Salam Perjuangan

27 Januari 2016

SRC RM42 JUTA BIKIN CERITA LAWAKKAH?

Sementara kita terus ketawa dengan lawak jenaka Peguam Negara sejak pagi Selasa dalam usahanya membersihkan nama Najib Razak berkaitan derma RM2,600 juta, penjelasan tentang dana RM42 juta daripada SRC International juga tidak kurang membuatkan kita terbahak-bahak jadinya.

Najib dibersihkan daripada isu berkaitan derma RM2,600 juta bukan saja kerana  tiada apa-apa imbuhan yang diminta, bahkan juga kerana sejumlah RM2,030 juta lebihannya telah dipulangkan semula kepada keluarga Diraja Arab Saudi yang dikenal pasti sebagai pendermanya.

Berkaitan dana RM42 juta daripada SRC International pula, penjelasan Peguam Negara, Apandi Ali ialah:-

- tiada apa-apa keterangan yang boleh menunjukkan  Perdana Menteri mengetahui dan/atau dimaklumkan bahawa terdapat sebarang kemasukan wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- tiada apa-ap keterangan yang boleh menunjukkan bahawa Perdana Menteri memberi apa-apa kebenaran untuk pemindahan mana-mana wang daripada akaun SRC International ke dalam akaun-akaun beliau;

- keterangan menunjukkan bahawa pada masa-masa yang material, Perdana Menteri mempercayai  segala pembayaran yang dibuat oleh beliau adalah dengan menggunakan wang sumbangan keluarga Diraja Arab Saudi yang telah dipindahkan ke akaun-akaun beliau sebelum itu.

Dalam bahasa yang mudah, ayat Apandi itu bermaksud bahawa Najib tidak mengetahui mengenai kemasukan wang sebanyak RM42 juta itu, jauh sekali memberi kebenaran wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Maka dengan itu, Najib dianggap tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah berkaitan wang RM42 juta itu.

Tidakkah ini satu lagi jenaka yang boleh membuatkan kita ketawa dengannya?

Lebih membuatkan kita ketawa jika persoalan-persoalan di bawah ini terus tergantung tanpa jawapan.

Pertama, siapakah memasukkan wang tersebut dan bagaimana mereka memperolehi nombor akaun bank peribadi Najib?

Kedua, logikkah jika seseorang memasukkan wang sebesar RM42 juta jumlahnya,  tetapi tidak memberitahu atau memaklumkan langsung mengenainya kepada penerima wang tersebut?

Ketiga, adakah sebagai Perdana Menteri, Najib betul-betul tidak pernah memberikan nombor akaun bank peribadinya kepada sesiapa?

Keempat, jika tidak pernah, bagaimana nombor akaun bank itu boleh diperolehi oleh orang lain?

Kelima, adakah perkara biasa bagi Najib memberikan nombor akaun banknya sehingga ia bukan lagi rahsia dan kemudian sesiapa saja boleh memasukkan wang ke dalamnya?

Keenam, setelah mengetahui adanya dana RM42 juta dalam akaun peribadinya, apa yang Najib lakukan terhadap wang tersebut? 

Adakah wang itu sudah habis dibelanjakan atau masih dalam simpanan lagi?

Kenapa ia tidak dipulangkan semula kepada SRC International seperti yang dilakukannya dalam sebahagian daripada wang derma RM2,600 juta kepada keluarga Diraja Arab Saudi itu?

Dalam pada itu, persoalan yang tidak kurang misterinya ialah mengapa dua bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Farid Kamil dan Suboh Md Yassin melarikan diri ke luar negara sejak sekian lama?

Apa yang mereka takutkan? Adakah mereka mengetahui mengenai wang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Najib itu?

Adakah selepas kes ini ditutup, mereka akan terus berada di luar negara atau akan segera kembali ke dalam negara?

Sementara kita menunggu ada atau tidak jawapan kepada persoalan-persoalan ini, marilah kita terus ketawa kerana sebenarnya penjelasan Apandi Ali dalam membersihkan Najib semalam  adalah lawak jenaka paling "rare" sejak negara kita merdeka. ( sumber: shahbuddin.com. 27/01/2016).

Tiada ulasan: