Salam Perjuangan

31 Julai 2015

puisi: HUJAN DI TANAH BANGI


Hujan tidak berjanji
akan lebat turunnya
hujan tidak pasti
akan berhentinya

Hujan turut membisu
reda gerimisnya
hujan tidak mengundang
halilintar membelah gema

Bisik hujan berkali-kali
apabila sampai waktuku
aku rela menyepi
bersemi bersatu bumi

Apa yang pasti
di tanah bangi ini
hujan yang berderai
gersang merekah
bertukar hijau subur

Apa yang pasti
tandus bahang ini
bertukar dingin nyaman
persada bening kembali
damai sukma pesona

Apa yang pasti
sesungguhnya hujan ini
menyimpan misteri
bahasa punjangga
dalam diri.

DR RAJIEE HADI,
Bangi,SDE.
20 Julai 2012.

puisi: : PANTUN JENAKA PULAU PENYENGAT (buat Leo AWS)



Pulau Penyengat bukan menyengat,
ada aura ada semangat,
jauh datang mesti ingat,
Melayu suka makan pengat.

Terima berita buku baharu,
daripada Leo Darul Naim,
dalam tongkang jangan garu,
jika baca SMS Tuk Him.

Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji,
pujangga terbilang makam di sini,
asam pedas jangan dipuji,
kelak rupiah dibayar seguni.

Putar-putar naik bemo,
dua puluh lima ribu sejam bayaran,
berat kami macam sumo,
minta lebih mengaku jiran.

Dalam cendol ada tapai,
tepi laut balai adat,
tangan pendek tidak tergapai,
tangan panjang dipotong beradat.

Gadis pasentren entah di mana,
ada madrasah mengaji agama,
Pulau Penyengat hantaran istana,
usah mimpi ikut bersama.

Bertenang jangan asyik terkenang,
bersabar saat menanti debar,
masa lalu berkuak renang,
masa sekarang di dalam gebar.



DR RAJIEE HADI,
Pulau Penyengat, Riau, lndonesia.
28 Jun 2012.




28 Julai 2015

puisi:SIAPAKAH GERANGAN

SIAPAKAH GERANGAN


siapakah gerangan
yang termuda
dilantik dalam kabinet
semata-mata legasi
kepada ayahandanya
yang dikatakan rakyat
banyak jasanya



siapakah gerangan
ketua pemuda itu
yang kemudiannya
dilantik mudah
menjadi penuh menteri
ketika hijau pucuknya



siapakah gerangan
yang memperkenalkan
akta pendidikan 1996
pendidikan tanpa sempadan
natijahnya berduyun-duyun
visa tanpa warna
dari seluruh dunia
dengan peningkatan IPTS
gejala virus pun menular
penyalahgunaan berleluasa

siapakah gerangan
timbulnya kapal selam
berjuta-juta harga
tidak dipastikan nilainya
hinggalah berduka
bapa si monggolia
puterinya terbunuh
misteri merajalela

siapakah gerangan
mengenakan GST
petrol dan barangan
harga rumah menggila
dan rakyat kian mencuka
onar pati di sana sini
jenayah bimbangkan
rakyat jelata

siapakah gerangan
memenggalkan jawatan
seorang tipiem
yang banyak berjasa
suatu ketika itu
tiada VCD cetak rompak
diburunya habisan
ketika di KPDN
dan guru-guru riang
warna-warni masa hadapan

siapakah gerangan
pelaku onar malang
negara tanah airku
yang tercinta ini
panas mula suram
hujan mula syahdu
tidak ada pasti
dalam penjara ini.



RAJIEE HADI,
BSP,28 Julai 2015

SALLEHUDIN ABDUL WAHAB, HAJI - Al-Fatihah

HAJI Sallehuddin Abdul Wahab ,TB memperoleh khabar telah meninggal dunia pada bulan Ramadan yang lalu pada saat-saat umat lslam mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri. Allahyarham, 63 tahun adalah rakan sejawat TB yang sama-sama mengajar di Tingkatan 6 di Sekolah Menengah (SMK) Datuk Mohd.Said, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus pada tahun-tahun 1980-an yang lalu. Kami adalah guru perintis bagi Tingkatan 6 yang baharu dibuka yang mana pengetua ketika itu adalah Encik Taib Hussin.

TB rasa terkejut dan amat terharu. Beliau cuma mengidap penyakit lemah jantung dan sesak nafas yang TB rasa tidaklah kronik seperti penyakit jantung saluran ateri tersumbat atau kerosakan buah pinggang ataupun diabetis.Beliau yang tinggal di Taman Nilai, Pekan Nilai telah bersara wajib daripada jawatan terakhirnya sebagai Pengarah di Maktab Perguruan Kota Baharu/IPGM-KB,Kelantan beberapa tahun yang lalu.Selepas bersara, TB telah mencari dan dapat menziarahi beliau ketika beliau terlantar uzur di rumahnya.TB lihat beliau mengalami kemurungan, keuzuran dan keletihan setelah menempuh alam persaraan.Apatah lagi hidup diselubungi kesunyian tanpa teman-teman sejawat di sisi.Begitulah putaran kehidupan.

Awal tahun ini TB berpeluang lagi bertemunya yang hanya berkerusi roda kerana menziarahi majlis perkahwinan anak bongsunya. Arwah yang telah berjaya memperoleh ijazah Sarjana Pendidikan (kaunseling) M.Ed UKM pada tahun 1992 adalah rakan yang menjadi 'pesaing positif' ketika kami sama-sama mahu memperoleh ijazah lanjutan di UKM ketika itu.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya bersama orang-orang beriman dan para solihin di
'alam sana'- Al-Fatihah. (TB).

17 Julai 2015

SALAM AIDILFITRI 2015

WALAUPUN marah dengan GST, harga barangan dan petrol kian meningkat, dan nilai wang RM yang kian mengecil dan pelbagai masalah kehidupan, TB dapat rumuskan bahawa sambutan Aidilfitri tahun ini dalam sejarah lebih 40 tahun yang lalu...paling tidak meriah. Di sana sini TB lihat lebih banyak wajah mencuka daripada riang ria. Sungguhpun daripada segi agama, kita semua telah berjaya menempuh pelbagai cabaran ketika Ramadan dan dengan 'semangat fitrah' menyambut Hari Raya Aidilfitri namun realitinya adalah di sebaliknya. Pada petang 'mantai' dan malam hari raya; TB tinjau di kawasan Bandar Baru Bangi dan Bandar Seri Putra kelihatan suasana masih meriah dengan orang ramai. Tidak seperti tahun-tahun yang lalu; biasanya kedua-dua kawasan majoriti orang lslam itu telah lengang apabila akhir Ramadan.

TB juga ada kedengaran suara jiran yang mula meniggikan suara; mungkin ada pergaduhan kecil suami isteri yang memecah keheningan malam raya. Dan entah mengapa pula, pada malam hari raya PM Datuk Seri Najib Razak memberi ucapan dengan memakai baju Melayu berwarna hitam. Apakah ini petanda kemuraman hatinya atau kemuraman rakyat? Pembaca boleh jelaskan sendiri. Wallahualam. Dan paling menyayat hati Hari Raya Puasa tahun ini adalah tahun yang paling tinggi kemalangan jalan raya yang membabitkan kematian. Dan apakah petanda ini? lni juga pembaca boleh menjelaskan sendiri.

Apapun TB ucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, maaf `zahir batin jika ada kesalahan tutur kata dan bahasa serta halalkan mana-mana ada 'terhutang' , termakan dan terminum.
Salam Lebaran!

15 Julai 2015

puisi: DI RESTORAN MAKANAN SEGERA

DI RESTORAN MAKANAN SEGERA


di kota ini, desa kian menjauh pergi
tidak kudengar pinggan mangkuk berlaga
bergemalatuk dingin air telaga
kami bersila siap siaga
sambil menjengok di luar langit jingga
menggosok pelipis mata merah saga

dinihari malam masih muda
dengan minyak tanah pelita waspada
rumah usang datuk berkumpul sekeluarga
menikmati sahur juadah  pulut durian
dengan nasi berbaki lauk yang ada
ada ketikanya perut remajaku tidak menerima

setelah bertahun-tahun ditakdirkan
aku masih bermesra dengan si kecil itu
saujana menadah  langit yang damai
membilang bintang dan mahu mendapatkan bulan
sambil menghirup udara segar fajar
sebelum menikmati juadah pelbagai cita rasa

di restoran makanan segera ini
si kecil itu diselimuti dimensi baharu
dan sering aku membayangkan
puluhan dekad waktu mendatang
bagaimana si kecil itu sepertiku kini
memberi takrif sahur ramadan nanti.


RAJIEE HADI,
Bandar Seri Putra, SDE.
15 Julai 2015.






14 Julai 2015

puisi: DI PADANG AWAM ITU

DI PADANG AWAM ITU


di padang awam itu
yang saban dwitahun
cukai majlis perbandaran
tanpa tunggakan dijelaskan
kami menikmati prasarana

di padang awam itu
anak-anak kecil kami
berlari riang bebasnya alam
tanpa gangguan anjing liar
atau onak duri menjalar

kini di padang awam itu
entah bila bertukar gelanggang
kulihat ada pemain nepal & myanmar
ada pemain bangladesh & pakistan
ada pemain vietnam & thailand
ada pemain afrika & sri lanka
serta para pemain lain
yang menanti giliran
demi giliran untuk saling menendang
saling menanduk, saling berlarian
hingga membuat anak kecilku kian bosan

sebenarnya di padang awam itu
di tanah airku malaysia kini
telah berlangsung piala dunia
tanpa tiket tanpa visa
tidak siapapun peduli lagi!


RAJIEE HADI,
Bangi, SDE.
14 Julai 2015.

17 Jun 2015

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL MUBARAK

TB dan warga kerja mengucapkan Selamat Menyambut Puasa pada bulan Ramadan al Mubarak pada hari Khamis, 18 Jun 2015 bersamaan 1 Ramadan. Semoga umat lslam khususnya diri TB, ahli keluarga, sahabat-handai dan seluruh umat lslam dapat mengamalkan ibadah ini dengan penuh tawaduk dan keredaan akan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

Mana-mana ada kesilapan TB, terkasar bahasa, termakan dan terminum harap maafkan dan halalkan.Semoga kit semua kita dilindungi oleh-Nya sepanjang bulan ini yng penuh berkat.
Kepada ahli keluarga Allahyarham Cikgu Saibi lbrahim (pesara Pengetua SMBG Ledang & SMTSL,Felda Bukit Serampang yang telah kembali ke rahmatullah pada petang semalam, Selasa,16 Jun 2015)didoakan semoga roh beliau dihimpunkan dalam golongan para salihin. Al-Fatihah.
Salam Ramadan al-Mubarak!

16 Jun 2015

PETUA ELAK SAKIT JIWA

 Mereka yang suka melakukan 'troll' atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial, merupakan golongan 'sakit jiwa.'


Penceramah motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, golongan ini boleh dikenali menerusi empat ciri dengan yang pertama orang yang 'sakit dari segi rohani.'"Jiwa atau rohani mereka tidak sihat. Orang yang sakit dari segi jiwa memang tidak mempunyai perasaan malu atau rasa bersalah untuk menyebarkan keburukan orang lain walaupun dengan niat berjenaka," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata, ciri kedua ialah jahil agama kerana secara jelas agama menghalang mana-mana pihak menyampai atau menghebah keburukan orang lain.Yang ketiga, katanya, mungkin dipengaruhi oleh rakan-rakan atau persekitaran."Kalau semua geng dia kongsi atau sampaikan keburukan, keaiban dan perkara yang negatif maka dia akan terbawa-bawa sifat itu serta melakukan perbuatan yang sama.

"Yang keempat ialah orang yang sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengetahui kesahihan dan kebenaran keseluruhan cerita itu. Ini akan menjurus kepada perlakuan memfitnah dan mengumpat serta sangat berbahaya," katanya.Menurut Mohd. Fadzilah, pelaku 'troll' sebenarnya terlupa perbuatan mereka itu adalah suatu sabotaj terhadap diri sendiri.

Orang terlepas pandang apabila mereka memberi komen bersifat negatif terhadap sesuatu isu, secara tidak langsung akan mencerminkan sifat peribadi pelaku 'troll' dan menjatuhkan maruah diri mereka sendiri, katanya.

"Apabila mereka menyampaikan keaiban orang lain dalam media sosial, dosa pelaku kesalahan itu mungkin terhenti setakat itu namun dosa orang yang menyebarkan cerita tersebut akan berterusan selagi isu itu masih dibincangkan," katanya mengakhiri bicara.(disesuaikan) 

09 Jun 2015

RAJIEE HADI: ANTOLOGI PUISI PATRIOTISME 'DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA'

               

BUKU  antologi puisi patriotisme 'Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang mengandungi hampir  lebih 150 buah puisi yang sarat dengan tema kalbu insani,pesona alami dan subur lslami telah berjaya diterbitkan dan mula ada di pasaran terhad mulai hari ini. Antologi yang memuatkan 3 bab kumpulan puisi penyair Rajiee Hadi yang bermula  dengan bab 'Pesona Alam' kemudian 'Kalbu lnsani' dan 'Subur lslami'. Puisi-puisi yang dimuatkan dalam antologi perseorangan ini mengandungi elemen kasih sayang yang pelbagai terhadap alam, hubungan kemanusiaan dan ketakwaan kepada Allah Yang Maha Pencipta. Segala kasih sayang ini tidak dapat dipisahkan daripada 'di mana bumi dipijak' tanah leluhur ini.
.

Antologi ini diterbitkan oleh Penerbitan Awan Prima dengan harga RM25.00 (SM), Sabah & Sarawak Rm28.00 dan Singapura & Brunei S/B D 11.00. Tambahan kos pos di mana-mana destinasi cuma RM7.00 sahaja. Antologi setebal 155 muka surat boleh dipesan secara pos melalui Pengurus P.Awan Prima, Puan Nor di talian: HP: 01136405523 (pesanan boleh dibuat) .

Anda boleh juga dapatkan di pasaran di kedai-kedai bukiu seluruh Malaysia, selagi stok masih ada., lnsya-Allah.

25 Mei 2015

PELACUR BAHASA

TB bukan mahu menghuraikan apa itu 'Pelacur Bahasa' yang telah digunakan sejak 1970-an yang silam. Mungkin pelacur bahasa digunakan dalam pelbagai 'sikon' (situasi & kondisi). Namun apapun tujuannya adalah semata-mata untuk menegur para pengguna bahasa agar bertanggungjawab, menggunakan bahasa kita, bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara kita,Malaysia tercinta.

Tiga hari lalu, TB berlegar-legar dan membelek-belek buku-buku yang terjual di sebuah toko buku. TB tidak menafikan zaman ini adalah kebangkitan buku-buku agama dan novel-novel pop yang yang 'ghairah diurusniagakan bagaikan di pasaran bursa saham.' TB hanya sedikit peduli hal keghairahan itu; asalkan masyarakat tidak lupa akan budaya membaca yang kita sendiri suka tanamkan anak-anak kita sejak dari zaman bayi lagi.

Walaupun keghairahan pemasaran  di sesebuah syarikat penerbitan berusaha dengan pelbagai pemancingan psikologi bakal pembeli (baca,'pembaca') namun orang yang beragama lslam dan berbudaya masyarakat Melayu; janganlah semuanya 'terlampau atau terlajak' dari pelbagai aspek termasuk judulnya. TB naik mual dan mahu termuntah jikalau TB menulis di ruangan ini secara terperinci..(TB kurang menulis cara 'copy n paste').

TB terkejut ada penulis dan penerbit (bukan penerbit PTS) yang menggunakan perkataan/istilah 'KORANG,' CANTEEK', 'SODAP', 'SEDAPPP' dan sebagainya dalam judul buku, keterangan judul di bahagian kulit luar bukunya (adakah terbit sendiri tidak dipantau?) dan seumpamanya. Alangkah malangnya jikalau penulis buku berbahasa Melayu tidak tahu:

1. Apa itu bahasa Melayu persuratan?
2. Apa itu bahasa Melayu lisan?
3,Apa itu bahasa Melayu isyarat?
4.Apa itu bahasa Melayu rojak?
4.Apa itu bahasa Melayu cacamarba?
5.Apakah itu 'keselerasan ejaan sebutan/vokal bahasa Melayu?

Tanpa banyak bicara panjang; TB menyeru agar penulis atau bakal penulis mengenal pasti 5 perkara pokok di atas itu sebelum menulis sesebuah buku atau apa jua penulisan; baik kreatif atau deskriptif.Jika tidak, anda yang berbuat sewenang-wenangnya melakukan kejahilan bahasa dalam penulisan rasmi (menggunakan bahasa Melayu persuratan) dalam buku-buku,jurnal &majalah maka anda adalah manusia tidak bermaruah dan layak dipanggil 'PELACUR BAHASA' (istilah pelacur tubuh adalah berbeza konotasinya).  (TB)

21 Mei 2015

GHAZALI HAJI HAMZAH, PPD PETALING PERDANA

TERLEBIH dahulu TB mohon maaf kepada sahabat lama TB, Tuan Haji Ghazali Hamzah yang kini menjawat sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PP) Petaling Perdana, Shah Alam, Selangor D.E andainya kata-kta TB dalam blog ini mengguriskan hatinya.Namun TB terpaksa katakan berterus terang demi prinsip sebuah janji. Ya, janji yang tidak ditepati.

TB tahu, Haji Ghazali cuma tinggal hanya beberapa hari lagi akan menempuh alam persaraan, bersara wajib daripada perkhidmatan pendidikan kerajaan. lni bermakna, jikalau diikut perkiraan, TB masih ada lagi tempoh perkhidmatan wajib sehingga akhir tahun ini. Namun situasi telah menjadi sebaliknya.

Haji Ghazali adalah sahabat baik TB, rakan semaktab (MPB, 1976-77) dan rakan serumah sewa di rumah kedai bertingkat di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian beliau ditakdirkan menjadi super junior TB di UPM. Setelah TB berjaya meraih ijazah profesional B.Ed., beliau baharulah mencecah masuk ke menara gading UPM untuk mendapatkan B.Ed.selama empat tahun! Begitulah masa dan waktu berlalu, Beliau terus komited berkhidmat di sekolah dan JPN Selangor. Dan TB pun meneruskan perjuangan dalam pendidikan dengan terus meningkatkan kelayakan akademik, menimba ilmu dan berkhidmat di IPGM dan IPT. Kami satu matlamat, tetapi cara dan bentuk sahaja berbeza.

Ghazali yang 'warak' ini  begitu aktif dalam aktiviti lslam semasa kami di MPB.. Namun sebagai anak muda 'kisah gosip anak muda' tidak dapat dielakkan namun beliau berjaya menanganinya dengan bijak. Begitulah Haji Ghazali, yang juga aktif dalam pasukan pengakap bersama TB. Difahamkan beliau melanjutkan pengajian dalam bidang kaunseling semasa di UPM. Justeru, TB berharap beliau dapat memanfaatkan ilmunya semasa tempoh persaraannya kelak. Tempoh bersara adalah tempoh yang menguji kita kerana banyak perkara kita telah 'kehilangan' semasa kita hidup dalam 'dunia kita' sahaja nanti.

Namun ada suatu perkara yang TB 'kurang seronok' ialah apabila Haji Ghazali gagal menunaikan janjinya dengan TB. Kononnya sebagai seorang sahabat lama yang karib, TB ikhlas mahu memberi sanjungan dan penghormatan sebagai tanda kenangan dalam buku TB ' Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna' untuk ruangan Kata Pengantar buku tersebut. Sebelum ini pun buku TB kumpulan puisi 'Cinta Arafah' pernah diringi kata-kata aluan/pengantar oleh Allahyarham Datuk Haji  Razali lsmail, mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga mantan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, KPM. Justeru, jika dibandingkan Allahyarham Datuk Haji Razali; siapalah dia Haji Ghazali? Namun TB mahu hargai atas nama persahabatan kepada beliau. Bahkan seorang bekas pengetua (MAS ADEKI,penulis 'muda' dengan menggunakan nama samaran) yang pernah menjadi Pengetua di Sekolah Menengah Tasik Selatan,Kuala Lumpur pernah buku sastera puisinya "Gurindam" diiringi kata-kata aluan oleh Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Hishamuddin Hussein!

TB kecewa dengan Haji Ghazali Hamzah walaupun TB telah mengirimkan draf kata pengantar yang merupakan teks penuh melalui emelnya.Apabila dihubungi melalui telefon beberapa kali, beliau menyatakan kesibukannya. Apakah 'sibuknya' setiap minit dalam masa 24 jam? Beliau sendiri yang menyarankan agar TB mengirimkan teks secara emel.Tidak pula dikatakan bertemu muka dan 'serah tangan' . Walau bagaimanapun semuanya sudah menjadi sejarah. TB menanti respons beliau hampir 2 bulan! Hari Guru 2015 sudah berlalu. Alhamdulillah buku tersebut  telah pun berjaya diterbitkan tanpa ' Haji Ghazali Hamzah' dengan cetakan pertamanya sudah habis dijual!

Apapun TB ucapkan kepada sahabat lama TB 'Selamat hari Guru' dan 'Selamat Bersara Wajib' dan selamat menempuh kehidupan dengan serba realti!

20 Mei 2015

YAYASAN PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM MALAYSIA (YAPEIM)

TB sudah lama terpanggil untuk menyahut aduan/komen/keluh kesah daripada seorang sahabat dan mungkin juga mewakili sebahagian besar penjawat awam berketurunan Melayu /bumiputera beragama lslam yang agak musykil bersebab mengenai YAPEIM. TB pun tidak pasti adakah YAPEIM didaftarkan atas akta syarikat di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ataupun didaftar atas sebuah badan/yayasan kebajikan atas akta ROS. lngatlah, dua tempat ini ada mekanisme yang berbeza tatkala beroperasi.

Dipendekkan cerita, sahabat itu mengadu gaji bulanannya dipotong oleh jabatannya (mungkin melalui Perbendaharaan/Akauntan Negara) sejak lebih 20 tahun lalu. Sama ada ketika itu 'izin dalam paksa' atau 'rela dalam duka' beliau mengizinkan gajinya dipotong secara bulanan (dia hanya mampu RM10/sebulan), dia tidak pasti. Namun segala-galanya atas dasar 'amal jariah'.

Tetapi bukan isu pokok pemotongan dan sedekah itu mahu dipersoalkan. Tetapi mekanisme,perjalanan dan ketelusan YAPEIM selama ini yang dipertikaikan. Katanya, beliau terpanggil bertanya dalam hati, mengapa sana sini sekarang didapati YAPEIM mengusahakan premis perniagaan 'Pajak Gadai lslam'? Apakah rasionalnya? Sedang ar-Rahnu kini banyak dijalankan oleh Bank Rakyat, Bank lslam dan pelbagai ejensi yang berorientasikan lslamik.

Bayangkan jika sekitar 3 juta penjawat awam sejak 25 tahun lalu dipotong gaji bulanan kerana bersedekah jariah sebanyak RM10-RM50 sebulan? Maka berapakah jumlah/amaun yang telah dikutip? Apakah dan ke manakah wang itu dibuat dan dialirkan? Sedangkan Tabung Haji yang menyimpan tabungan orang awam lslam telah melakukan pelbagai perlaburan untuk pulangan baik bagi jangka pendek dan jangka panjang itupun menghadapi pelbagai isu panas.

Jikalau YAPEIM ada objektifnya maka apalah gunanya kita ada Pusat Pungutan Zakat, Baitul Mal dan pelbagai jenis tabung sedangkan di sana sini kita dapati ramai golongan asnaf, OKU, warga emas tidak berpencen , anak-anak yatim, janda miskin ramai anak, penganggur,pelajar miskin, mahasiswa IPT dan sebagainya yang hidup merempat dan meminta-minta belas ikhsan daripada orang ramai atau organisasi yang berkaitan? Tanyalah KKM dan LHDN yang mengendalikan BRIM berapakah jumlahnya individu lslam yang kategorinya miskin layak dapat bantuan BRIM? Tidakkah ini memalukan kita sebagai penderma yang bertahun-tahun tetapi kita tidak tahu ke manakah hala tuju wang itu?

Hari berganti hari, bulan dan tahun juga bersilih ganti, YAPEIM terus mendapat dana daripada pemotongan gaji penjawat awam dan lain-lain sumber. Sehinggalah TB diberitahu sahabat itu telah pun pencen/bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan pemotongan itupun terhenti setakat itu. Apa yang beliau tidak puas hati, tidak ada pun sepatah kata surat ucapan terakhir daripada YAPEIM kepadanya. Dan berpuluh-puluh tahun dia tidak pun menerima apa jua laporan/penyataan atau notis ataupun pembentangan bajet dan sebagainya wang hasil derma orang ramai kepada YAPEIM.lngatlah, tabung surau/masjid pun dilaporkan kepada orang awam di papan-papan notis masjid/surau.lni adalah langkah telus bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa, penipuan, tidak amanah, culas dan macam-macam sifat buruk.

Yang TB sedar jawatan esekutif YAPEIM dahulu daripada seorang pegawai biasa kini sudah bergelar Ketua Pengarah. Andainya perjawatan mengikut gred JPA maka pegawai utamanya itu tentulah sekurang-kurang gred JUSA A. Wah, besar dan lumayan gaji dan elaunnya. Tetapi apakah besar juga tugas dan tanggungjawab yang dibuatnya?

18 Mei 2015

MELAYU CEKAP,BIJAK & PANDAI BERNIAGA JUGA

TB sangat benci jika orang-orang Melayu yang berniaga di gerai-gerai tepi jalan, warung-warung, pasar-pasar malam dan sebagainya bersikap tamak dengan menjual makanan dan apa jua produk sama harga dengan yang dijual di restoran atau di pasar-pasar raya atau di kedai-kedai runcit yang terpaksa membayar sewa kedai, belanja air elektrik,pekerja ramai dan seumpamanya. Sebab itu peniaga yang tamak ini bertahun-tahun di takuk itu juga, kerana pendapatan mereka mungkin tidak berkat dan disumpahi orang ramai.Bahkan membayar cukai kepada LHDN jauh sekali. Adakah LHDN malas mahu membuka fail? Pimai pimai para penjawat awam yang gaji tidak seberapa juga 'diratah' oleh LHDN!

Di sebuah restoran segera pagi ini TB perhatikan seorang pemuda Melayu yang dapat 'menarik' seorang pemuda Cina untuk bersama-sama berkongsi perniagaan. Oleh kerana perbualannya jelas, tidak berapa jauh daripada kerusi meja TB maka TB dapat kutip setiap butir perbualannya. Lantaran TB berminat dan mendapat degree dalam bidang komunikasi dan psikologi (psikolinguistik) maka TB dapat tangkap setiap inti perbualan dan memahami bahasa badan mereka.

Sahlah, pemuda Melayu itu seorang 'leader terkenal' sebuah syarikat jualan langsung yang berjenama & berprestij.Dia berjaya 'mengheret' pemuda Cina itu mendengar celotehnya. Dengan bahasa lnggerisnya yang lancar, bahasa badan yang meyakinkan dan dia dapat menguasai situasi maka pemuda ciona itu bagaikan terperangkap secara halus sambil memegang borang keahlian yang belum siap ditulis. Pemuda itu terus berhujah dan terus berhujah pantas tanpa kompromi.Sesekali pemuda Cina itu mencelah dengan bahasa lnggeris rojak yang kurang fasih. Dipendekkan cerita, akhirnya pemuda Cina itu akur dan 'tewas' lalu mengisi borang keahlian syarikat direct selling milik kaumnnya juga.(jika kepunyaan Melayu, bagaimana?).Setelah selesai, TB perhatikan mereka berdua mula berkomunikasi pula dalam bahasa Melayu tanpa masalah. Begitulah peranan bahasa, ada yang digunakan untuk mempengaruhi situasi jangka pendek.Kliennya beredar.

Tanpa disangka, seorang pemuda Cina lain yang sibuk menaip komputer sudah hampir 2 jam tadi mula merapati pemudah Melayu yang petah berbicara itu.Mereka kelihatan tiba-tiba sudah jadi seperti rakan kongsi bisnes yang mula 'buka kedai' berbicara tentang bisnes.

Moralnya cerita di atas bahawa orang Melayu bukan mustahil jika mahu ceburi dalam perniagaan. Janganlah anggap orang-orang cina itu hebat. Tips yang paling penting, banyak memca semua aspek bahan dan galilah pelbagai pengetahuan, rajin merujuk kamus, berlatihlah komunikasi, yakinkanlah diri, tanamkan sikap 'kita boleh' dan sentiasa berjimat cermat, bersabar dan bersikap mesra tidak sombong! Selamat maju jaya!

15 Mei 2015

RAHIMIDIN ZAHARI KEMBALI KE RAHMATULLAH

SEMALAM baharu TB menyebut dan bertanya khabar sosok Rahimidin Zahari penyair muda terkenal abad ke-21 menerusi blog TB. Beberapa hari lalu penyair veteran Le0 AWS ada mengirim SMS memberitahu TB mengenai Rahimidin dimasukkan ke Hospital Sungai Buluh kerana mengalami pendarahan otak.

Rahimidin (sila rujuk biodatanya di mana-mana website) hari ini selamat dikebumikan di kampung halamannya di Peringat,Kelantan sebelum solat Jumaat. TB terkejut dan amat terharu.Sesungguhnya dunia perpuisian Malaysia  kehilangan seorang seniman puisi yang berbakat dan mula menggilap nama di persada puisi tanah air. Berita yang dikirimkan oleh Leo Aws juga menerusi SMS ini juga mengejutkan TB. Takdirnya, Allah lebih menyayangi Rahimidin yang telah kembali dalam usia muda.Menurut Leo antara teman penulis yang hadir menziarahi Allahyarham di kampung halamannya ialah penyair Azmi Yusuf, Marsli N.O, Norhisham Mustaffa. Leo Aws dan Presiden Pena.

TB: Al-Fatihah...semoga roh Allahyarham dihimpunkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.Amin.
Dan setelah pemergian RZ baharulah TB tahu bahawa arwah adalah Bendahari Pena terkini. Dan selanjutnya baharulah TB dapat tahu daripada portal berita bahawa 11 (sebelas) buah buku RZ telah diterbitkan oleh ITBM. Apa yang TB tahu KPM pernah menyumbangkan dana kepada Pena-ITBM untuk penerbitan karya-karya sastera kebangsaan. Dan TB terima banyak aduan mengenai kronisme,nepotisme dan macam-macam telahan termasuk 'penilai hantu' yang mana banyak penulis yang sudah ada nama ditolak oleh ITBM! Dan apabila 'kembalinya 'RZ maka sedikit sebanyak ada sesuatu yang tersembunyi...hingga 11 buku RZ diterbitkan oleh ITBM sahaja. Wallhualam!


14 Mei 2015

FAISAL TEHRANI

TB tidak berniat mahu ulas apa yang Faisal Tehrani (FT) buat atau kemelut yang dihadapi. Bagi TB siapa TB, FT pun tidak kenali dan siapakah FT, TB pun tidak kenali sangat. Walupun kadang-kadang TB sering lepak di tangga depan ATMA UKM. Cuma yang TB tersedar nama penulis ini mendadak naik walaupun TB tidak pernah pun membaca seabarang bukunya (mungkin sudah tidak banyak masa lagi, tidak seperti zaman kanak-kanak/remaja TB banyak baca karya fiksyen Melayu karya Hamka, Abdul Moes,lwan Simatupang, Pramoedya , Ruhi Hayat, Abdullah Hussein, Keris Mas,Arena Wati dan lain-lain ).

Walau apapun TB tidak pasti adakah FT bertugas sebagai pensyarah (berjawatan tetap) atau Felo ataupun Tutor yang bukan berjawatan tetap tetapi bersifat kontrak/sementara. Justeru, Sekiranya berjawatan tetap maka FT dan sesiapun kena faham dan akur apa itu 'Perintah Am Kerajaan'; selagi kita berkhidmat sebagai penjawat awam bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan tatatertib dan sebagainya....(sebab dalam bahasa kasar, "universiti itu bukan bapa kita punya",),lNamun jika bukan pensyarah maka perjawatan seperti felo atau tutor, penjawat itu boleh "belah" bila-bila masa jikalau individu itu mahu kebebasan minda umpama "tukar tiub" yang bekerja sendiri dan boleh menyalurkan idea/pendapatnya dengan bebas (asalkan tidak menyalahan undang-undang negara).

Begitulah FT dalam kemasyhuran namanya dekad ini dan dekad lalu kerana anehnya "menang menjuarai anugerah sayembara menulis novel utama dsb. dan disampaikan oleh VVIP" tetapi anehnya juga baharulah kemudiannya karya-karya dinobatkan dan difatwakan HARAM...(Apa maksud hukumnya 'haram'?)...Apakah langit tidak selalu cerah? Apakah ini bermakna karya-karya FT tidak menepati, tidak mematuhi peraturan-peraturan,syarat-syarat dan objektif peraduan tersebut?

TB: Dua,tiga lalu teman penyair kelahiran pramerdeka dari Pantai Timur beritahu TB mengenai penyair Rahimidin yang dimasukkan wad di Sungai Buluh kerana mengalami pendarahan di kepala (strok?). Apa khabar beliau sekarang? Didoakan cepat sembuh.Amin.

11 Mei 2015

TEMA HARI GURU 2015: GURU MEMBINA ILMU,MENYEMPURNAKAN AKHLAK

SEMPENA HARI GURU 2015 dan mempunyai tema yang bertepatan dan  selaras dengan isi kandungan buku "Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna" maka adalah amat baik dan bersesuain semua warga pendidik memperoleh dan membaca buku ini. Jikalau sudah habis dijual di kedai buku sila buat tempahan secara talian. Cetakan kedua dalam proses.



Kulit buku hadapan dan belakang
Buku yang mengandungi 365  (fon 14) muka surat terbitan  Penerbitan Awan Prima terbaharu  2015 dan terlaris di pasaran kini ditulis oleh Dr Haji Rajiee Hadi.

Buku ini menyalurkan sumber utama motivasi, biografi dan informasi daripada penulis yang berpengalaman dalam dunia pendidikan dan keguruan. Buku ini adalah kisah guru, kisah kita dan kisah masyarakat yang secara langsung terbabit sama dalam dunia pendidikan. 

Penulis telah menghimpunkan coretan pengalamannya dalam dunia keguruan lebih 35 tahun. Sejarah awal kehidupan penulis dan detik hari mulanya menerima tawaran berkursus asas perguruan di sebuah maktab perguruan terulung di Kuala Lumpur telah membuka lembaran baharu perjuangannya yang penuh asam garam kehidupan. Suka lara, duka riang, marah,kecewa dan ceria telah dipaparkan dengan berani dan berterus terang demi kelangsungan dan kemuliaan profesion keguruan untuk generasi kemudian.


Dapatkan buku di atas dengan menghubungi: (Tempahan On-Line dan Terus Daripada Penerbit)

Pengurus: Pn.Nor: H/P:  01136405523 (sms)
Bank-in : Akaun BSN: 10001-41-00001008-6
Harga Semenanjung Malaysia :RM 45.00, Sabah-Sarawak RM48, Brunei Singapura BD/SD 18
Contoh Harga Diskaun Promosi lstimewa  (potongan 10% termasuk Sabah,Sarawak,Brunei,Singapura)  Contoh Harga Selepas `diskaun SM: RM 40.00  & RM7.00 (kos penghantaran pos ekspres) = RM 47.00 (EMPAT PULUH TUJUH RINGGIT MALAYSIA)+ RM3.00 (sedekah tambahan untuk kebajikan Rumah Anak-Anak Yatim & Orang Tua. JUMLAH/AMAUN BESAR RM: 50.00 (LIMA PULUH RINGGIT MALAYSIA SAHAJA).

Formula sama digunakan untuk harga dan kos penghantaran bagi Sabah,Sarawak,Brunei & Singapura.

Nota:

Membeli sambil menderma, bersedekah amal jariah. Terima kasih, pembelian buku ini turut menyumbangkan 05%Kepada  Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Kurang Upaya serta Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua. Terima kasih!

04 Mei 2015

HASSAN TOPIT, HAJI

TERSEBUTLAH kisah diam tidak masa terus berlalu.Walaupun pergerakan masa dikatakan merangkak namun datang dan perginya deras bagai air sungai yang mengalir dari hulu menuju ke kuala.Begitu juga kisah sahabat semaktab TB, Tuan Haji Hassan Topit yang seingat TB jawatan mutakhirnya sebagai Pengetua Cemerlang di sebuah sekolah menengah sains (SBT) berasrama penuh di Air Keruh,Melaka.

TB pernah hadir dan tinggal di asrama sekolahnya pada tahun 1977 sewaktu TB menghadirinya sebagai peserta di Konvensyen Pendidikan (1) anjuran Persatuan Suluh Budiman pimpinan Allahyarham P.E.Dr.Awang Had Salleh.Banyak kenangan lalu ketika TB berada di sekolah ini.

Dan sehinggakan TB baharu tersentak seringkali tidak sempat hadir datang ke sekolah ternama ini kerana ada sahaja halangan.Dan diam tidak masa telah beralih pergi dan TB teringat sahabat TB Haji Hassan Topit adakah beliau telah bersara? Jika sudah bersara di mana beliau bersemenda sekarang?
Sebenarnya nama Haji Hassan Topit dan sekolah ini ada tercatat dalam buku motivasi,biografi & informasi tulisan TB yang terbaharu berjudul 'Travelog Guru: Seribu Warna Seribu Makna' yang kini berlegar di pasaran. Selain Sdr Hassan, TB terpanggil bertanya di manakah Sahak Wahid, Museri Latib, Arumugasamy, Chew Hock Liong, Dahlan Tampin, dan ramai lagi rakan-rakan TB satu MPB,Lembah Pantai 1976-77? Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat.......... (TB)

02 Mei 2015

AHMAD FADZILLAH MENINGGAL DUNIA

TIGA hari lalu TB dapat tahu daripada staf penerbitan Aras Mega Sdn.Bhd. yang beroperasi di Taman Desa Damai, Sungai Merab Luar, Bandar Baru Bangi, Selangor bahawa penyair Ahmad Fadzillah, 58 tahun telah meninggal dunia hampir sebulan lalu secara mengejut setibannya beliau di rumahnya.Allahyarham. seringkali berulang-alik daripada tempat kerja dan pulang ke rumah  di Kuala Lumpur setiap hari kerana bekerja sebagai editor di syarikat penerbitan tersebut.

Ahmad Fadzillah yang TB kenali sejak lebih 25 tahun lalu ketika beliau bertugas sebagai kerani di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur (jika TB tidak silap). Beliau seorang yang pendiam dan gemar menyendiri. Namun apabila didekati beliau juga gemar berseloroh dan berminat apabila membicarakan perkembangan kesusasteraan tanah air. Dikhabakan beliau pergi akibat serangan jantung mengejut. Ada kemungkinan dalam usia sebegitu, beliau terpaksa terus survival demi kehidupan diri dan keluarga. Namun takdir, Allah lebih menyayangi dirinya. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan Allah dalam golongan para salihin. Al- Fatihah.