Salam Perjuangan

17 Januari 2014

BINA NEGARA, BUKAN RUNTUHKAN NEGARA......

       SEJAK kebelakangan ini, terlalu banyak isu yang membelenggu lingkaran kehidupan anggota masyarakat negara ini. Sebagaimana yang pernah disuarakan oleh beberapa tokoh dalam melihat proses pembangunan negara, ada yang beranggapan semakin sebuah negara itu membangun pesat, cabarannya adalah untuk berhadapan dengan kehadiran pelbagai pecahan dalam masyarakat yang mempunyai ekspektasi tinggi ke atas perubahan persekitaran yang berlaku.

       Ia dikaitkan dengan pendemokrasian sehingga demokrasi tidak berdiri sendiri sebaliknya diberikan takrifan yang berbagai-bagai termasuk 'demokrasi mutlak', 'demokrasi terpimpin', 'demokrasi palsu', 'demokrasi dunia ketiga', 'demokrasi dunia pertama' dan sebagainya.
Hakikatnya, Malaysia istimewa. Malaysia merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Setiap ruang ada keunikan yang menjadi panduan dalam mencari kesepakatan bersama. Malaysia bukan negara membangun tetapi merupakan negara sedang pesat membangun yang sudah menjadi ketetapan untuk muncul sebagai negara maju menjelang tahun 2020. Ia sudah terbina dengan acuan sendiri berbulatkan kepada kepelbagaian etnik dan agama yang mewarnai nilai kebudayaan, perwatakan dan gaya hidup penghuninya.

           Ada kelas atasan, pertengahan dan bawahan. Ada individu yang bersifat sederhana, liberal; ada juga yang radikal dan ekstrem. Ia lahir dari proses sosialisasi yang melibatkan agen-agen yang berbeza. Ada yang dulunya sederhana, kini radikal; ada pula dulu radikal kini sederhana. Ada yang memanipulasi persekitaran untuk meraih simpati, ada pula yang menggunakan persekitaran untuk melaga-lagakan ideologi kerana tahu ia boleh membawa kepada keadaan kemerosotan keyakinan dan kepercayaan ke atas kerajaan kerana acapkali apa yang berlaku dikaitkan dengan kerajaan dan parti tanpa memahami bagaimana boleh memisahkan antara kerajaan dan parti politik.
              
             Bagaimana kita mampu berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran selama ini? Adakah ini desakan kebebasan yang diperkatakan oleh tokoh ilmuan Barat dalam konteks sosiologi politik? Tidakkah pengalaman lepas mengajar kita untuk menjadikannya sebagai iktibar dan iltizam untuk memastikan pengalaman lepas tidak berulang lagi. Apakah proses pendemokrasian yang sedang dilalui oleh kita membelakangkan nilai perkongsian dan kepunyaan yang diraikan selama ini berpandukan kepada sifat tolak-ansur, hormat dan faham di antara satu sama lain? Toleransi dan nilai kedamaian yang semakin hari semakin mengecil secara terselindung walaupun ada yang merasa gugup untuk bercakap mengenainya secara terbuka.

              Dunia ini indah. Malaysia tidak terkecuali. Yang indah adalah kehadiran anggota masyarakat yang berlainan boleh duduk bersama walau nilai berbeza. Kita perlu kembali kepada asas. Adakah kita memahami apa yang menjadi asas dalam membina negara ini; tulang belakang kepada keutuhan negara-bangsa ini.Jika ditanya setiap rakyat Malaysia, apakah mereka mampu menyatakan secara jujur apakah yang menjadi asas kepada hirupan udara Malaysia yang rencam? Dari mana munculnya asas yang memastikan negara ini boleh terus kekal stabil dan tidak tergugat oleh anasir yang berkepentingan sendiri dan bukan untuk negara-bangsa. Adakah hasutan pihak tertentu yang berkepentingan atau mengambil kesempatan untuk mengeruhkan kestabilan keharmonian yang terbina selama ini perlu diberikan ruang dengan meminggirkan teras negara ini?
             Perlembagaan, hakikatnya adalah penggerak kepada keseluruhan hubungan sesama anggota masyarakat negara ini. Dengan rujukan kepada beberapa elemen utama dalam Perlembagaan, ia wajar dijadikan perhitungan ketika lahir perasaan memberontak dalam kalangan segelintir anggota masyarakat yang ketara sifat syak wasangka, prejudis dan etnosentriknya. Hubungan majoriti dan minoriti bersifat resiprokal, saling membalas; perlu memerlukan di antara satu sama lain.
                 
            Merujuk dan memahami Perlembagaan akan membolehkan kita menerokai nilai sebenar yang menjadi asas kepada hubungan antara masyarakat pelbagai etnik di negara ini. Beberapa perkara yang menjadi teras seperti yang pernah saya perihalkan dalam artikel bertarikh 17 Julai 2012. Saya nyatakan bahawa 'jangan disalahkan Perlembagaan jika memilih untuk melihat ia hanya dari satu belah kacamata tanpa mahu melihat keseluruhannya.
Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan); Perkara 153 (Perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya, untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan semata-mata.
            
           Misalnya, Perkara 3 menyatakan bahawa Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan dan Perkara 3 juga menyentuh bagaimana agama-agama lain boleh diamalkan. Begitu juga dengan Perkara 153 yang menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Borneo dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini. Begitu juga dengan kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kepimpinan negara.
            Dalam artikel bertarikh 19 November 2013, saya ada mengambil ungkapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang mengingatkan "Pelita lama jangan terlalu cepat mahu dibuang kerana riak melihat fajar yang sedang menyinsing. Ingatlah hari siang juga akan berakhir, jangan nanti bila senja mendakap malam, rakyat mula teraba-raba, hilang habuan diselubungi kegelapan malam, kerana pelita lamanya sudah tiada lagi" di Kongres Majlis Profesor Negara II 2013. Titah baginda lagi "Perlembagaan negara berperanan sebagai carta dan kompas, sauh dan layar kepada sebuah bahtera merdeka. Ia menggariskan rangka asas organisasi negara, fungsi kerajaan dan tata urus keadilan. Jika difahami, dihormati, dihayati dan diamalkan tanpa penyimpangan, semangat yang tersirat dalam Perlembagaan negara adalah formula penyatupaduan paling berharga".Warga Malaysia perlu kembali kepada asas untuk memahami apa yang menyatupadukan kita. Mahu memahami, toleransi dan hormati perbezaan yang ada sebagai aset utama dan bukan penghalang agar kepelbagaian dapat terus diraikan.
              Sengketa dan telagah boleh diselesaikan dengan pelbagai cara tanpa ada kepentingan yang melangkaui kepentingan perpaduan inter dan intra etnik. Kompromi dan berkorban adalah asas kepada amalan nilai-nilai yang dikongsi bersama untuk melahirkan sifat kepunyaan sesama kita.Sudah tiba masanya sebuah Majlis Isu Strategik (MIS) ditubuhkan agar pihak berwajib yang berautoriti menganggotainya untuk memahami isu dari pelbagai sudut demi pertimbangan yang mengutamakan rakyat serta negara khususnya. Ia akan membolehkan pihak yang mempunyai kepakaran ke atas sesuatu isu dirunding dan diterima maklum balas serta penasihatan demi sekuriti tanahair. Ia juga akan menerima keyakinan rakyat secara umumnya kerana MIS ini berperanan mengharmonikan sesuatu isu, mengurus konflik perselisihan pandangan yang semakin menjadi-jadi kerana terjemahan dan tafsiran mengikut keselesaan masing-masing dan adakalanya tidak praktikal; tanpa melihat kecerahan dari sudut Perlembagaan sekalipun apabila hasutan mengelirukan persepsi dan pandangan.


                        Asas muhibah bergantung kepada mereka yang menghuni negara ini dan mereka juga bertanggungjawab bersama memastikan keharmonian terpelihara. Toleransi dan kedamaian tidak boleh dipikul oleh hanya segelintir sahaja tetapi jika majoritinya menerima hakikat kepentingan tasamuh dan berjiwa Malaysia, negara ini akan terus kekal hidup berukun rakyatnya. Bawa kembali nilai asas agar Malaysia kekal makmur, muhibah dan aman sentiasa. sumber U.Malaysia, disesuaikan daripada tulisan Prof Madya Dr Pandian Subramaniam,USM).

16 Januari 2014

FACEBOOK : RAMAI YANG ROSAK.

 “WANITA yang mudah terperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook kemudian mereka bertemu, ibarat seperti menempah bala,” kata pakar motivasi Dr Rubiah Hamzah.
Beliau yang juga penceramah bebas berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang jururawat berusia 25 tahun terpaksa mengambil masa empat hari untuk mencari jalan meloloskan diri daripada menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah rumah di Seksyen 19, Subang Jaya, yang dikenali melalui Facebook, Oktober lalu. Difahamkan, Romeo Siber yang hanya bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta itu juga dipercayai sudah memperdaya sekurang-kurangnya tiga wanita muda melalui Facebook sejak enam bulan lalu.

Menurutnya, selagi laman sosial Facebook itu disalah guna, pelbagai masalah akan timbul sekali gus menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Jika dalam Facebook itu terdapat paparan gambar yang mendedahkan aurat serta menaikkan nafsu syahwat lelaki, tidak mustahil ia mendatangkan kemudaratan kepada wanita itu.

“Pendapat saya, wanita yang berkenalan melalui Facebook kemudian melalui fasa berjumpa dengan lelaki itu diibarat sudah menempah bala, kerana usia perkenalan tidak menjamin kebaikan lelaki itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, mengambil contoh anak gadis yang berada di pusat perlindungan di negara ini yang kebanyakan sudah ‘rosak’ akibat mudah percaya kepada Romeo Siber.

“Fenomena pergaulan menerusi laman sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa batasan dan mampu menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Malah, ada antara lelaki itu bermodalkan ayat manis dan wajah kacak hingga berjaya menjerat cinta gadis remaja dengan menggunakan Facebook untuk menjadi pemuas nafsu mereka. Sasaran mereka adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri,” katanya.(sumber:HM, 16/01/14)

05 Januari 2014

DUTA KHAS BAZIR WANG RAKYAT ?

KECENDERUNGAN  pentadbiran Najib melantik duta khas dan penasihat khas yang menelan perbelanjaan tinggi dan membebankan kewangan negara ditegur Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.

Dalam satu kenyataan media, Sim mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik empat duta khas dan 13 penasihat khas yang sebahagiannya bertaraf menteri.

Sambil menyifatkan perlantikan itu sebagai “teramai dalam sejarah negara”, beliau turut mempertikaikan kewajaran kerajaan melantik Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sin sebagai duta khas bertaraf menteri ke Asia Timur seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shahidan Kassim di Bintulu, baru-baru ini.

Negara kini mempunyai beberapa duta khas lantikan politik antaranya Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang ditugaskan ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Ong Ka Ting (Republik Rakyat China) dan Dato’ Seri S Samy Vellu (India Selatan) yang kesemuanya bertaraf menteri.

Sim mempertikaikan pelantikan tiga individu terbabit yang tidak memberi pulangan yang ketara kepada negara, malah hasil kerja mereka tidak membawa lonjakan pulangan atas pelaburan (ROI) yang besar kepada negara.

“Saya ingin menyeru Perdana Menteri berhenti melantik duta-duta khas yang mahal dan memakan belanja yang besar dengan serta merta.

“Perlantik YB Dato Seri Tiong baru-baru ini menimbulkan pelbagai persoalan. Kerajaan BN perlu menjelaskan rasionalnya melantik Duta Khas untuk hal ehwal Asia Timur,” ujarnya.

Sim menambah, Malaysia mempunyai duta-duta profesional yang berfungsi dengan baik di negara-negara Asia Timur seperti Korea dan Jepun manakala Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berupaya mengendalikan urusan perdagangan dengan negara-negara tersebut.

“ Apakah tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada Duta Khas? Kerajaan BN harus menjelaskan mengapa perlu melantik Duta Khas, sedangkan kita sudah ada menteri perdagangan antarabangsa dan duta besar?” soal beliau.

Beliau turut mempersoalkan kelayakan dan kepakaran Tiong sehingga dilantik duta khas dan adakah pelantikan itu satu ganjaran politik?

Isu yang paling penting, jelas Sim adalah pelantikan duta khas dan penasihat khas membabitkan kos yang tinggi dan membebankan kewangan negara.

Beliau turut membangkitkan jawapan kepada soalannya di Dewan Rakyat apabila kerajaan menjelaskan membayar gaji bulanan RM27,227.20 kepada duta khas yang lebih tinggi daripada gaji menteri.

“Oleh kerana mereka berstatus menteri maka mereka juga menikmati elaun dan kebajikan setaraf dengan menteri. Mereka diberi pejabat yang dibiayai kerajaan.

“Ada sesetengah duta khas diberi setiausaha kanan, pegawai khas, pembantu khas dan pegawai pengiring PDRM. Mereka juga sentiasa menjelajah ke seluruh dunia. Kesemua ini memakan belanja yang besar,” ujarnya.

Sim juga menganggar perlantikan duta-duta khas membabitkan kos RM2 juta setahun.

Pada sesi sidang Dewan Rakyat lalu, usul yang dibawa Sim untuk memotong gaji duta-duta khas ditolak setelah dibahaskan anggota Dewan.

“Dengan keadaan fiskal kewangan yang ketat dan hutang kerajaan pusat yang akan mencecah 55 peratus KDNK, apakah perlu kita berbelanja dalam melantik satu lagi duta khas?” soal beliau.

Sim turut mencadangkan  Perdana Menteri menambah satu lagi langkah pengurangan kos kerajaan iaitu menghapuskan jawatan duta khas dan penasihat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri.   

Najib baru-baru ini mengumumkan 11 langkah kosmetik untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebagai satu langkah ‘jimat cermat’. (sumber:HD, 05/01/14)