Salam Perjuangan

26 Jun 2012

DEBAT PUN BIAR BERTEMPAT

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dengan sinis mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ingin berdebat dengannya atau tidak.

Anwar berkata, kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan bahawa debat bukan satu budaya juga merupakan helah untuk mengelak daripada berdebat dengan beliau.

"Dia nak debat ke tak nak? Dia anjurkan debat-debat di seluruh sekolah. Hadiah (yang diperolehi ialah piala) perdana menteri. Debat-hadiah-perdana menteri. Di sekolah minta anak-anak untuk berdebat. Hadiahnya (piala) perdana menteri. Tapi perdana menteri kata bukan budaya. Habis yang diajar di sekolah itu apa?

"Itu cuma helah nak elak untuk berdebat," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pidato aspresiasi di majlis pelancaran dan diskusi buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat malam tadi.

Majlis pelancaran dan diskusi buku hasil tulisan Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga turut dihadiri  Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Jumaat lalu, Najib terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran yang dikemukakan Anwar  untuk mengadakan debat.

Katanya, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan perbahasan di Parlimen ada unsur perdebatan, Anwar menafikan perkara tersebut.
"Debat... bila Datuk Najib datang? nak debat atau tidak. Bagi alasan Parlimen ada debat. Tak ada.
"Kedua ini bukan budaya Melayu. Maki orang, pukul orang, bunuh, hina itu budaya Melayu ke? Guna media untuk aibkan orang itu budaya Melayu?" soal Anwar.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan pemimpin baru Mesir, Mohamed Morsi, Anwar berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa suara rakyat harus dihormati.

Menurut Anwar, presiden Mesir yang baru itu telah menghadapi pelbagai tuduhan tetapi masih ada kekuatan dan sambutan daripada rakyat negara itu.

"Rakyat Mesir dah buat keputusan. Ini tunjukkan bahawa suara rakyat harus dihormati. Beliau telah dipenjara dan dihina dengan pelbagai tuduhan tetapi masih lagi ada kekuatan dan mendapat sambutan rakyat," kata Anwar.

Ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, Anwar berkata, mantan perdana menteri itu masih mewakili zaman lampau.

Sambil menyifatkan bapa pemodenan itu mewakili pandangan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Anwar berkata, Mahathir masih lagi merasai kehilangan Hosni.

"Mahathir mewakili zaman lampau dan mewakili pandangan Husni Mubarak. Jadi kawan kita Tun Mahathir masih rasa kehilangan Hosni sedangkan rakyat Mesir bergembira," kata Anwar.(sumber:MK,26/06/12)

TAZKIRAH : RASULULLAH MODEL SUAMI PENYAYANG

KEHIDUPAN berumahtangga atau bersuami isteri pasti akan bertambah seri dan sinar andai setiap pasangan tersebut tidak begitu lokek dan kedekut kudrat dalam melestarikan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain.
Hal sedemikian jika direnungkan sejenak tidak begitu sukar perlaksanaannya akan tetapi disebabkan barangkali usia pembinaan rumah tangga yang agak lama mungkin menjadi penghalangnya.
Ini kerana dikatakan sudah tiada lagi kemanisannya seperti seawal rumah tangga didirikan.
Sudah tentu ini satu persepsi yang salah lagi teramat silap, ini kerana sesebuah rumah tangga yang dibina bukanlah bersifat dalam adegan lakonan drama atau teater yang mempunyai tempoh masa, bahkan ia adalah satu proses pembinaan ummah sepanjang masa.
Sepatutnya semakin mengenal hati budi seseorang, maka semakin bertambah keakraban ditambah pula pernah mengharungi suka duka, jerit perih dalam kehidupan secara bersama.
Sebagai seorang suami yang sentiasa ingin melakukan penambahbaikan terhadap usaha pengislahan dalam rumah tangga, seseorang itu tidak mempunyai pilihan ikon yang paling tepat dan terus relevan untuk diikutinya melainkan Baginda Nabi Muhammad SAW.
Dewasa ini, kita dikejutkan dengan saban hari peningkatan kadar perceraian yang dipelopori oleh pasangan-pasangan muda malah tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin, apakah itu satu berita atau riwayat yang hanya membuatkan kita tersenyum sinis sambil berkata, "Ya, kalau sudah tidak ada jodoh , apa lagi yang mampu dibuat, perpisahan adalah jalannya."
Kita sebenarnya begitu mudah untuk tidak berfikir bagaimana untuk terus menyelamatkan sebuah ikatan suci atas nama pernikahan malah dengan mudah jika sekiranya terdapat pelbagai konflik dan masalah, maka dengan cepat memilih untuk membawa haluan masing-masing.
Oleh itu, dalam mengemudi rumah tangga selain daripada kematangan berfikir ia juga harus dimampatkan dengan ilmu pengetahuan agar setiap tindakan itu bersesuaian dengan norma-norma masyarakat serta mengikut aturan ilmu yang diajarkan oleh Islam.
Benar kata-kata yang kita biasa dipasakkan dalam minda bahawa, 'hidup tidak selalunya indah'. Tetapi pernahkah kita semua berfikir juga bahawa jika kena dan tahu caranya keindahan itu boleh muncul dalam kehidupan, maka ia bergantung kepada individu, sama ada untuk mencarinya atau bagi yang sudah memiliki dengan sengaja menghilangkannya.
Menyoroti amalan Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan tanggungjawab Baginda SAW sebagai suami, maka akan terfikir di minda kita semua bahawa ia tidaklah begitu sulit dan sukar untuk dijelmakan sebagai amalan dalam kehidupan kita semua bagai umatnya.
Mengambil contoh Baginda SAW, walaupun kecil pada sesetengah pandangan daripada kita seperti Rasulullah SAW tidur dalam satu selimut dengan isterinya, ini dapat kita hayati hadis yang menyatakan bahawa daripada Atha' bin Yasar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bekas. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, "Mengapa engkau bangkit?" Jawab Aisyah, "Kerana saya haid, wahai Rasulullah." Sabda Rasulullah, "Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku." Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau." (riwayat Sa'id bin Manshur) .
Selain itu juga , baginda Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat soal penampilan diri agar sentiasa kemas di mata isteri, ini pernah diperkata oleh Saidatina Aisyah:
"Sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW (riwayat Ibnu Majah).(sumber:UM, 26/06/12)

25 Jun 2012

AIR ASIA PERLU PESAING?

Cadangan menambah syarikat perkhidmatan penerbangan tambang murah di negara ini perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan ia boleh dilaksana dan berdaya maju.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, mana- mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan itu perlu membuat permohonan kepada kerajaan.
"Saya fikir kerajaan akan menimbangkan permohonan itu dan sudah tentu ia akan memberi faedah kepada lapangan terbang yang terlibat seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa ahli Parlimen yang mencadangkan agar kerajaan memberi satu lagi lesen kepada syarikat lain untuk mengendalikan perkhidmatan sedemikian agar ia tidak dimonopoli oleh AirAsia Bhd. (AirAsia).
Sebelum itu, Dr. Mahathir merasmikan pelancaran Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi 2012 (LIMBC) yang turut dihadiri Ketua Eksekutif Human Voyage, Datuk Malik Mydin.
Menurut Dr. Mahathir, Malaysian Airline System Bhd. (MAS) sendiri telah mewujudkan Firefly berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap penerbangan tambang murah.
"Dia nampak AirAsia maju dia pun adakan Firefly namun dalam hal ini kita nampak sekarang AirAsia yang lebih agresif," katanya.
Beliau turut mengingatkan bilangan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan berkenaan tidak perlu terlalu banyak kerana ia mungkin akan merugikan syarikat terlibat.

"Jangan buat macam kedai nasi lemak, orang jual nasi lemak laku mereka pun nak buka kedai nasi lemak. Kalau ada 10 kedai orang nak makan, nak pergi mana. Kalau bahagi 10, semua bankrap," katanya.
Sementara itu beliau berkata, penganjuran LIMBC boleh membantu mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan di negara ini.

"Saya harap LIMBC akan kekal di Langkawi dan berharap jangan pula ada pihak-pihak lain yang cuba membawa ia keluar dari pulau ini," katanya.(sumber:UM,25/06/12)

KDYMMPSB SULTAN BRUNEI: MENJELANG 15 JULAI 2012

PINTU-PINTU gerbang mula didirikan di beberapa kawasan strategik di Daerah Tutong.
Para pekerja terdiri daripada syarikat-syarikat pemborong telah bekerja keras untuk mencantikkan kawasan-kawasan bandaran Daerah Tutong dengan menaikkan pintu-pintu gerbang dan memasang lampu neon berwarna-warni.

Penduduk di daerah Tutong gembira menunggu meraikan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Wadaullah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-66 tahun pada 15 Julai 2012 nanti.(sumber:MP,25/06/12)

20 Jun 2012

TUN MAHATHIR BERI AMARAN KEPADA NAJIB?

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengkritik tindakan reformasi Datuk Seri Najib Razak, memberi amaran kepada Perdana Menteri tindakannya itu bakal mencetuskan gejala ekstremis.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kepada agensi berita, Agence France-Presse (AFP) dalam satu temu ramah di sini, formula Najib untuk penyatuan kaum tidak “dijelaskan dengan sempurna.”

“Apa berlaku, sudah tentu, adalah apabila anda membuka sesuatu isu — anda menjadi liberal — pelampau-pelampau yang agresif menunjukkan pendapat mereka,” kata beliau yang dipetik oleh agensi.

Dr Mahathir yang sedia maklum dilihat menjadi pengkritik yang lantang bagi Najib di dalam Umno, bercakap dalam rujukan mengenai  keputusan membuang kuasa-kuasa kerajaan pusat untuk kepercayaan politik masing-masing.

Najib, Perdana Menteri yang keenam, membuat janji yang bersejarah pada sambutan Hari Malaysia tahun lalu untuk membubarkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), atas permintaan masyarakat dan parti pembangkang.

Beliau mengotakan janjinya tahun ini dengan menggugurkan undang-undang 1960 British dengan membentangkan satu undang-undang keselamatan baru — Akta Kesalahan-kesalahan Keselamatan (Langkah Pencegahan) 2012 — menolak kuasa kerajaan menahan tanpa perbicaraan dan menahan seorang bagi kecenderungan politiknya.

Kenyataan ini dilihat membunuh langkah pembaharuan penting diambil oleh pentadbiran Najib, yang mana dilihat sebagai percubaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meluaskan pengaruhnya terhadap rakyat Malaysia.

Tetapi Dr Mahathir, yang menerajui negara selama 22 tahun sehingga 2003, percaya bahawa terlalu banyak kebebasan akan mengakibatkan ketegangan kaum, menurut AFP.

“Sekarang kami mahu untuk menjadi liberal, apa telah berlaku adalah sekarang kami lebih mementingkan perlumbaan daripada sebelum ini. Hari ini, orang menuduh satu sama lain dan bersifat perkauman.
“Terdapat lebih antagonisme antara kaum (sekarang) berbanding liberalisasi sebelum ini,” katanya dipetik semasa temuramah itu.

“Di mana sebelumnya tidak ada masalah, sekarang timbul masalah,” tambahnya lagi.
Dr Mahathir telah dikritik hebat kerana mengambil sikap keras, taktik-taktik autoritarian yang mengetatkan kawalan penyebaran perbezaan pendapat terhadap kepimpinan beliau semasa menjawat jawatan dalam kerajaan.

Pentadbirannya telah mengambil tindakan seperti Operasi Lalang, apabila 106 individu telah ditahan sewaktu serbuan ISA kedua terbesar dalam sejarah Malaysia.
Tetapi Dr Mahathir mendesak hari ini yang Malaysia perlu menjadi sebuah kerajaan “tegas” selain daripada menjadi adil.
“Kami memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh. Ia sepatutnya bersih, tegas,” katanya kepada AFP.
Kerajaan Najib telah dikritik pihak tempatan dan asing kerana menggunakan kekerasan apabila menahan peserta demonstrasi menuntut pilihan raya adil dan bersih.
Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lepas telah menyebabkan berlakunya huru-hara dan merekodkan 1,000 tangkapan setelah polis anti rusuhan menembak gas gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul secara aman.
Berikutan tentangan negatif menentang pentadbirannya, Najib memutuskan pada tahun lepas untuk menggubal satu undang-undang khas bagi tujuan itu untuk mengadakan kebebasan perhimpunan awam, selaras dengan hak perlembagaan rakyat Malaysia.
Kerajaan mengamalkan satu pendekatan apabila Bersih 2.0 mengumumkan rancangan mengadakan satu lagi perhimpunan menuntut sistem pilihan raya di pusat bandar, dengan pemimpin kerajaan mengatakan kumpulan berkenaan boleh meneruskan perhimpunan dalam lingkungan Akta Perhimpunan Aman 2011.
Tetapi huru-hara sekali lagi berlaku di ibu negara pada 28 April selepas penunjuk perasaan merempuh sekatan polis sekitar Dataran Merdeka, yang telah dikepung kerana kerajaan telah menganggapnya satu lokasi tidak sesuai untuk berhimpun.(sumber: TMI,19/6/12)

TB: Dengan ringkasnya; TB merasakan ada kebenarannya juga hujah Tun M. Hairan bin Ajaib tidak pula parti-parti pembangkang khususnya DAP menuding ke arah Singapura yang mana PAP bagaikan sinonim dengan DAP. PAP dan Singapura terus mengekalkan akta-akta yang banyak ditakuti oleh DAP di Malaysia. Mengapa ada berlaku 'double standard'?

ARIPIN SAID: KE MANA MENGHILANG?

TB sudah lama tidak ketemu Sdr Aripin Said yang pernah menjadi rakan sekuliah TB semasa menuntut di UPM Serdang dahulu. TB sudah terputus hubungan kerana masing-masing sibuk mengemudi bahtera kehidupan masing-masing. Apatah lagi setelah TB berkhidmat di luar negara antara kami tidak tahu ke mana gerangan.

Apapun baik Aripin Said mahupun rakan-rakan lain seperti Abdullah Sani Yahya, Mamat lbrahim, Mohd Kamal Endut, Aziz Jaafar dan ramai lagi; semoga panjang umur dan ada rezeki dapat kita bertemu lagi walaupun dalam bentuk,situasi dan kondisi yang berbeza.Wallahualam.

19 Jun 2012

CERITA DARI KEMUNTING

TAHANAN  ISA yang mendakwa diseksa ketika siasatan polis menamakan seorang doktor kerajaan yang merawat mereka sebagai saksi utama dalam kejadian yang didakwa.

Menurut nota yang diperolehi Malaysiakini, doktor berkenaan telah merawat pelbagai kecederaan yang dialami tahanan berkenaan dalam lawatan mingguannya ke pusat tahanan reman, sebelum tahanan berkenaan dihantar ke kem Kamunting di Taiping.

Doktor berkenaan dinamakan di dalam nota berkenaan namun Malaysiakini masih merahsiakan identitinya sehingga disahkan.

Doktor tersebut didakwa telah campur tangan bagi pihak tahanan berkenaan yang didakwa telah diserang dengan "teruk."

“(Nama dirahsiakan) adalah individu penting. Ada khabar angin mengatakan dia telah bersara. Dahulu khabar angin mengatakan dia bekerja di HKL (Hospital Kuala Lumpur)... Dia tahu lebih banyak rahsia berbanding siapa pun," nota tersebut dipetik.

Nota itu didakwa diseludup keluar daripada kem Kamunting oleh seorang kakitangan,

Semakan dengan unit di hospital yang dinamakan dalam nota berkenaan mendedahkan bahawa doktor berkenaan, yang dipercayai berusia lebih daripada had persaraan, tidak berkhidmat di situ.

Setakat ini, belum jelas sekiranya doktor berkenaan, yang didakwa turut dikaitkan dengan hosptal dalam dokumen rasmi lain, kini berkhidmat di unit lain atau telah bersara.

Malaysiakini telah menghubungi individu yang dipercayai sebagai doktor berkenaan melaui emel dan media sosial, namun belum mendapat maklum balas.(sumber:MK, 19/06/12)

PENDIDIKAN : HALA TUJU SEMAKIN JELAS

Profesionalisme, kebajikan, kemahiran guru agenda paling popular DNPN
Profesionalisme perguruan, kebajikan dan kemahiran guru menjadi topik paling popular dalam siri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) dan perbincangan meja bulat yang diadakan di seluruh negara setakat ini.

Kira-kira 27 peratus responden terbabit dalam lapan siri DNPN dan tujuh perbincangan meja bulat sejak April lalu, menyentuh aspek itu, manakala 14 peratus lagi mengenai aspirasi sistem pendidikan dan pembangunan modal insan.

Selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara. - Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri .
Topik popular lain ialah kualiti sekolah (12 peratus), kepimpinan sekolah (11 peratus), kurikulum dan pentaksiran (10 peratus), peranan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta (sembilan peratus), kapasiti dan keupayaan sistem penyampaian (tujuh peratus), kecekapan dan keberkesanan penggunaan sumber (lima peratus), kemahiran bahasa (tiga peratus) dan peluang lepasan menengah (satu peratus).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata berdasarkan dapatan awal DNPN itu, Kementerian Pelajaran mendapati profesionalisme perguruan, aspirasi rakyat terhadap sistem pendidikan dan kemenjadian murid perlu diberi perhatian utama dalam transformasi pendidikan negara.

Seramai 8,415 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan, termasuk wakil agama menyertai DNPN setakat ini.

“Masih ada lima siri dialog sehingga pertengahan bulan depan. Saya harap mereka memanfaatkan peluang itu untuk memberi input dan pandangan,” katanya menjawab soalan Teng Boon Soon (BN-Tebrau) di Dewan Rakyat, semalam.

Selain DNPN, Muhyiddin berkata, tujuh perbincangan meja bulat sudah diadakan mengikut kumpulan seperti penggerak masyarakat, ahli akademik, tokoh dan pemimpin masyarakat, termasuk kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya, kebanyakan isu dibangkitkan pada meja bulat itu menyentuh persoalan hampir sama dalam siri DNPN, termasuk kualiti guru, sistem pendidikan, kurikulum dan pentaksiran, kualiti sekolah, kepimpinan sekolah, penekanan kepada nilai dan disiplin murid, pembabitan ibu bapa dan pendidikan yang bebas daripada campur tangan politik.

Lapan lagi sesi perbincangan akan diadakan sebelum pertengahan bulan depan.

Di samping itu, pertubuhan, persatuan, kesatuan, kumpulan komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menghantar 22 memorandum mengandungi pandangan, resolusi serta cadangan untuk penambahbaikan sistem pendidikan negara.

Muhyiddin berkata, selepas semua maklumat dikumpul, dinilai dan dirumuskan, satu laporan akhir disediakan yang kemudian akan digunakan untuk menentukan hala tuju pendidikan baru negara.

“Rangka tindakan pendidikan itu kemudian akan dibentangkan semula kepada rakyat untuk mendapat maklum balas akhir. Rangka yang sudah dimurnikan akan dibentang kepada Kabinet untuk dilulus dan dilaksanakan.

“Apabila selesai pembinaan hala tuju pendidikan yang baru, kementerian akan menyediakan pula pelan tindakan bersesuaian untuk menterjemahkan hasrat hala tuju pendidikan itu dalam bentuk inisiatif baru,” katanya. (sumber:BH, 19/06/12)

16 Jun 2012

TOL: KERANA RM 2 RIBU GUNAKAN PISTOL



Mohd. Haffiz Zamri, 26, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban selepas ditembak berhampiran Plaza Tol Seremban, kelmarin.
SEORANG wanita yang sedang mengandung dua bulan berhadapan risiko keguguran kandungannya, manakala rakannya terpaksa dipotong kaki kanan akibat ditembak sekumpulan penjenayah yang melarikan wang kutipan hasil tol semasa kedua-duanya dalam perjalanan menghantar wang tersebut ke pejabat Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Plaza Tol Seremban di sini malam tadi.
Kedua-duanya yang bekerja sebagai jurutol di plaza tol berkenaan baru sahaja tamat syif bekerja dan menjadi rutin harian mereka untuk menghantar wang kutipan ke pejabat PLUS yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat mereka bekerja.

Namun dalam kejadian pukul 9.57 malam itu, motosikal mereka dipintas sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan penjenayah bersenjatakan pump gun lalu bertindak melepaskan tiga das tembakan bertalu-talu yang mengenai kedua-duanya.(sumber: UM, 16/06/12)

TB: Penjenayah maha kejam! ltu reaksi orang ramai...PDRM, Jabatan Kehakimah, Mahkamah...bagaimana dengan penguatkuasaan Akta Senjata Api yang memiliki tanpa lesen boleh dihukum mati? Kini amat membimbangkan; baik jenayah berat mahupun ringan penggunaan senjata api kian berleluasa..lni fenomena membahayakan. Bersihkan! Kita sudah lama tidak kedengaran pemilik senjata api yang tanpa lesen; apatah lagi digunakan dalam rompakan, ugutan,culik,membunuh dan sebagainya disabitkan hukuman gantung sampai mati mandatori! lngat jangan biarkan Malaysia menjadi negara koboi.....apa komen pembaca?

15 Jun 2012

SELAMAT PAGI PHNOM PEHN


Mentari di hujung senyuman Mekong
Telah lama mengintai derita tanah air
Dalam kancah dan pecah penjajah
Perang dan berang sesama sendiri
Dirimu yang rugi merana di setiap bilah hari

Di Tebing Sungai Mekong Phnom Pehn Cambodia
Purnama malam kelmarin kelihatan
Di hadapan Royal Palace yang sepi
Sesekali anak-anak muda Perancis hilir-mudik
Menyusuri warisannya dan meneguk café
Bangga bertutur bahasanya dengan anak peribumi

Angin sendu di Stupa Peringatan Genosid
Jasad mangsa Choeung Ek dipelihara penuh hormat
Kerana angkara algojo Khmer Rouge
Kenangan kegelapan suram Him Sophy
Boleh didengar di mana-mana setiap masa
Kubur 166 ngeri tidak berkepala

Kotak gelas tulang mangsa dan rumah roh
Pokok kekejaman bercerita padang pembunuhan
Melingkari sejarah Pol Pot dan konco-konco merahnya
Setiap rakyat mewarisi derita sengsara lara
Kehilangan bayi ulama dibunuh seksa gadis diperkosa
Oh Phnom Penh disemadikan kini  dalam kedap udara pagi!


DR RAJIEE HADI,
Phnom Penh, Cambodia.
6 Jun 2012




14 Jun 2012

SIEM REAP CAMBODIA


Siem Reap merupakan ibu kota wilayah Siem Reap di Kemboja (Cambodia). Kota ini terletak di bahagian barat laut negara dan merupakan pusat pelancongan dan budaya penting di Kemboja .lanya menjadi gerbang masuk menuju kawasan purbakala kota Angkor yang terkenal. Kota ini memiliki iklim tropika. Pada tahun 2006, kota ini memiliki jumlah penduduk sebesar 139,458 orang.
Siem Reap memiliki bangunan tua kolonial dan seni bina  China di sekitar lingkungan Perancis dan di sekitar Pasar Lama. Di kota ini terdapat gedung pertunjukan yang menggelar tari tradisional Apsara, pusat candera mata, kraftangan dan kain sutera, sawah padi, desa nelayan, dan suaka burung berhampiran danau/tasik Tonle Sap. Tasik Tonle Sap ialah tasik yang terbesar di Asia Tenggara. Lapangan Terbang Antarabangsa  Angkor-Siem Reap menerima pendaratan daripada beberapa syarikat penerbangan antarabangsa dari seluruh dunia.

TB Berada Di Salah Sebuah Kaunter Bas Di Siem Reap
Kata Siem Reap bermaksud 'Kekalahan Siam' — kini Thailand— dan merujuk pada permusuhan dan pertumpahan darah selama berabad-abad, peristiwa yang diperingati dalam ukiran relief dan monumen. Kota ini menjadi laluan lintas masuk dari Kemboja kuno menuju ke Thailand.
Pada 1901 Ã‰cole Française d'Extrême Orient (EFEO) mula menghubungkaitkan dengan Angkor.Beliau memulakan ekspedisinya  memasuki Siam (Thailand) dan Bayon. Pada 1907 Angkor, yang telah direbut daripada kerajaan Siam dengan paksa, dikembalikan kepada Kemboja. EFEO bertanggung jawab membersihkan situasi purbakala ini daripada diliputi hutan rimba  dan pada tahun yang sama pelancong perintis pertama tiba di Angkor kira-kira  200 pelancong perintis yang tinggal di Angkor selama tiga bulan. Angkor kembali diselamatkan daripada  hutan dan mendapat perhatian dunia.

Penari tradisional di Siem Reap yang menjadi produk pelancongan.
Pada saat ditemukan oleh penjelajah Perancis pada abad ke-19, Siem Reap hanyalah berupa desa sederhana. Dengan dikuasainya Angkor oleh Perancis pada 1907, Siem Reap mulai berkembang dan menerima gelombang kunjungan pelancong pertamanya.

 Grand Hotel d'Angkor dibuka tahun 1929 dan candi-candi di Angkor menjadi salah satu daya tarik pariwisata Asia utama hingga akhir 1960-an. Tokoh pesohor seperti Charlie Chaplin dan Jackie Kennedy, adalah mereka yang pernah mengunjungi Angkor.

 Pada 1975, sebahagian besar penduduk kota Siem Reap bersama seluruh penduduk kota lainnya di Kemboja terkesan oleh kezaliman regim komunis Khmer Merah yang kebanyakan lari bersembunyi di desa pedalaman.


Menuju Pub Street Menjelang Malam di Siem Reap
Seluruh negara dan rakyat Kemboja menderita dibawah regim maha zalim Khmer Merah. Sehinggalah   misi pengaman PBB (UN) dan kematian Pol Pot pada 1998 keadaan menjadi stabil  dan keamanan wujud. Sejak itu industri pelancongan menjadi sangat penting untuk memulihkan ekonomi Kemboja. Maka setelah sekian lama sepi Siem Reap mulai bangkit sejak pertengahan 1990-an.
Kini, Siem Reap adalah kota yang paling pesat pertumbuhannya di Kemboja sebagai kota kecil yang menawan tempat singgah sebelum mengunjungi artifak terkenal candi-candi di Angkor. Berkat daya tarik Angkor, Siem Reap telah bangkit menjadi pusat pelancongan utama dan menjadi kota yang hidup dengan dipenuhi hotel dan pusat membeli-belah serta tempat bersantai.




Sekolah Rendah di Kampung Terapung di Tasik Tonle Sap.
Penulis (TB) berada di kota Siem Reap sejak 2 Jun 2012 lalu. Sebenarnya di mana-mana sikap rakyat Kemboja lebih suka berurusan jual beli dengan Dolar USA kerana mahukan keuntungan. Sebenarnya nasihat TB, bertegaslah gunakan wang Kemboja (Riel Kemboja). Dengan gunakan Riel kita akan dapat harga yang lebih menguntungkan.

Perjalanan menggunakan jalan darat dengan bas dari Phnom Penh sekitar 7 jam dengan tambang 11,000 riel dengan bas Syarikat Sorya yang agak lambat dan banyak kerenahnya. Dengan bas Paramount sekitar 5USD agak lancar. Harga hotel sekitar 2-3 bintang puratanya antara 15 USD- 25 USD. Manakalah 'guest house' bagi pengembara yang mementingkan bajet harganya satu malam sekitar 2-5 USD.(TB)

Di Siem Riep masjid yang berhampiran bandar terletak di perkampungan lslam kira-kira 2km dari bandar iaitu di Stueng Thmey Village. TB telah menjamu selera di Restoran Muslim Kemboja (Cambodian Muslim Restaurant) milik Encik Yan Soffy yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa lnggeris dengan baik.Pelbagai menu termasuk makanan Thai yang sudah sebati dengan selera orang Malaysia.Restoran dan perkampungan lslam ini (ada kira 350 buah keluarga) terletak di Stueng Thmey Village.

Tarian Tradisional Tempatan







Buaya juga diternak 




Floating Houses di Tasik Tonle Sap





13 Jun 2012

KHAIRY JAMALUDDIN : PATUHILAH NASIHAT INI.

BEKAS Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin mengingatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya bertindak bijak untuk memastikan peluangnya menjadi perdana menteri pada masa depan tidak  terjejas.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam berkata, Khairy telah melakukan kesilapan di tangga awal pendakiannya, namun diberi peluang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak mengamalkan politik balas dendam.

"Khairy dan beberapa orang rakannya tidak dapat membasuh tangan, bahawa percaturan politik mereka telah memberikan sumbangan ke arah ketidak setabilan politik dalam parti dan juga keruntuhankepada asas-asas ikatan perpaduan negara yang diletakkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan diperkukuh serta digemilangkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad," tulis dalam entri blognya, www. zamkata.blogspot.com yang bertajuk,  Khairy boleh jadi PM pada hari tua, semalam.

Menurutnya, dalam beberapa hal, percaturan ini dilanjutkan sehingga selepas Tsunami 2008, yang menampakkan ada usaha untuk membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke dalam Umno sehingga ke peringkat membawa pasport antarabangsa kepadanya untuk berubat patah tengkuk di luar negara. "Tetapi ternyata Khairy salah membaca sikap orang Umno," tulis Zam.

Dalam menghadapi pilihan raya 2008, sesetengah media menjadi alat kepada memecahbelahkan Umno dan asas ketatanegaraan dengan laporan negatif terhadap orang yang tidak disukai oleh bakal pemimpin muda.

"Yang paling  menyedihkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dihina dan diperkecil dalam keadaan dia sakit, pada hal dia berjasa besar kerana pulihkan kekuatan BN di Kedah." Zam menulis, berita-berita sensitif yang  menyakitkan hati orang Melayu dan Islam dipermainkan dengan bebas oleh media berkenaan.

"Sorak megah pilihan raya 2004 berakhir dengan kehilangan maruah pada 2008 kerana kesombongan dan keegoan beberapa orang muda yang 'berkuasa'. Apabila saya buat kenyataan yang disiarkan Utusan Malaysia dan Sinar Harian, bahawa Tsunami 2008 menggagalkan cita-cita pemimpin muda dalam Umno untuk mengambil alih kuasa, salah seorang dari tingkat 4 telah menelefon dan memarahi Utusan," kata Zam.

Menurutnya, terlalu banyak kesilapan Khairy dan rakan-rakannya untuk diceritakan semula, tetapi ini bukanlah masanya.

"Ini adalah masa untuk lebih memfokuskan kepada pemulihan perpaduan dan seperti kata Tun Dr Mahathir, walaupun dia tidak suka seseorang calon, tetapi jika itu pilihan parti, maka dia akan mengundinya.

"Demikianlah juga dengan Khairy, sekalipun dosanya terlalu besar kepada keruntuhan asas-asas perpaduan negara kerana idealismenya dan kerana nafsu politiknya, tetapi Khairy harus diberikan kesempatan untuk memperbaiki kesilapannya, dan dia sedang melakukan ini sekarang. Kesempatan ini diberikan oleh Datuk Seri Najib yang memahami erti politik dan tidak ada perasaan membalas dendam, sekalipun usaha untuk mencegah kenaikannya, dilakukan sehingga saat terakhir," katanya.

Zam mengakui, Khairy kembali menyerlah kerana kegigihannya. "Bakat dan karisma politiknya terserlah," kata beliau.(sumber:SH,13/06/12)

12 Jun 2012

PHNOM PENH CAMBODIA


Phnom Penh merupakan (bahasa Khymer: Phnum Pénh) merupakan ibu kota Kemboja( Cambodia) Bandar ini pernah dikenali sebagai "Mutiara Asia" pada zaman 1920-an dan mempunyai seni bentuk bina Perancis dan Khymer.
Phnom Penh merupakan bandar yang mempunyai penduduk paling banyak di Kemboja, iaitu 1 juta, di samping menjadi pusat perdagangan, politik dan kebudayaan negara itu.
Bandar ini telah menjadi ibu kota Kemboja sejak abad ke-15, apabila raja Ponhea Yat  memindahkan pusat pemerintahan Kerajaan Khymer  daripada  Angkor Thom  yang berjaya dikuasai oleh Siam (kini Thailand).

Umat Islam di Kemboja hari ini nampaknya mula bangkit selepas dicengkam kekejaman rejim/regim Pol Pot. Selama empat tahun Kemboja (1975-1979) di bawah pemerintahan komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot, kira-kira setengah juta rakyatnya, Islam atau bukan, dewasa, wanita dan bayi dibunuh. 

Itulah kekejaman komunis yang sepatutnya menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia untuk bersama bersyukur kerana masih bebas mengamalkan ajaran Islam secara aman dan damai. Pemerintahan komunis Khmer Rouge membunuh sesiapa saja yang beragama. 
Malah dikatakan wujud perkampungan di Kemboja yang bukan saja tiada manusia hidup selepas kemasukan askar Khmer Rouge bahkan haiwan juga tiada lagi bernyawa kerana semuanya dibunuh kejam oleh komunis Khmer Rouge. 

Penulis dan Tim TB berpeluang melawat lokasi bersejarah seperti tempat seksaan Toul Sleng (asalnya sekolah terkenal di tengah kota Phnom Penh) dan padang di pinggir kota Phnom Penh yang dipanggil ‘Killing Field’ (Padang Pembunuhan). 

Di celah padang itu masih tertegak sebatang ‘pohon pembunuh’ yang digunakan askar komunis Phnom Penh untuk membunuh bayi dan anak kecil. Andai kata pokok itu boleh berbicara, pasti diceritakan bagaimana askar Khmer Rouge menghayunkan kepala bayi dan anak kecil ke pokok itu hingga tidak bernyawa. 

Penulis merasakan pohon tersebut turut menangis kesedihan  kerana kekejaman manusia. Pohon menangis bukan suatu yang asing dalam tradisi Islam kerana dalam sirah Nabawiyyah pernah menyebut bagaimana sepohon batang kurma yang pernah dijadikan tempat Rasulullah SAW berkhutbah menangis.
 
Diriwayatkan dari Abdullah ibn Umar: “Suatu ketika dulu Nabi SAW berkhutbah di atas sebatang kurma. Tatkala beliau telah membuat mimbar, maka beliau berpindah ke mimbar itu. Batang kurma itu pun menangis (dalam satu riwayat lain, kami mendengar seperti suara unta menangis). Maka Nabi SAW mendatanginya sambil meletakkan tangannya pada batang kurma itu (untuk menenangkannya).” – (Hadis riwayat Bukhari dan Tirmizi) 

Di depan ‘pohon pembunuh’ itu juga bayi dibunuh dengan cara dilambung tinggi di udara lalu dilepaskan tembakan ke arah mereka oleh askar yang tiada peri kemanusiaan. Bayi tidak bernyawa itu kemudian disepak ke dalam satu lubang besar menempatkan mayat bayi tidak berdosa itu. 

Apabila ditanya kepada penduduk tempatan  mengapakah askar Khmer Rouge sanggup memperlakukan sedemikian lalu mereka memberitahu askar Kemboja itu tidak berhati perut. 

Inilah yang dikatakan bagaimana besar pengaruh sesuatu ideologi terhadap manusia sehingga boleh menjadikan manusia hilang kewarasan akal apabila ketaksuban menguasai diri. Pemikiran askar itu telah dibasuh untuk mencapai matlamat ideologi komunis melahirkan masyarakat sama rata. Lantaran itulah Islam menyeru umatnya supaya bersederhana dalam setiap perkara kerana itulah yang terbaik. 


Kini anak Kemboja ramai yang pintar sehingga ada berjaya melanjutkan pelajaran ke Malaysia. Di sinilah pentingnya kerjasama umat Islam dalam membantu saudara seagama atas dasar peri kemanusiaan. Inilah sumbangan kerajaan Malaysia memberi pendidikan kepada umat Islam di negara penganut Islamnya minoriti. 

Bagaimanapun, di sebalik kedaifan itu, ramai anak Kemboja berjaya bangkit serta bersaing dan ada sudah menjawat jawatan Timbalan Menteri, wakil rakyat, ada juga menjadi usahawan berjaya. 



Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh 
TB di Sg. Mekong Phnom Penh

Seni Bina Moden di Phnom Penh

Sungai Mekong Waterfront

Tumpuan Pelancong Eropah 

The Killing Field Monumen

Pakaian Mangsa Pembunuhan Regim Pol Pot


Royal Palace




Killing Field, Padang Pembunuhan Yang Menjadi Sejarah
Di Pohon lnilah Pembunuhan Bayi Dilakukan oleh Khymer Rough

Stupa Monumen Tengkorak Mangsa Pembunuhan




Restoran Milik Anak Malaysia Berhadapan Central Market, Phnom Penh
Bersama Pengurus Restoran D'Nyonya Penang Encik Muhammad Azrin bin Dato Haji Zabha (rakyat Malaysia, asal Batu Pahat ,Johor)
No.91Eo,St.126 Central Market, Phnom Penh, Cambodia

07 Jun 2012

BAHASA INGGERIS SEBAGAI BAHASA KEDUA: ADAKAH PERLU?

Dalam sokongan berikutan pelantikan sebagai rakan kongsi hotel rasmi acara amal Larian Pusat Ehsan 2012, Orchid Garden Hotel (OGH) akan menawarkan pakej penginapan dua hari satu malam bagi dua orang.

Acara amal Pusat Ehsan, The Run, akan diadakan pada 8 Julai, sehubungan itu tawaran berkenaan hanya sah bagi daftar masuk pada 7 Julai sahaja. Pakej ini termasuk pengangkutan percuma ke dan dari lokasi acara, bufet makan malam "carbo-loading" sebelum larian dan banyak lagi untuk memberi keselesaan kepada pelanggan untuk tinggal dan persediaan mereka bagi larian itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan OGH, tawaran ini terbuka kepada orang ramai termasuk peserta luar negara, dengan membuat tempahan menerusi laman sesawang hotel berkenaan.

Pengurus Besar OGH, Shamsul Bahrin Pehin Dato Dr Haji Ahmad berkata: "Kami sentiasa cuba berusaha dan melaksanakan tanggungjawab kami dalam menyokong komuniti dan bekerjasama dengan Pusat Ehsan setiap tahun. Sebagai hotel rasmi, kami juga akan menyokong acara itu dengan menghantar sebilangan kakitangan kami untuk ikut serta dalam pelbagai kategori larian itu sendiri.

"Kami juga akan menyediakan baucar kepada setiap peserta dan jika mereka menebus baucar mereka di cawangan F&B kami, sebahagian daripada hasil akan didermakan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajah Maryam".(sumber: Rejal Arbee, BH,07/06/12)

KETUA MENTERI MELAKA: ALI RUSTAM KEKAL?

Datuk Seri Ali Rustam adalah antara tokoh pemimpin politik Malaysia yang tidak perlu diperkenalkan. Bukan sekadar beliau adalah Ketua Menteri (KM) Melaka, tetapi beliau beberapa kali membuat percubaan untuk melonjakkan diri dalam hierarki Umno. Anak kelahiran Semabuk ini memulakan hidup makan gaji selaku juruteknik Lembaga Lektrik Negara (kini Tenaga Nasional Berhad).

Kini beliau berjaya mentransformasikan Melaka yang dahulunya hanya dikunjungi untuk mengambil gambar di A Famosa kepada negeri pesat membangun dalam industri pelancongan, pengeluaran dan perubatan. Namun DAP dan sekutunya, sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi rakyat melihat Ali dengan pandangan dan sikap berbeza.

Dalam kiraan politik pembangkang, apa yang dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) Melaka tidak mencukupi hatta sekiranya Ali dapat membangunkan Melaka lebih besar dan lebih canggih dari Kotaraya New York.

Dalam Pilihanraya Umum ke-11 (PRU11), Ali menang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru dengan majoriti 5,992 tetapi dalam pilihan raya berikut majoritinya merosot kepada 2,708. Ini merumuskan bahawa populariti Ali merosot. Justeru pembangkang mengunjurkan dalam PRU13, sama ada majoriti itu terus berkurangan atau lebih buruk, Ali mungkin kalah. Hakikatnya, dua pilihan raya umum tersebu bukanlah asas untuk menentukan pola dan trend pengundi.

Sementara DAP dan sekutunya bermati-matian psiko rakyat Melaka agar mengundi mereka ke Seri Negeri yang populariti mereka di seluruh negara sendiri merosot dan diburukkan lagi dengan ketidaksefahaman antara DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Mereka hampir terlupa, dalam suasana terbaik seperti pada 2008 sekalipun, mereka masih gagal mengusir Ali dari kerusinya.

Ali agak unik. Saya sendiri berpeluang melihat keunikan ini dalam pelbagai bentuk tatkala menulis biografi beliau pada 2006. Ketika itu Ali sudah lapan tahun memimpin Melaka selaku KM bermula dari 3 Disember 1999. Saya berasakan buku biografi ini harus dibaca setiap rakyat Melaka mahupun di negara ini kerana Ali kini menjadi sebahagian dari sejarah Melaka.

Beliau mungkin mewakili generasi lama tapi pemikirannya kalaupun tidak setaraf Tun Dr Mahathir Mohamad pun, telah meletakan dirinya sebagai pemimpin masa hadapan. Justeru tidak mengejutkan apabila beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno. Mengikut satu kajian yang dibuat seorang profesor dari Universiti Malaya, Ali mendahului dua lagi calon Timbalan Presiden iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhamad Muhd Taib.

Sebelum pengundian bagi menentukan siapa bergelar Timbalan Presiden Umno, pencalonan Ali dibatalkan menurut Perkara 10.1 tataetika ahli Umno apabila tiga agennya didakwa mengamalkan politik wang.

Walaupun ramai terkilan dengan keputusan Lembaga Disiplin Umno, namun mereka merasakan Ali akan kembali semula bertanding pada masa hadapan. Rata-rata merasakan Ali adalah satu-satunya pemimpin yang bukan sahaja perlu untuk negeri ini tetapi juga untuk politik nasional.

Sukar untuk menafikan beliau berfikiran dinamik. Setiap hari ada saja yang difikirkan bagi membawa Melaka menjadi sebuah negeri berbeza dengan segala macam kelainannya.

Dulu Melaka dikenali sebagai Melaka Bandaraya Bersejarah, kebelakangan ini pula, slogannya bertukar macam sebuah rangkap pantun berbunyi Melaka Maju Negeri ku sayang, Negeri Bandar berteknologi Hijau. Bunyinya mungkin boleh membuat kita tertawa, namun itulah Ali Rustam.

Orang boleh tertawa tapi bagi beliau, Melaka mendahului negeri lain dalam merancang dan merangsang teknologi hijau. Ali mempunyai wawasan dalam kerangka memajukan Melaka. Namun kepimpinan politik bukan sekadar mengenai seorang pemimpin yang berwawasan kerana boleh dilakukan sesiapa saja.

Yang lebih penting untuk merealisasikannya sehingga menjadi kenyataan adalah perkara lain. Bahkan mengikut cerita, Ali sudah merancang dan turun ke padang sejak hari pertama lagi menjadi KM Melaka.

Pada mulanya ada yang merasakan apa yang ditunjukkan Ali sebenarnya adalah perkara biasa bagi seseorang yang baru dilantik menjadi KM atau Menteri Besar (MB). Tetapi ia terbukti salah. Ini kerana, pada hari ini, setelah memegang jawatan itu selama hampir 12 tahun, Ali masih lagi seolah-olah berada pada hari pertama berkhidmat.

Barangkali mindanya yang tidak pernah tandus dengan idea dan perwatakannya yang terus bekerja, merancang serta melaksanakan pelbagai program dan projek tanpa mengenali erti penat.

Ini berpunca daripada kehidupannya zaman kanak-kanak yang melakukan pelbagai kerja – memotong kayu dan menoreh getah. Manakala, zaman remaja beliau pro-aktif dalam menghulurkan idea dan tenaga dalam pergerakan belia. Pada usia 63 tahun, Ali boleh memilih untuk bersara dan duduk goyang kaki di rumah tanpa perlu memikirkan lagi pentadbiran negeri Melaka atau Umno Negeri. Tapi, setakat ini, tidak ada tanda-tanda beliau akan berbuat demikian.

Ramai merasakan apa pun yang akan diperuntukkan kepadanya oleh pucuk pimpinan, Ali akan memberikan yang terbaik. Sebagaimana Ali bersiap sedia memikirkan pelbagai hal pada hari pertama pelantikan semula selaku KM, beliau juga memiliki idea apa yang harus difikirkan pada hari pertama menjadi seorang Menteri pusat. Namun, bukan sahaja lebih ramai membuat spekulasi beliau kekal memimpin Melaka, malah ramai yang mahukan sedemikian.(sumber:Yusuf Harun, SH, 07/06/12)

05 Jun 2012

SIEM REAP & PHNOM PENH CAMBODIA

Salam TB di perantauan .  Semoga ketemu dalam bicara blog pada ruang waktu yang lain.