Salam Perjuangan

25 Jun 2013

PELAJAR DAPAT 'A' PUN TAK TAHU SEJARAH

Ramai pelajar kurang berpengetahuan mengenai sejarah negara walaupun berupaya mencatat gred 'A' dalam peperiksaan, kata sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
   
Tokoh akademik terkenal itu berkata ramai daripada mereka bukan saja tidak dapat menghargai sejarah tetapi juga gagal mempelajari sejarah negara yang sebenarnya begitu menarik.
   
"(sebagai contoh) Saya tanya siapakah Tun Tan Cheng Lock, mereka hanya tersenyum dan tidak tahu jawapannya. Malah sesetengah daripada mereka tidak tahu sejarah sekolah sendiri pun. Ini amat menyedihkan.
   
"Jika anda tahu sejarah, anda akan terkejut dengan bagaimana negara ini boleh terbentuk," katanya pada pembentangan di 'Second Education Nation Conference', di sini hari ini.
     
Khoo juga berasa kesal kerana sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sekarang telah menukar kaedah pembelajaran, menyebabkan ramai yang belajar dengan cara menghafal, bukan menerusi pemahaman.

"Pada masa dulu, untuk mendapat 70 markah pun susah, tetapi sekarang mereka boleh dapat 90 ke atas.
   
"Ramai pelajar sekolah sekadar menghafal esei kerana mereka boleh agak topik apa yang akan keluar dalam peperiksaan," katanya.
   
Katanya guru harus menilai semula peranan mereka dan menjadi tenaga pengajar yang lebih efektif yang dapat bekerja dengan pelajar untuk membangunkan minda bukan sekadar membantu mereka mendapat keputusan 'A' dalam peperiksaan.
   
"Saya harap sistem pendidikan kita dapat membantu orang muda mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara, mencintai negara ini, sekali gus melakukan lebih banyak kebaikan untuk negara," katanya.
   
Persidangan dua hari itu dianjurkan Asian World Summit dan bertujuan mengumpul pandangan akan bagaimana institusi pendidikan tinggi dapat menyumbang ke arah mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi menjelang 2020, selain memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan lulusannya mempunyai tahap boleh upah lebih tinggi.(sumber: SH,25/06/13)
   

13 Jun 2013

APABILA MELAYU TIDAK MENGAKU MELAYU

ADA segelintir orang Melayu sudah malu mengaku diri mereka orang Melayu, kata Sultan Selangor. Baginda telah menyampaikan titah mengenai keadaan orang Melayu pada hari yang tepat masanya dan wajar difikirkan oleh orang Melayu.
 
Sudah nampak orang Melayu yang inginkan sokongan bukan Melayu sanggup membuat pengakuan yang bangsa Melayu itu tidak penting.
 
Tujuan mereka tentulah berbau politik. Dalam kucar-kacir yang berlaku dalam arena politik kumpulan atau individu yang tidak faham mentadbir hari ini, kita tentulah tidak hairan kerana mereka yang menjadi pengikut begitu taksub sehingga sanggup melihat satu-satunya benteng orang Melayu, iaitu agama Islam dipermainkan dengan diberikan terjemahan yang lain dan orang Melayu yang berada di situ tidak ada yang berani bersuara.
 
Begitulah hinanya orang Melayu diletakkan oleh orang lain dan kita sendiri tidak berani mengatakan apa-apa. Sebab apa...,sebab takut nanti hilang sokongan bangsa lain kepada parti politik kita. Tidak cukup penghinaan yang begitu, kita sendiri mengatakan Ketuanan Melayu tidak penting. Apa-apa dasar yang memberikan pertolongan kepada orang Melayu tidak penting, kerana orang Melayu hari ini sudah tidak perlukan bantuan itu semua.
 
Tidak mengapalah kalau keadaan menunjukkan yang kita ini jauh tinggal di belakang bangsa lain. Tidak mengapalah kalau keadaan ketidaksamaan ini berlanjutan sampai bila-bila demi kepentingan politik kita. Berkaitan dengan keadaan ada segelintir orang Melayu yang berasa segan diri mereka dikenali sebagai orang Melayu, kita juga berasa sedih apabila ramai dalam kalangan orang Melayu tidak pandai menggunakan bahasa Melayu.
 
Lihat saja persidangan akhbar syarikat-syarikat milik kerajaan yang diketuai orang Melayu. Boleh dikatakan tidak pernah berjalan dalam bahasa Melayu. Maklumlah ketua-ketua eksekutif kita terlatih di luar negara dan penguasaan bahasa Melayu mereka lemah sekali. Lagi pun, lebih mudah menggunakan bahasa Inggeris, sebab ada wartawan-wartawan yang datang pun tak faham bahasa Melayu, tambahan lagi ada perkataan seperti Quantitative Easing yang susah hendak diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
 
Tetapi siswa dan siswazah kita kena belajar di universiti kita dalam bahasa Melayu. Tak mengapalah kalau rakan mereka di universiti swasta belajar dalam bahasa Inggeris. Jadi, kalau mereka dari universiti awam ini mencari kerja di sektor swasta, mereka akan bersaing dengan siswa lulusan dari universiti swasta. Tidak mengapa jika mereka diketepikan kerana mereka boleh jadi petani moden.
 
Sesiapa yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu pada hari ini boleh dianggap ketinggalan zaman kerana yang penting hari ini adalah merit. Penjawat awam pun ramai yang enggan mengetengahkan hak dan kepentingan orang Melayu. Sebab itulah, jumlah rungutan kepada Biro Pengaduan Awam tentang penjawat awam yang angkuh bertambah lagi.
 
 
Keadaan semasa menunjukkan bukan saja jurang antara orang Melayu dengan bangsa lain masih luas tetapi jurang sesama orang Melayu sendiri semakin meluas. Ertinya yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin. Ketidakseimbangan antara negeri-negeri juga masih luas. Tetapi itu semua tidak penting kerana sesiapa yang tidak mampu bersaing dalam zaman liberalisasi dan globalisasi hari ini, mereka akan ketinggalan.
 
Lagi pun, di negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat, ramai rakyatnya yang merempat. Di India dan Indonesia misalnya, ramai yang masih tidur di bawah jambatan dan di ruang hadapan hotel-hotel. Jadi, apa hendak hairan kalau ada orang Melayu yang masih tinggal dalam rumah seperti reban ayam atau reban kambing.
 
Sekurang-kurangnya, mereka tidak tinggal di bawah jambatan atau di hadapan hotel Hilton atau Shangri-la.
 
Kalau sudah orang Melayu sendiri tidak mengaku diri mereka orang Melayu, elok sangatlah dilaksanakan cadangan yang dibuat oleh seseorang Melayu dahulu iaitu di bawah ruangan bangsa dalam kad pengenalan, letak sahaja perkataan Malaysia, bukan perkataan Melayu. Senang bukan?. Cuma orang-orang seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tidak setuju, sebab dia mengira Melayu dahulu, rakyat Malaysia di tempat kedua.
 
Apalah nak jadi dengan orang Melayu yang tak mengaku diri mereka orang Melayu? Kita letakkan saja mereka di sebelah kerana dalam alif ba ta, sekali ba itu bangsa dan kalau sudah tak mahu mengaku bangsa biarkan sajalah. Tidak hairanlah kalau perkara yang lain-lain berkaitan dengan bangsa pun tidak penting lagi bagi mereka seperti budaya, agama dan penggunaan bahasa Melayu.
Mudah bagi kita untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu tanpa mereka yang tidak mahu mengaku orang Melayu ini mengganggu kita dari semasa kesemasa.(sumber:UM, 13/06/13)


KAWAL KENDIRI MEDIA SOSIAL

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang mewujudkan peraturan kawalan kendiri bagi memastikan pengamal media sosial lebih bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang disampaikan.

Menurut Perdana Menteri, cadangan itu bertujuan mengelak wujudnya kumpulan penulis yang tidak diketahui atau 'anonymous' dalam kalangan pengamal-pengamal media sosial di negara ini.
Serentak itu, beliau turut menegaskan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik blog, portal serta media sosial yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih dan berbentuk fitnah.

"Walau apa pun kita akan memastikan cadangan ini tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia bahawa tiada tapisan terhadap internet," katanya.
Beliau berucap dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2013 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012 di sini malam ini.

Yang hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan dan Naib Presiden Eksekutif Urusniaga Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Dalam perkembangan sama, Najib berkata, cadangan itu tidak bermakna kerajaan akan mengambil tindakan melesenkan portal berita sebagaimana yang dilakukan negara jiran.

Sebaliknya, kata beliau, langkah itu bertujuan memelihara keharmonian nasional dan kerajaan juga akan terus menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk mengekang usaha pihak yang cuba menanam perpecahan menggunakan elemen ras, agama dan bahasa.

"Ini termasuk tindakan memperkecil institusi raja berperlembagaan mahupun 'subvert' sistem demokrasi berparlimen yang akan dikenakan tindakan sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah, pengamal media arus perdana terikat dengan kod etika yang begitu tinggi dalam menyampai berita dan maklumat kepada orang ramai.

Najib turut berkongsi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 selepas kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai wartawan menyebarkan pembohongan, fitnah, hasutan dan kebencian menerusi media sosial.

"Sesungguhnya tindakan itu tidak menguntungkan sesiapa. Aliran ini jika dibiarkan berterusan akan mendatangkan kesan buruk pada masa depan," katanya.

Sementara itu, dalam majlis tersebut, wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dipilih sebagai penerima Hadiah Kajai 2012 melalui laporannya yang bertajuk 'Graduan Palsu'. (sumber: UM, 13/06/13)

10 Jun 2013

BERSARA PILIHAN & KE GERBANG PERSARAAN WAJIB

TB ingin menyentuh tentang hakikat,kenyataan dan cerita di sebaliknya berhubung frasa topik 'Bersara Pilihan dan Ke Gerbang Persaraan Wajib' sebagai takah-takah yang akan ditempuhi dan dihadapi oleh para pekerja sama ada di sektor awam dan swasta. Bagi pekerja sektor persendirian istilah ';bersara' agak subjektif dan terserahlah kepada individu itu sendiri tanpa batasan dan sempadan.Sehubungan ini sudah tentulah TB hanya memfokuskan kepada para penjawat awam sahaja.

Penjawat awam baik yang berada di tingkat tertinggi kumpulan khas Jusa A mahupun di gred kumpulan sokongan ke bawah, sudah sedia maklum mereka terikat dan tertakluk dengan Perintah Am Kerajaan (General Order) selagi mereka masih berkhidmat. bahkan mereka yang telah layak bersara dan telah bersara juga masih terikat dengan peraturan kerajaan di bawah Akta Pencen yang kini dikawal selia di bawah Bahagian Pasca Perkhidmatan JPA.

Hasil daripada perjuangan kesatuan-kesatuan sekerja yang di bawah naungan CUEPACS kini persaraan wajib kakitangan kerajaan dilanjutkan daripada usia 55 tahun ke 56 tahun dan kemudian 58 tahun. terpulanglah kepada penjawat selepas usia bersara wajib 55 tahun sama ada mahukan opsyen 56 atau 58.Selepas 58 kakitangan kerajaan masih lagi boleh berkhidmat secara kontrak tahun demi setahun sehingga maksimum 65 tahun bergantung kepada keperluan,kesihatan dan sokongan.

Sehubungan ini, TB mahu meneceritakan serba sedikit apa yang dikatakan bersara pilihan pencen berbayar dan bersara pilihan pencen tidak berbayar. Mengikut Pekeliling Sistem Saraan baru (SSB) dahulu, penjawat awam boleh mohon bersara awal ketika umur 40 tahun dengan kelulusan ketua jabatan atau majikan.Namun pencen bulanan hanya akan dibayar kepada penjawat lelaki ketika umur 50 tahun, manakala penjawat wanita ketika umur 45 tahun berdasarkan perkiraan gaji akhir semasa permohonan bersara dilluluskan.Namun demikian, TB nasihatkan para pembaca yang berminat membaca topik ini, sila rujuk pekeliling terkini berhubung kes ini.

Walau bagaimana pun warga Kementerian Pelajaran Malaysia  di sektor pengajaran dan pembelajaran /P&P (mungkin ada kementerian lain juga menggariskan klausa dan peraturan tambahan) tidak membenar bersara pilihan tatkala usia 40 tahun atas alasan keperluan kritikal. Mereka hanya dibenarkan bersara pilihan bagi lelaki 50 tahun dan wanita 45 tahun dengan mengajukan permohonan ke Ketua Pengarah Pelajaran/ Ketua Bahagian masing-masing untuk kelulusan.Ingat, bukan semudah itu! Ada syarat-syarat di peringkat sumber manusia dan kelulusan bahagian-bahagian lain terlebih dahulu.

Seorang penjawat awam daripada kumpulan profesional yang terbabit secara langsung dalam sektor pendidikan 5-6 tahun lalu memberitahu bahawa beliau telah mula merancang mahu bersara awal ketika berusia 48 tahun. Borang permohonan dan persiapan telah dikemaskinikan. Beliau berasa kecewa kerana peluang untuk kenaikan pangkat agak tipis kerana amalan kronisme dan ketua jabatan yang tidak amanah!

Bayangkan selama hampir 30 tahun beliau berkhidmat dengan penuh dedikasi, ketua jabatan atau wakilnya tidak pernah bersemuka menemuinya untuk memberi markah untuk penilaian prestasi.Walhal jika mengikut prosedur JPA, semua penilai WAJIB bersemuka dan berbincang untuk tujuan pemarkahan.lni jelas melanggar etika dan peraturan.Apatah lagi jika kedapatan ketua jabatan atau ketua pejabat dalam ada dalam set minda memberi gambaran negatif dan prasangka peribadi kepada penjawat awam di bawahnya.

Menurut penjawat awam tersebut beliau amat hilang kepercayaan dan bertegas memegang prinsip kentalnya mahu bersara pilihan kerana 10 faktor berikut:

1.Hilang kepercayaan dan keyakinan kepada majikannya.
2.Kelayakan pada tarikh bermulanya permohonan yang dimahukannya,usianya genap 50 tahun.Beliau mengajukan permohonan ketika berusia 49 tahun.
3. Tindak pernah dan bebas daripada Tindakan Tatatertib.
4. Tidak pernah disabitkan dengan hukuman atau perintah mahkamah yang menyebabkan hilang kelayakan.
5.Tugas yang disandangnya kini bukan kategori perkhidmatan kritikal.
6. Bebas daripada ikatan perjanjian biasiswa/pinjaman pelajaran kerajaan.
7. Bebas daripada Pinjaman Perumahan Kerajaan , Kenderaan Kerajaan dan Cukai Jabatan Hasil Dalam Negeri.
8. Bebas dan melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri yang disabitkan dengan rasuah dan apa jua kesalahan-kesalahan yang melanggari syarat.
9.Mahu berkhidmat dan berjuang di luar sektor kerajaan termasuk telah mengikuti kursus keusahawanan anjuran kerajaan.
10.Telah cukup syarat berkhidmat lebih daripada 600 bulan sebagai kakitangan kerajaan terlatih yang telah disahkan dalam perkhidmatan awam.

Berdasarkan 10 perkara di atas maka tepat pada usia tarikh hari lahirnya, beliau 'dianugerahkan' bersara pilihan dengan dibayar kuat kuasa pencen bulanan dan ganjaran imbuhan yang sepatutnya selama tempoh perkhidmatannya.Sebenarnya memperoleh 'anugerah' pesara kerajaan bukanlah mudah pada zaman yang penuh pancaroba ini. Di samping menghadapi kesihatan dan maut menjemput, penjawat awam juga tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan cubaan kehidupan seperti salah laku rasuah, jenayah, pecah amanah dan sebagainya ketika meniti hari-hari ke gerbang persaraan wajib. Mereka yang telah mendapat ;'title' itu adalah insan-insan terpilih oleh Allah SWT terutama yang Bersara Pilihan Atas Pilihan Sendiri dan Bersara Wajib. Selamat berjuang dan usah mengalah dalam kehidupan ini.(TB)

04 Jun 2013

KHIR TOYO: DAMPINGI KELUARGA SEBELUM KE PENJARA?

TB bukanlah Paparazi yang mahu meneropong dan menangkap foto Khir Toyo bekas Menteri Besar Selangor yang baru-baru ini ditolak rayuan oleh mahkamah rayuan Shah Alam yang tetap mengenakan hukuman penjara satu tahun ke atasnya.

Kira-kira jam 4 petang tadi, TB memerhatikan Dr Khir Toyo bersama isteri dan anak-anaknya sedang bersantai menikmati makanan di sebuah restoran segera di luar negeri Selangor. Walaupun timbul simpati mendalam di lubuk hati TB sebagai seorang suami dan bapa serta juga pemimpin NGO, namun kisah Khir Toyo dan penyapu tetap menjadi kenangan dan cerita gurauan orang awam. Bagi TB, Khir Toyo yang 'naik nama' dalam usia muda menjadi teladan kepada mana-mana individu bahawa selama-lamanya manusia tidak boleh berada di tahap teratas di puncak kemasyhuran.

TB biarkan pemandangan yang TB lihat itu. Bagi TB itu juga mungkin saat-saat manis beliau bersama anak-anaknya pada hari-hari terakhir beliau sebelum menjadi penghuni di sebuah penjara kelak. Apa jua musibah dan kejayaan yang diterima; ada hikmahnya yang Allah berikan. Tidak ada manusia yang sempurna sifatnya. Adalah lebih baik, kita reda, pasrah dan mohon taubat dalam apa jua situasi. Semoga hari esok buat insan lemah seperti kita akan disinari cahaya gemerlapan dalam peluang kedua kelak. Amin. (TB)

S. SHAMSUDDIN MENINGGAL DUNIA


SENIMAN S.SHAMSUDDIN

PELAKON komedi seangkatan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Datuk Aziz Satar iaitu Seniman S. Shamsuddin telah disahkan meninggal dunia pukul 10.56 pagi ini.Pelakon veteran berusia 84 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura.

Allahyarham terkenal melalui lakonannya bersama P. Ramlee dan Aziz Satar dalam filem-filem seperti Panggilan Pulau, Bujang Lapuk, Pendekar Bujang Lapuk Seniman Bujang Lapuk, Sarjan Hassan, Nujum Pak Belalang dan Tiga Abdul. (Sumber :UM 4/6/2013).

TB: ALFATIHAH...... Terasa sebak..mengenangkan seniman sepanjang zaman.Teringat topi ala Kassim Baba yang dipakainya dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapuk' menjadi gurauan keluarga apabila mengingatkan topi itu seakan topi bayi TB yang baru berusia 3 bulan! Kelakar habis! Al-Fatihah.....


CINA MALAYSIA YANG MENGAKU ORANG CINA..... BUKAN ORANG MALAYSIA: SALAH SIAPA?




Masyarakat Cina sungguh beruntung tinggal di negara ini kerana dasar-dasar sederhana kerajaan Malaysia. - Gambar hiasan.

PANTANG saya menulis dalam akhbar Mingguan Malaysia minggu lalu, menyentuh sedikit isu mengenai orang Cina, dunia bagai nak kiamat. Diperbesar-besarkan oleh laman web ultra kiasu untuk dijadikan bahan makian dan cacian. Seperti biasa, bukan hujah yang dibahas, peribadi menjadi mangsa dan diserang.

Saya tidak percaya bila ultra kiasu selalu berkata, "I am Malaysian 1st." Jika Malaysia didahulukan, bermakna agenda nasional mesti diutamakan. Misalnya, bahasa kebangsaan, sekolah kebangsaan, kebudayaan kebangsaan, pakaian kebangsaan, upacara rasmi kebangsaan dan banyak lagi yang bersifat kebangsaan.

Adakah semua ini dihormati dan disambut oleh ultra kiasu dengan baik dan berlapang dada. Lihatlah sahaja majlis angkat sumpah pelantikan Exco di hadapan Sultan Selangor dan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Itulah ragam ultra kiasu.

Paling sedih, sehinggakan ke peringkat mereka mahukan mensyaratkan menteri (timbalan) pendidikan mesti boleh berbahasa Cina untuk berurusan dengan Cina dan menjaga sekolah Cina. Mereka mempertikaikan pelantikan Datuk Mary Yap sebagai Timbalan Menteri Pendidikan, kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Banyak cantik muka. Nasihat saya, berhijrahlah ke tempat yang ada menteri sedemikian.

Ketika memberi respon, Mary Yap dengan bangga berkata, beliau tidak perlu malu kerana tidak boleh berbahasa Mandarin, yang penting kena buat kerja.
MP Tawau ini berpendapat, beliau tidak mewakili kaum Cina tetapi wakil kepada rakyat Malaysia. Beliau telah berkhidmat di bawah kementerian pendidikan hampir 36 tahun dan telah berjumpa dengan pelbagai kaum dan guru. "Saya tak lihat diri sebagai mewakili orang Cina tetapi sebagai orang Malaysia. Inilah 1Malaysia. Tapi bila cakap mengenai pendidikan Cina, ia merupakan sebahagian daripada tugas saya untuk menyelesaikannya".

Terus terang, untuk setakat ini, saya kagum dengan pandangan sebegini, bertepatan dengan amalan 1Malaysia. Inilah yang membezakan antara bukan Melayu (Cina) di Semenanjung dengan Cina Sabah dan Sarawak. Cina Sabah Sarawak lebih terbuka dan tidak ultra kiasu, semangat 1Malaysia amat tinggi, berbanding sebahagian mereka di sini. Kita perlu banyakkan menteri (timbalan) bukan Melayu seperti ini.

Kenapa Mary Yap agak berbeza dengan ultra kiasu yang lain? Hujahnya mudah, mereka lebih terdedah kepada pribumi dan bumiputera di sana. Berbanding di sini, setiap hari sosialisasi politik mereka dalam apa jua bidang amat bersifat ultra kiasu (perkauman).

Kita tentu masih ingat, sebelum ini ultra kiasu mensyaratkan, guru-guru bukan Cina yang mengajar Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) di SJKC mesti mendapat kredit bahasa Cina dalam SPM. Jika tidak, mereka tidak layak untuk mengajar di SJKC. Kerajaan terpaksa akur kerana mahukan undi mereka. Sebahagian besar guru BM dan BI bukan Cina telah dikeluarkan daripada SJKC. Begitu juga dengan kerani-kerani Melayu pun perlu menguasai bahasa Cina.

Saya tidak faham, sedangkan semua sekolah ini berada dalam sistem pendidikan negara berpaksikan Perlembagaan, menjunjung agenda negara. Semua gaji mereka dan prasarana disediakan oleh kerajaan. PRU-13 membuktikan, bahawa pemberian tidak dibalas. Apakah kita akan teruskan permainan ini?

Bandingkan, sekolah agama (kebangsaan) tidak pula mensyaratkan guru-guru bukan Melayu yang mengajar BI mesti boleh menguasai bahasa Arab. Jika itulah yang dilakukan, bayangkan berapa banyak bantahan akan dikemukakan kepada kerajaan kerana tidak berlaku adil.

Melalui sistem ini, bahasa Arab masih boleh dikuasai, walaupun tidak sepenuhnya. Melayu tidak perlu menjadi orang Arab untuk menguasai bahasa Arab. Sebab itu, sukar untuk saya terima idea untuk mencinakan sekolah Cina secina-cinanya, barulah bahasa Cina boleh dikuasai dengan baik dan menjadi Cina tulen. Itupun kerajaan membenarkan operasinya. Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada pada bangsa lain. Malangya tidak dihargai.

Ingatan saya kepada kerajaan, jangan terlalu mengemis untuk mendapat simpati mereka. Jika madu yang diberi, tuba yang dibalas, segerakan pelaksanaan BM sebagai pengantar. Gunakan akta pelajaran 1996 untuk kuat kuasakan BM di semua jenis sekolah, walaupun kuasa untuk menghapus sekolah vernakular sudah tidak ada lagi, kerana peruntukan akta tersebut telah dihapuskan dengan kewujudan Akta Pelajaran 1996.

Terbaharu, berlaku 'percanggahan' pendapat antara Ahli Lembaga Sekolah Chong Hwa dengan Dong Zong mengenai kedudukan Sekolah Persendirian Cina (SPC) di Kuantan. Ahli lembaga SPC Chung Hwa hanya mahukan satu sahaja di Kuantan. Jika Dong Zong mahukan SPC lain, cari tempat lain, tetapi bukan di Kuantan, takut berlaku persaingan.

Dong Zong tetap berkeras mahukan sebuah lagi SPC di Kuantan. Persoalan saya, tidak cukupkah lagi apa yang ada? Perlukan SPC menjadi secina-cinanya? Chong Hwa mahukan pelajarnya mengambil SPM dan UEC sebagai menyahut seruan kerajaan. Manakala Dong Zong tidak bersetuju dengan idea kerajaan (juga Chong Hwa) untuk menggunakan silibus kebangsaan dan medium bahasa Melayu. Chong Hwa dilarang menduduki UEC yang dikendalikan Dong Zong jika mahu mengikut syarat kerajaan.

Dong Zong hanya mahukan UEC yang tulen. Dong Zong tidak mahu pelajarnya cair kecinaan, jika berada di Chong Hwa yang mahu bertolak ansur dengan kerajaan dalam menjunjung agenda kebangsaan.

Saya harap Kementerian Pendidikan yang baharu dapat melihat perkara ini dengan serius. Apakah kita ingin terus lahirkan manusia yang menterbalikkan Jalur Gemilang seperti yang dilakukan oleh bekas pelajar UEC di Taiwan? Perkara ini tidak mustahil berlaku lagi kerana jiwa ultra kiasu mereka sudah lama bersarang dalam sanubari melalui pendidikan yang telah diperolehi.

Lebih ultra lagi, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) sebelum ini bersungut mengenai komposisi dalam senarai anggota Kabinet yang didakwa tidak banyak membariskan wakil daripada kaum Cina untuk menyelesaikan masalah mereka.

Persoalan saya, di manakah kita berada? Perlukah sangat menteri Cina untuk jaga orang Cina? Adakah selama ini menteri Melayu tidak menjaga orang Cina? Siapa yang perlu menjaga siapa? Siapa yang harus mengenang budi dan membalas jasa siapa?
Di China dan India, siapakah yang mewakili Cina (India) Muslim di sana untuk mendengar masalah mereka? Sedarkah kita betapa beruntungnya bukan Melayu di negara bertuah ini?

Dengan sebab itu, saya amat risau idea menjadikan BN satu parti. Kita mungkin bersangka baik. Orang lain bagaimana? Bahayanya, apabila undian dijalankan, sudah tentu undi UMNO (Melayu) hanya ada satu, berbanding 12 wakil parti komponen yang lain. Hanya UMNO sahaja yang akan bercakap soal kepentingan Melayu (Islam). Itupun jika semua faham. Ada segelintir dalam UMNO yang telah mati hati Melayunya kerana dikaburi oleh wang yang digula-gulakan oleh ultra kiasu.
Selain itu, apa yang tergambar dalam fikiran ultra kiasu ini? Bila idea ini dibangkitkan, ultra kiasu tanpa melihat kedudukan mereka, mengeluarkan kenyataan, Timbalan Perdana Menteri (TPM), paling kurang mesti ada tiga iaitu TPM mewakili Sabah Sarawak, Cina dan India. Yang peliknya, orang Sabah dan Sarawak tidak pula kedengaran membincangkannya dengan serius!

Kenapa ultra kiasu di Semenanjung begitu obsess dengan jawatan TPM? Kenapa tidak sebut sahaja perlu ada jawatan 3 jenis PM?
Dalam kepala otak mereka, tidak ada perkara lain, soal bangsa, bangsa, bangsa. Bagaimana dengan Orang Asli dan etnik minoriti yang lain? Berapa banyak jawatan TPM hendak diwujudkan untuk memuaskan hati semua pihak.

Pada saya, yang paling layak untuk jadi TPM adalah orang Melayu, Orang Asli dan wakil Sabah serta Sarawak. Titik. Kedudukan mereka begitu jelas. Mereka layak menjadi TPM untuk Malaysia, kerana mereka tahu dan faham sejarah Malaysia. Mereka menyahut agenda kebangsaan dan bahasa Malaysia mereka tip-top. Yang lain belum tentu.

Cuba intai-intai perbahasan ultra kiasu dalam Dewan Rakyat selepas ini. Kalau boleh, kita tidak mahu dengar lagi kata-kata; "Tuan Speaker, dengan izin". Hanya kerana mereka tidak terjumpa atau terlintas perkataan dalam BM.
Sebagai menghormati negara ini berasaskan kepada ketuanan Melayu dan Islam, tidak salah jika jawatan PM dan TPM hanya dikhususkan untuk orang Melayu (Islam). Jawatan lain, kongsilah dengan bangsa lain. Perkara ini adalah biasa dan lumrah. Apakah bukan Melayu tidak belajar daripada Singapura. Pernahkah jawatan menteri kanan (perkhidmatan awam) diserahkan kepada orang Melayu walaupun Singapura itu negara berasaskan ketuanan Melayu (Islam). Janganlah hipokrit.

Saya yakin selepas bosan jadi TPM, mereka menuntut untuk menjadi PM pula. Sekarang ini memanglah mereka berkata kononnya tidak berminat.
Agenda Melayu (Islam) mesti diteruskan. Jati diri mesti diperkasakan. Melayu tidak boleh hanyut dalam arus sekular. Hati Melayu tidak boleh mati. Ini kerana bangsa lain, tidak pernah cairkan identiti mereka atas semangat 1Malaysia. Misalnya, aktiviti belia dan sukan. Identiti atau jati diri apakah yang akan mengakari? Di manakah kedudukan kebudayaan kebangsaan, cara berpakaian dan sebagainya. Tidak cukup sekadar menyanyi lagu IM4U. Tidak ke mana, jika kita tidak bertegas dalam soal jati diri. ( Sumber :PROF. MADYA DR. MOHD. RIDHUAN TEE ABDULLAH, UPNM)

02 Jun 2013

GURU MELAYU BANGKITLAH DARIPADA TIDURMU!

DI SEKOLAH saya bekerja ada lebih 80 orang guru tetapi tidak sampai 10 peratus yang pangkah BN, yang lain semua pangkah pembangkang.

Malah seorang ustazah dengan bangga mengatakan bahawa dia pangkah DAP, kerana terlalu benci dan sakit hati kepada UMNO.

Dalam bilik guru semua guru bercakap tentang keburukan kerajaan. Menghentam UMNO. Mereka maki hamun kerajaan yang banyak menolong mereka. Apa saja kerajaan buat semuanya salah.

Fenomena ini bukan saja berlaku di sekolah saya malah sekolah seluruh Malaysia dan jabatan kerajaan yang lain. Saya tidak tahu apa masalah guru. Apa lagi mereka mahu. Di mana fikiran logik mereka sebagai seorang pendidik. Kemudahan terbentang luas. Bukti kejayaan di depan mata. Kebenaran sudah nampak, tetapi masih termakan hasutan pembangkang.

Duit tidak perlu cari cukup bulan cucuk saja. Bila bajet semua bertenggek depan TV nak tahu berapa bonus dapat. Orang kampung kena cari duit. Pendapatan tidak menentu. Tetapi mereka masih setia kepada UMNO yang berteraskan Islam dan Melayu.

Wahai guru belajarlah bersyukur dan berterima kasih. DAP penipu besar. Buat apa kita pangkah dia.
Dia guna PKR untuk menipu orang Melayu. Tetapi orang Melayu berpolitik sangat bodoh. Orang Cina sudah bersatu untuk menentang Melayu, tetapi kita berpecah belah. Buat fitnah sesama sendiri.

Marilah kita bersatu. Inilah formula yang terbaik untuk memperkukuhkan Islam dan orang Melayu. Kalau DAP dan MCA boleh berpakat dan bersatu, mengapa orang Melayu bermusuhan.

Negara kita pelbagai kaum, kalau kita tidak bersatu bangsa lain yang untung dan mereka tepuk tangan.
Lihatlah bangsa kita sudah tidak terurus dan porak-peranda.

Melayulah paling ramai menghasilkan anak luar nikah dan buang bayi. Melayulah paling ramai penagih. Bangsa apa yang menjadi peragut dan siapakah mat rempit, bohjan dan bohsia?

Sumbang mahram berlaku sana sini. Lihatlah berapa ramai anak Melayu tidak tahu mengucap dan tidak pandai membaca al-Quran.

Tetapi ustaz dan ustazah hanya pandai berpolitik di sekolah. Ini dosa siapa? Cuba tanya diri sendiri, pernahkah ustaz dan ustazah buat kelas tambahan untuk anak bangsa sendiri bagi menyelesaikan masalah ini? Tidak perlulah mencari kesalahan orang lain kalau tanggungjawab sendiri pun kita abaikan.

Kalau mahu wujudkan negara Islam kita mestilah Islam diri kita dahulu, lepas itu Islamkan keluarga kita, kemudian masyarakat seterusnya negeri dan akhir sekali barulah Islamkan negara.

Ummah mantap negara kuat. Bila kita kuat tidak ada isu murtad, isu kalimah Allah, isu buang kepala babi di kawasan masjid, isu memprotes suara azan dan akhir sekali tidak akan ada isu mengkristiankan umat islam.
Sejarah telah memberi banyak pengajaran dan tidak pernah menipu kita.

Lee Kuan Yew, PM Singapura pertama sanggup masuk kampung Melayu dan pakai songkok bagi mendapat sokongan orang Melayu untuk Singapura berpisah dengan Malaysia.

Akhirnya Melayu dapat hampas saja. Di Selangor DAP sanggup masuk masjid untuk menunjukkan mereka boleh membela Islam dan melayu.

Maka orang Melayu pun tersengeh termasuklah yang pakai serban dan berjanggut. Tetapi DAP kata orang Melayu sudah masuk perangkap.

Ekonomi dalam genggaman. Kuasa politik sebelah tangan. Pulau Pinang sudah tumbang. PKR dan Pas masih berangan-angan.

Percayalah bangsaku. DAP tidak pernah jujur dengan kita. Mereka ada muslihat. Mereka nak ubah seluruh sistem pemerintahan negara supaya menguntungkan mereka. Mereka tidak mahu emas. Mereka tidak mahu jambatan terpanjang. Mereka tidak mahu universiti. Mereka tidak mahu bangsa mereka ramai menjadi jutawan. Tetapi yang mereka mahu ialah Tanah Melayu, kuasa politik dan ekonomi orang Melayu.

Mereka nak buang Perlembagaan yang ada. Mereka mahu jadi perdana menteri. Mereka nak hapus sistem beraja. Mereka nak rampas semua hak orang melayu.

Sebab mereka tahu Melayu bodoh. Wahai bangsaku cuba bayangkan kalaulah orang Cina berada di tempat kita. Adakah mereka akan buat seperti PKR dan Pas buat sekarang. Jangan harap!(sumber: Gloria Langkawi, MM, 02/06/13)

TB: Sebagai pendidik yang telah mengharungi dunia pendidikan lebih 35 tahun, TB amat tersentuh dengan artikel yang ditulis oleh sdr Gloria dari Langkawi,Kedah. Sebagai pendidik, TB tidak dapat nafikan sebilangan guru menghadapi beban tekanan psikologi daripada murid-murid,ibu bapa,masyarakat dan rakan sejawat.Bahkan bukan perkara mustahil di kalangan rakan sejawat guru khususnya yang memegang jawatan pentadbiran bersikap menindas dan cemburu sesama rakan sekerjaya.Peluang kenaikan pangkat menjadi senjata untuk menyekat kemaraan seseorang guru yang berpotensi. TB pernah menyaksikan zaman angkatan TB dahulu ramai guru PPP Siswazah yang telah berkhidmat antara 20-25 tahun masih di takuk gred 41! lnilah realiti.Bahkan ada yang terus bersara wajib di gred 41.lni nasib pendidik yang dicantas peluang kenaikan pangkat. Mujur apabila Tan Sri Muhiyddin Yassin menjadi Menteri Pelajaran/Pendidikan dan juga TPM banyak pelaksanaan kenaikan pangkat dilaksanakan secara besar-besaran terutamanya sistem time-based! Hakikat inilah para guru era sekarang perlu menyedari dan merasakan nikmat syukur.Sebenarnya terlalu banyak mahu diperkatakan tetapi cukuplah sekadar contoh tersebut.


01 Jun 2013

GABUNG KEMENTERIAN TINDAKAN YANG WAJAR

SEKURANG-KURANGNYA ada dua peristiwa penting berkaitan bidang pendidikan yang berlaku dalam Mei ini. Pertama adalah penggabungan semula Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi. 

Penggabungan ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa penyenaraian anggota Kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi tanggungjawab untuk menerajui kementerian itu dan dibantu oleh Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan II. Turut dilantik dua orang Timbalan Menteri iaitu Datuk Mary Yap Kain Ching dan P. Kamalanathan.

Peristiwa kedua adalah penamaan semula kementerian baharu dikenali kini Kementerian Pendidikan. Nama baharu ini telah diumumkan Muhyiddin semasa menghadiri mesyuarat di Phuket, Thailand. Ini bermakna nama asal kementerian itu digunakan semula sama seperti sebelum Pilihan Raya Umum ke-11 tahun 2004.

Secara umumnya kedua-dua peristiwa ini mendapat reaksi positif daripada khalayak ramai khususnya golongan pendidik. Penggabungan kedua-dua kementerian itu dijangka meningkatkan lagi kualiti pendidikan sama ada di peringkat sekolah atau pengajian tinggi.

Penggabungan ini turut memberi impak besar kepada pembuat dasar bagi merangka satu sistem pendidikan yang mantap dan menyeluruh bagi kedua-dua peringkat pendidikan itu. Sementara itu, pertukaran nama Kementerian Pelajaran kepada Kementerian Pendidikan dilihat sangat sesuai dengan masa dan ketikanya.

Perkataan ‘Ministry of Education’ itu lebih hampir terjemahannya kepada ‘Pendidikan’ jika dibandingkan dengan ‘Pelajaran.’ Jika diteliti kata kerjanya ‘to educate’ adalah bermaksud ‘mendidik’ dan bukannya hanya sekadar ‘mengajar.’

Ini bermakna peranan pendidikan tidak dilihat semata-mata berkaitan penyampaian ilmu pengetahuan tetapi sebenarnya lebih luas daripada itu. Pendidikan bermaksud usaha ke arah pembinaan modal insan iaitu manusia yang berilmu pengetahuan serta mempunyai kemahiran insaniah, berkeperibadian tinggi dan akhlak yang terpuji.

Dengan kata lain pendidikan adalah berkaitan usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Melalui pembangunan insan ini diharapkan suatu hari nanti mereka dapat memberi sumbangan besar kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi turut melibatkan lebih setengah juta tenaga pengajar profesional dan terlatih yang terdiri daripada guru sekolah rendah dan menengah serta pensyarah Politeknik, Kolej Komuniti dan universiti awam. Ini menjadikan Kementerian Pendidikan sebagai kementerian terbesar dan paling berpengaruh dalam konteks pengurusan dan pembangunan negara.
Beberapa orang rakan bertanya kepada penulis, apakah manfaat penggabungan dan penamaan semula 
Kementerian Pendidikan ini? Jawapannya, banyak sekali yang boleh dilakukan. Bagi tujuan perbincangan ringkas ini penulis akan mengemukakan tiga pendapat peribadi.

Pertama, kedudukan Bahasa Melayu dapat dimartabatkan lagi. Jika mengambil contoh dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang sedang dilaksanakan di peringkat sekolah maka seharusnya diperluaskan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Sejak perpecahan kementerian itu hampir 10 tahun lalu didapati Bahasa Inggeris digunakan secara meluas dalam pengajaran di universiti terutama fakulti tertentu. Akibatnya penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu aras tinggi mula terjejas sedangkan sebelum itu ia digunakan sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran di fakulti penting seperti Perubatan, Farmasi, Undang-Undang, Kejuruteraan, Ekonomi atau Perakaunan.
Itu belum dikira lagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di mana ada yang hampir tiada langsung penggunaan bahasa kebangsaan dalam pengajaran dan pembelajarannya.

Memartabatkan Bahasa Melayu adalah sama seperti mempertahankan maruah bangsa dan negara. Sekiranya perkara ini tidak diberi penekanan maka usaha keras pejuang bahasa sejak dahulu memartabat dan mendaulatkan Bahasa Melayu akan menjadi sia-sia.

Pandangan ini bukanlah bermakna kita mengabaikan penguasaan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris tetap dianggap sebagai bahasa penting yang perlu dipelajari dan dikuasai sepenuhnya oleh semua murid dan siswa.
Kedua, melonggarkan syarat penempatan guru sama ada ingin berkhidmat di sekolah rendah atau menengah. Ketika ini guru yang bergraduat daripada Institusi Pendidikan Guru (IPG) akan ditempatkan mengajar di sekolah rendah sementara keluaran daripada universiti akan berkhidmat di sekolah menengah.

Ini disebabkan latihan di IPG adalah dalam bidang pengajian sekolah rendah. Sebaliknya bakal guru di universiti mengikuti pengajian yang berkaitan pendidikan menengah. Pembahagian ini juga dibuat atas persetujuan bersama kedua-dua kementerian semasa perpisahan kementerian itu dahulu.

Implikasinya ada guru lulusan IPG misalnya mempunyai bakat besar dalam bidang sukan atau olahraga yang sesuai ditempatkan di sekolah menengah tidak dapat digerakkan. Demikian juga mungkin terdapat guru sekolah menengah sangat berminat dan berkemahiran mengajar murid pra sekolah atau sekolah rendah tidak boleh dipindahkan kerana syarat itu.

Ketiga adalah membenarkan pergerakan guru atau pensyarah ke institusi yang memerlukan perkhidmatan dan kepakaran mereka. Misalnya pensyarah Bahasa Inggeris yang berkhidmat di universiti akan dapat mempraktikkan kaedah pengajarannya sekiranya digerakkan ke sekolah. Melalui pertukaran tempat bertugas ini akan memberi impak baik terhadap pembelajaran murid.

Demikian juga guru yang memiliki ijazah sarjana atau Ph.D. seharusnya diberi peluang untuk berkhidmat di universiti. Pengalaman mengajar dalam jangka masa yang panjang di sekolah akan memberi kelebihan kepada mereka sekiranya diterima berkhidmat sebagai pensyarah IPT.

Sesungguhnya penggabungan dan penamaan semula Kementerian Pendidikan dijangka memberi manfaat yang besar kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara.(sumber: Alimuddin Mohd. Dom, UM, 01/06/13)