Salam Perjuangan

13 Oktober 2014

HIDUP DAN BELAJAR.....

TB suka memetik pendapat Anrew Matthews bahawa hidup tidak perlu sentiasa pedih dan sedih.Namun katanya; kepedihan tetap menjadi sebab mengapa kita boleh berubah.Bahkan kedapatan sehingga kita berasa pedeih yang mendalam, kita masih lagi boleh bersikap berpura-pura menutup kepedihan dengan ego kita sendiri;"aku masih serba ada.."

Dan apabila keadaan sudah amat memedihkan dengan kesepian dan ketakutan yang kian banyak menyelubungi diri kita baharulah kita dapat memberi jawapan dan bersikap terbuka. Justeru, kepedihan membuatkan kita menjadi serius tentang kewujudan dan permasalahan yang melingkari kehidupan ini.

Dalam erti kata lain, kita juga dituntut agar bersikap sabar dan bijaksana memahami kepedihan yang dideritai oleh orang lain.Misalnya apabila kita melihat sahabat kita Kamal, dan kita berkata," Jatuh bangkrap atau muflis adalah suatu pengalaman yang banyak mengajarnya." Kita melihat  Shazlina pula dan lalu berkata,"Penceraian membantunya berdiri atas kaki sendiri." . berdasar kes-kes tersebut, kita semua bersetuju: "Cabaran menjadi kita semua lebih gigih."

Namun apabila kita sendiri menghadapi sendiri cabaran itu, mengapakah kita sendiri tidak gigih menyambutnya atau menghadapinya?. Bahkan kita sendiri akan berkata atau mengeluh;" Ya Tuhanku mengapa cabaran yang perit menimpa diriku?", "Ya Tuhanku mengapa Engkau tidak memberi cabaran yang mudah dan selesa?" Walhal sebenarnya, cabaran itu tidak pernah selesa!

Hayati petikan kata-kata puitis Joseph Campbell di bawah:

"Hanya dengan turun ke jurang derita
kita dapat memungut semula permata hidup
Di mana kau tersandung jatuh
di situlah letaknya permata kesayanganmu.
Gua yang kau takut memasukinya
rupa-rupanya adalah tempat wujudnya
apa yang kaucari itu."

TB: Setiap orang yang muncul dalam hidup anda adalah guru. Seandainya mereka menyakiti hati anda, mereka tetap mengajar anda tentang batas-batas anda.Apatah lagi kita sedia maklumi guru tidak sentiasa disukai oleh murid-murid.
Kepada rakan seperjuangan TB; Dr Haji Abdullah Awang Lampoh Timbalan  Ra'es/Rektor KUPU Seri Begawan,Brunei Darussalam , En.Mohd Nor Ghani, Pengarah Pendidikan JPend.Johor, dan Dr Haji Ali Mahmood, Timbalan Pengarah IPGM (KBM),Lembah Pantai,Kuala Lumpur yang baharu menempuh alam persaraan perkhidmatan awam, TB alu-alukan dengan doa sejahtera dan berbahagia.Kepada sahabat yang akan menyusul bersara, hadapilah kehidupan mendatang ini dengan penuh ceria dan menyeronokan. (TB).

04 Oktober 2014

NAJIB RAZAK MULA "NAIK MINYAK"............MALANG BN.

Ramalan pakar ekonomi duni Dr Frederico Gil Sander pada Oktober tahun lepas akhirnya  menjadi kenyataan apabila sekali lagi kerajaan menaikkan harga minyak semalam. Kelihatannya  “Langkah Minyak Najib” ini lagi buruk kesannya daripada “Langkah Kajang Anwar”.
Memburukkan lagi keadaan adalah "minyak rakyat" atau RON95 yang dinaikkan. Kita sedia  ketahui minyak ini paling murah jika dibandingkan dengan RON97.
Jadi persoalan di sini mengapa "minyak rakyat" ini dinaikkan ketika harga pasaran minyak  dunia jatuh?
Suatu ketika dahulu, bukankah kerajaan sendiri berjanji harga minyak di dalam negara  ditentukan oleh pasaran dunia, nampaknya sekali lagi janji tidak ditepati, slogan  dicapati.
Tren penurunan harga minyak untuk setiap tong konsisten sepanjang tiga tahun ini, malah  jatuh bawah paras AS$93 setong baru-baru ini.
Negara pengeluar minyak dunia, Arab Saudi juga bimbang dengan keadaan harga minyak global  ini.
Bagaimanapun, berbeza dengan India yang United Kingdom yang mengambil langkah menurunkan  harga minyak mereka, kerajaan nampaknya gembira pula untuk menaikkan harga minyak.
Oleh itu, kita tidak dengar lagi hujah-hujah daripada pakar atau menteri mengatakan  harga pasaran minyak dunia naik untuk menyokong langkah kerajaan menaikkan minyak.
Bagi saya, langkah menaikkan harga minyak adalah jalan mudah untuk menjanakan  pendapatan kerajaan. Kita juga sedia ketahui Petronas adalah penyumbang utama hasil kepada  pendapatan kerajaan setiap tahun.
Petronas adalah pembayar cukai tunggal terbesar di Malaysia dan hasil sumber  terbesar, meliputi sebanyak 45% daripada bajet kerajaan, maka apabila minyak naik,  pendapatan yang akan diperoleh juga naik.
Menjelang pembentangan Bajet 2015 ini, signifikannya kenaikkan harga minyak ini nampaknya  bertujuan untuk menampung belanja kerajaan.
Malah, pemberian tunai BR1M yang dikatakan sebagai gula-gula politik juga akan dinaikkan  lagi kali ini.
Ini adalah pemberian kali ketiga. Pada awalnya kerajaan mengatakan ia bertujuan membantu  rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka tetapi selepas harga minyak naik, saya tidak tahu  sama ada hujah itu masih relevan atau tidak.
Selama tiga pusingan, apakah bukti BR1M ini betul memanfaatkan rakyat dan meningkatkan  ekonomi negara? Adakah kerajaan mempunyai data?
Tidak ada gunanya jika sekali memberi wang tunai tapi inflasi naik dan yang menerima  tempiasnya adalah rakyat.
Jika berbalik semula kepada belanja kerajaan, pembentangan bajet nanti hanya di atas kertas  sahaja tetapi yang tidak berada dalam kertas adalah kerugian daripada ketirisan saban  tahun dilaporkan dalam Laporan Audit Negara.
Seperti orang ramai lain, kita pasti tertanya adakah tiada dana dalam kantung negara?
Baru-baru ini kita sedia tahu dimana syarikat pelaburan negara rugi 1MDB RM38 bilion, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersuara dalam isu ini.
Pada September tahun lepas, selepas petrol dinaikkan juga 20 sen, pihak kerajaan berkata  mereka dapat menjimatkan RM3.3 bilion setahun.
Jika dibandingkan dengan RM3.3 bilion setahun dan kerugian oleh 1MDB sebanyak RM38 bilion,  berlipat kali ganda sebenarnya bantuan boleh diberikan kepada rakyat.
Mengapa perlu terlalu kedekut untuk membantu rakyat, tapi dengan senang membela syarikat  yang tidak membuat untung. Adakah ini kerana demi rakan dan kroni yang rapat dengan kerajaan?
Itu baru perkiraan melibatkan 1MDB, bagaimana pula dengan syarikat penerbangan negara MAS yang juga perlu diselamatkan daripada rugi?
“Langkah Minyak Najib” ini lebih buruk daripada “Langkah Kajang”, belum sempat rakyat menyambut Hari Raya Aidiladha tapi mereka sudah dikorbankan.
Mungkin menteri ini tidak hidup bersama rakyat, tidak minum teh di gerai mamak, mereka bersarapan dan makan malam dihidangkan oleh orang gaji. Mereka tidak tahu keperitan yang dialami rakyat bawahan ini.
Untuk Najib, langkah menaikkan harga minyak ini bukan jalan terbaik pada ketika tahun depan rakyat akan berdepan tahun mencabar, tahun dimana cukai GST akan dikenakan.
Janganlah kata rakyat sahaja perlu berjimat tapi tidak pula kerajaan.
Selamat Hari Raya Aidiladha rakyat Malaysia, selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. –( Yahoo Mail, Mohd.lzwan, 3 Oktober, 2014.)

TB: "Kerajaan tidak naikkan minyak..tetapi menarik balik/mengurangkan subsidi minyak...' (jelas PM).. Apa bezanya jikalah ada orang berkata, "Mereka tidak merompak mesin ATM, tetapi cuma menggodam dan mengambil wang daripada mesin ATM?" (kata salah seorang rakyat bawahan yang kritis)

03 Oktober 2014

ARAFAH: ULANG TAHUN CINTAKU

Hari ini kita berhimpun lagi
wukuf di Arafah masyhar yang indah
pada pagi hari terik mentari
panasnya ubun-ubun membakar dosa
cinta pada-Mu diucap saban kali

Hari ini Arafah datang lagi
ke hadirat llahi syukurku bertemali
setelah Engkau berikan tiga kali kunjungan
aku dapat berhimpun di saujana hitung-Mu
di padang ini menjejaki tumpahnya airmata ini

Di perhimpunan ini,
kita mengenali ertinya maknawi
kesabaran dan insani saling menggoda
angkuhkan darjat pangkat harta
berpuak-puak terus merajalela

Aku terus mengenangkan di mana Fathuri
Yusuf Tompang, Pak lbrahim dan lainnya
wajah berbalam namun basahnya ingatan
dari Mekah ke Madinah mula menghilang
di pesisir ingatan sauh masih berdendang


Hari ini mengenang alumni
tetamu Allah bertemu di sana
kita hanya jasad di tanah sini
mudah-mudahan jiwa kita di sana
labaiqallah zikirullah terus bersemi!



DR HAJI RAJIEE HADI,
Bandar Bukit Mahkota, Bangi, SDE.
Jumaat,  8 Zulhijjah 1436H,
3 Oktober 2014.