Salam Perjuangan

13 Jun 2013

KAWAL KENDIRI MEDIA SOSIAL

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang mewujudkan peraturan kawalan kendiri bagi memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang disampaikan.

Menurut Perdana Menteri, cadangan itu bertujuan mengelak wujudnya kumpulan penulis yang tidak diketahui atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini.
Serentak itu, beliau turut menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik blog, portal serta media sosial yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih dan berbentuk fitnah.

"Walau apa pun kita akan memastikan cadangan ini tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia bahawa tiada tapisan terhadap internet," katanya.
Beliau berucap dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 di sini malam ini.

Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Naib Presiden Eksekutif Urusniaga Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Najib berkata, cadangan itu tidak bermakna kerajaan akan mengambil tindakan melesenkan portal berita sebagaimana yang dilakukan negara jiran.

Sebaliknya, kata beliau, langkah itu bertujuan memelihara keharmonian nasional dan kerajaan juga akan terus menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengekang usaha pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen ras, agama dan bahasa.

"Ini termasuk tindakan memperkecil institusi raja berperlembagaan mahupun 'subvert' sistem demokrasi berparlimen yang akan dikenakan tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pengamal media arus perdana terikat dengan kod etika yang begitu tinggi dalam menyampai berita dan maklumat kepada orang ramai.

Najib turut berkongsi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai wartawan menyebarkan pembohongan, fitnah, hasutan dan kebencian menerusi media sosial.

"Sesungguhnya tindakan itu tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berterusan akan mendatangkan kesan buruk pada masa depan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dipilih sebagai penerima Hadiah Kajai 2012 melalui laporannya yang bertajuk 'Graduan Palsu'. (sumber: UM, 13/06/13)

Tiada ulasan: