Salam Perjuangan

12 Ogos 2017

CINA MALAYSIA DAHULU & SEKARANG

SEBELUM saya menulis catatan ini, ada baiknya saya memberitahu para pembaca budiman mengenai perbezaan frasa kata CHINA dan CINA. 'China 'merujuk bagi sebuah negara iaitu 'Republik Rakyat China' sebuah negara luas dan besar dalam benua Asia yang berideologikan komunisime sebagai paksi doktrin pemerintahannya. China bagi merujuk nama sebuah negara dan juga penduduk/rakyatnya adalah China. Manakalah kata ejaan 'Cina' bagi merujuk rakyat Malaysia keturunan dari negara China yang telah menjadi warganegara Malaysia. Justeru ada bezanya antara frasa nama "Orang China" dan " Orang Cina".

Ada untungnya saya dibesarkan dari tiga lokasi zaman yang mana dapat saya melihat pelbagai latar ragam tingkah manusia. Baik di kampung, di estet, di bandar dan di kota raya; asam garam dan warna-warni kehidupan banyak mengajar saya erti kegetiran hidup, kesepakatan komuniti, keresahan nurani, kebejatan jiwa dan pelbagai nilai rasa.

Zaman pasca bayi saya  (sebelum Tanah Melayu merdeka & sebelum tertubuhnya Malaysia) sekitar awal 1960-an dan  dibesarkan di estet konglomerat lnggeris mengingatkan saya nama-nama komuniti orang Cina di estet seperti Cheng Chong, Boo Peng, Ah Kau, Ah Chow, Ah Meng, Pak Kong, Ah Ngee, Ah Ngau, Ah Seng, Koo Pek, Boh Geh, Lee Sang, Khoo Loh, Wah Hee dan ramai lagi. Rata-ratanya mereka bertutur dalam dialek Hokkien.Dan ada juga segelintir menggunakan dialek Kantonese.  Bagi anak-anak mereka yang bersekolah di SJKC di sebuah estet lain yang berjiran (12 km), bolehlah mereka bertutur bahasa Mandarin sesama mereka.

Dan hanya segelintir sahaja yang dapat bersekolah di peringkat sekolah menengah aliran kebangsaan dan lnggeris yang jauhnya lebih 30km. Ketika itu bas sekolah milik syarikat Nort West Johor Sdn.Bhd bersedia berpangkalan di estet tempat saya dibesarkan. Saya masih ingat drebar basnya ialah Pak Ludin (abang Ludin, arwah) suami kepada Kak Sebah (arwah) dan kelendannya Atan yang bernikah dengan Ah Swee (kahwin lari?) dengan anak Ah Seng di estet tersebut.

Kisah orang Cina dalam estet yang mabuk arak dan cakap meracau-racau apabila ada 'majlis-majlis makan besar' sempena majlis perkahwinan dan Tahun Baharu Cina, suka makan tenggiling dan binatang-binatang ekostik , mengandung sebelum pendaftaran perkahwinan, lari lintang-pukang diserbu polis ketika sedang berjudi dan menjual nombor ekor haram.

Apatah lagi, Ah Moi cantik yang berskirt pendek, adik kontraktor Wah Hee yang "cun", keluarga waris si mati yang berpakaian guni, berpakaian warna hitam dan biru bagi menandakan perkabungan, kanak-kanak yang "mencuri" limau dan pisang di tokong Cina atas bukit kecil dan banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang boleh dibuat banding beza (jika ada daya, insya-Allah saya akan menulis novel 'avant garde' sebagaimana novel 'kontroversi' INTERLOK karya SN Datuk Abdullah Hussain yang berdasarkan komuniti masyarakat majmuk ini).

Sepasang suami isteri Cina  tukang cuci parit dan tandas teres yang datang dari Tanah Besar China ( Koo Pek dan isterinya) tidak tahu berbahasa Melayu sentiasa menjadi bahan usikan kanak-kanak. Mereka akan memarahi dan berleter panjang dalam bahasa Hokkien  tanpa mempedulikan kanak-kanak tersebut memahami atau tidak ( berkepala botak berjambul di depan seperti putera Dinasti Mancu, China) untuk disuap bubur nasi tetap menjadi hiburan tatkala petang.

Cheng Chong yang mabuk bercakap merapu-rapu dalam pelbagai bahasa dan dialek yang sukar diketahui sejurus pulang menjamu "kenduri kahwin"di barek Boo Geh sentiasa diekori kanak-kanak. Lucunya kanak-kanak tersebut bertempiaran lari dikejar Cheng Chong yang ketika itu berusia sekitar 30-an. Boo Geh  seorang wanita/ah soo (isteri Loh Han, kurang mahir berbahasa Melayu, datang dari China) yang sedang bermain  judi pakau di bawah pokok nangka  bersebelahan bilik kolam mandi bertempiaran cabut lari diserbu polis dengan wang ringgit bertaburan di atas jalan.

Walaupun pemain-pemain judi dalam kalangan orang Cina di estet (ada juga seorang dua orang Melayu yang "tumpang semangkuk") dibawa ke dalam black maria polis namun tidak beberapa jam kemudian  dibebaskan dengan senyuman terukir di bibir masing-masing. Kejadian yang saya saksikan pada zaman kanak-kanak itu sehingga kini menjadi misteri terbungkam jauh dalam sanubari saya.

Sungguhpun berbagai-bagai kerenah orang-orang Cina di estet (termasuk orang Melayu dan sukuan Jawa, lndia/Tamil) namun kehidupan mereka yang berkongsi kesusahan dan keperitan hidup menjadi buruh di estet menyebabkan mereka saling hormat menghormati dan kerap ada elemen kebersamaan dalam melahirkan rasa tidak puas hati kepada pihak majikan yang ada waktunya bersikap lintah darat. Jika "kepala atau mandur/tandil" yang bukan berbangsa Melayu; mereka yang bukan berbangsa Melayu turut melahirkan rasa tidak puas kepada rakan-rakan senasib yang berbangsa Melayu.


Mereka juga bersedia bernaung di bawah Trade Union (Kesatuan Pekerja-Pekerja Ladang Tanah Melayu/Malaysia) walaupun ada khabarnya mereka dieksploitasi oleh para pemimpin kesatuan sekerja tersebut. Dalam erti kata yang lain, semasa kanak-kanak saya sering melihat dan mendengar persoalan pemerasan, ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai skandal sebuah kehidupan masyarakat yang terpencil dan terpinggir.

BERSAMBUNG

1 ulasan:

Unknown berkata...

Interesting dan tak sabar menunggu sambungannya