Salam Perjuangan

27 Julai 2017

DIALOG RAKYAT

BERIKUT blogger petik dan kutip dialog antara dua sahabat 'senior citizen' antara CHENG dan  HUSSIN untuk renungan pembaca semua:

CHENG:
Saya tidak setujulah sebagai rakyat Malaysia dan warganegara kita ada kategori BUMIPUTERA dan BUKAN BUMIPUTERA..Dalam PERLEMBAGAAN pula disebut BUMIPUTERA (Melayu) ada hak-hak istimewa. Saya rasa, sebagai bukan bumiputera saya seperti '2nd Class Citizen'....

HUSSIN:
1. Saudara...realitinya kebanyakan pemimpin & rakyat tidak hormati dan tidak patuhi apa yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA. Contohnya seperti dalam PASAL 152 kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Saudara pun sedia maklum.Tidaklah perlu saya perincikan.

2. Sudahkah saudara sendiri membaca buku PERLEMBAGAAN?Saya bersyukur, kerana semasa di universiti awal 1980-an  "PERLEMBAGAAN MALAYSIA" dijadikan subjek kursus teras (wajib).Kami semua belajar dan faham.

3. Saya dan Sdr adalah rakyat Malaysia. Sdr keturunan Cina Malaysia dan saya keturunan Melayu jati.Saya jadi guru. Sdr pun jadi guru.Kita sama-sama "cari makan" dapat rezeki. Sdr jadi Guru Besar. Saya tidak.Saya guru biasa lepasan maktab. Saya ambil STP/HSC dua kali. Dan ambil STPM satu kali baharulah dapat masuk belajar di universiti dengan sudah ada pengalaman sedia ada dalam kerjaya selama 5 tahun.ltupun setelah melalui proses temu duga yang ketat dan banyak persaingan; permintaan melebihi daripada penawaran. Kononnya saya BUMIPUTERA. Apa yang saya dapat? Bahkan rakan-rakan kuliah saya seperti Paradeep Kaur, Sauh AK Bina, Gopal, Lim Ah Ling, Martin Andrew , Kamaruzaman dan lain-lain; kami semua dapat apa yang kawan-kawan Melayu dan bukan Melayu dapat. Sebenarnya saya sama juga seperti Sdr.

4.Anak saya cemerlang SPM 10A pun tidak dapat biasiswa/dermasiswa. Cuma dapat pinjaman PTPTN seperti sama juga dengan anak Tan Ah Seng, Ramasamy, Gilong Linggau dll.Anak Chua Beng Hong lebih beruntung dapat biasiswa Yayasan Kuok , anak Kim Peh dapat biasiswa Lee Foundation, dan ada yang dapat biasiswa Kolej TAR dll. Apa yang saya dan anak saya dapat atas nama 'title' BUMIPUTERA? Semuanya seperti gimik dan politiking orang-orang yang berkepentingan dalam politik kepartian.

5. Kenyataannya  kita adalah rakyat Malaysia, warganegara Malaysia semuanya sama. Yang ada dan berbeza ialah RAJIN atau MALAS. Orang Cina Malaysia rajin maka kayalah mereka. Orang lndia Malaysia malas, miskinlah mereka. Orang Melayu atau bumiputera "tidur" rugilah mereka.

6. Secara peribadi saya tidak faham apa itu "2nd Class Citizen"? Sebenarnya, saya tidak pernah anggap Sdr  2nd C.C. lni mungkin masalah andaian atau persepsi sahaja.Atau ini mungkin masalah psikologi Sdr kerana terpengaruh dengan persekitaran. Adakah saya 3rd Class Citizen kerana saya tidak dapat apa-apa pun KEISTIMEWAAN seperti yang Sdr kata dalam PERLEMBAGAAN?

7.Semasa saya berkhidmat di salah sebuah maktab perguruan di Malaysia hampir 99.05% staf pensyarahnya beragama lslam. Tapi "boss" (Pengarah) saya melantik Ketua Jabatan saya keturunan lndia (hindu) walaupun ada orang lain (staf) lain yang setara atau yang layak. Akhirnya terbukti, dia banyak tidak tahu buat kerja yang berkaitan. Sebab apa? Semuanya kerana semangat tolak ansur & toleransi.

8. Semasa Perlembagaan Persekutuan dirangka dan dibuat sebelum kemerdekaan negara 1957, mereka yang bukan rakyat PTM (baca: Persekutuan Tanah Melayu) diberi syarat kelonggaran 'win-win' & bersedia bekerjasama. Sebagai balasan mereka yang bukan warganegara (bukan Melayu) ketika itu diberi JUS SOLI automatik menjadi warganegara PTM kerana semua bersama-sama mendokong prinsip dan menerima pakai apa yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN. Oleh itu tidak wajar generasi sekarang yang buta sejarah mempertikaikan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

BERSAMBUNG

(disesuaikan kembali untuk kefahaman pembaca tanpa prejudis. Nama-nama individu & agensi tidak ada kaitan pun kepada sesiapa pun; baik yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.Jika ada persamaan hanya suatu kebetulan sahaja. (TB)

24 Julai 2017

Puisi: POLITIKUS BAHASA

politikus bahasa
seloka bicara
cinta sejiwa
sehati kasihnya

politikus bahasa
gelanggang suara
semangat bara
di pentas sandiwara

politikus bahasa
wawasan sedunia
mengecil jiwa
sesama senegara

politikus bahasa
siapa sangka
tidak upaya
yakin bahasanya

politikus bahasa
siapa sangka
anak ijazah
luar negara

politikus bahasa
pendidikan terbuka
berbondong seantero
menghilang kata

politikus bahasa
cermin bermuka
bumi terasing
tanah air cinta.


RAJIEE HADI
BBM, Bangi SDE.
24 Julai 2017.

Puisi: WAKTU

waktu mendatang
begitu sempit
mengalir rindu
mencair hasrat
menggores hati
selaut kalbu

waktu membendung
gelombang rasa
ombak fikiran
taufan gejolak
membatu pantai
membeku waktu

waktu membelenggu
mencair semangat
membisu kalimat
menyisir badai
menyihir hujan
tidak terus kaku.


RAJIEE HADI
Bandar Bukit Mahkota, Bangi.
24 Julai 2017.

23 Julai 2017

PUISI : SUKMA

masih lagikah
sepi memburu
membelah sukma
merungkai sanubari

masih lagikah
semarak kata
membara makna
membisik kalbu

masih lagikah
madah berbunga
melayukan frasa
menggoncang wacana

masih lagikah
setiap kalimat
setiap hasrat
menyayat kudrat?

RAJIEE HADI
Anggerik USIM,
23 Julai 2017.


21 Julai 2017

PUISI : MAHATHIR

mahathir, berbahagia tun
memoir buku hidupmu
kuhadiahkan ibuku
lapan puluh lima usia
masih tekun menatapi
membaca segala inti

namun tidak terlalu
aku terhutang budi
rakyat senegaraku
tongkat sakti katamu
tidak pun kumiliki
kerana aku mandiri

kutimba ilmu puisi
wang keringat sakuku
tanpa subsidi bantu
menjadi begitu manusiawi
kubiaya sendiri takdirku
tiada dendam mendasari

mahathir, aku pemuisi
mencatat segala isi
pro dan kontradiksi
ketika hari-harimu itu
tanpa aku peduli
dan peduli bererti

mahathir, usah ditanya
saatku di luar negeri
merajukkah diri ini
pulangnya sendiri lagi
di jalanan demonstrasi
bahasaku diracuni

kecewakah diri ini
segala polisi lalu
membatasi kalbu waktu
ketika julang terajumu
masih kau kusanjungi
tiada kesumat melingkari

kini tiada apa
seperti dirimu
kita masih berjuang
kau masih hebat
masih mahu berdebat
cuma aku disekat

mahathir, negarawan
mantan menteri perdana
tabir condong petang
menuruni basah hujan
hampiri senja gemawan
rahmat sekalian alam
pohon kepada-Mu Tuhan.

RAJIEE HADI,
Bangi, Kajang, SDE.
15 Julai 2017.

16 Julai 2017

Puisi: MAKNA

seribu warna
seribu makna
semantik kata
alam semesta

seribu suasa
seribu petanda
berlian permata
ukuran dunia

seribu madah
seribu wajah
mainan asmara
pemain opera

seribu jingga
seribu telaga
kamil insani
fatwa pujangga

seribu tahun
seribu janji
gurindam hayat
terpahat sejarah
.

RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
23 Syawal 1438H.


15 Julai 2017

puisi: DUSTA

ketika reda mendakap
aku sedia menerima
hakikat kudrat llahi
tidak pernah palsu
menghampiri kehidupan ini

ketika rela mengharungi
bagai percikan bara
kaupun tidak peduli
bicara masa lalu
kerana dusta jiwamu

bukan tidak simpati
bukan tidak empati
kitaran melingkari
kau dendangkan lagi
menghantui resahmu

bukan sekejam itu
bukan aib dipinta
walau getir sengsara
pernah kau lafazkan
kini hanya dusta

lembut tutur kata
memutar lidah sejarah
sesiapapun terluka
menjadi kian parah
doa dalam pasrah!



RAJIEE HADI,
Kamar Puisi BBM, Bangi.
15 Julai 2017.


10 Julai 2017

puisi: FARAH

Farah ibu muda
bergaya cantik
kereta mewah
suami insiyur
luar negeri

Farah bidadari
persis pari-pari
tudung terkini
kebaya nenawan
gemerlapan mimpi

Farah berprestij
berjenama aksesori
perbukitan residensi
kehidupan ilusi
dari desa ke kota

Farah pemegang
kilauan kartu emas
hospitaliti permata hati
promosi populariti
kebanggaan seleberiti

Farah ibu muda
misteri empati
putera terlantar
rawatan segera
banyak bicara

Farah ibu murung
mendung selubung
muhasabah dinihari
duka luka sanubari
syafakallah buat anakmu.


RAJIEE HADI,
BSP, Bangi.
9 Julai 2017.

09 Julai 2017

BERTUAHNYA INDON.....

DATANG ke Malaysia peluang pekerjaan & rezeki bertaburan..wow....Seorang lndon..yang ditemui berkata, saya cuma bekerja potong leher Pak..paling kurang boleh dapat RM2+ribu sebulan.ltu belum lagi pelbagai pekerjaan lain. Lumayan Pak!
Saya terkejut dan terkedu mendalam. Potong leher? Ya..sungguh! Saya terkedu lagi. Tanpa bertanya lanjut si lndon itu menjelaskan...Sebenarnya Pak..Saya mengambil upah daripada seorang taukeh sebuah restoran...sembelih ayam..satu ekor upahnya RM1.00..bayangkan 50-100 ekor atau lebih dapat disembelih satu hari. ltu baharu satu taukeh restoran Pak..belum yang lain-lain.
Wow,,, lumayan....Bersih..tanpa dikutip apa-apa cukai pun dari LHDN...ltu satu contoh.
Lumayan3 Malaysia ini.
Selamat menuju negara maju wahai rakyat Malaysiaku! (oleh TB)

08 Julai 2017

puisi: PENDATANG

terima kasih Malaysia
aku datang lagi
dari gua lara
dari gunung korupsi
dari puncak asnaf
dari kolong hanyir
dalam jiwa & raga

terima kasih Malaysia
dalam amanmu
ada taufan gelora
namun aku sebati
walau namaku tanti
mirza, maung atau pati
senangnya di hati

terima kasih Malaysia
serikandimu pasrah
perwiramu kalah
aku datang lagi
tanpa gentar
kerana dalam tidur
kami mendatangi
tidak mahu
pulang lagi!


RAJIEE HADI,
Bukit Mahkota, Bangi.
25 Jun 2017.