Anak semua bangsa, bangsa semua
agama, warga Malaysia telah berjaya menghumbankan United Malays National
Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Ini satu kemenangan. Justeru saya
wajib menulis untuk merakamkan detik-detik kemenangan ini.
Parti United Malays National Organisation yang ditubuh pada
11 Mei 1946 dan didukung oleh Inggeris akhirnya telah dapat ditumpaskan dan
dinyahkan dari kuasa oleh gerakan anak semua bangsa - bangsa semua agama.
Saya amat gembira apabila melihat Najib dan Rosmah tidak
melarikan diri pada 12 Mei 2018. Pesawat jet peribadi yang dikatakan dihantar
dari Jakarta telah dikepung oleh anak anak muda di lapangan terbang Subang.
Saya akan dituduh munafik jika saya tidak mengakui betapa
gembiranya saya apabila melihat Razak Baginda, Arul Kanda, Habibul Rahman dan
puluhan orang-orang jahat suku sakat Najib yang didakwa cuba menghilangkan
diri, atau mula menenggelamkan diri dari diketahui orang ramai.
Saya amat amat gembira bila musuh saya dalam kesusahan. Saya
gembira bila musuh saya dalam kesakitan. Saya gembira bila musuh saya masuk ke
dalam penjara. Jangan salah baca, pilihan raya ialah perang tanpa senjata.
Perang bersenjata berlaku apabila politik undi mengundi gagal.
Kegembiraan dari saya ini bukan dendam. Saya tidak memiliki
sifat dendam. Gembira melihat Najib masuk penjara bukan bermakna berdendam.
Pada hemat saya hidup membawa dendam pasti satu hidup yang
amat berat - mengheret dendam ke hulu ke hilir. Hishamuddin Rais tidak
berdendam. Hishamuddin Rais hanya gembira apabila Najib dan Rosmah masuk
penjara. Amin.
Para pembaca akan menipu diri sendiri apabila tidak mengakui
bahawa kita semuanya bergembira apabila Najib dan Rosmah ditangkap, didakwa dan
akhirnya masuk penjara.
Kegembiraan yang lahir ini adalah watak dan ciri-ciri
gerakan politik. Di mana-mana pun dalam dunia ini apabila berlalu perubahan
sosial ciri yang sama berlaku. Apabila yang zalim dijatuhkan, ppabila yang
jahat dapat ditewaskan, apabila penyamun dapat ditangkap, maka kegembiraan
adalah jawapannya.
Ketika Czar Nicholas dibunuh dalam Revolusi Bolshevik pada
tahun 1917 warga kota Moscow gembira. Ketika kepala Louise ke14 dipenggal
kepalanya di Paris pada 21 Januari 1793, ramai warga kota Paris menari,
bertandak dan menyanyi mabuk gembira.
Saya amat yakin warga Indonesia pasti gembira melihat Suharto jatuh pada tahun 1998. Saya amat yakin warga Iran gembira apabila melihat Shah Reza Pahlavi melarikan diri dari Tehran pada 16 Januari 1979.
Saya amat yakin warga Indonesia pasti gembira melihat Suharto jatuh pada tahun 1998. Saya amat yakin warga Iran gembira apabila melihat Shah Reza Pahlavi melarikan diri dari Tehran pada 16 Januari 1979.
Di Tanah Melayu semenjak Inggeris mengangkat United Malays
National Organisation, semenjak gerombolan Ketuanan Melayu ini mengambil alih
kuasa dari British, Tanah Melayu telah dilanggar malapetaka.
Pada Rabu, 9 Mei 2018, malapetaka atau nakba dalam
bahasa Arab telah dinyahkan. Menyahkan Najib dan Rosmah bermakna warga Malaysia
telah berjaya menyahkan malapetaka yang selama 60 tahun ini telah menghempap
berat kehidupan anak semua bangsa di Tanah Melayu.
9 Mei malapetaka tercabut
Rabu 9 Mei 2018 malapetaka tercabut. Malaysia menjadi
ringan. Udara menjadi nyaman. Hidup menjadi aman. Tanah Melayu membuka sejarah
baru. Sabah dan Sarawak membuka sejarah baru. Maka kita - anak semua bangsa di
Malaysia berhak untuk terus bergembira.
Saya sering menulis bahawa detik sejarah itu juga memiliki
sejarah dan latar. Saya juga pernah menulis untuk menolak dan mengenepikan
pandangan yang sering mengatakan bahawa sejarah ditulis oleh orang yang menang.
Untuk saya sejarah ditulis oleh orang yang rajin menulis.
Jika kita malas menulis walaupun menang ia tidak memiliki makna.
Saya telah merakamkan semua babak babak sebelum PRU14.
Menolak pelbagai bentuk pandangan bodoh yang tak masuk akal. Dan mengajukan
garis dan taktik untuk membawa pencerahan.
Dua bulan sebelum PRU14 saya membuat ramalan kemenangan.
Dalam masa yang sama saya juga ada menulis beberapa
pandangan yang pada hari ini dilihat salah, pandangan yang silap, pandangan
yang terbukti melanggar apa yang berlaku ada 9 Mei.
Pada hemat saya ini lumrah. Kerana mustahil saya dapat
melihat kesemua hasil politik masa depan dengan jelas dan tuntas.
Walau apa pun akhirnya kita semua dapat melihat Najib dan
Rosmah terkurung dalam rumah sendiri. Yang ini telah saya nujumkan berbulan
bulan lebih awal.
Dalam suasana kegembiraan, ketika melihat kembali apa yang
pernah saya tulis – yang tepat dan yang salah. Maka ada beberapa perkara yang
wajib saya tuntaskan. Perkara yang wajib saya rakamkan untuk rujukan sejarah,
babak-babak yang wajib diumumkan secara hitam putih untuk bahan sejarah.
Seratus tahun dari hari ini jika ada anak pelajar yang
menggali sejarah kejatuhan United Malays National Orgnisation pada Rabu 9 Mei
2018, maka apa yang saya tulis ini akan menjadi bahan.
PERTAMA: Kemenangan PRU14 oleh Pakatan Harapan pada Rabu 9
Mei 2018 adalah kerana faktor Mahathir. Dalam BI - The Mahathir factor.
Mahathir adalah penyebab utama yang telah berjaya -
mengumpul semua tenaga anak semua bangsa - untuk mengalahkan gerombolan Najib
dan konco-konconya.
Jika di zaman REFORMASI dahulu faktor Anwar Ibrahim menjadi
juragan dan jurumudi. Anwar menjadi ikon yang berjaya mengumpul gerakan jalan
raya untuk menjatuhkan Mahathir.
Dalam PRU14 juragan dan jurumudi ialah Mahathir.
The Mahathir factor ini
memerlukan kajian yang lebih rapi. Kenapa dan mengapa anak semua bangsa mahu
beralih memilih Pakatan apabila Mahathir meneraju pucuk pimpinan.
Langkah bunuh diri
Kajian ini penting untuk kita sesama kita terus bergembira.
Tiga bulan sebelum hari mengundi kita terdengar bagaimana
kemungkinan DAP disingkir dari pendaftaran. Jabatan Pendaftaran telah memberi
pelbagai masalah kepada DAP. Kemudian kita dengar pula BERSATU menghadapi
perkara yang sama.
Segala jentera kerajaan - SPR, SPRM, PDRM, Peguam Negara,
Mahkamah dan, dan, dan…telah digunakan untuk memupuk kekuatan kuasa dirinya.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) juga tidak ada bezanya.
Ketika ini Jabatan Pendaftaran menjadi aparacik setia yang memperkukuh kuasa
Najib dan Rosmah. Secara bijak pendaftaran parti BERSATU dibatalkan.
Sekali imbas langkah ini dilihat bijak. Tetapi sebenarnya
ini adalah langkah membunuh diri. Kerana jawapan dari Mahathir menggegarkan
politik Malaysia.
Tup-tup, langkah paling radikal telah diambil oleh empat
parti gabungan Pakatan. Semua bersetuju untuk menggunakan satu logo.
Inilah bukti faktor Mahathir yang mungkin ramai terlepas
pandang. Tetapi inilah pencapaian politik paling unggul dalam sejarah 60 tahun
politik Malaysia. Fakta ini ialah: Penggunaan satu logo.
Menggunakan satu logo ini - persetujuan menggunakan satu
logo ini - hanya dapat dilakukan bawah kepimpinan Mahathir. Saya yakin Anwar
Ibrahim pun tidak ada keupayaan untuk menuntaskan perkara ini. Satu logo ini
adalah faktor Mahathir yang membawa pukulan maut kepada Najib dan Rosmah.
KEDUA: Mahathir Muhamad sebagai agen komunikasi yang cukup
baik. Ucapan ceramah Mahathir tidak beretorik. Tidak menaikkan semangat untuk
turun ke jalan raya. Dalam ceramah si Mahathir tidak pernah bercerita yang dia
kenal dengan Putin atau kenal Tony Blair. Atau pernah ke Universiti Havard.
Atau pernah membaca buku itu dan ini.
Malah ceramah Mahathir agak mendatar. Tetapi Mahathir telah
berjaya menyampaikan maklumat dengan cemerlang kepada orang ramai.
Mahathir TIDAK menggunakan perkataan yang besar-besar, yang
susah untuk disebut. Dan susah untuk dieja. Mahathir TIDAK menggunakan
perkataan Inggeris atau Arab. Dalam ceramah Mahathir tidak berselindung dengan
ayat Quran atau hadis nabi untuk memperkukuh hujah.
Perkataan curi, samun , tipu senang difahami maknanya oleh
mak cik dan pak cik Felda. Di sinilah kejayaan Mahathir menterjemahkan konsep
politik yang kompleks dengan penerangan yang senang untuk difahami.
Kepada Mahathir Najib ialah pencuri. Perkataan pencuri ini
difahami oleh mak cik Felda. Berbeza dengan menggunakan perkataan kleptokrasi.
Satu habuk pun orang tak faham. Dalam ceramah Mahathir memilih pencuri, lanun
atau penyangak untuk menerangkan siapa si Najib ini.
KETIGA: Perubahan sosial akan berlaku apabila elit politik,
elit ekonomi dan jentera daulah mula pecah.
Cukong lari dari Najib
Cukong lari dari Najib
Sama ada cukong yang bernama Robert Kuok memberi dana kepada
pembangkang atau tidak satu persoalan lain. Apa yang tersirat dari berita
Robert Kuok (bawah) ialah gambaran tentang elit ekonomi, para cukong
telah mula melarikan diri dari Najib. Ini adalah faktor Mahathir.
Kesampaian Rafidah Aziz dan Rais Yatim masuk ke dalam saf
Mahathir adalah salah satu tanda bahawa elit politik juga telah pecah. Apabila
Rais dan Rafidah dibuang dari parti maka jelas elit politik sedang beramuk.
Kemudian saf Mahatir di masuki oleh Daim Zainudin dan Syed
Hamid Albar. Semua ini adalah faktor Mahathir yang berjaya memecahkan elit
politik
Kemudian Mahathir menulis surat surat terbuka kepada PDRM,
tentera laut, darat dan udara. Hanya Mahathir yang memiliki wibawa sedemikian.
Hanya Mahathir yang berupaya menulis surat ini.
Apabila Laksamana Angkatan Laut menjawab dan menerangkan
kepada anak semua bangsa bahawa angkatan tentera laut tidak menyebelahi parti
sesiapa pun. Jawapan ini tidak membolehkan Najib melakukan huru-hara untuk
mempertahan kuasa. Satu cabang tentera telah enggan jadi alat Najib.
Sebelum Mahathir menulis surat, seorang pemimpin tentera
darat didakwa menyatakan soldadu menyokong kerajaan. Ini bermakna tentera darat
akan mempertahankan Najib.
Perbuatan bangang ini telah ditibai oleh rakyat kiri dan
kanan. Jeneral kaki bodek Najib ini terduduk dan membuat kenyataan baru.
Semua ini petanda yang jentera kerajaan tidak lagi
menyebelahi Najib. Hanya PDRM yang tidak bersuara. Hingga ke saat kemenangan
tercapai maka barulah ketua PDRM menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan ialah
kerajaan baru.
Dalam kita merayakan kemenangan ini. Dalam kita bergembira.
Maka jangan lupa kita wajib terus berwaspada. Orang-orang jahat wajib terus
diburu, ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Kalau di zaman kerajaan Melayu Melaka, orang jahat akan
disula.
Saya tidak mencadangkan mereka disula kerana ini akan
mengotorkan buluh.
Tetapi hakikatnya, meminta mereka disula ini tidak mungkin
saya tulis satu bulan dahulu. Kini saya boleh menulis dengan hati terbuka
kerana kemenangan yang telah dibawa oleh faktor Mahathir. END
(sumber: Hishamuddin Rais)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan