SULTAN Perak Sultan Azlan Shah Azlan Shah mangkat pada jam 1.30 petang hari ini.
Perkara itu diumumkan oleh menteri besar Datuk Seri Zambry Abd Khadir secara langsung di RTM hari ini.
Ekoran kemangkatan itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang selama 100 hari di negeri itu manakala bendera Malaysia pula selama seminggu.
Semua bentuk hiburan, keramaian dan keraian dibatalkan dalam tempoh tujuh hari.
Menteri besar juga mengumumkan cuti umum di Perak selama sehari esok sebagai tanda berkabung.
Jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Kuala Kangsar esok pagi dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas asar.
Sementara itu, Bernama melaporkan, baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Penghormatan terakhir bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi esok manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang.
Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.
"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang
dikasihi dan berjiwa rakyat.
"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan
mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin," katanya dengan sebak.
Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.
Sementara itu Bernama melaporkan kenderaan yang membawa jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah beredar dari Institut Jantung Negara (IJN) di ibunegara petang ini menuju ke Kuala Kangsar.
Kenderaan itu beredar dari perkarangan IJN pada kira-kira 5.08 petang dengan diiringi kenderaan kerabat diraja Perak dan polis.
Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah turut dilihat berada di IJN.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan Almarhum Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari ini.
Sementara itu, PKR merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.
Dalam satu kenyataan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mudah-mudahan Allah SWT memberikan keampunan-Nya dan melimpahkan rahmat-Nya buat Almarhum Sultan Azlan.
Manakala dalam satu kenyataannya, sekretariat akhbar kerajaan Selangor berkata, bendera akan dikibarkan separuh tiang di negeri Selangor sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Azlan Shah. (sumber:Mkini,28/05/14)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan