Salam Perjuangan

31 Mac 2014

EKSPLOITASI PELAJAR TAHFIZ PERBUATAN JIJIK

MEREKA ini kebal! Itulah yang sering diperkatakan mengenai golongan yang mempergunakan kanak-kanak dan remaja di atas perjuangan tahfiz sedangkan terdapat segelintir daripada golongan ini menggunakan tujuan derma amal tersebut untuk kesenangan peribadi.

Ini telah memalitkan nama busuk kepada segelintir pentadbir dan pengusaha tahfiz asli yang sememangnya memerlukan dana daripada masyarakat umum untuk terus berdiri memperjuangkan niat yang suci tersebut.
Golongan zalim pula mempergunakan kanak-kanak untuk memperdagangkan picisan hasil perniagaan mereka supaya dapat berselindung di atas nama aktiviti kokurikulum demi mengelak tindakan daripada pihak berkuasa.

Notis demi notis dan amaran telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa terlibat namun golongan zalim ini hanya membutakan mata dan memekakkan telinga demi mengecapi keuntungan material duniawi.

Masyarakat Malaysia amat pemurah dalam soal bersedekah dan sifat pemurah inilah yang dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Daripada Abi Musa Al-Ash'ari RA, daripada Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda: Setiap Muslim ada baginya pahala sedekah, mereka bertanya: Wahai Nabi, orang yang tidak dapat? Baginda bersabda: Bekerjalah menggunakan tangan sendiri yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan bersedekah.

Mereka bertanya: Jika tidak dapat? Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang menderita yang sangat berhajat kepada pertolongan, mereka bertanya lagi: Jika tidak dapat?

Baginda menegaskan: Maka hendaklah dia melakukan amal ma'ruf dan menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya perbuatan itu akan mendapat pahala sedekah baginya. (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

Setiap Muslim berpeluang melaksanakan sedekah daripada hasil yang dikerjakannya dan jika tidak dapat berbuat demikian maka cukuplah dengan membantu orang yang berada dalam kesusahan dengan tenaga yang mereka ada.

Akan tetapi dalam dunia serba moden ini, sifat murah hati tersebut senang dimanipulasi oleh golongan zalim ini.

Siapa yang tidak luluh melihat anak kecil menjual kismis pada pukul 10 malam.
Kadang-kadang hati tergerak untuk membantu akan tetapi jika mengenangkan bahawa ia merupakan satu penipuan maka hati berhenti untuk membantu.

Ada yang berkata, kita bantu sahajalah mereka walaupun kita tahu dalang di sebalik tahfiz ini hanya menipu untuk kekayaan.

Mereka menyatakan bahawa tanggungjawab bersedekah mereka telah selesai dan apa yang berlaku di sebaliknya hanya Allah yang tahu dan semoga Allah memberikan balasan kepada golongan zalim ini.
Secara peribadi, penulis merasakan jika kita masih terus membantu mereka, maka mereka merasakan diri mereka kebal.

Ini akan menyebabkan mereka terus berleluasa menzalimi kanak-kanak dan remaja atas nama tahfiz ciptaan mereka.

Sudah sampai masanya, pihak berkuasa membuka mata dan mengaku bahawa perkara ini adalah serius.
Tanggungjawab memantau dan menghukum golongan ini merentasi beberapa agensi dan kementerian.
Berpakatlah demi maslahah umum. Gunakan akta dan enakmen yang sedia ada.

Jika tidak cukup kita bawa sebutan rang undang-undang baru demi menjaga dan menjamin keselamatan dan kesejahteraan golongan remaja dan kanak-kanak yang dimanipulasi ini.

Sekurang-kurangnya gunakanlah Akta Perlindungan Kanak-Kanak yang sedia ada. Bertindaklah segera sebelum nasi menjadi bubur.(sumber:MOHAMMAD NOORIZZUDDIN, USIM, 31/03/14)