SAYA ingin mengutarakan pandangan mengenai senario semasa berkenaan status pork free yang dipaparkan di kebanyakan restoran bukan Islam. Alasannya mudah, untuk menarik pelanggan yang beragama Islam tanpa perlu memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Saya merasakan ini adalah penipuan yang paling banyak dilakukan oleh kebanyakan restoran yang dimiliki oleh pemilik bukan Islam. Banyak lagi restoran yang diragui status halal tetapi dikunjungi oleh pelanggan beragama Islam.
Memandangkan situasi masa kini di mana majoriti kita yang beragama Islam tidak begitu prihatin dengan status halal makanan, saya merasakan kerajaan sepatutnya mengambil tindakan lebih serius untuk membendung perkara ini daripada menjadi lebih parah. Pemilik restoran bukan Islam mengambil kesempatan di atas sikap tidak prihatin orang Islam dengan menjual makanan tidak halal.
Saya mencadangkan kepada setiap lesen restoran yang dipohon, kerajaan sepatutnya mewajibkan logo halal atau haram untuk dipaparkan di restoran masing-masing. Jika ingin memohon status halal, maka bahan-bahannya hendaklah halal dan hendaklah di sediakan oleh orang Islam (contohnya tukang masak).
Untuk yang tidak memohon sijil halal, hendaklah dipaparkan sijil haram, supaya ia jelas kepada orang Islam bahawa status kedai adalah diragui dan hendaklah dijauhi.
Mungkin perkataan haram adalah agak kasar tetapi ini adalah ditujukan kepada orang Islam. Orang bukan Islam masih bebas makan atau minum di kedai itu. Jadi tiada alasan status haram akan menjejaskan perniagaan mereka. Melainkan kalau mereka sememangnya ingin menipu orang Islam maka adalah normal untuk mereka menentang perkara ini.
Saya mengharapkan kerajaan dapat menimbang perkara ini kerana ia melibatkan status makanan yang akan menjadi darah daging.Banyak kebaikan yang dapat kita lihat sekiranya ia dapat dilaksanakan, terutamanya pembekal bahan mentah halal yang sudah pasti dibekalkan oleh orang Islam. Juga dapat menambah peluang pekerjaan kepada orang Islam serta dapat memastikan bahawa makanan itu adalah betul-betul halal dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi orang Islam.
Saya juga mencadangkan supaya ia dapat dilaksanakan kepada produk yang terdapat di pasaran untuk diletak logo halal atau haram. Saya merasakan dengan terlaksananya pensijilan ini kerajaan telah memainkan peranan sangat besar dalam menjamin kesucian agama Islam.Semoga pandangan ini mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan.(sumber: UM, 07/12/11)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan