Salam Perjuangan

15 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU 2014 - Catatan Di Pinggiran

TB tidak menyangka anak kecil TB yang baharu berusia satu tahun dua bulan dengan bahasa belum sepenuhnya mengucapkan 'Selamat Hari Guru, ayah...' Rasa terkedu jauh di sanubari TB lanataran diam tidak diam masa dan waktu pantas datang dan berlalu pergi.....

Tahun 1961 TB mula belajar (masuk sekolah tumpang lebih awal..seakan prasekolah) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate,Ledang, Tangkak,Johor. Di sekolah ini nama-nama guru yang TB masih ingat ialah Cikgu Mahmud (Allahyarham), Cikgu/Ustaz Misdi, Cikgu Haris Abu Samah(usia 80-an)guru TB darjah 4 dan yang lain-lain TB tidak pasti lagi. Kemudian TB masuk darjah lima bertukar ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom 3, Muar hingga darjah 6. Cikgu Yusof Saman (Allahyarham, guru darjah 5) dan Cikgu Mohd.Dom Abdul Rahman (Allahyarham,guru darjah 6) dan guru-guru lain antaranya guru agama Cikgu Redzuan, Cikgu Md.Nor (Guru B.I), Cikgu Mohd Nor Rashid dan Guru Besar Tuan Haji Ali bin Haji 0mar. Semasa TB di sekolah rendah belum pun ada sambutan hari guru secara rasmi ketika itu. Seingat TB ketika berada di sekolah menengah barulah sambutan Hari Guru disambut di seluruh negara.

Masa terus berlalu, sehinggalah pada suatu ketika, suatu waktu daripada seorang murid sekolah TB kemudiannya menjadi seorang guru pelatih (Sekolah Rendah Brickfield,1976 dan Sek.Men.Taman Sea,Petaling Jaya,Selangor,1977) dan kemudian bermula sebagai guru penolong terlatih di sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar (1978) Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar,Sungai Mati,Muar (1984, ) Sekolah Menengah Taman Seri Serdang,Selangor (1986), SMK Dato Mohd Said, Nilai,Negeri Sembilan (1987), Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur (1989), Sekolah Menengah Taman Desa, Kuala Lumpur (1992) dan Sekolah Menengah Sungai Besi, Kuala Lumpur (1992). Banyak kenangan manis sepanjang khidmat sebagai guru sekolah dengan sambutan hari gurunya yang berwarna-warni. Yang amat manisnya, TB pernah dilantik menjadi AJK lnduk Hari Guru Peringkat Wilayh Persekutuan Kuala Lumpur dan dua tahun berturut-turut diundang baca puisi sempena hari guru.

Mulai 1995 TB bertugas di Bahagian Pendidikan Guru KPM dan dihantar berkhidmat di Maktab Perguruan lslam, Bangi (pada mulanya ke IPSI,Tg.Malim tetapi TB menolak) sebagai pensyarah. Di maktab (kini IPGM) gaya dan cara menyambut Hari Guru agak sedikit berlainan lantaran tahap usia para pelajarnya juga berbeza. Di peringkat kebangsaan TB seterusnya dilantik sebagai AJK lnduk Hari Guru Kebangsaan. Di peringkat maktab TB hanyalah sebagai 'pemerhati yang memberi sumbangan apabila diminta'. Selepas berhijrah ke Brunei TB juga berkesempatan menyambut Hari Guru di Brunei yang biasanya disambut oleh semua peringkat sama ada sekolah,maktab, ipta mahupun ipts.

Begitulah sambutan Hari Guru di Malaysia kini apabila Menteri Pendidikan yang sekali gus juga Timbalan Perdana Menteri maka senario telah bnyak berubah. Selain peluang dan prospek kenaikan pangkat profesion keguruan kian cerah, kesedaran dan kepritinan orang ramai tentang kewujud hari guru  kian terasa menjelang 16 Mei. Kini pihak media massa turut sama memeriahkan sambutan dengan beranaeka program. Dan yang gembiranya, siaran langsung di kaca TV adalah petanda suatu penghormatan yang dinanti-nanti sejak sekian lama dahulu. Apa khabar sahabat-sahabat saya dalam kesatuan guru dahulu: Siva Subramaniam (Datuk), Cikgu Chong, Cikgu Haji Muhammad Mustaffa, Cikgu Kassim, Cikgu Kamal Shukri, Cikgu Tengku Long, Cikgu Muharam Atan dan ramai lagi. Doa TB agar anda semua sihat ceria dan dapat menyambut Hari Guru 2014 ini.

Selamat Hari Guru, saya pun sayang cikgu! (TB)

Tiada ulasan: