HARI ini tiba masanya Datuk Seri Mohd Najib, Presiden UMNO akan menggulung segala hujah, perbahasan dan pertanyaan daripada para perwakilan.Isu-isu yang berkaitan dengan survival dan masa depan UMNO dan PRU ke-13 tentulah menjadi perhatian serius para perwakilan,pemerhati dan penganalisis politik tanah air.Dan seperti biasa isu pendidikan, ekonomi dan agama akan menjadi agenda tahunan perbahasan.
Namun demikian saban tahun para perwakilan yang membahaskan isu-isu pendidikan dan ekonomi tidak menyertakan bahan-bahan atau hasil penyelidikan yang bersifat ilmiah seperti dapatan statistik, grafik, nota kaki atau rujukan dan dapatan kajian. Kita tidak mahu perbahasan hanya tinggal perbahasan. Apabila tiba masanya tirai penutupan berlabuh, para perwakilan akan pulang ke rumah masing-masing dengan membawa 'lagu lama'...pi mai pi mai tang tu juga....
Isu-isu kebejatan sosial amat wajar diketengahkan dalam perbahasan.Masalah kebanjiran pendatang asing sama ada melalui 'pintu sah' atau secara haram patut digembar-gemburkan dalam perbahasan. Dengan ini pihak yang berkewajipan seperti lmigresen.PDRM danKDRM, Rela dan PBT akan sentiasa peranan mereka diperingatkan dari semasa ke semasa. Kerana ucapan dasar presiden ada kaitan dengan 'bersatu memerangi musuh' maka bukan hanya difokuskan kepada 'musuh politik kepartian ' sahaja yang memberi ancaman kepada perpaduan bangsa tetapi musuh-musuh masyarakat juga tidak kurang pentingnya.
Penggulungan dan penutupan persidangan diharapkan tidak berakhir begitu sahaja. Tanggungjawab memartabatkan bangsa demi generasi pewaris akan datang adalah tanggungjawb semua.Jadikan iktibar apa yang terjadi di sekeliling kita. Lihat dan renung-renunglah di pintu imigresen kita baik di lapangan terbang mahupun di terminal feri, hutan dan alam menghijau, bukit dan bendang saujana, perparitan dan segala projek pembangunan, kehidupan kota dan desa, anak-anak muda yang alpa dan segala macam kehidupan rona yang mengundang bencana. Jadikan alam terkembang ini sebagai guru! (TB)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan