Salam Perjuangan

13 Oktober 2014

HIDUP DAN BELAJAR.....

TB suka memetik pendapat Anrew Matthews bahawa hidup tidak perlu sentiasa pedih dan sedih.Namun katanya; kepedihan tetap menjadi sebab mengapa kita boleh berubah.Bahkan kedapatan sehingga kita berasa pedeih yang mendalam, kita masih lagi boleh bersikap berpura-pura menutup kepedihan dengan ego kita sendiri;"aku masih serba ada.."

Dan apabila keadaan sudah amat memedihkan dengan kesepian dan ketakutan yang kian banyak menyelubungi diri kita baharulah kita dapat memberi jawapan dan bersikap terbuka. Justeru, kepedihan membuatkan kita menjadi serius tentang kewujudan dan permasalahan yang melingkari kehidupan ini.

Dalam erti kata lain, kita juga dituntut agar bersikap sabar dan bijaksana memahami kepedihan yang dideritai oleh orang lain.Misalnya apabila kita melihat sahabat kita Kamal, dan kita berkata," Jatuh bangkrap atau muflis adalah suatu pengalaman yang banyak mengajarnya." Kita melihat  Shazlina pula dan lalu berkata,"Penceraian membantunya berdiri atas kaki sendiri." . berdasar kes-kes tersebut, kita semua bersetuju: "Cabaran menjadi kita semua lebih gigih."

Namun apabila kita sendiri menghadapi sendiri cabaran itu, mengapakah kita sendiri tidak gigih menyambutnya atau menghadapinya?. Bahkan kita sendiri akan berkata atau mengeluh;" Ya Tuhanku mengapa cabaran yang perit menimpa diriku?", "Ya Tuhanku mengapa Engkau tidak memberi cabaran yang mudah dan selesa?" Walhal sebenarnya, cabaran itu tidak pernah selesa!

Hayati petikan kata-kata puitis Joseph Campbell di bawah:

"Hanya dengan turun ke jurang derita
kita dapat memungut semula permata hidup
Di mana kau tersandung jatuh
di situlah letaknya permata kesayanganmu.
Gua yang kau takut memasukinya
rupa-rupanya adalah tempat wujudnya
apa yang kaucari itu."

TB: Setiap orang yang muncul dalam hidup anda adalah guru. Seandainya mereka menyakiti hati anda, mereka tetap mengajar anda tentang batas-batas anda.Apatah lagi kita sedia maklumi guru tidak sentiasa disukai oleh murid-murid.
Kepada rakan seperjuangan TB; Dr Haji Abdullah Awang Lampoh Timbalan  Ra'es/Rektor KUPU Seri Begawan,Brunei Darussalam , En.Mohd Nor Ghani, Pengarah Pendidikan JPend.Johor, dan Dr Haji Ali Mahmood, Timbalan Pengarah IPGM (KBM),Lembah Pantai,Kuala Lumpur yang baharu menempuh alam persaraan perkhidmatan awam, TB alu-alukan dengan doa sejahtera dan berbahagia.Kepada sahabat yang akan menyusul bersara, hadapilah kehidupan mendatang ini dengan penuh ceria dan menyeronokan. (TB).

04 Oktober 2014

NAJIB RAZAK MULA "NAIK MINYAK"............MALANG BN.

Ramalan pakar ekonomi duni Dr Frederico Gil Sander pada Oktober tahun lepas akhirnya  menjadi kenyataan apabila sekali lagi kerajaan menaikkan harga minyak semalam. Kelihatannya  “Langkah Minyak Najib” ini lagi buruk kesannya daripada “Langkah Kajang Anwar”.
Memburukkan lagi keadaan adalah "minyak rakyat" atau RON95 yang dinaikkan. Kita sedia  ketahui minyak ini paling murah jika dibandingkan dengan RON97.
Jadi persoalan di sini mengapa "minyak rakyat" ini dinaikkan ketika harga pasaran minyak  dunia jatuh?
Suatu ketika dahulu, bukankah kerajaan sendiri berjanji harga minyak di dalam negara  ditentukan oleh pasaran dunia, nampaknya sekali lagi janji tidak ditepati, slogan  dicapati.
Tren penurunan harga minyak untuk setiap tong konsisten sepanjang tiga tahun ini, malah  jatuh bawah paras AS$93 setong baru-baru ini.
Negara pengeluar minyak dunia, Arab Saudi juga bimbang dengan keadaan harga minyak global  ini.
Bagaimanapun, berbeza dengan India yang United Kingdom yang mengambil langkah menurunkan  harga minyak mereka, kerajaan nampaknya gembira pula untuk menaikkan harga minyak.
Oleh itu, kita tidak dengar lagi hujah-hujah daripada pakar atau menteri mengatakan  harga pasaran minyak dunia naik untuk menyokong langkah kerajaan menaikkan minyak.
Bagi saya, langkah menaikkan harga minyak adalah jalan mudah untuk menjanakan  pendapatan kerajaan. Kita juga sedia ketahui Petronas adalah penyumbang utama hasil kepada  pendapatan kerajaan setiap tahun.
Petronas adalah pembayar cukai tunggal terbesar di Malaysia dan hasil sumber  terbesar, meliputi sebanyak 45% daripada bajet kerajaan, maka apabila minyak naik,  pendapatan yang akan diperoleh juga naik.
Menjelang pembentangan Bajet 2015 ini, signifikannya kenaikkan harga minyak ini nampaknya  bertujuan untuk menampung belanja kerajaan.
Malah, pemberian tunai BR1M yang dikatakan sebagai gula-gula politik juga akan dinaikkan  lagi kali ini.
Ini adalah pemberian kali ketiga. Pada awalnya kerajaan mengatakan ia bertujuan membantu  rakyat dan meningkatkan taraf hidup mereka tetapi selepas harga minyak naik, saya tidak tahu  sama ada hujah itu masih relevan atau tidak.
Selama tiga pusingan, apakah bukti BR1M ini betul memanfaatkan rakyat dan meningkatkan  ekonomi negara? Adakah kerajaan mempunyai data?
Tidak ada gunanya jika sekali memberi wang tunai tapi inflasi naik dan yang menerima  tempiasnya adalah rakyat.
Jika berbalik semula kepada belanja kerajaan, pembentangan bajet nanti hanya di atas kertas  sahaja tetapi yang tidak berada dalam kertas adalah kerugian daripada ketirisan saban  tahun dilaporkan dalam Laporan Audit Negara.
Seperti orang ramai lain, kita pasti tertanya adakah tiada dana dalam kantung negara?
Baru-baru ini kita sedia tahu dimana syarikat pelaburan negara rugi 1MDB RM38 bilion, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersuara dalam isu ini.
Pada September tahun lepas, selepas petrol dinaikkan juga 20 sen, pihak kerajaan berkata  mereka dapat menjimatkan RM3.3 bilion setahun.
Jika dibandingkan dengan RM3.3 bilion setahun dan kerugian oleh 1MDB sebanyak RM38 bilion,  berlipat kali ganda sebenarnya bantuan boleh diberikan kepada rakyat.
Mengapa perlu terlalu kedekut untuk membantu rakyat, tapi dengan senang membela syarikat  yang tidak membuat untung. Adakah ini kerana demi rakan dan kroni yang rapat dengan kerajaan?
Itu baru perkiraan melibatkan 1MDB, bagaimana pula dengan syarikat penerbangan negara MAS yang juga perlu diselamatkan daripada rugi?
“Langkah Minyak Najib” ini lebih buruk daripada “Langkah Kajang”, belum sempat rakyat menyambut Hari Raya Aidiladha tapi mereka sudah dikorbankan.
Mungkin menteri ini tidak hidup bersama rakyat, tidak minum teh di gerai mamak, mereka bersarapan dan makan malam dihidangkan oleh orang gaji. Mereka tidak tahu keperitan yang dialami rakyat bawahan ini.
Untuk Najib, langkah menaikkan harga minyak ini bukan jalan terbaik pada ketika tahun depan rakyat akan berdepan tahun mencabar, tahun dimana cukai GST akan dikenakan.
Janganlah kata rakyat sahaja perlu berjimat tapi tidak pula kerajaan.
Selamat Hari Raya Aidiladha rakyat Malaysia, selamat pulang ke kampung halaman masing-masing. –( Yahoo Mail, Mohd.lzwan, 3 Oktober, 2014.)

TB: "Kerajaan tidak naikkan minyak..tetapi menarik balik/mengurangkan subsidi minyak...' (jelas PM).. Apa bezanya jikalah ada orang berkata, "Mereka tidak merompak mesin ATM, tetapi cuma menggodam dan mengambil wang daripada mesin ATM?" (kata salah seorang rakyat bawahan yang kritis)

03 Oktober 2014

ARAFAH: ULANG TAHUN CINTAKU

Hari ini kita berhimpun lagi
wukuf di Arafah masyhar yang indah
pada pagi hari terik mentari
panasnya ubun-ubun membakar dosa
cinta pada-Mu diucap saban kali

Hari ini Arafah datang lagi
ke hadirat llahi syukurku bertemali
setelah Engkau berikan tiga kali kunjungan
aku dapat berhimpun di saujana hitung-Mu
di padang ini menjejaki tumpahnya airmata ini

Di perhimpunan ini,
kita mengenali ertinya maknawi
kesabaran dan insani saling menggoda
angkuhkan darjat pangkat harta
berpuak-puak terus merajalela

Aku terus mengenangkan di mana Fathuri
Yusuf Tompang, Pak lbrahim dan lainnya
wajah berbalam namun basahnya ingatan
dari Mekah ke Madinah mula menghilang
di pesisir ingatan sauh masih berdendang


Hari ini mengenang alumni
tetamu Allah bertemu di sana
kita hanya jasad di tanah sini
mudah-mudahan jiwa kita di sana
labaiqallah zikirullah terus bersemi!



DR HAJI RAJIEE HADI,
Bandar Bukit Mahkota, Bangi, SDE.
Jumaat,  8 Zulhijjah 1436H,
3 Oktober 2014.

11 September 2014

UPSR BOCOR!

TIUB BOCOR menyangkakan hanya tiub sahaja yang bocor.Rupa-rupanya soalan rasmi peperiksaan pusat yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia Kementerian Pendikan Malaysia (LPMKPM) yang dikawal ketat 'peti besinya' dan diikat janji dengan OSA dan pelbagai peraturan perundangan terlepas pandangannya juga. Tentu bersusah payah juga Pengarahnya, Dr Naimah kali ini menerima kebertanggunjawaban atas 'musibah' yang menimpa dan memberi kesan psikolgi kepada semua pihak termasuk tempiasnya terkena juga kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan kita yang dikasihi.

Selaku mewakili ibu bapa yang terlibat (anak TB ada juga mengambil UPSR 2014), tentulah berasa amat sedih dan berdukacita. Tidak perlulah TB menjelaskan kenapa dan mengapa. Bagi murid-murid yang tidak terlibat (tidak menerima apa jua salinan soalan-soalan tersebut; termasuk anak TB) maka adalah malang menimpa kepada mereka kerana menjadi mangsa keadaan.Bayangkan mereka telah menjawabnya  dengan sebaik mungkin tetapi kerana 'onar' orang lain maka mereka menjadi mangsa keadaan.

Justeru TB menyokong penuh agar mereka yang terlibat WAJIB dihukum semaksimum mungkin mengikut Akta OSA. PDRM dan KPM dan orang ramai wajar bekerjasama membantu pihak berkuasa menjejaki 'pengkhianat' agar dapat diberkas segera dan di bawa ke muka pengadilan. Baik para pegawai di KPM, tuan punya pusat-pusat tiusyen, dan mana-mana individu yang terbabit wajar diseret dan didakwa di mahkamah. Kita tiak mahu 'tragedi' ini berulang lagi pada masa akan datang. Cukup..cukup..cukuplah kali ini sahaja. (TB). Nota: Peperiksaan ulangan akan dibuat semula oleh LPM.

26 Ogos 2014

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

Di sini ratusan tahun silam
margaku lahir semenda mendalam
desa belantara usul asal kejadian
sungai yang mengalir lesu
kaya dengan khazanah alam

Di sini lahirnya cinta abadi
tanah tumpah darah semadi
flora kasih memayungi semesta bumi
tanah ladang sawah terbentang
dusun bersiulan mentari pagi


Di sini kita belajar kasih sayang
kewajipan kepada kampung halaman
setelah termeterai makna kemerdekaan
kita anak-anak mengecapi kebebasan
mengisi makna di menara  puncak gading

Usah dikhianati debu kota menyeka
di sinilah perpaduan kita teruji
setelah lima puluh tujuh tahun  berkisar
di bawah mahkota payung aman
di sini lahirnya sebuah cinta
abadi dan penuh makna sanubari!



RAJIEE HADI,
BBM, Bangi, SDE.
26.8.2014


19 Ogos 2014

NORIZAN BIN KULOB

MAAF, tidak terlambat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada Sdr Norizan bin Kulob (Tuan Haji Norizan bin Kulob) (Dato'?) sahabat lama saya yang saya tidak temui beliau sejak 40 tahun yang lampau! Entah kenapa, mengapa malam tadi saya mimpikan beliau. Kemungkinan sejak kebelakangan ini, apabila saya siap menulis buku memoir saya, kenangan dan peristiwa serta wajah sahabat-sahabat lama silih berganti memutar dalam mimpi dan tidur saya. lni membuatkan setiap peristiwa dan memori tersebut terasa baharu dan segar dalamj ingatan. Barangkali.

Tahun 2015, tahun hadapan adalah tahun bermulanya rakan-rakan sepersekolahan saya yang sekelas dan tahun kelahiran yang sama akan memulakan bersara wajib.Antaranya, Cikgu Abu Hassan Harun (Gred 54) guru kanan ekonomi di sebuah sekolah di Johor, Haji Burhan Amin,( Pengurus Besar Perbadanan lslam Negeri Johor), Haji  Ghazali Hamzah (PPD, Shah Alam), Haji Norizan Kulob (Timbalan SUK Negeri Johor) dan lain-lain lagi. Namun ada di antara rakan saya yang telah bersara lebih awal lagi dengan pelbagai alasan peribadi.

Tuan Haji Norizan bin Kulob ialah rakan sekelas saya dari tingkatan satu hingga ke tingkatan enam. Orangnya sederhana, pendiam tetapi seorang pemikir. Siapa sangka beliau boleh berjaya sebagai pentadbir.Saya hanya menerima berita perkembangan kejayaannya daripada cerita kawan-kawannya dan daripada maklumat ICT. Maaf, kerana menggunakan nama sdr sebagai judul tulisan pendek saya ini sebagai memudahkan enjin carian mengesani komunikasi ini.

Dikhabarkan sahabat saya ini telah bertugas banyak tempat dalam perkhidmatan awam Negeri Johor sebagai YDP Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah di Mersing, Kota Tinggi dan lain-lain lagi.Bukan tujuan saya mahu menulis latar diri beliau. Tetapi tujuan saya hanya mahu mengesan jejak sahabat yang terlalu lama saya tidak temui. Semoga suatu hari, kemungkinan setelah bersara, dapatlah kita mengadakan 'reunion' mengisi masa terluang dan hidup bersemangat dengan obor wira walaupun sesudah bersara!

TB: Boleh SMS sahaja ke talian hp: 0192465103.

18 Julai 2014

MAS MH 17 DITEMBAK JATUH

PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan pesawat yang terhempas di Ukraine adalah milik Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Beliau berkata, sekiranya benar pesawat berkenaan didapati ditembak jatuh, Malaysia tidak akan teragak-agak untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Katanya, beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama telah menghubunginya untuk menyatakan sokongan dalam hal tersebut.

"Malaysia dan AS juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan siasatan antarabangsa dan bersetuju untuk tidak menyembunyikan sebarang hasil siasatan.

"Sekiranya betul pesawat berkenaan di tembak jatuh, mana-mana pihak tidak dibenarkan mengalihkan bangkai pesawat termasuk kotak hitam," katanya dalam sidang akhbar pada pukul 4.30 pagi tadi di Hotel Sama-Sama di sini. (sumber: Uonline, 18/07/14)


10 Jun 2014

POLIGAMI OH POLIGAMI........

JANGAN pandang serong atau salahkan wanita yang akan menjadi isteri kedua, ketiga ataupun keempat kerana kita mesti fikirkan juga masa hadapan mereka dan naluri mereka sebagai manusia biasa.

Sudah menjadi fitrah dan dalam Islam setiap perkara yang Allah tentukan mempunyai hikmah tersendiri. Begitu juga dengan kebenaran untuk berpoligami. Jangan mempertikaikan hukum Allah.

Isteri pertama hendaklah rasional apabila berdepan dengan persoalan ini. Janganlah memberontak serta melatah apabila suami meminta izin untuk berpoligami.Jangan berdendam apatah lagi sehingga bertindak mahu menuntut cerai.

Sepatutnya ustaz dan ustazah berikan pencerahan dalam masalah poligami yang dibenarkan dalam Islam dan bukannya menimbulkan provokasi sehingga memanaskan lagi suasana. Dalam masa yang sama diharap pihak Jabatan Agama Islam terutama sekali dalam unit nikah dan cerai ini tidak memperketatkan syarat berpoligami. 

Sebaliknya permudahkan urusan itu agar tiada yang ‘kahwin lari’ ke luar negara.
Apa salahnya seseorang lelaki Muslim mahu mengamalkan poligami jika semua syarat dan kemampuan zahir dan batin telah diambil kira dan mampu melaksanakannya.

Sepatutnya digalakkan lagi supaya bertambah keturunan umat Islam. Lagipun Rasulullah SAW sendiri mahukan supaya umat Islam ramai bertaburan di muka bumi ini.Memberikan laluan kepada poligami ini adalah juga suatu jihad bagi kaum wanita demi menjaga agama dan kekuatan ummah itu sendiri dan jangan mempertikaikan apa yang Allah telah halalkan.

( sumber: UM, Jun 2014 oleh SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
YDP, Persatuan Jamalullail Perak)

TB: TB tidak mahu banyak komen.Bagi TB jodoh,maut,rezeki dan ketentuan adalah kehendak Allah SWT jua. Apa jua niatlah kerana Allah SWT agar beroleh keredaan dan keberkatan-Nya. Pihak agamawan dan masyarakat khususnya pentadbiran di Jabatam Kehakiman Syariah dan jabatan-ajabatan agama lslam negeri sudah tiba masanya berfikiran terbuka dan berpegangkan tali agama: Quran dan Hadis.


30 Mei 2014

DR. NAZRIN SHAH : SULTAN PERAK KE-35

SULTAN  Nazrin Muizzuddin Shah, 58, putera sulung Almarhum Sultan Azlan Shah yang dilantik sebagai Sultan Perak yang baharu, adalah seorang yang bijaksana dan berjiwa rakyat. 
    
Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Ekonomi, Politik dan Kerajaan daripada Harvard University, baginda diisytiharkan sebagai Sultan Perak yang baharu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan yang diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah sebelum istiadat pemakaman ayahanda baginda.
    
Keputusan melantik baginda sebagai Sultan Perak yang baharu dibuat dalam mesyuarat khas Dewan Negara Perak petang semalam yang dipengerusikan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berikutan kemangkatan Sultan Azlan Shah semalam.
    
Sultan Nazrin Shah, yang berkahwin dengan Tuanku Zara dan mempunyai seorang putera Raja Azlan Muzaffar Shah, empat tahun, dan seorang puteri Raja Nazira Safya, dua tahun, dilantik sebagai Raja Kecil Besar Perak berikutan pelantikan ayahanda baginda sebagai Sultan Perak ke-34 pada 16 Feb 1984.
    
Mengikut hirarki sistem penggiliran Kesultanan Perak, kedudukan Raja Kecil Besar adalah di tempat ketiga selepas Raja Di-Hilir dan Raja Muda sebelum dilantik sebagai Sultan.

Sementara itu, kedudukan di bawah Raja Kecil Besar adalah Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah dan Raja Kechil Bongsu.
    
Pada 1987 apabila Raja Muda Raja Ahmad Saifuddin Almarhum Sultan Iskandar Shah mangkat, Raja Ahmad Hisham Raja Abdul Malik, 80, Raja Di-Hilir pada masa itu telah memberi laluan kepada Sultan Nazrin Shah untuk naik menjadi Raja Muda atas faktor usia.
    
Semasa ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah telah dilantik sebagai Pemangku Raja Perak mulai April 1989 hingga 1994.
    
Sultan Nazrin Shah yang mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur, telah melanjutkan pelajaran menengah di St. John Institution.
    
Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Falsafah, Politik dan Ekonomi daripada Oxford University.

Sekembalinya dari luar negara, baginda bertugas sebagai Pegawai Eksekutif Petronas dari 1979 hingga 1983.
    
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam di Kennedy School of Government, Harvard University.
    
Sultan Nazrin Shah yang merupakan Pro-Canselor Universiti Malaya adalah juga Felo Kehormat Kolej Worcester, Oxford University.
    
Pada tahun lepas, baginda dilantik sebagai Ahli Canselor Court of Benefectors, Oxford University serta Ahli Pemegang Amanah Pusat Kajian Islam Oxford University.
    
Selain itu, Sultan Nazrin Shah merupakan Felo ISIS (Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia) Terbilang.

Baginda juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta Duta Kewangan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (MIFC).
    
Mengikuti jejak ayahandanya, Sultan Nazrin Shah pernah memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia selain menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak.
    
Baginda pernah menerima Anugerah Melvin Jones Fellowship daripada Lions International Foundation berpangkalan di Chicago, anugerah tertinggi yang diberi kepada individu untuk khidmat kemanusiaan, selain menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2012.
    
Terkenal dengan sifat merendah diri dan berjiwa rakyat, baginda turut mengejutkan banyak pihak apabila menolak dengan hormat peruntukan kerajaan negeri untuk urusan perkahwinan pada 2007.(sumber:HD 29/05/14)

28 Mei 2014

SULTAN AZLAN SHAH MANGKAT

SULTAN  Perak Sultan Azlan Shah Azlan Shah mangkat pada jam 1.30 petang hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh menteri besar Datuk Seri Zambry Abd Khadir secara langsung di RTM hari ini.

Ekoran kemangkatan itu, bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang selama 100 hari di negeri itu manakala bendera Malaysia pula selama seminggu.

Semua bentuk hiburan, keramaian dan keraian dibatalkan dalam tempoh tujuh hari.

Menteri besar juga mengumumkan cuti umum di Perak selama sehari esok sebagai tanda berkabung.

Jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Kuala Kangsar esok pagi dan akan dimakamkan  di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas asar.

Sementara itu, Bernama melaporkan, baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Februari 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
    
Penghormatan terakhir  bagi pembesar negeri dan orang kenamaan adalah pada pukul 9 pagi esok manakala oleh orang ramai bermula 11 pagi hingga 2 petang, diikuti sultan-sultan, raja-raja dan pembesar negara asing mulai pukul 2 petang hingga 3 petang.
    
Zambry berkata bendera negeri Perak akan dikibar separuh tiang sepanjang tempoh perkabungan selama 100 hari mulai hari ini, sementara bendera Malaysia dikibar separuh tiang selama tujuh hari.

"Seluruh rakyat jelata negeri Perak telah kehilangan Sultan yang
dikasihi dan berjiwa rakyat.
    
"Saya Dr Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan
mewakili seluruh rakyat jelata negeri Perak Darul Ridzuan merafak sembah takziah dan mendoakan semoga roh Almarhum Tuanku dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan para Anbiya, Syuhada dan Solihin," katanya dengan sebak.
    
Baginda meninggalkan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, seorang putera, Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan tiga puteri Raja Datuk Seri Azureen, Raja Datuk Seri Aleena dan Raja Datuk Seri Yong Sofia.
    
Anakanda ketiga baginda Raja Datuk Seri Ashman Shah mangkat pada 30 Mac 2012.

Sementara itu Bernama melaporkan kenderaan yang membawa jenazah Almarhum Sultan Azlan Shah beredar dari Institut Jantung Negara (IJN) di ibunegara petang ini menuju ke Kuala Kangsar.
    
Kenderaan itu beredar dari perkarangan IJN pada kira-kira 5.08 petang dengan diiringi kenderaan kerabat diraja Perak dan polis.
    
Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun dan pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah turut dilihat berada di IJN.
  
 Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambery Abdul Kadir mengumumkan Almarhum Sultan Azlan Shah mangkat pada 1.30 tengah hari ini.

Sementara itu, PKR merakamkan sembah takziah di atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.

Dalam satu kenyataan, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mudah-mudahan Allah SWT memberikan keampunan-Nya dan melimpahkan rahmat-Nya buat Almarhum Sultan Azlan.

Manakala dalam satu kenyataannya, sekretariat akhbar kerajaan Selangor berkata, bendera akan dikibarkan separuh tiang di negeri Selangor sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Azlan Shah. (sumber:Mkini,28/05/14)

17 Mei 2014

UPM : PBMP 1983-1986

Kepada teman-teman UPM /PBMP 1983-1986 tidak lupa diucapkan Selamat Hari Guru 16 Mei semalam; baik kepada yang telah bersara sejak berusia 50-an hinggalah yang akan bersara wajib menginjak usia 60 sama ada tahun ini atau tahun hadapan. Janganlah gubra ada dunia indah di sebalik persaraan. Hahaha mana tahu ada di antara anda akan menikah lagi atau mungkin juga terpaksa hidup sendirian setelah kehilangan teman di sisi buat selama-lamanya.

Jagalah kesihatan sebaik-baiknya. Kesihatan adalah amat bernilai daripada mengingatkan gred 54 atau jusa yang hanya tinggal kenangan. Adalah lebih baik tidak meletakkan kebendaan atau kewangan dalam aras kehidupan. Memadailah mensyukuri menerima nikmat apa yang ada.

Tahniah yang memperoleh gelaran 'dato,datuk,datuk seri' daripada mana-mana pembesar negara atau negeri.Dan tidak lupa yang memperoleh cucu demi cucu.Tahniah dan syabas.

TOKOH GURU KEBANGSAAN 2014: Dari Perspektif Lain.....

TIDAK datang mudarat andainya setiap tahun kita mengangkat seorang tokoh sebagai ikon atau idola kaum guru di peringkat kebangsaan bahkan juga di peringkat negeri dan daerah.Apatah lagi sekarang Tokoh Guru Kebangsaan diberikan imbuhan bukan setakat tropi dan sijil-sijil penghargaan bahkan juga kini diberikan wang ringgit.lnilah perjuangan para pemimpin kesatuan guru terdahulu dan pegawai-pegawai atasan KPM yang menyarankan agar bentuk wang ringgit juga diberikan.

Kini nasib kaum guru lebih beruntung kerana pada sambutan  hari guru juga diberikan imbuhan kenaikan pangkat dengan laluan mudah tidak seperti dahulu. Alangkah sedihnya nasib para pesara guru zaman sebelum TPM menjadi Menteri Pendidikan yang terpaksa menelan pahit duka bersara dengan gred jawatan yang sama walaupun telah berkhidmat 30-35 tahun!

TB juga 'gembira' kerana Tokoh Guru Kebangsaan 2014 tahun ini dipilih hanya seorang sahaja. lnilah yang dikatakan 'tokoh'. TB tidak seronok jikalau pada masa-masa lalu tokoh-tokoh guru yang ramai berdiri di atas pentas hanyalah untuk menyedapkan mata yang mana  seolah-olah 'mesti' ada guru Melayu, guru Cina, guru lndia dan guru Kadazan atau lban atau Sikh ataupun suku kaum lain.Tahniah kepada AJK Pemilihan Tokoh Guru Kebangsaan tahun ini hanya 'berani' memilih seorang tokoh sahaja .Cuma apa yang TB mahu sentuh janganlah 'tokoh' itu dilihat dari aspek pangkat/gred. Tokoh guru tahun ini Tengku 'A' memperoleh gred Jusa C tetapi sepanjang yang TB ketahui sejak TB berkhidmat dengan KPM Januari 1978 TB tidak pernah pun mengenali atau mengetahui nama tokoh ini di mana-mana peringkat pun. Kemungkinan nama beliau menonjol semasa Tan Sri Mahyuddin Yassin TPM merangkap Menteri Pendidikan. Tahniah!

TB yang pernah 'berjaya' memilih tokoh guru kebangsaan 2002 Haji Karim Abdullah berasa teruja kerana pernah berpengalaman memilih tokoh bersandarkan beberapa kriteria. Seperti Tuan Haji Karim yang banyak berjuang dan menyuarakan nasib kaum guru pada era perkhidmatan hinggalah pasca perkhidmatannya melalui persatuan pesara guru. (PBPPP). Kita tidak mahu 'tokoh' itu hanya dikatakan tokoh jika hanya berfokuskan kepada sebagai pentadbir sekolah sahaja.Biarlah tokoh itu merangkumi semua aspek kehidupan sama ada dalam komuniti sekolah,masyarakat,NGO, kecemerlangan akademik dan ikhtisas, sahsiah dan sebagainya.

Berkenaan tokoh kepemimpinan yang kali ini dimenangi TS Alimuddin adakah tokoh kategori ini akan diikuti seterusnya mana-mana KP KPM yang telah bersara menanti?Kerana IPTA, IPTS dan sebagainya di bawah KPM bagaimana pula ketokohan kepemimpinan bekas dekan, bekas TNC, Naib Canselor dan sebagainya yang turut menyumbangkan kepada dunia pendidikan tanah air. Sebagai contoh ramai pesara guru yang mengenali  Datuk Dr Kamaruddin Haji Kachar dan  adakah beliau tidak layak dicalonkan tokoh kepemimpinan pendidikan? (TB)


15 Mei 2014

SELAMAT HARI GURU 2014 - Catatan Di Pinggiran

TB tidak menyangka anak kecil TB yang baharu berusia satu tahun dua bulan dengan bahasa belum sepenuhnya mengucapkan 'Selamat Hari Guru, ayah...' Rasa terkedu jauh di sanubari TB lanataran diam tidak diam masa dan waktu pantas datang dan berlalu pergi.....

Tahun 1961 TB mula belajar (masuk sekolah tumpang lebih awal..seakan prasekolah) di Sekolah Kebangsaan Sagil Estate,Ledang, Tangkak,Johor. Di sekolah ini nama-nama guru yang TB masih ingat ialah Cikgu Mahmud (Allahyarham), Cikgu/Ustaz Misdi, Cikgu Haris Abu Samah(usia 80-an)guru TB darjah 4 dan yang lain-lain TB tidak pasti lagi. Kemudian TB masuk darjah lima bertukar ke Sekolah Kebangsaan Lelaki Serom 3, Muar hingga darjah 6. Cikgu Yusof Saman (Allahyarham, guru darjah 5) dan Cikgu Mohd.Dom Abdul Rahman (Allahyarham,guru darjah 6) dan guru-guru lain antaranya guru agama Cikgu Redzuan, Cikgu Md.Nor (Guru B.I), Cikgu Mohd Nor Rashid dan Guru Besar Tuan Haji Ali bin Haji 0mar. Semasa TB di sekolah rendah belum pun ada sambutan hari guru secara rasmi ketika itu. Seingat TB ketika berada di sekolah menengah barulah sambutan Hari Guru disambut di seluruh negara.

Masa terus berlalu, sehinggalah pada suatu ketika, suatu waktu daripada seorang murid sekolah TB kemudiannya menjadi seorang guru pelatih (Sekolah Rendah Brickfield,1976 dan Sek.Men.Taman Sea,Petaling Jaya,Selangor,1977) dan kemudian bermula sebagai guru penolong terlatih di sekolah Menengah Bukit Gambir,Muar (1978) Sekolah Menengah Tengku Mahmud lskandar,Sungai Mati,Muar (1984, ) Sekolah Menengah Taman Seri Serdang,Selangor (1986), SMK Dato Mohd Said, Nilai,Negeri Sembilan (1987), Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur (1989), Sekolah Menengah Taman Desa, Kuala Lumpur (1992) dan Sekolah Menengah Sungai Besi, Kuala Lumpur (1992). Banyak kenangan manis sepanjang khidmat sebagai guru sekolah dengan sambutan hari gurunya yang berwarna-warni. Yang amat manisnya, TB pernah dilantik menjadi AJK lnduk Hari Guru Peringkat Wilayh Persekutuan Kuala Lumpur dan dua tahun berturut-turut diundang baca puisi sempena hari guru.

Mulai 1995 TB bertugas di Bahagian Pendidikan Guru KPM dan dihantar berkhidmat di Maktab Perguruan lslam, Bangi (pada mulanya ke IPSI,Tg.Malim tetapi TB menolak) sebagai pensyarah. Di maktab (kini IPGM) gaya dan cara menyambut Hari Guru agak sedikit berlainan lantaran tahap usia para pelajarnya juga berbeza. Di peringkat kebangsaan TB seterusnya dilantik sebagai AJK lnduk Hari Guru Kebangsaan. Di peringkat maktab TB hanyalah sebagai 'pemerhati yang memberi sumbangan apabila diminta'. Selepas berhijrah ke Brunei TB juga berkesempatan menyambut Hari Guru di Brunei yang biasanya disambut oleh semua peringkat sama ada sekolah,maktab, ipta mahupun ipts.

Begitulah sambutan Hari Guru di Malaysia kini apabila Menteri Pendidikan yang sekali gus juga Timbalan Perdana Menteri maka senario telah bnyak berubah. Selain peluang dan prospek kenaikan pangkat profesion keguruan kian cerah, kesedaran dan kepritinan orang ramai tentang kewujud hari guru  kian terasa menjelang 16 Mei. Kini pihak media massa turut sama memeriahkan sambutan dengan beranaeka program. Dan yang gembiranya, siaran langsung di kaca TV adalah petanda suatu penghormatan yang dinanti-nanti sejak sekian lama dahulu. Apa khabar sahabat-sahabat saya dalam kesatuan guru dahulu: Siva Subramaniam (Datuk), Cikgu Chong, Cikgu Haji Muhammad Mustaffa, Cikgu Kassim, Cikgu Kamal Shukri, Cikgu Tengku Long, Cikgu Muharam Atan dan ramai lagi. Doa TB agar anda semua sihat ceria dan dapat menyambut Hari Guru 2014 ini.

Selamat Hari Guru, saya pun sayang cikgu! (TB)

ADAM AHMAD PERGI JUA.....


Penyanyi Era 80-an, meninggal dunia

AMPANG: Penyanyi Adam Ahmad, 50, yang popular era 1980-an dengan lagu Kau Pergi Jua selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai Ampang di sini sekitar pukul 11.30 pagi Khamis.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang dekat sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah jangkitan kuman pada paru-paru kira-kira pukul 12.15 malam Khamis.
Gambar Adam Ahmad bersama isterinya Norliza.
Beliau menamatkan zaman bujangnya pada 19 Disember 2010 ketika berusia 46 tahun dengan seorang janda beranak dua iaitu Norliza Ayat, 46. 
Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak mencipta lagu-lagu hit seperti  Di Hari Persandingan Mu dan  Di Pantai Cinta Berahi  nyanyian Yunizar Hosein.

Lagu Janji Manismu nyanyian Aishah dan ditulis oleh beliau pernah memenangi Anugerah Juara Lagu ke-5 pada tahun 1990 manakala lagu Teratai Layu Di Tasik Madu nyanyian Fauziah Latiff turut merebut gelaran yang sama pada 1993 (AJL ke 8).


Jenazah sebelum itu dibawa pulang ke rumahnya di Taman Chempaka, Ampang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai di sini. Al- Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh-Nya.

09 Mei 2014

A.SAMAD SAID MAHU MATI DI MASJID…….




 

  
Masih istiqomah berkarya demi anak bangsa dan agama... lagenda hidupMalah beliau sering berpuasa selang sehari kerana mengikut amalan Nabi Daud dan mengamalkannya sejak beberapa tahun yang lalu.“Kebanyakan daripada hidup saya, saya telah berpuasa tetapi sebelum ini saya hanya berpuasa tiga hari sebulan. Kini dengan usia yang semakin tua , saya lebih hampir dengan kubur dan lebih hampir dengan kehidupan akan datang. Saya perlu lebih suci,” Dia sering berada di Masjid Negara pada setiap hari Selasa dan Khamis. Pada hari Jumaat dia biasanya berada di masjid KLCC. Banyak masa dihabiskan untuk solat dan membaca al-Quran.“Saya mahu berada di masjid apabila saya mati ,”Allahuakbar...


Masih istiqamah berkarya demi anak bangsa dan agama... legenda hidup yang penuh warna dan rona.

Malah beliau sering berpuasa selang sehari kerana mengikut amalan Nabi Daud dan mengamalkannya sejak beberapa tahun yang lalu.


“Kebanyakan daripada hidup saya, saya telah berpuasa tetapi sebelum ini saya hanya berpuasa tiga hari sebulan. Kini dengan usia yang semakin tua , saya lebih hampir dengan kubur dan lebih hampir dengan kehidupan akan datang. Saya perlu lebih suci,”
Dia sering berada di Masjid Negara pada setiap hari Selasa dan Khamis. Pada hari Jumaat dia biasanya berada di masjid KLCC. Banyak masa dihabiskan untuk solat dan membaca al-Quran.
“Saya mahu berada di masjid apabila saya mati ,”
Allahuakbar...Hanya Allah Yang Maha Mengetahui……..