Salam Perjuangan

05 Januari 2016

PENARIK BECA, MANTAN MENTERI & LIM KIT SIANG

Saya tidak berasa bangga jika diperkenalkan atau dikenali sebagai mantan menteri tetapi segar ceria apabila  seseorang mengenali saya sebagai wartawan,penulis buku atau blogger.

Kebanyakan orang tidak terus menegur saya kerana tidak pasti. Tetapi apabila saya tersenyum pada seseorang yang memerhatikan saya berkali-kali  maka dia akan bertanya "Ini Zainuddin Maidin Zamkata ke?",Ya kata saya dan jawapan yang selalu saya terima" Kami takut hendak menegur takut salah orang"

Saya telah bersara sebagai Menteri Penerangan lebih 7 tahun tetapi saya yakin  orang tidak lagi akan mengenali jikalau saya tidak terus  menghubungi mereka  menerusi  penulisan saya. Walaupun tidak lagi boleh menulis di Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia di bawah pemerintahan  Demokrasi ala Najib tetapi saya masih boleh bernafas  menerusi blog Zamkata

Saya tidak terkejut  jikalau dalam kalangan profesional,pegawai tinggi kerajaan ,orang koporat dan sebagainya  mengenali saya sebagai penulis tetapi saya terkejut, terharu dan berbangga apabila baru -baru ini seorang penarik beca di Pulau Pinang memberitahu dia mengikuti blog saya.

Namanya Din tetapi katanya orang panggilnya Pak Tam kerana dia hitam.Dia benar-benar hitam sehingga bila diambil gambarnya, saya tidak dapat mengenali wajahnya menyebabkan saya terpaksa mengulangi pengambilannya.

Ceritanya begini:Apabila saya keluar dari Hotel Bayview George Town  untuk menyewa sebuah beca yang kelihatan di hadapan hotel itu saya mendapati penariknya tidak ada.

Saya bertanya mana tuannya pada orang lain yang apabila melihat saya terus mendekati saya dan bertanya ini Maidin Zainuddin ke? Jawab saya bukan. "Ini Zainuddin Maidin" dan penarik beca yang tadinya tidak kelihatan muncul dari sebalik pokok besar dan berkata kepada kawannya  " Eh hang tak kenal ini  Zamkata."

Itu nama blog saya. Saya  bangga dan terus bertaya" Hang baca blog aku?. "Apabila rehat-rehat bacalah,"katanya bersahaja  dan saya tersedar betapa kesilapan penilaian saya terhadap kualiti manusia berasaskan kepada kerja mereka .

"Orang kata blog aku anti Najib?",kata saya kepadanya "Tak adalah Tan Sri, Saya tidak  rasa begitu, saya rasa  Tan Sri tak terikat dengan sesiapa, Tan Sri bebas,"
Saya semakin mengagumi pandangan waras seorang penarik beca  yang tidak terbawa oleh sentimen.

Selama dua hari di Penang saya menggunakan penarik beca ini  untuk  membawa saya melalui lorong-lorong kecil di pulau ini yang telah banyak bertukar rupa menjadi lorong-lorong yang romantik,cantik, bersih dan artistik dengan studio 3D di sana- sini yang menampakan kerativiti seni dan inovasi kerajaan negeri untuk menjadikannya lebih menarik disamping mendatangkan rezeki kepada pengusaha.

Dinding-dinding kedai lama di sani- sini dihiasi  dengan lukisan dan rekaan bentuk logam yang  menarik untuk kamera para pelancong.

Hari kedua setelah mendapat  upah kecil daripada saya , Pak Tam datang dengan pakaian lebih kemas dan bersih,bercermin mata hitam yang menambahkan hitamnya dan bercincin batu hitam besar.

"Hebat Pak Din hari ini,"kata saya dan dia tersenyum lebar. Saya tanya Pak Din  dah khawin ke?.Dia bercerita  tak pernah khawin kerana tidak  pernah mempunyai perkerjaan tetap sejak muda, dari pemandu  lori, menjadi pengawal dan membuat   berbagai-bagai kerja lain lagi sehinggalah berakhir sebagai penarik beca.

Saya katakan padanya" banyak orang tak kerja  tetap pun  tetapi khawin juga. yang betulnya hang ni kaki rumbu semasa muda sampai lupa nak khawin, betul tak?" Dia ketawa besar dan memberitahu bahwa 80% penarik beca tidak khawin,tidak mempunyai rumah tetap,tidur dibeca atau berkongsi bilek yang disewa bersama kawan-kawan.

Pak Din biasanya tidur di atas beca sahaja tapi jarang sekali sakit demam,tidak ada darah tinggi atau kencing manis. Pencarian cukup makan.Di belakang becanya saya lihat  tergantung berbagai-bagai bungkusan makanan yang diberi orang.

Dari penarik beca ini dan juga daripada seorang  pemandu teksi dari Lapangan Terbang  Pulau Penang ke hotel, saya mendapati banyak  cerita tentang pendekatan kerajaan negeri yang menginjak hati rakyat dengan berbagai-bagai bantuan   yang mungkin tidak diketahui atau tidak dipedulikan  oleh orang-orang UMNO atau BN seperti bantuan tetap tahunan kepada pemandu-pemandu teksi,kepada nelayan-nelayan untuk tukar pukat enam bulan sekali,kepada ibu ibu  yang melahirkan anak dan berbagai-bagai lagi yang tidak pernah kita dengar di bawah pemerintahan Gerakan(BN) dulu.

Saya bimbang kerana caranya adalah lebih berkesan dari BRIM dan berlaku secara senyap tetapi meresap di hati rakyat biasa.

Ketika di  Lapangan Terbang  Pulau Pinang saya bertembong dengan bapa Ketua Menteri Pulau Pinang,anggota Parlimen DAP "tergantung" , Lim Kit Siang dan keluarganya  yang hendak  menaiki Firefly bersama saya untuk pulang ke Kuala Lumpur. Lama saya tidak berjumpa dengannya.

Katanya kepada saya " Ini orang merbahaya, Najib makin kuat". Saya tertawa.Siapa saya?

"Kuatnya hanya dengan sokongan padu pemimpin-pemimpin  UMNO dan tidak di kalangan rakyat.Tetapi itulah caranya untuk memelihara perpaduan parti. Saudara lebih tahu" kata saya dan Kit Siang nampak  bersetuju kerana dia lebih maklum tentang rahsia menguasai perpaduan parti dengan caranya yang  dianggap sebagai dictatorial.

Asyik bercakap ,lupa saya hendak bergambar dengan pemimpin besar pembangkang itu  untuk disiarkan dalam blog saya yang  pastinya akan  menjadi bahan spekulasi media social  "Konspirasi Baru Zam Lim Kit Siang" setelah konspirasi dengan Tun Mahathir dan Tun Daim.

(Artikel ini TB siarkan penuh sebagai menghargai 'seorang sahabat penulis' . TB turut membetulkan secara minor ejaan dan tatabahasa dalam artikel ini tanpa mengubah maksud dan struktur ayat asal blogger Zamkata. Komen TB: Penulis sejati adalah penulis yang sedia "merakyatkan" jiwa raga dan kalbu hatinya di mana-mana jua situasi tanpa mengira darjat dan kedudukan insani.)





Tiada ulasan: