Salam Perjuangan

17 Mei 2012

GURU CERAH MENYEMBUHKAN BARAH


SERAMAI 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.

‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran; Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selaras dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Beliau menarik perhatian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41 hanya memerlukan lapan tahun untuk kenaikan ke DG44, lapan tahun (DG44 ke DG48), enam tahun (DG48 ke DG52) manakala hanya tiga tahun (DG52 ke DG54).

Menurutnya, bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma pula, pemegang gred DGA29 hanya memerlukan lapan tahun untuk ke DGA32, lapan tahun (DGA32 ke DGA34) dan lima tahun (DGA34 ke DGA38).
Muhyiddin berkata, lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, 390 guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, 676 (DG52), 3,938 (DG48) dan 19,805 (DG44).

‘‘Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 dinaikkan ke gred DGA38 manakala 2,639 (DGA34) dan 9,519 (DGA32)," katanya.

Selain itu, kata beliau, proses kenaikan pangkat pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan penolong kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Setakat ini, kata beliau, 854 pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 manakala 4,270 penolong kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48.

Kenaikan pangkat itu kata Timbalan Perdana Menteri, melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 serta yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.

‘‘Bagi penyandang jawatan penolong kanan gred DG48 ke gred DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan penolong kanan gred DG44 ke gred DG48 iaitu seramai 2,655 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah memenuhi syarat ditetapkan," katanya.

Menurut Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM934 juta bagi urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan berpersonaliti unggul.(sumber:UM, 17/05/12)

TB: Walaupun generasi TB selama hampir 20 tahun memperkatakan perkara-perkara yang menyebabkan ramai di kalangan warga guru kecewa, hampa dan bagai tidak punya masa hadapan yang cerah namun itulah erti perjuangan yang mana kini dinikmati oleg generasi pelapis dan teman-teman seangkatan yang masih 'bertahan' di hujung sore. Ahamdulillah dan syabas serta sama-sama kita sedekahkan AL FATIHAH buat para pejuang yang sentiasa tidak jemu berusaha mahu memartabatkan profesion  keguruan suatu waktu dahulu dalam kesatuan-kesatuan perguruan yang telah kembali ke rahmatullah.

15 Mei 2012

PRU 13 SEPTEMBER?

BEKASc Perdana Menteri Tun Dr Mahathir meramalkan tempoh sesuai untuk mengadakan pilihan raya ialah pada pertengahan September – selepas masyarakat beragama Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menetapkan tarikh pilihan raya itu, katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Petanda yang diperhatikannya kini memihak kepada BN, namun terpulang kepada keyakinan Najib sama ada perdana menteri itu akan mencapai objektifnya, katanya.

Objektif Najib kini adalah meraih semula majoriti dua pertiga BN, namun cabaran itu tidaklah begitu sukar seperti dalam pilihan raya 2008, katanya.

Malah, sekiranya pilihan raya diadakan pada Jun sekalipun, beliau percaya BN akan berpeluang cerah.

Beliau juga mendakwa pembangkang tidak yakin dengan peluang untuk memenangi Putrajaya melalui pilihan raya.

Oleh sebab itulah pembangkang cuba mencetuskan kebangkitan rakyat seperti di Dataran Tahrir semasa perhimpunan BERSIH 3.0 lalu, katanya.(sumber:MK,15/05/2012)

14 Mei 2012

PEGUAM MELAYU: KE MANA PERGINYA PEMBELA MELAYU:

KE mana perginya peguam-peguam Melayu yang kita lahirkan sejak Merdeka? Ke mana perginya mereka apabila Majlis Peguam yang tidak sudah-sudah mempersendakan perundangan atas niat jahat meruntuhkan moral dan akhlak Islam di Malaysia?

Apabila satu kenyataan oleh Majlis Peguam yang mahukan kebebasan seksualiti ditegakkan di Malaysia, adakah ini dianggap sebagai hak asasi kepada semua rakyat Malaysia?

Majlis Peguam juga pernah menganjurkan forum untuk membincangkan isu agama Islam secara terbuka. Dan banyak lagi kenyataan-kenyataan oleh Pengerusi Majlis Peguam yang penuh dengan kontroversi dan menghina agama Islam.

Hari ini Melayu dihimpit atas dasar 'Hak Asasi'. Majlis Peguam menggunakan perkataan hak asasi demi untuk menjatuhkan Islam di Malaysia. Pelbagai tuntutan yang mereka buat sejak 10 tahun ini jelas menjurus kepada meruntuhkan nilai murni orang Islam dan masyarakat Malaysia.(sumber:UM, 14/05/12)

12 Mei 2012

AMBIGA OH AMBIGA


RAKYAT akan menilai sikap sebenar pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak pernah mahu memikirkan ruang privasi orang lain.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia (GNM), Mohd. Jurit Ramli berkata, dalam hal ini rakyat perlu membuka mata seluas-luasnya terhadap individu yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian kepada para peniaga pada 28 April lalu.
Katanya, banyak pihak lain turut terjejas ekoran penganjuran demonstrasi jalanan itu antaranya pemandu teksi yang sukar mendapatkan penumpang kerana kesesakan lalu lintas.

"Apabila ada yang berhimpun di hadapan rumahnya, tahu pula dia (Ambiga) erti privasi setelah berlakunya pencerobohan privasi terhadap keluarga dan jiran-jirannya.

"Ketika penganjuran Bersih 1.0 hingga Bersih 3.0 pernah dia terfikir mengenai perasaan semua pihak yang terlibat pada ketika itu termasuklah polis," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini hari ini.

Sementara itu enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga agar menghormati undang-undang negara dan bertanggungjawab terhadap anggota polis yang menjadi mangsa keganasan peserta perhimpunan itu pada 28 April lalu.


Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Selangor, Kuan Chee Heng berkata, tindakan peserta perhimpunan melanggar perintah mahkamah dengan merempuh dan merusuh di kawasan Dataran Merdeka dilihat tidak menghormati sistem kehakiman negara.


"Malah, tindakan tersebut bercanggah dengan kenyataan Ambiga yang hanya mahu meminta maaf serta menjelaskan kerugian peniaga-peniaga yang terjejas sekiranya diarah mahkamah untuk berbuat demikian.
"Kenyataan Ambiga itu memakan dirinya sendiri. Kenapa tunggu hakim arahkan baru nak minta maaf. Tak kan jika anak buat salah nak tunggu hakim suruh baru nak minta maaf," katanya.(sumber:UM,12/05/12)

ARSHAD AYUB & ADIBAH AMIN : TAHNIAH!


TOKOH  pendidik negara, Tan Sri Arshad Ayub dan tokoh penulisan negara, Khalidah Adibah Amin menerima pengiktirafan tertinggi apabila dipilih sebagai Tokoh Melayu Terbilang pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Kedua-duanya menerima anugerah tersebut yang berupa pingat dan sijil penghargaan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Arshad yang dilahirkan pada 15 November 1928 di Muar, Johor dipilih atas sumbangannya dalam membangunkan sistem pendidikan negara.

Beliau juga merupakan salah seorang individu yang bertanggungjawab mempelopori pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tokoh pendidik itu yang ditemui selepas majlis sambutan berkenaan menyatakan rasa terharu dan bangga terhadap anugerah yang diterima.(sumber:UM., 12/05/12)

10 Mei 2012

PRU KE-13 : JOHOR SASARAN UTAMA?.


PENGARAH  Eksekutif, Dewan Perdagangan Amerika-Malaysia (Amcham), Fui K. Soong menjangkakan negeri Johor akan menjadi pusat kepada gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Beliau juga mendakwa, gelombang itu juga mungkin akan merebak ke Melaka sehingga ke Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pada PRU-12 sebelum ini, pusat perubahan itu dilihat bermula di Pulau Pinang dan membawa kepada negeri sekitarnya iaitu Kedah dan Selangor.

Menurut Fui K. Soong (gambar), pandangannya itu berasaskan kepada faktor Johor yang mempunyai banyak kawasan campuran Selepas Selangor dengan kaum Cina adalah majoriti.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajiannya di wacana politik dan persepsi semasa pengundi menjelang PRU-13 di Universiti Malaya hari ini.

Turut menjadi panel membincangkan tajuk 'Siapa selepas PRU ke-13, BN atau PR' itu adalah bloger politik Mohd Sayuti Omar dan Editor Sinar Harian Online Dr G.Manimaran.

Menurut Fui K. Soong, Johor juga antara negeri 'paling panas' pada PRU-13 nanti dan boleh dilihat dengan pertambahan pengundi baru paling tinggi iaitu seramai 385,591 orang.

Selain Johor, negeri yang juga boleh dianggap 'panas' adalah Selangor dengan pertambahan pengundi baru seramai 373,748, Perak (249,405), Sabah (149,940) dan Sarawak (164,547).

Sementara itu Mohd Sayuti juga turut memberi pendapat serupa.

Menurut penulis profilik itu, beliau dapat melihat gelombang perubahan rakyat yang luar biasa berbanding pilihan raya sebelum ini khususnya di Johor.

Ianya berasaskan sambutan memberangsangkan oleh rakyat terhadap program-program Pakatan Rakyat di negeri itu.

"Sebagai penulis blog dan wartawan, saya ikut jelajah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim ke Endau sampai lah ke Sembrong.

"Saya dapat lihat kehadiran menakjubkan," katanya.

Selepas PRU 2008 lalu, banyak pihak melihat Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah di negeri-negeri Selatan tanah air khususnya Johor dan Negeri Sembilan yang dahulu terkenal dengan negeri 'kubu kuat' Umno BN.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS, juga telah mengesahkan akan bertanding di negeri kelahirannya di Johor pada PRU-13 ini.

09 Mei 2012

SULTAN BRUNEI UCAP TAHNIAH KEPADA PRESIDEN RUSIA



 KEBAWAH  Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Vladimir Putin di atas pelantikannya sebagai Presiden Persekutuan Rusia.

Dalam perutusan tersebut, Baginda gembira di atas talian persahabatan di antara kedua-dua buah negara dan rakyat dan Baginda berharap akan dapat bekerja rapat dengan beliau bagi meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama serantau terutama melalui Sidang kemuncak Asia Timur dan Forum Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pada mengakhiri perutusan tersebut, Baginda berharap Tuan Yang Terutama Vladimir Putin akan beroleh kejayaan dalam penggalnya yang baru sebagai Presiden dan dalam persiapan bagi Sidang Kemuncak APEC pada bulan September tahun ini.(sumber:MP, 09/05/12)

08 Mei 2012

BAHASA MELAYU : FAHAMILAH RUMI DAN JAWI TULISAN BAHASA KEBANGSAAN DAN BAHASA RASMI KITA


“HIDUP  segan mati tak mahu” itulah pepatah Melayu yang sesuai untuk menggambarkan nasib tulisan jawi ketika ini. Seperti kita maklum tulisan jawi telah bertapak di alam Melayu lebih kurang sekitar 700 ratus tahun dahulu berdasarkan kepada penemuan batu bersurat tahun 1303 di Terengganu.

Malah, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa tulisan jawi telah digunakan seawal kedatangan Islam di alam Melayu lagi. Tidak dinafikan tulisan jawi telah mencapai zaman kegemilangan pada abad ke 18, hinggakan penjajah Inggeris yang menjajah di Tanah Melayu ketika itu perlu belajar menulis dan membaca di dalam tulisan jawi. Hal ini dapat dibuktikan melalui koleksi warkah Francis Light yang tersimpan di Muzium Perpustakaan British yang bertarikh antara tahun 1786 hinggakan 1794, perjanjian Sir Stamford Raffles dengan pihak Sultan Johor, Perjanjian Pengkor 1874, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957.

Ditambahkan lagi, melalui tulisan jawi, hasil kesusasteraan  Melayu turut berkembang dengan pesatnya, apabila banyak hikayat lama dikarang dan disebar luaskan melalui tulisan jawi, seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Banjar, Hikayat Raja - Raja Pasai, Hikayat Iskandar Zulkarnia. Biar pun hikayat - hikayat ini tidak diketahui siapa pengarangnya. Namun, hasil sastera ini terus berkembang melalui tulisan jawi.

Tidak dapat dinafikan bahawa tulisan jawi telah menjadi wadah kepada masyarakat Melayu dalam mengembangkan ilmu pengetahuan mencakupi bidang kesenian, kesusasteraan mahu pun aspek kebahasaan. Hal ini terbukti apabila akhbar-akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Utusan Zaman menggunakan tulisan jawi ketika awal penerbitannya. Malah tidak ketinggalan juga majalah Mastika yang turut menggunakan tulisan jawi dalam penerbitannya dan mendapat tempat istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu ketika itu.

Malah, tulisan jawi tidak dapat dinafikan merupakan aspek penting dalam mengekalkan identiti budaya Melayu. Hal ini,  dikuatkan lagi apabila tulisan jawi dikaitkan dengan  kedatangan  Islam dan budaya Al-Quran ke Tanah Melayu. Ditambahkan lagi, menurut catatan pengembara Eropah seperti Magellan, Tom Pires dan Van Ronkel, menggambarkan bahasa Melayu dan tulisan jawi diiktiraf sebagai bahasa penghubung utama pada zaman Kesultanan Islam di Nusantara.

Tetapi pada hari ini kegemilangan tulisan jawi umpama melalui zon gerhana yang cukup menyedihkan. Adakah masyarakat kita tidak cukup berbangga dengan zaman kegemilangan tulisan jawi ketika dahulu yang sentiasa digunakan sebagai jabatan keilmuan.

Kemerosotan peranan tulisan jawi di dalam dunia keilmuan dapat dikesan semenjak ketibaan kuasa - kuasa Barat yang mula menjajah Tanah Melayu pada abad ke 18 dan 19. Pada ketika ini tulisan rumi telah diperkenalkan oleh penjajah barat terutama di dalam sistem pendidikan yang berorientasikan pendidikan dunia barat. Pada ketika itu jugalah peranan tulisan jawi sedikit demi sedikit mula terhakis dari perhatian masyarakat Melayu sendiri. Menurut Samat Buang dalam artikelnya Mengembalikan Maruah Tulisan Jawi menyatakan “bahawa kita tidak harus mengekalkan mentaliti penjajah seperti R.J Wilkinson yang dengan sengaja membunuh tulisan jawi dengan memperkenalkan tulisan rumi. Dengan adanya tulisan rumi sedikit - demi sedikit, British menarik masyarakat Melayu daripada akar umbinya”. Dari pada pandangan  Samat Buang tersebut, dapat kita tafsirkan bahawa tahap kebimbangan para ahli akademik berkenaan survival tulisan jawi telah berada di tahap yang membimbangkan.

Hal ini ditambahkan lagi, pelbagai peristiwa yang sangat mengguris hati-hati pencinta tulisan jawi yang mana 29 Januari 2006  akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan jawi dihentikan penerbitannya kerana kurangnya sambutan daripada masyarakat terutama daripada masyarakat Melayu sendiri.

Malah, Datuk Seri Dr. Rais Yatim sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan dengan nada kehairanan menyatakan bahawa tiada  seorang pun yang mendengus, apatah lagi mempolemikkan penutupan akhbar itu baik di media elektronik mahu pun media cetak. Malah, Dato’ Johan Jaaffar dengan nada sinis di dalam Persidangan dan Pameran Tulisan Jawi di Muzium Negara menganggap orang Melayu renyah dengan identiti warisan bangsanya sendiri. Pandangan beliau ini berpaksikan kepada populasi etnik Melayu yang merangkumi 13 juta orang Melayu,  dan akhbar tulisan jawi tidak boleh hidup dan dipedulikan sedangkan akhbar berbangsa lain dapat hidup subur walaupun komunitinya, lebih kecil berbanding masyarakat Melayu. Satu persoalan yang perlu ditudingkan pada diri sendiri, di manakah silapnya?

Justeru, langkah memartabatkan semula tulisan jawi wajar dilaksanakan supaya seni warisan ini tidak hanyut ditelan zaman. Banyak pendapat mahu pun cadangan - cadangan yang dikemukakan oleh para sarjan mahu pun orang perseorangan berkenaan langkah perlindungan tulisan jawi. Antaranya ialah melalui sistem pendidikan negara. Melalui sistem pendidikan ini kemahiran menulis dan membaca tulisan jawi mesti dijadikan teras dalam mata pelajaran pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah seluruh negara. Di tambahkan lagi, pengenalan tulisan jawi perlu juga dimasukkan di dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu  di peringkat sekolah.

Hal ini adalah sebagai salah satu usaha untuk menangkis dan memperbetulkan persepsi masyarakat terhadap tulisan jawi yang dianggap sebagai sinonim dengan agama Islam. Malah, di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam mahu pun Swasta (IPTA / IPTS) , langkah memasukkan kemahiran dan sejarah perkembangan tulisan jawi  di dalam subjek Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia adalah wajar sebagai mekanisme untuk memartabatkan tulisan  jawi di peringkat Institusi Pengajian Tinggi di negara ini. Selain itu, kesedaran penggunaan tulisan jawi pada papan tanda dan petunjuk jalan masih kecil bilangannya dan tidak keterlaluan jika dikatakan  boleh di bilang dengan jari.

Oleh yang demikian, penggunaan tulisan jawi ini perlu dipergiatkan usahanya terutama peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan tempatan dalam merealisasikan impian negara bagi menghidupkan semula kegemilangan tulisan jawi yang pernah mencapai puncak kemasyhurannya suatu ketika dahulu. Impian ini tidak terlaksana jika hanya dilakukan hanya sebelah pihak sahaja, malah semua pihak perlu berganding bahu tidak apa jua lapisan masyarakat agar tulisan jawi ini bak kata pepatah Melayu “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”.(sumber:Muhamad Syafiq Rohaizad)

07 Mei 2012

KHALID MOHD. ISMATH OH KHALID MOHD ISMATH : KISAH SEBUAH TRAGIS


KHALID Mohd. Ismath, baru berusia 22 tahun, pelajar tahun 2 pengajian ijazah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Dalam YouTube, suaranya garing dan kasar. Ada ala-ala suara Anwar Ibrahim.
Budak berasal dari Klang ini cukup menyanjung tinggi S. Ambiga. Ambiga baginya ialah idolanya. Ambiga ialah penyelamat kumpulan mahasiswa.

Jika mendengar ucapannya dalam YouTube, UMNO dan Barisan Nasional ialah parti yang terlalu zalim dan maha zalim buatnya. Kerajaan sekarang terlalu buruk bagi pandangannya. Dia yang masih belajar ialah pelajar di sebuah universiti yang menerimanya masuk atas dasar dia seorang Bumiputera.

Universiti itu hanya menerima yuran RM500 semester, satu-satunya universiti yang mengambil yuran pengajian yang terendah di negara ini. Yang lain semuanya percuma. PTPTN hanyalah wang kocek sara hidup untuk lain-lain hal sepanjang semester pengajian.Jika di zaman saya dulu makan pun percuma, tiga kali sehari. Jika duit tiada, para pelajarnya masih boleh hidup, tidak kebulur.

Dalam YouTube juga, Khalid menggambarkan dia adalah hero kepada kaum mahasiswa. Semua yang berlaku dalam kampus dan negara ini salah belaka. Hanya dia sahaja yang betul. Hanya Ambiga sahaja yang betul. Hanya Anwar Ibrahim sahaja yang menjadi pujaan hatinya.

UiTM yang mengasuhnya cukup tidak adil, haknya kononnya dicabul. Itulah kata-katanya yang dipetik dalam laman sesawang itu ketika menjadi wakil solidariti mahasiswa Malaysia semasa berucap di majlis pelancaran ABU (Asal Bukan UMNO) di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melewar, Kuala Lumpur, tidak lama dulu.
Khalid kononnya mendakwa bergerak secara bebas atas nama Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami). Namun dia tidaklah independen, dia sebenarnya ialah kader yang dilahirkan oleh parti pembangkang.
Sejak beberapa hari lalu, kelibat Khalid kelihatan berada bersama-sama aktivis fahamannya di Dataran Merdeka. Dia berada di situ untuk menuntut kerajaan menghapuskan PTPTN, yang juga didakwanya sebagai satu skim pinjaman pelajar yang terlalu zalim.

Jika mahu ditakrifkan apa itu anti-establishment, maka Khalid inilah anti-establishment. Semua baginya tidak betul, kecuali dia sahaja yang betul.

Sudah tentu Lim Guan Eng terlalu teruja dengan Khalid. Guan Eng dikatakan turun padang pada jam 2.30 pagi baru-baru ini bagi memberi sokongan moral kepada Khalid dan rakan-rakannya, yang rata-rata Melayu, berkhemah di Dataran Merdeka itu. Guan Eng bukan sahaja bangga kerana Khalid anak Melayu, tetapi juga pelajar UiTM, sebuah institusi yang cuba dirobek-robek oleh mereka.

Terus terang saya katakan, saya amat bersimpati dengan Khalid. Dia mewakili mahasiswa yang sudah terjebak terlalu jauh dalam perjuangan peribadi Anwar Ibrahim dan DAP. Pas pula hanyalah Pak Turut yang tiada tujuan.
Guan Eng, Anwar dan Ambiga telah menggunakan mereka ini demi kepentingan peribadi masing-masing. Khalid nampaknya sudah terjebak jauh. Untuk berpatah balik, nampaknya terlalu sukar baginya. Maka alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.
UiTM yang sepanjang tempoh lebih 40 tahun melahirkan anak-anak Melayu yang berjaya - hasil perjuangan UMNO yang dianggap zalim oleh Khalid - kini sudah mula melahirkan seorang insan yang sungguh tidak bersyukur seperti Khalid.
Namun, Khalid sebenarnya hanyalah segelintir. Terlalu ramai lagi bekas-bekas pelajar UiTM, yang diterapkan dengan lagu keramat Anak Kecil Main Api di zaman rebungnya, tidak akan melupakan pengorbanan yang dicurahkan kepada mereka semua oleh institusi itu.

Mereka semua bersyukur dengan apa yang mereka kecapi hari ini. Khalid hanya baru belajar bertatih dalam dunia sebenar, tetapi telah memilih satu persimpangan yang dianggapnya betul, tapi melencong.
Wahai, Khalid Mohd. Ismath. Cara perjuangan kamu sebenarnya terlalu angkuh. Suara kamu berbunyi bongkak dan takabur. Butir-butir kata yang diberikan kamu dalam YouTube itu terlalu dangkal. Kamu menganggap kamulah pelajar yang paling hebat di negara ini.

Bukan tujuan tulisan ini untuk mengangkat kamu. Tapi untuk dijadikan pengajaran kepada yang lain supaya kita harus bersyukur dengan nikmat yang telah dicurahkan kepada kita semua di bumi bertuah ini. Selagi hayat ini dikandung badan, selagi itulah, insya-Allah, orang seperti Khalid akan terus mendapat pembelaan. Selagi itulah tempatnya untuk menuntut ilmu di UiTM, institusi pengajian tinggi keramat orang Melayu ini akan terjamin.
Sehubungan itu, marilah kita semua membalas semula budi baik yang dicurahkan kerajaan kepada kita. Sekurang-kurangnya kepada Mara (Majlis Amanah Rakyat) yang pernah mengasaskan Institut Teknologi Mara (ITM) yang kemudiannya menjadi sebuah universiti, setelah diangkat naik oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Saya difahamkan sebagai menghargai jasa Mara dan sebagai membalas balik budi baiknya semua pihak yang terbabit dengan agensi itu, sama ada bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), guru-gurunya, pesara agensi itu, Institut Kemahiran Mara (IKM), bekas penerima biasiswa dan pinjaman pelajaran, usahawan, termasuk bekas pelajar ITM/UiTM, akan mewujudkan sebuah dana khas bagi menyumbangkan semula kepada masyarakat atas nama kesyukuran. Dana yang akan dikutip itu akan dipulangkan semua kepada anak-anak dan generasi kita.
Diharapkan ia akan menjadi satu kitaran mengenang budi dan kesyukuran yang patut mulai sekarang diterapkan di sanubari kita semua. Sebenarnya Khalid juga harus bersyukur di atas dasar yang telah dibentuk oleh para pejuang negara selama ini.

Ingatlah Khalid, negara kita kini terlalu aman damai hasil perjuangan para pemimpin terdahulu dan semasa. Sejak negara di ambang kemerdekaan dan selepas mencapai kemerdekaan corak negara ini banyak dimainkan oleh para pejuang itu sehinggalah kestabilan dibentuk selepas peristiwa 13 Mei 1969.Kini rakyat seperti saudara boleh bergerak bebas mencari rezeki atau ilmu.

Boleh ke masjid atau surau atau ke mana-mana sahaja berbanding dengan sesetengah negara lain di muka bumi ini.
Nikmat keselesaan hidup yang kita kecapi selama ini hendaklah kita gandakan dengan ibadat kepada Allah SWT sebagai tanda syukur kepada-Nya, kerana dibimbangi nikmat yang kita kecapi selama ini berkemungkinan akan ditarik balik oleh-Nya.

Manusia yang disayangi Allah ialah manusia beriman yang sentiasa bersyukur kepada-Nya.
Negara sudah aman dan maju, sebab itulah DAP, Pas, dan PKR sentiasa meracuni pemikiran saudara Khalid supaya membenci apa yang ada ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.
Tapi sayang seribu kali sayang, Khalid sudah tersasar jauh. Pelajaran saudara pun tidak cemerlang. Hanya mampu memperoleh mata purata 2.3 dalam CGPA semester 2.Amat sukar untuk saudara berpatah balik.(sumber:Zaini Hassan, 07/05/12)

06 Mei 2012

MEMASUKI KOTA SUCI-MU, MAKKAH AL MUKARAMMAH









Memasuki kota suci-Mu , Makkah Al Mukarammah
mari tafsir jejak-jejak  bebayang alpa
menghitung manik tasbih kasih
selembut bayu menderu jauh
mendepani getir saujana sauh

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarammah
mari  leraikan lumut-lumut kemaca
kesumat dendam riak pesona
sehangat bara di rumah kencana
mendepani gerbang citra gelombang

Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarramah
mari kecapi keasyikan syahdu malam
di situ kita sirami cemara takwa
sedingin salju munajat taubah
mendepani waktu detik  bakal menanti
takwim hari datang dan pergi
Memasuki kota suci-Mu,Makkah Al Mukarramah
Sesayup saujana lapang di hadapan
seperkasa kejap mambu di perdu
sehangat bara cinta di pertemuan
searoma ijab mewangi di Jabbal Rahmah
semerdu kudus doa gemuruh pasrah
setulus bisik nasuha  kecapi nurani
selembut tatap rindu lahir maknawi
Memasuki kota suci-Mu, Makkah Al Mukarramah
di sini hidupkan nur kelam
di sini hilangkan resah rawan
di sini hindarkan taksub nanar
di sini hanyutkan nestapa alpa
di sini hamparkan takwa menghijau
di sini hasratkan luhur hakiki
di sini hanya pada-Mu Ya Rabbi
Memasuki kota suci-Mu Makkah Al Mukarramah
maka cindur kasih pun bersatu
ketika deru perjalanan ke Taif
menggelepar resah batini terpisah
palitan roda warna rona
bertaut ukhuwah di laut insani
Adam Hawa jauh menjana waktu
kapankah cinta abadiku kembali lagi?

DR RAJIEE HADI
Makkah-Kuala Lumpur,2002.
(sumber Majalah Milenia Muslim, Nov 2010)

PERTH, AUSTRALIA BARAT: AKAN BERHIJRAHKAH KE SINI?

.

SEPERTI  keindahan dan ketenangan yang TB lewati ketika menyusuri Sungai Rhine di Frankfurt, Jerman (Germany) sehingga terpikat dan berimpian mahu menetap di sana, begitu juga dengan Pert, Australia Barat.

Sebenarnya  menurut seorang wartawan di NST ,Perth lebih tenang, tiada kesesakan lalu lintas langsung walaupun waktu puncak.

Wartawan tersebut memberitahu barangkali seminggu di sana belum cukup untuk beliau bercerita mengenai kota seluas 5,386 kilometer persegi itu tetapi catatan ini berdasarkan cebisan perjalanan beliau di sana.

Rombongan beliau melawat ke Caversham Wildlife Park, Fremantle, Swan River, The Aquarium of Western Australia (AQWA) dan kilang coklat The Magaret River Chocolate Company selain jalan-jalan sekitar bandar raya dengan kepadatan penduduk 289 orang perkilometer persegi itu.
 Tempat-tempat tumpuan pelancong biasa seperti Perth Mint, Perth Zoo, Kings Park, Muzium Western Australia dan Kookaburra Air tidak sempat dikunjunginya.

Namun perjalanan yang dilaluinya juga tidak kurang menariknya, tambahan pula ketika itu Perth baru memasuki musim sejuk dengan suhu 5 hingga 20 Celsius. Hujan pula sentiasa berselang -seli dengan angin, cuma sehari dua matahari mencelah sinarnya.

Beliau  tidak pedulikan langsung soal ´shopping´. Selain harga agak keterlaluan, pilihan pula membosankan ,katanya. Walaupun ada jualan murah, kebanyakan produk dan jenama buatan Australia
yang lebih menjurus kepada barangan sukan dan surfing.

Bagi yang tidak mampu meninggalkan makanan Malaysia, Perth menjanjikan deretan restoran masakan Melayu.

Tetapi bersedia dengan harga, bayangkan dua keping roti canai bersama kuah kari berharga AUD$6.50 (RM18.20).

Bagaimanapun kalau ke negara orang, soal tukaran wang seharusnya ditolak ketepi sekiranya tidak mahu mengikat perut berpanjangan.Tukaran wang yang mengecilkan poket juga pernah TB alami sewaktu minggu pertama TB berada di Bandar Seri Begawan sewaktu TB baru memulakan tugas bertugas di Negara Brunei Darussalam dahulu.

Pertama kali bertemu dengan kanggaru, koala jinak dan wombat seberat lebih 50 kilogram. Kepada yang sudah  biasa, mungkin tidak hairan tetapi beliau kagum dengan taman hidupan liar ini yang diuruskan secara persendirian oleh David Thorne sejak 1987.

Bukan itu saja, lebih 2,000 hidupan di sana termasuk burung, lembu, biri-biri, unta, emu, llama dan beberapa spesies lagi yang jarang diketahui.

Bagaimanapun, bukan itu yang menjadi tarikan utamanya tetapi yang menarik Pert menampakkan d ketenangan dalam kebersihan.

Kesegaran udara, tiupan angin dari Lautan Hindi dan kesejukan musim dingin menambah kecintaan kepada persekitaran di sini.

Suasana gaya hidup santai dan tidak terkejar-kejar memberi ketenangan tersendiri.

Jam 5 petang, hampir semua premis perniagaan ditutup dan masing-masing pulang meluangkan masa bersama keluarga.

Tidak hairanlah kalau ramai yang memilih Perth sebagai tempat tinggal baru terutama warga Asia dan Eropah serta bangsa Melayu dari Pulau Christmas dan Pulau Coco.

Seperti kata seorang daripada mereka yang  beliau kenali sebagai Mail, dia sudah menetap lebih 10 tahun di Perth termasuk belajar di Edith Cowan University selama empat tahun.

Kemudian, dia menyambung lagi dua tahun di Curtin University of Technology sehingga peringkat sarjana di bidang Teknologi Maklumat semata-mata ingin berada lebih lama di sana.

Biarpun sudah lama tamat pengajian, Mail yang berasal dari Sibu, Sarawak belum bekerja tetap. Bagaimanapun katanya, dia gembira dengan kerja sambilan yang dibayar AUD$20 (RM56) satu jam sebagai pembantu tukang masak dan kadangkala sebagai pemandu pelancong serta Jalan-Jalan
penghantar kurier.

"Bukan tak nak balik Malaysia  tetapi atas nasihat sepupu yang bekerja sebagai akauntan di Kuala Lumpur, dia lebih baik tinggal saja di Perth.  Walaupun bergaji lebih RM5,000, dia tidak sempat untuk menyimpan duit. Lagipun kehidupan di Kuala Lumpur lebih terburu-buru,," katanya yang tidak  keseorangan apabila saudara-maranya turut mencari ilmu dan rezeki di kota berkenaan.

Mail yang menetap di Churchland yang terletak kira-kira 12 minit dari pusat bandar bagaimanapun tidak mahu disalahertikan kerana Malaysia tetap di hatinya.

Ketika berkunjung ke pelabuhan Fremantle yang terletaknya Muzium Maritime AustraliaBarat, saya sempat berbual dengan seorang wanita Pulau Christmas yang sudah lebih 20 tahun di Perth dan berkahwin dengan warga Malaysia dari Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Suaminya yang hanya membahasakan dirinya sebagai Man ketika itu sedang memancing ikan selar. Katanya, sudah tiga tahun dia di Perth dan menemui kehidupan yang lebih tenang.

"Mulanya saya kekok tetapi tidak lama sebab ramai orang Melayu di sini. Sana-sini mesti berlaga bahu dengan orang kita, baik pelajar mahupun yang bekerja," katanya.

Inilah yang beliau maksudkan Perth memiliki sesuatu. Bagi yang mencintai kedamaian , ingin lari dari kehidupan kota yang hiruk-pikuk, Perth mungkin tempat yang paling sesuai.

Jadi tidak hairan juga Perth dinamakan antara 10 bandar raya yang paling selamat dihuni di dunia. Cerita mengenai  keindahan yang lain tentang Perth mungkin anda sudah baca di akhbar atau majalah. Namun  keindahan jiwa yang tenang sukar digambarkan.Dan keenakan Apple's Strudel Corica iaitu pai lembut berinti epal yang panjangnya hampir sekaki berharga AUD$15 (RM42) tetap menjadi ingatan dan kenangan.(disesuaikan dan diolah daripada Aeby Abdullah,HMetro,NST)

Sebenarnya Perth merupakan ibu negeri Australia Barat. Dengan jumlah penduduk seramai 1,507,900 orang[1] (anggaran Disember 2006) menjadikan Perth sebagai bandar terbesar di Australia Barat. Bandar ini juga adalah penduduk kawasan bandar keempat terbesar di Australia, dengan kadar pembesaran 2.1% (2006) adalah kini bandar utama yang cepat membesar di Australia.

Ia dianggap bahawa penduduk Perth akan membesar di 2.5% tiap tahun di 2007, oleh kerana ekonomi Australia Barat yang membangun. State Final Demand, misalnya, membesar sebanyak 10.2%, 12 bulan ke Mac 2007 (ABS).

Perth diasaskan pada 11 Jun, 1829 oleh Kapten James Stirling sebagai pusat pentadbiran penempatan bebas Koloni Swan River. Sejak itu, Perth masih berfungsi sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Australia Barat hingga kini.

Kawasan metropolitannya terletak di kawasan barat daya benua, iaitu di antara Lautan Hindi dan tubir pinggir laut rendah yang dikenali sebagai Darling Range. Kawasan daerah pusat perdagangan dan pinggir bandar Perth terletak dekat dengan Sungai Swan.

Bandar raya yang terdekat dengan Perth ialah Adelaide yang menempatkan lebih 1 juta orang di Australia Selatan, iaitu terletak 2,104 kilometer (1,307 batu) jauhnya dari Perth. Justeru, Perth yang juga diduduki lebih kurang sejuta orang merupakan bandar raya paling terpencil di dunia.(edited by TB)


BERSIH 3.0: SEBUAH RENUNGAN


KHALID Mohd. Ismath ketika tiba di Pejabat Detektif (CID) Jabatan Siasatan Jenayah, Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur, semalam. Gambar kiri: Khalid Mohd. Ismath menendang anggota polis trafik sewaktu perhimpunan Bersih 3.0.

TIMBALAN  Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Mohd. Ismath ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan pada perhimpunan haram Bersih 3.0, ketika dia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Khalid dikehendaki setelah gambarnya yang sedang menendang seorang anggota polis trafik yang terjatuh ketika bertugas pada perhimpunan itu, 28 April lalu disiarkan di akhbar-akhbar.

Dia yang ditahan kira-kira pukul 10 pagi bagaimanapun sebelum ini dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung kenyataannya di dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini bahawa dia bersetuju semua anggota polis dibunuh.sumber:UM,06/05/12)

TB: Khalid yang dikatakan memimpin 'pertubuhan yang tidak berdaftar' di kampus menimbulkan banyak spekulasi di peringkat awal. TB ada melihat dalam portal berita parti pembangkang foto 'perusuh' yang menendang seorang anggota polis trafik dan 'perusuh' yang dikatakan berwajah sama memakai jersi kuning 'Bersih'. Portal berita tersebut mengesyaki bahawa si pelaku atau 'perusuh' tersebut adalah anggota polis yang menyamar untuk melakukan provokatif. TB bukanlah memihak kepada mana-mana pihak atau mana-mana individu.TB berpihak kepada kebenaran. Sekarang telah terbukti wajah siapakah 'perusuh' itu. Apa jua tanggapan, sikap tidak menghormati penjawat awam, perlakuan yang berbentuk vandalisme dan gansterisme wajarlah dijauhi.Apatah lagi dilakukan kepada orang yang seagama dan sebangsa. Khalid (foto di atas) masih muda dan mudah terpengaruh. Biarlah perjuangan yang kita lakukan atas kefahaman,kejelasan dan kemahuan daripada lubuk hati kita. Fikir-fikirkanlah siapa yang untung, siapa yang rugi?




TESTOSTERON KURANG PUNCA KEMURUNGAN?


SAYA bagaikan mendapat kehidupan baru yang lebih indah," ulas Andrew Ooi Kuan Jim, 45, individu yang mengalami penurunan testosteron tatkala diajukan soalan bagaimana kehidupannya hari ini.

Tanpa berselindung, Andrew menceritakan perubahan dirinya berlaku sekitar penghujung tahun lalu di mana tahap kemarahan tidak lagi dapat dikawal dan individu yang sering menjadi mangsa ialah anak bongsunya.
Daripada perubahan perwatakannya itu kemudian disusuli dengan tahap keletihan yang melampau, Andrew tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.

Walaupun begitu, dia tidak pula segera berjumpa doktor untuk mengetahui punca kepada permasalahan tersebut kerana beranggapan mengalami tekanan kerja.

Malah dia mula serius memikirkannya setelah berjumpa dengan seorang kawannya di Singapura sekitar September tahun lalu.

Manakan tidak, menurut Andrew, kawannya yang jauh lebih berusia daripadanya kelihatan lebih cergas dan muda jika dibandingkan dengan dirinya ketika itu.

Tanpa membuang masa dia bertanyakan kepada rakannya itu apakah rahsia yang diamalkan.
Setelah mendapat gambaran sebenar mengenai perubahan yang berlaku pada kawannya itu, Andrew membuat kesimpulan mungkin dirinya turut mengalami masalah yang sama iaitu masalah kekurangan testosteron.
Kata Andrew, sebaik sahaja pulang dari Singapura, dia mengunjungi salah sebuah klinik di ibu kota dan secara kebetulan terpandang risalah mengenai masalah kekurangan testosteron.

"Daripada rentetan peristiwa tersebut saya telah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat serta jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi
.
"Ternyata selepas pertemuan tersebut saya sebenarnya bukanlah mengalami tekanan di tempat kerja mahupun tekanan di kawasan sekeliling tetapi saya telah disahkan menghidapi sindrom 'lewat-mula hipogonadisme'.
"Ujian darah menunjukkan saya mengalami masalah hormon testosteron yang rendah. Disebabkan itulah saya berasa sangat lesu, cepat letih dan murung.

"Wajah juga tampak tua dan layu malah saya juga berasa mudah bosan dalam aktiviti seharian," katanya ketika ditemui pada pelancaran Androgel, produk terbaru syarikat farmaseutikal, Orient Europharma, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, sejak dia mendapatkan rawatan kehidupannya kita lebih bertenaga malah hubungannya bersama anak bongsunya juga kembali kepada sedia kala.

Untuk pengetahuan bersama, hormon yang penting bagi lelaki adalah testosteron dan seiring peningkatan usia, paras testosteron juga boleh menurun.

Ternyata apa yang dikongsi Andrew bersama pembaca adalah masalah paras testosteron di dalam badannya yang menurun.

Dia juga berpendapat bahawa masalah tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana secara tidak langsung ia mengganggu kesejahteraan kualiti hidup seharian.

Bercerita mengenai rawatan yang dilakukan, kata Andrew, ia membabitkan penggunaan ubat sapu yang mudah digunakan dan tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan kesannya.

Dia mengakui kini sendiri kembali normal selepas tiga minggu menggunakan produk tersebut dengan hanya menyapunya pada bahagian perut, bahu atau mana-mana bahagian lain badan.

Boleh berlaku seawal 30-an
Dalam pada itu, menurut Perunding Pakar Urologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, masalah kekurangan testosteron dalam badan boleh berlaku pada mana-mana individu lelaki yang berusia seawal 30-an.

Tambah beliau, selain itu, masalah ini juga boleh menyerang mana-mana lelaki tanpa mengira status sama ada bujang ataupun sudah berkahwin.

Tetapi katanya, di Malaysia, mana-mana individu lelaki yang mengalami masalah ini tidak mahu tampil kehadapan untuk mendapatkan rawatan.

"Walaupun masalah kekurangan testosteron bukanlah satu masalah yang serius sehingga boleh membawa maut, tetapi ia merupakan satu masalah kesihatan yang perlu dipandang berat terutama sekali pada orang lelaki.
"Ini kerana, apabila kurangnya testosteron dalam badan, ia mampu menggugat keharmonian kualiti kehidupan harian selain mengubah perwatakan individu-individu tersebut.

"Jadi, nasihat saya, sekiranya mereka mengalami simptom-simptom kekurangan testosteron ini segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.

Begitupun, menurut Dr. Zulkifli, masalah ini sebenarnya tidak mudah untuk dikenal pasti kerana simptomnya yang tidak begitu jelas malah ia mudah disalah ertikan sebagai masalah lain.

Hari ini, terdapat beberapa kaedah rawatan hormon, namun ia bergantung kepada kesesuaian dengan individu tersebut.

Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan kaedah yang bersesuaian untuk anda kerana terdapat pelbagai kaedah rawatan untuk mengembalikan testosteron ke paras normal seperti pengambilan pil, suntikan ataupun ubat sapuan.
Jelas Dr. Zulkifli, bagi mana-mana individu yang mengalami masalah kekurangan testostero, mereka mudah mendapat penyakit-penyakit lain antaranya seperti jantung, kencing manis, obesiti, darah tinggi, sindrom metabolik serta trombosis.

Jadi, Dr. Zulkifli menasihatkan agar kaum Adam hari ini melakukan pemeriksaan tahap testosteron masing-masing agar dapat mengesannya lebih awal.(sumber:MARIATUL QATIAH ZAKARIA,06/05/12)

SAKIT JANTUNG AWAL PERLU DICEGAH


Rashid yang berusia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.


Pada suatu pagi, sewaktu Rashid hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Rashid pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?
"Rashid, anda telah mengalami serangan

jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda," terang doktor.
Kisah Rashid adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Orang seperti Rashid menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.
Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung.

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya gejala-gejala sakit jantung.

Orang mudaSejak akhir-akhir ini, kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, kita pernah dikejutkan dengan kematian pelakon popular pada Januari tahun lalu, Mohd. Faisal Yusup yang baru berusia 33 tahun. Beliau dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung .

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkan dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.
Penyakit ini semakin rakus menyerang golongan muda.

MeningkatPakar Perunding Kardiologi, Dr. Azmee Ghazi memberitahu, rata-rata masyarakat termasuk golongan muda mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk merokok.

Pesakit tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.
Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana menganggap tidak mungkin diserang sakit jantung sebab umur masih muda.

Justeru, Dr. Azmee menasihatkan orang ramai supaya menjalani gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.
Jumlah tersebut menjadikan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

"Laporan Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan 1/4 kematian di hospital kerajaan disebabkan penyakit jantung dan strok. Ini membuktikan bahawa statistik ini semakin meningkat," jelas Dr. Azmee ketika ditemui di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Pemeriksaan kesihatanTerdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung antaranya rasa tidak selesa pada dada.

Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.Simptom serangan jantung ini berbeza antara lelaki dan wanita."Lazimnya, lelaki akan mengalami simptom yang biasa seperti sakit dada. Berbeza pula wanita, mereka akan berasa letih dan tidak dapat tidur malam. Mereka juga tidak akan berasa sedap badan," katanya.
Dr. Azmee menasihatkan, agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

"Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera," jelasnya.
Ini kerana, sikap ambil mudah tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

MembezakanKebanyakan pesakit sukar membezakan sakit dada biasa dan serangan jantung.Apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya?


Dr. Azmee menjelaskan , seseorang itu dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari menjadi sempit.
"Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati atau mengalami nekrosis dan gagal berfungsi,'' ujarnya.

Ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lama-kelamaan menyempit atau menyekat pengaliran darah ke jantung .

Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula.
Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk di bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.

Dr. Azmee memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan jantung tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut dan sekadar menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak berbahaya.
"Jika ada faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi atau tahap kolesterol tinggi, kemungkinan sakit jantung adalah lebih tinggi.

"Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung yang boleh menjejaskan kualiti hidup anda," katanya.

Bagi penghidap darah tinggi, kencing manis dan kolestrol tinggi, beliau menasihatkan mereka supaya makan ubat dan berjumpa doktor secara teratur.

"Kita juga perlu mendidik orang muda supaya mengamalkan gaya hidup sihat untuk mencegah serangan jantung," ujarnya.(sumber:Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah ,UM,06/05/12)

05 Mei 2012

JOHOR MULA BANGKIT!


HARI ini bakal mencipta sejarah. Dijangkakan 30 ribu rakyat, bermula jam 1.45 tenghari; bakal membanjiri Dataran Plaza Angsana Johor Bharu. Kehangatan Himpunan Bersih 3.0 yang dihadiri 250,000 rakyat akan bersambung ke Negeri Johor; kubu terkuat Barisan Nasional.

Isu Pulau Batu Putih, Penyenaraian Felda Global Venture ke Bursa Malaysia, penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, masadepan Penduduk Pengerang disebabkan projek Pembangunan Bersepadu Petrokimia, perampasan tanah rakyat, perobohan rumah Peneroka Bandar dan siri-siri kezaliman terhadap rakyat bakal dizahirkan dalam himpunan terbesar di Selatan tanahair.

Suara rakyat adalah suara keramat. Terlalu lama rakyat bersabar. Tangisan dan derita rakyat tidak dipeduli kerajaan BN yang terus2an merampas tanah rakyat. Sudah kering air mata rakyat. Laporan Polis sudah, hantar memorandum pun sudah. Apa kesudahannya?

Berkorban rakyat hingga ke Parlimen dan Putrajaya mencari pemimpin mereka. Tiada yang sudi bertemu muka.
Mana janji pemimpin BN, apa yang telah dilakukan oleh Wakil Rakyat mereka?

Kini, Plaza Angsana akan menerima ' tetamu yang paling ramai'. Selamat Datang kepada pencinta kebenaran dan teman-teman seluruh negara. Kita tamatkan keangkuhan dan kesombongan Kerajaan BN di Johor.

Ini perhimpunan Aman. Kita bukan nak bermusuh dengan polis. Kita mahu beri isyarat kepada Kerajaan BN. Selesaikan segera masalah rakyat....atau Kerajaan BN bakal berkubur selepas PRU 13!(sumber: Mazlan Aliman , beliau adalah Pengerusi Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) merangkap Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanag dan Wilayah PAS Pusat)

04 Mei 2012

BOB KUMAN MENINGGAL DUNIA


JENAZAH pelakon Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi telah dibawa ke Kampung Sega Tengah, Rantau, Negeri Sembilan untuk disemadikan setelah disolatkan di Masjid Kota Damansara, jam 9.30 malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Salehin Muhyi mengimamkan solat tersebut kira-kira jam 9.20 malam yang disertai lebih 200 jemaah.

Jenazah dibawa dengan van jenazah Masjid Kota Damansara yang bertolak jam 9.50 malam.

Bob Kuman disahkan meninggal dunia di rumahnya di Apartmen Salvia, Seksyen 11 Kota Damansara, jam 4.38 petang semalam.

Menurut jirannya, Razali, buat masa ini (sehingga jam 6.00 petang) jenazah Allahyarham masih berada di rumah dan belum diputuskan tempat untuk dikebumikan.

Ketika dihubungi sebentar tadi, beliau memberitahu keluarga terdekat Allahyarham akan membuat keputusan itu apabila tiba di rumah nanti.

Jenazah dibawa ke Masjid Kota Damansara pada jam 6.30 petang ini untuk dimandikan.

(Gambar: Jenazah Bob Kuman dibawa masuk ke dalam van dibawa ke Masjid Kota Damansara untuk dimandi dan disolatkan.)

Sementara itu, waris terdekat Bob memberitahu jenazah akan disolatkan selepas Isyak dan kemudiannya akan dibawa untuk dikebumikan di kampung Allahyarham di Rantau, Negeri Sembilan.Alfatihah.

Pada 17 April lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan rombongan termasuk Nazir Masjid Kota Damansara menziarahi Bob selepas menyampaikan kuliah Maghrib di masjid berkenaan. (Atas)(sumber:HD,04/05/12)