SEJAK kebelakangan ini, terlalu banyak isu yang
membelenggu lingkaran kehidupan anggota masyarakat negara ini. Sebagaimana yang
pernah disuarakan oleh beberapa tokoh dalam melihat proses pembangunan negara,
ada yang beranggapan semakin sebuah negara itu membangun pesat, cabarannya
adalah untuk berhadapan dengan kehadiran pelbagai pecahan dalam masyarakat yang
mempunyai ekspektasi tinggi ke atas perubahan persekitaran yang berlaku.
Ia dikaitkan dengan pendemokrasian sehingga
demokrasi tidak berdiri sendiri sebaliknya diberikan takrifan yang
berbagai-bagai termasuk 'demokrasi mutlak', 'demokrasi terpimpin', 'demokrasi
palsu', 'demokrasi dunia ketiga', 'demokrasi dunia pertama' dan sebagainya.
Hakikatnya, Malaysia istimewa. Malaysia
merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Setiap ruang ada keunikan yang
menjadi panduan dalam mencari kesepakatan bersama. Malaysia bukan negara
membangun tetapi merupakan negara sedang pesat membangun yang sudah menjadi
ketetapan untuk muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Ia sudah
terbina dengan acuan sendiri berbulatkan kepada kepelbagaian etnik dan agama
yang mewarnai nilai kebudayaan, perwatakan dan gaya hidup penghuninya.
Ada kelas atasan, pertengahan dan bawahan. Ada
individu yang bersifat sederhana, liberal; ada juga yang radikal dan ekstrem.
Ia lahir dari proses sosialisasi yang melibatkan agen-agen yang berbeza. Ada
yang dulunya sederhana, kini radikal; ada pula dulu radikal kini sederhana. Ada
yang memanipulasi persekitaran untuk meraih simpati, ada pula yang menggunakan
persekitaran untuk melaga-lagakan ideologi kerana tahu ia boleh membawa kepada
keadaan kemerosotan keyakinan dan kepercayaan ke atas kerajaan kerana acapkali
apa yang berlaku dikaitkan dengan kerajaan dan parti tanpa memahami bagaimana
boleh memisahkan antara kerajaan dan parti politik.
Bagaimana kita mampu berhadapan dengan pelbagai
isu dan cabaran selama ini? Adakah ini desakan kebebasan yang diperkatakan oleh
tokoh ilmuan Barat dalam konteks sosiologi politik? Tidakkah pengalaman lepas
mengajar kita untuk menjadikannya sebagai iktibar dan iltizam untuk memastikan
pengalaman lepas tidak berulang lagi. Apakah proses pendemokrasian yang sedang
dilalui oleh kita membelakangkan nilai perkongsian dan kepunyaan yang diraikan
selama ini berpandukan kepada sifat tolak-ansur, hormat dan faham di antara
satu sama lain? Toleransi dan nilai kedamaian yang semakin hari semakin
mengecil secara terselindung walaupun ada yang merasa gugup untuk bercakap
mengenainya secara terbuka.
Dunia ini indah. Malaysia tidak terkecuali. Yang
indah adalah kehadiran anggota masyarakat yang berlainan boleh duduk bersama
walau nilai berbeza. Kita perlu kembali kepada asas. Adakah kita memahami apa
yang menjadi asas dalam membina negara ini; tulang belakang kepada keutuhan
negara-bangsa ini.Jika ditanya setiap rakyat Malaysia, apakah
mereka mampu menyatakan secara jujur apakah yang menjadi asas kepada hirupan
udara Malaysia yang rencam? Dari mana munculnya asas yang memastikan negara ini
boleh terus kekal stabil dan tidak tergugat oleh anasir yang berkepentingan
sendiri dan bukan untuk negara-bangsa. Adakah hasutan pihak tertentu yang
berkepentingan atau mengambil kesempatan untuk mengeruhkan kestabilan keharmonian
yang terbina selama ini perlu diberikan ruang dengan meminggirkan teras negara
ini?
Perlembagaan, hakikatnya adalah penggerak kepada
keseluruhan hubungan sesama anggota masyarakat negara ini. Dengan rujukan
kepada beberapa elemen utama dalam Perlembagaan, ia wajar dijadikan perhitungan
ketika lahir perasaan memberontak dalam kalangan segelintir anggota masyarakat
yang ketara sifat syak wasangka, prejudis dan etnosentriknya. Hubungan majoriti
dan minoriti bersifat resiprokal, saling membalas; perlu memerlukan di antara
satu sama lain.
Merujuk dan memahami Perlembagaan akan
membolehkan kita menerokai nilai sebenar yang menjadi asas kepada hubungan
antara masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Beberapa perkara yang menjadi
teras seperti yang pernah saya perihalkan dalam artikel bertarikh 17 Julai
2012. Saya nyatakan bahawa 'jangan disalahkan Perlembagaan jika memilih untuk
melihat ia hanya dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat keseluruhannya.
Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152
(Bahasa Kebangsaan); Perkara 153 (Perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit
dan sebagainya, untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan)
dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan
sekadar kiasan semata-mata.
Misalnya, Perkara 3 menyatakan bahawa Agama
Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Perkara 3 juga menyentuh bagaimana
agama-agama lain boleh diamalkan. Begitu juga dengan Perkara 153 yang
menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara
kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Borneo dan kepentingan
sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini. Begitu juga dengan
kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kepimpinan
negara.
Dalam artikel bertarikh 19 November 2013, saya
ada mengambil ungkapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang
mengingatkan "Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak
melihat fajar yang sedang menyinsing. Ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan
nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang habuan
diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi" di
Kongres Majlis Profesor Negara II 2013. Titah baginda lagi "Perlembagaan
negara berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah
bahtera merdeka. Ia menggariskan rangka asas organisasi negara, fungsi kerajaan
dan tata urus keadilan. Jika difahami, dihormati, dihayati dan diamalkan tanpa
penyimpangan, semangat yang tersirat dalam Perlembagaan negara adalah formula
penyatupaduan paling berharga".Warga Malaysia perlu kembali kepada asas untuk
memahami apa yang menyatupadukan kita. Mahu memahami, toleransi dan hormati
perbezaan yang ada sebagai aset utama dan bukan penghalang agar kepelbagaian dapat
terus diraikan.
Sengketa dan telagah boleh diselesaikan dengan
pelbagai cara tanpa ada kepentingan yang melangkaui kepentingan perpaduan inter
dan intra etnik. Kompromi dan berkorban adalah asas kepada amalan nilai-nilai
yang dikongsi bersama untuk melahirkan sifat kepunyaan sesama kita.Sudah tiba masanya sebuah Majlis Isu Strategik
(MIS) ditubuhkan agar pihak berwajib yang berautoriti menganggotainya untuk
memahami isu dari pelbagai sudut demi pertimbangan yang mengutamakan rakyat
serta negara khususnya. Ia akan membolehkan pihak yang mempunyai kepakaran ke
atas sesuatu isu dirunding dan diterima maklum balas serta penasihatan demi
sekuriti tanahair. Ia juga akan menerima keyakinan rakyat secara umumnya kerana
MIS ini berperanan mengharmonikan sesuatu isu, mengurus konflik perselisihan
pandangan yang semakin menjadi-jadi kerana terjemahan dan tafsiran mengikut
keselesaan masing-masing dan adakalanya tidak praktikal; tanpa melihat
kecerahan dari sudut Perlembagaan sekalipun apabila hasutan mengelirukan persepsi
dan pandangan.
Asas muhibah bergantung kepada mereka yang
menghuni negara ini dan mereka juga bertanggungjawab bersama memastikan
keharmonian terpelihara. Toleransi dan kedamaian tidak boleh dipikul oleh hanya
segelintir sahaja tetapi jika majoritinya menerima hakikat kepentingan tasamuh
dan berjiwa Malaysia, negara ini akan terus kekal hidup berukun rakyatnya. Bawa
kembali nilai asas agar Malaysia kekal makmur, muhibah dan aman sentiasa. sumber U.Malaysia, disesuaikan daripada tulisan Prof Madya Dr Pandian Subramaniam,USM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan