Salam Perjuangan

31 Julai 2015

puisi: HUJAN DI TANAH BANGI


Hujan tidak berjanji
akan lebat turunnya
hujan tidak pasti
akan berhentinya

Hujan turut membisu
reda gerimisnya
hujan tidak mengundang
halilintar membelah gema

Bisik hujan berkali-kali
apabila sampai waktuku
aku rela menyepi
bersemi bersatu bumi

Apa yang pasti
di tanah bangi ini
hujan yang berderai
gersang merekah
bertukar hijau subur

Apa yang pasti
tandus bahang ini
bertukar dingin nyaman
persada bening kembali
damai sukma pesona

Apa yang pasti
sesungguhnya hujan ini
menyimpan misteri
bahasa punjangga
dalam diri.

DR RAJIEE HADI,
Bangi,SDE.
20 Julai 2012.

puisi: : PANTUN JENAKA PULAU PENYENGAT (buat Leo AWS)



Pulau Penyengat bukan menyengat,
ada aura ada semangat,
jauh datang mesti ingat,
Melayu suka makan pengat.

Terima berita buku baharu,
daripada Leo Darul Naim,
dalam tongkang jangan garu,
jika baca SMS Tuk Him.

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji,
pujangga terbilang makam di sini,
asam pedas jangan dipuji,
kelak rupiah dibayar seguni.

Putar-putar naik bemo,
dua puluh lima ribu sejam bayaran,
berat kami macam sumo,
minta lebih mengaku jiran.

Dalam cendol ada tapai,
tepi laut balai adat,
tangan pendek tidak tergapai,
tangan panjang dipotong beradat.

Gadis pasentren entah di mana,
ada madrasah mengaji agama,
Pulau Penyengat hantaran istana,
usah mimpi ikut bersama.

Bertenang jangan asyik terkenang,
bersabar saat menanti debar,
masa lalu berkuak renang,
masa sekarang di dalam gebar.



DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat, Riau, lndonesia.
28 Jun 2012.




28 Julai 2015

puisi:SIAPAKAH GERANGAN

SIAPAKAH GERANGAN


siapakah gerangan
yang termuda
dilantik dalam kabinet
semata-mata legasi
kepada ayahandanya
yang dikatakan rakyat
banyak jasanya



siapakah gerangan
ketua pemuda itu
yang kemudiannya
dilantik mudah
menjadi penuh menteri
ketika hijau pucuknya



siapakah gerangan
yang memperkenalkan
akta pendidikan 1996
pendidikan tanpa sempadan
natijahnya berduyun-duyun
visa tanpa warna
dari seluruh dunia
dengan peningkatan IPTS
gejala virus pun menular
penyalahgunaan berleluasa

siapakah gerangan
timbulnya kapal selam
berjuta-juta harga
tidak dipastikan nilainya
hinggalah berduka
bapa si monggolia
puterinya terbunuh
misteri merajalela

siapakah gerangan
mengenakan GST
petrol dan barangan
harga rumah menggila
dan rakyat kian mencuka
onar pati di sana sini
jenayah bimbangkan
rakyat jelata

siapakah gerangan
memenggalkan jawatan
seorang tipiem
yang banyak berjasa
suatu ketika itu
tiada VCD cetak rompak
diburunya habisan
ketika di KPDN
dan guru-guru riang
warna-warni masa hadapan

siapakah gerangan
pelaku onar malang
negara tanah airku
yang tercinta ini
panas mula suram
hujan mula syahdu
tidak ada pasti
dalam penjara ini.



RAJIEE HADI,
BSP,28 Julai 2015

SALLEHUDIN ABDUL WAHAB, HAJI - Al-Fatihah

HAJI Sallehuddin Abdul Wahab ,TB memperoleh khabar telah meninggal dunia pada bulan Ramadan yang lalu pada saat-saat umat lslam mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri. Allahyarham, 63 tahun adalah rakan sejawat TB yang sama-sama mengajar di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah (SMK) Datuk Mohd.Said, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun-tahun 1980-an yang lalu. Kami adalah guru perintis bagi Tingkatan 6 yang baharu dibuka yang mana pengetua ketika itu adalah Encik Taib Hussin.

TB rasa terkejut dan amat terharu. Beliau cuma mengidap penyakit lemah jantung dan sesak nafas yang TB rasa tidaklah kronik seperti penyakit jantung saluran ateri tersumbat atau kerosakan buah pinggang ataupun diabetis.Beliau yang tinggal di Taman Nilai, Pekan Nilai telah bersara wajib daripada jawatan terakhirnya sebagai Pengarah di Maktab Perguruan Kota Baharu/IPGM-KB,Kelantan beberapa tahun yang lalu.Selepas bersara, TB telah mencari dan dapat menziarahi beliau ketika beliau terlantar uzur di rumahnya.TB lihat beliau mengalami kemurungan, keuzuran dan keletihan setelah menempuh alam persaraan.Apatah lagi hidup diselubungi kesunyian tanpa teman-teman sejawat di sisi.Begitulah putaran kehidupan.

Awal tahun ini TB berpeluang lagi bertemunya yang hanya berkerusi roda kerana menziarahi majlis perkahwinan anak bongsunya. Arwah yang telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana Pendidikan (kaunseling) M.Ed UKM pada tahun 1992 adalah rakan yang menjadi 'pesaing positif' ketika kami sama-sama mahu memperoleh ijazah lanjutan di UKM ketika itu.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya bersama orang-orang beriman dan para solihin di
'alam sana'- Al-Fatihah. (TB).

17 Julai 2015

SALAM AIDILFITRI 2015

WALAUPUN marah dengan GST, harga barangan dan petrol kian meningkat, dan nilai wang RM yang kian mengecil dan pelbagai masalah kehidupan, TB dapat rumuskan bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini dalam sejarah lebih 40 tahun yang lalu...paling tidak meriah. Di sana sini TB lihat lebih banyak wajah mencuka daripada riang ria. Sungguhpun daripada segi agama, kita semua telah berjaya menempuh pelbagai cabaran ketika Ramadan dan dengan 'semangat fitrah' menyambut Hari Raya Aidilfitri namun realitinya adalah di sebaliknya. Pada petang 'mantai' dan malam hari raya; TB tinjau di kawasan Bandar Baru Bangi dan Bandar Seri Putra kelihatan suasana masih meriah dengan orang ramai. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu; biasanya kedua-dua kawasan majoriti orang lslam itu telah lengang apabila akhir Ramadan.

TB juga ada kedengaran suara jiran yang mula meniggikan suara; mungkin ada pergaduhan kecil suami isteri yang memecah keheningan malam raya. Dan entah mengapa pula, pada malam hari raya PM Datuk Seri Najib Razak memberi ucapan dengan memakai baju Melayu berwarna hitam. Apakah ini petanda kemuraman hatinya atau kemuraman rakyat? Pembaca boleh jelaskan sendiri. Wallahualam. Dan paling menyayat hati Hari Raya Puasa tahun ini adalah tahun yang paling tinggi kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian. Dan apakah petanda ini? lni juga pembaca boleh menjelaskan sendiri.

Apapun TB ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, maaf `zahir batin jika ada kesalahan tutur kata dan bahasa serta halalkan mana-mana ada 'terhutang' , termakan dan terminum.
Salam Lebaran!

15 Julai 2015

puisi: DI RESTORAN MAKANAN SEGERA

DI RESTORAN MAKANAN SEGERA


di kota ini, desa kian menjauh pergi
tidak kudengar pinggan mangkuk berlaga
bergemalatuk dingin air telaga
kami bersila siap siaga
sambil menjengok di luar langit jingga
menggosok pelipis mata merah saga

dinihari malam masih muda
dengan minyak tanah pelita waspada
rumah usang datuk berkumpul sekeluarga
menikmati sahur juadah  pulut durian
dengan nasi berbaki lauk yang ada
ada ketikanya perut remajaku tidak menerima

setelah bertahun-tahun ditakdirkan
aku masih bermesra dengan si kecil itu
saujana menadah  langit yang damai
membilang bintang dan mahu mendapatkan bulan
sambil menghirup udara segar fajar
sebelum menikmati juadah pelbagai cita rasa

di restoran makanan segera ini
si kecil itu diselimuti dimensi baharu
dan sering aku membayangkan
puluhan dekad waktu mendatang
bagaimana si kecil itu sepertiku kini
memberi takrif sahur ramadan nanti.


RAJIEE HADI,
Bandar Seri Putra, SDE.
15 Julai 2015.






14 Julai 2015

puisi: DI PADANG AWAM ITU

DI PADANG AWAM ITU


di padang awam itu
yang saban dwitahun
cukai majlis perbandaran
tanpa tunggakan dijelaskan
kami menikmati prasarana

di padang awam itu
anak-anak kecil kami
berlari riang bebasnya alam
tanpa gangguan anjing liar
atau onak duri menjalar

kini di padang awam itu
entah bila bertukar gelanggang
kulihat ada pemain nepal & myanmar
ada pemain bangladesh & pakistan
ada pemain vietnam & thailand
ada pemain afrika & sri lanka
serta para pemain lain
yang menanti giliran
demi giliran untuk saling menendang
saling menanduk, saling berlarian
hingga membuat anak kecilku kian bosan

sebenarnya di padang awam itu
di tanah airku malaysia kini
telah berlangsung piala dunia
tanpa tiket tanpa visa
tidak siapapun peduli lagi!


RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
14 Julai 2015.