah tidak terfikir para pemimpin hari ini bahawa kuasa boleh hilang bukan hanya melalui pilihan raya sahaja?
Bahasa jiwa bangsa, slogan hikmat yang telah kita dengari sejak zaman berzaman. Namun pernahkah para pemimpin hari ini berfikir jauh di sisi di sudut lain, adakah kita ada kuasa jika bahasa Melayu sendiri diperlekehkan ketika orang Melayu sendiri berkuasa…dan apakah akan terjadi jika orang bukan Melayu yang berkuasa di puncak utama? Begitu juga dengan perkara-perkara yang berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan…berkaitan hak-hak istimewa Melayu/bumiputera. Apalah gunanya ketika orang Melayu berkuasa tetapi pemimpin Melayu sendiri yang memperlekehkan perkara itu khususnya pemberian biasiswa kepada anak-anak Melayu dan sekolah-sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah agama rakyat yang sepenuhnya menjayakan dasar pendidikan kebangsaan? Apalah gunanya sekiranya dasar-dasar kerajaan yang memerintah selama ini tidak konsisten,tidak bertegas semata-mata demi survival politik masing-masing.
Justeru, janganlah dimomok-momokkan Melayu hilang kuasa, jika semasa kerajaan yang memerintahlah yang makin bertambahnya ayam di kepuk mati kelaparan, itik di kolam mati kehausan. Sebagai contoh antara ribuan contoh di Malaysia….sesiapa yang pernah melalui Jalan Bakri, Jalan Khalidi, Jalan Abdul Rahman, Jalan Tengku Bendahara di Bandar Muar dalam negeri Johor dan sepanjang Jalan Cheras, Jalan Sungai Chua,Jalan Semenyih di Bandar Kajang dalam negeri Selangor, tentu banyak perbezaannya antara tahun 1980-an,1990-an dan sekarang 2010! Apakah Melayu masih ada kuasa? Sebenarnya TB sukalah memberitahu pembaca bahawa KUASA itu bukan sahaja terletak kepada politik dan kepemimpinannya sahaja tetapi terletak juga kepada minda, taraf pendidikan dan profesionalisme, sikap, budaya dan segala aset hartanah. Marilah kita renung-renungkan dengan kewarasan akal dengan melihat dan berfikir sekeliling kita perkara yang realiti dan nyata..apakah Melayu itu berkuasa?