Apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menegaskan
bahawa kerajaan ada kes terhadap Najib Razak dan menambah, bekas Perdana
Menteri itu akan didakwa dalam masa terdekat, kemudian disusuli dengan tindakan
menjadikan Laporan Audit 1MDB sebagai dokumen terbuka, gambarannya tidak lain
ialah ia pasti disusuli dengan beberapa tangkapan.
Tambahan lagi, semalam juga Tun Mahathir telah
mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, bekas hakim
Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, bekas Peguam Negara, Gani Patail dan bekas
Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM, Abdul Hamid Bador.
Pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun
pula telah diadakan beberapa kali sejak Tun Mahathir mengangkat sumpah jawatan
sebagai Perdana Menteri.
Sebelumnya, Perdana Menteri turut mengeluarkan arahan
sekatan perjalanan terhadap Peguam Negara yang dicutikan, Apandi Ali, bekas
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian
Kewangan merangkap Pengerusi 1MDB, Irwan Siregar Abdullah.
Najib dan Rosmah lebih dulu disekat perjalanan mereka
kerana menurut Tun Mahathir, tindakan itu perlu dilakukan berikutan kerajaan
tidak mahu berdepan masalah dari segi ekstradisi di kemudian hari.
Semua tindakan di atas adalah petanda jelas bahawa Najib
- mungkin juga disertai Rosmah - akan dicekup dalam sehari dua ini sebagai menunaikan
janji Pakatan Harapan untuk membawa semua mereka yang terlibat dengan skandal
1MDB ke muka pengadilan.
Ia kemudian pasti akan disusuli sederetan nama lain yang
terkait dengan skandal itu, yang paling hampir tentunya nama-nama yang telah
disekat untuk ke luar negara itu.
Harus diakui, antara faktor penting rakyat memberi undi
kepada Pakatan Harapan dan sedia kepada perubahan ialah untuk melihat Najib dan
semua yang terlibat dalam skandal 1MDB ditahan, disiasat dan dihadapkan ke muka
pengadilan.
Bukanlah rahsia lagi, di ketika seluruh dunia
memperkatakan mengenai skandal tersebut dan beberapa negara juga telah
mengambil tindakan yang bersesuaian, sebaliknya di negara sendiri semuanya cuba
ditutup serta dilindungi.
Ada yang dibersihkan secara terang-terangan, kes
disenyapkan begitu saja, penyiasatan dilengah-lengahkan, bukti diketepikan dan
pelbagai cara lain untuk menutupnya.
Tetapi, dengan Pakatan Harapan memenangi pilihanraya dan
Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, bangkai gajah yang sudah berbau
busuk itu tidak mungkin mampu ditutup lagi.
Walaupun skandal 1MDB mungkin merupakan kes yang rumit
dan memerlukan masa yang panjang untuk menyiasatnya, tetapi kes terdekat yang
paling mudah dijadikan asas untuk menangkap Najib ialah berkaitan kemasukan
RM42 juta daripada SRC International, anak syarikat 1MDB, ke dalam akaun
peribadinya.
RM42 juta itu diakui sendiri diterima oleh Najib, tetapi
beliau berdalih dengan menyatakan tidak mengetahui ia bersumberkan daripada SRC
International kerana menyangka ia bersekali dengan dana RM2,600 juta yang
kononnya diterima daripada kerabat Diraja Arab Saudi.
Berikutan dana RM42 juta itulah juga dua pengarah SRC
International, Suboh Md Yassin dan Nik Faisal Arif Kamil telah menghilangkan
diri dan dipercayai masih berada di luar negara sehingga kini.
Najib dipercayai diberikan RM42 juta itu berikutan SRC
International memperolehi pinjaman RM4 bilion daripada dana Kumpulan Wang
Amanah Pencen atau KWAP yang dibawah selian Kementerian Kewangan.
Berhubung kesalahan itu, Jabatan Peguam Negara
difahamkan sudah pun menyediakan kertas pendakwaan mengenainya, sebelum Gani
Patail disingkirkan secara mengejut dan digantikan dengan Apandi Ali.
Kertas pendakwaan itu kemudian didedahkan oleh Sarawak
Report dan tular di media-media sosial.
Dengan seolah-olah menjadi tahanan rumah sekarang ini di
mana kediamannya dikawal ketat oleh pihak polis, mahu tidak mahu, Najib harus
mengakui laluan berduri sedang terbentang luas di hadapannya.
Tiada apa lagi yang mampu dilakukannya, selain menerima
inilah takdir buruk yang bakal menimpa yang berpunca daripada kerakusannya
sendiri.
Selepas kes SRC International, pasti akan menyusul pula
penyiasatan berkaitan skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke akaun
peribadinya yang dipercayai bukannya datang daripada mana-mana kerabat Diraja
Arab Saudi, sebaliknya daripada Tanore Finance Corporation yang merupakan milik
Eric Tan Kim Loong atau nama kedua bagi Jho Low.
Najib bukan saja akan dicekup, disiasat dan dibawa ke
muka pengadilan, bahkan akhirnya akan menghuni kehidupan baru di penjara.
Percayalah, dengan Tun Mahathir memegang kuasa, semua
itu akan berlaku dengan pantas dan tidak mustahil dalam sehari dua ini
saja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan