Salam Perjuangan

10 Jun 2013

BERSARA PILIHAN & KE GERBANG PERSARAAN WAJIB

TB ingin menyentuh tentang hakikat,kenyataan dan cerita di sebaliknya berhubung frasa topik 'Bersara Pilihan dan Ke Gerbang Persaraan Wajib' sebagai takah-takah yang akan ditempuhi dan dihadapi oleh para pekerja sama ada di sektor awam dan swasta. Bagi pekerja sektor persendirian istilah ';bersara' agak subjektif dan terserahlah kepada individu itu sendiri tanpa batasan dan sempadan.Sehubungan ini sudah tentulah TB hanya memfokuskan kepada para penjawat awam sahaja.

Penjawat awam baik yang berada di tingkat tertinggi kumpulan khas Jusa A mahupun di gred kumpulan sokongan ke bawah, sudah sedia maklum mereka terikat dan tertakluk dengan Perintah Am Kerajaan (General Order) selagi mereka masih berkhidmat. bahkan mereka yang telah layak bersara dan telah bersara juga masih terikat dengan peraturan kerajaan di bawah Akta Pencen yang kini dikawal selia di bawah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA.

Hasil daripada perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja yang di bawah naungan CUEPACS kini persaraan wajib kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun dan kemudian 58 tahun. terpulanglah kepada penjawat selepas usia bersara wajib 55 tahun sama ada mahukan opsyen 56 atau 58.Selepas 58 kakitangan kerajaan masih lagi boleh berkhidmat secara kontrak tahun demi setahun sehingga maksimum 65 tahun bergantung kepada keperluan,kesihatan dan sokongan.

Sehubungan ini, TB mahu meneceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan baru (SSB) dahulu, penjawat awam boleh mohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan ketua jabatan atau majikan.Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika umur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika umur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara dilluluskan.Namun demikian, TB nasihatkan para pembaca yang berminat membaca topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes ini.

Walau bagaimana pun warga Kementerian Pelajaran Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran /P&P (mungkin ada kementerian lain juga menggariskan klausa dan peraturan tambahan) tidak membenar bersara pilihan tatkala usia 40 tahun atas alasan keperluan kritikal. Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan ke Ketua Pengarah Pelajaran/ Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan.Ingat, bukan semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan kelulusan bahagian-bahagian lain terlebih dahulu.

Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan 5-6 tahun lalu memberitahu bahawa beliau telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan persiapan telah dikemaskinikan. Beliau berasa kecewa kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme dan ketua jabatan yang tidak amanah!

Bayangkan selama hampir 30 tahun beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk memberi markah untuk penilaian prestasi.Walhal jika mengikut prosedur JPA, semua penilai WAJIB bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan.lni jelas melanggar etika dan peraturan.Apatah lagi jika kedapatan ketua jabatan atau ketua pejabat dalam ada dalam set minda memberi gambaran negatif dan prasangka peribadi kepada penjawat awam di bawahnya.

Menurut penjawat awam tersebut beliau amat hilang kepercayaan dan bertegas memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada majikannya.
2.Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan yang dimahukannya,usianya genap 50 tahun.Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.
3. Tindak pernah dan bebas daripada Tindakan Tatatertib.
4. Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.
5.Tugas yang disandangnya kini bukan kategori perkhidmatan kritikal.
6. Bebas daripada ikatan perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.
7. Bebas daripada Pinjaman Perumahan Kerajaan , Kenderaan Kerajaan dan Cukai Jabatan Hasil Dalam Negeri.
8. Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan-kesalahan yang melanggari syarat.
9.Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan termasuk telah mengikuti kursus keusahawanan anjuran kerajaan.
10.Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan 10 perkara di atas maka tepat pada usia tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan' bersara pilihan dengan dibayar kuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya.Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini. Di samping menghadapi kesihatan dan maut menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Mereka yang telah mendapat ;'title' itu adalah insan-insan terpilih oleh Allah SWT terutama yang Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri dan Bersara Wajib. Selamat berjuang dan usah mengalah dalam kehidupan ini.(TB)

Tiada ulasan: