Salam Perjuangan

26 Julai 2013

SEJARAH TEMENGGONG MUAR



HASRAT seorang pengkaji sejarah dari Jepun, menjejakkan kakinya ke daerah ini, akhirnya tercapai apabila beliau dibawa meninjau kesan sejarah pemerintahan Temenggong Muar, di Kampung Pengkalan Kota, Durian Condong, di sini, baru-baru ini.

Profesor Mika Okushima, 39, dari Kanda University of International Studies, Jepun, itu juga dibawa melawat kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar di Kampung Lubuk Batu, Segamat.

Beliau diiringi Pengerusi Persatuan Waris Temenggong Muar (Pewaris), Raja Abdul Rahman Raja Basok, dalam usaha membantu beliau menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar untuk dijadikan bahan rujukkan di universiti berkenaan.
Okushima, 39, berkata beliau dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di negaranya sedang berusaha menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar yang dikatakan berkaitan dengan pemerintahan Kesultanan Johor Lama.

Beliau mendakwa, dia sudah menjalankan kajian mengenai pemerintahan Kesultanan Johor Lama sejak 10 tahun lalu termasuk mengadakan lawatan di beberapa daerah di Kalimantan, Indonesia, Sabah dan Sarawak.

"Lawatan kami ke daerah ini dan Segamat dapat melengkapkan lagi hasil kajian yang dilakukan sebelum ini, sekali gus membolehkan buku yang bakal diterbitkan itu mengandungi bahan sejarah tempatan yang lengkap.
"Saya gembira dan bersyukur kerana berpeluang melihat sendiri enam keturunan makam Temenggong Muar, di Segamat dan satu lagi di daerah ini iaitu, di Kampung Pengkalan Kota,” katanya yang fasih berbahasa Melayu/Indonesia ketika ditemui di kampung berkenaan.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Pengkalan Kota, Anuar Hamzah dan Tengku Khairul Azuan Tengku Saedin, 26, iaitu salah seorang waris keturunan Almarhum Sultan Hussin Shah, Sultan Johor ke-16 yang kini menetap di Bukit Siput, Segamat.

Awal Januari lalu, Okushima menghantar beberapa e-mel dalam bahasa Melayu kepada Pewaris dengan menyatakan hasrat untuk datang ke Muar bagi meninjau kesan peninggalan sejarah pembesar Muar itu.

Antara isi kandungan e-melnya, beliau menyatakan beliau dari Jepun dan seorang pengkaji antropologi serta pernah menyelidik sejarah daerah Sabah dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau mendapatkan maklumat mengenai sejarah pemerintahan Temenggong Muar melalui laman lama web Pewaris.com selepas beberapa laporan mengenai disiarkan di akhbar ini, baru-baru ini.

Hasil kajiannya selepas bertemu dengan penduduk tertua di wilayah Kalimantan, Sabah dan Sarawak, beliau berjaya mengumpul sejarah lisan mengenai Kesultanan Bulungan, di sempadan Sabah-Indonesia.

Katanya, kajian itu mendapati seorang putra Sultan Johor dikatakan berkahwin dengan saudara perempuan Sultan Bulungan, Kaharudin 1 dan meninggal dunia pada 1850, di mana keturunannya menjadi bangsawan Muar.

Abdul Rahman berkata, di Segamat, Okushima diberi penerangan mengenai kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar oleh mantan Penghulu Mukim Sungai Segamat, Ahmad Sulaiman, 59, bersama Tengku Khairul Azuan.

Katanya, Okushima dibawa melawat makam Temenggong Muar serta kerabat di Kampung Lubok Batu.

Beliau berkata, Okushima juga diberi penerangan mengenai sejarah pembukaan Segamat oleh Bendahara Tepok atau Bendahara Lubok Batu iaitu keturunan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka terakhir pada 1511.

Anuar pula berkata, mengikut Sejarah Melayu, Bukit Kepong dan Lenga, hulu Sungai Muar, asalnya dikenali sebagai Teluk Dalam, kerana di situ terdapat sebuah telok yang dalamnya 14 meter.

Beliau berkata, di tepi tebing teluk yang tinggi di Teluk Dalam itu dikatakan tempat membina istana pemerintah Muar yang berpusat di hulu Sungai Muar.

Menurut Tengku Khairul, sejarah pemerintahan Temenggong Muar berkait rapat dengan pemerintahan Sultan Hussin Shah dan Sultan Ali yang bermula pada 1707.


Beliau berkata, pemerintahan Temenggong Muar bermula pada 1707 dan berakhir pada tahun 1935.

Sumber : oleh  Jamaludin Husin, Berita Harian  20/Mac/2009.

Tiada ulasan: