Salam Perjuangan

21 Ogos 2013

SEPETANG DI ITBM

TB bersama SN Baha Zain dalam kesamaran

TB dan SN Baha Zain bertemu di majlis ITBM

HAMPIR 10 tahun TB tidak menghadiri majlis-majlis keraian yang melibatkan kegiatan-kegiatan kesasteraan baik di peringkat kebangsaan mahupun tempatan.Banyak faktor yang menyebabkan TB sedaya upaya mengelaknya; paling kurangn pun faktor kesihatan adalah penyebab utamanya.

Namun pada Selasa 19 0gos 2013 TB teruja untuk menghadiri majlis sambutan Aidilfitri anjuran lnstitut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM),Kementerian Pendidikan Malaysia yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. lnilah julung-julung kali TB menjejakkan kaki di ITBM. TB gembira walaupun seketika dapat bersua muka dan bersalaman teman-teman penulis yang begitu lama tidak bersua.

Sungguhpun hadirin yang datang daripada pelbagai kelompok latar namun jelas kelihatan  kehadiran penulis dari dua,tiga generasi banyak memaparkan senario perkembangan dunia penulisan tanah air.Penulis-penulis veteran yang kelihatan ialah SN Muhammad Haji Salleh, SN Kemala, SN Baha Zain,Rejab F.I, AGI, Khalid Salleh, Zurinah Hassan , Siti Zainon lsmail dan Pyan Habib. Sementara penulis-penulis yang terus aktif melakar peta penulisan tanah air terkini antaranya yang TB ternampak ialah  lbrahim Ghafar, Aminhad, S.M.Zakir, Shamsuddin Othman,Amiruddin Ali, Talib Samat dan lain-lain lagi.(TB)

Tidak kurang 10 tahun atau mungkin lebih TB 'berkurung' dek masalah kesihatan dan suatu waktu dahulu menumpukan studi ijazah lanjutan serta pembabitan dalam NGO maka mujur TB masih ada orang yang mengenali. Apapun perubahan fizikal tetap ada dan itu adalah fitrah. Sesungguhnya kunjungan TB ke ITBM bukanlah sesuatu yang menganehkan tetapi adalah suatu semangat baru untuk TB terus menulis; yang mana pada kali ini mahu menulis dalam penerbitan buku, bukan sahaja dalam penulisan persuratkhabaran yang pernah TB aktif berpuluh-puluh tahun yang lalu.Alhamdulillah.

19 Ogos 2013

PTPTN

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Menerusi pendekatan ini peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya, kata Idris.

Beliau ditemui pemberita pada majlis mesra bersama pelanggan dan sambutan Aidilfitri PTPTN, di Kuala Lumpur hari ini.

"Institusi kewangan atau bank akan menilai dan menganalisis setiap pinjaman, baki pinjaman, rekod bayaran balik serta bilangan bulan tertunggak yang terlibat. Ini akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman," katanya.

Idris berkata pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.  

Pada masa yang sama, beliau berkata PTPTN merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenarai dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau Arahan Tetap bank.

"Selain itu peminjam juga mempunyai pilihan dengan membuat penjadualan atau penstrukturan semula pinjaman mereka yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh PTPTN," katanya.

Sehingga 30 Jun lepas PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2.2 juta pelajar dengan amaun keseluruhan berjumlah RM49.9 bilion.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata Kementerian Pendidikan sedang berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir agar penangguhan peperiksaan membabitkan pelajar Malaysia dilanjutkan untuk satu tempoh yang lama.

Ini kerana katanya krisis di Mesir dilihat akan mengambil masa untuk pulih.(sumber: MK, 19/08/13)

18 Ogos 2013

KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGARA 2013

Empat sahabat sekuliah (classmate) yang tidak bertemu hampir 30 tahun.

Banyak cerita yang mahu dikongsikan.

Empat sahabat sekuliah daripada pelbagai lapisan usia.

TB bersama Datuk Dr Mohd Shahrum, Mohamad Sulaiman dan Haji Rahman Awal

PADA hari Ahad 18 Ogos 2013, bertempat di kediaman Laman Dahlia Taman Nilai lmpian, Nilai, Negeri Sembilan suatu majlis keraian telah diadakan di rumah Y.Bhg.Datuk Dr Mohd.Shahrum Osman (mantan Ahli Parlimen Lipis merangkap mantan Pengerusi PTPTN). Kebetulan kami empat sahabat yang pernah sekelas dan sekuliah pada zaman awal 1980-an di peringkat ijazah pertama di UPM, Serdang bertemu dan saling bertanya khabar. Susuk badan dan rupa paras kami amat jauh berubah. maklumlah telah bertambah usia dan pengalaman dalam kehidupan.


Sunggupun pun rakan sekelas tapi ada di antara kami berbeza usia lantaran ketika itu ada yang masuk belajar ke universiti agak lewat tetapi gurau senda kami bagaikan kami semua sama usia. Haji Abdul Rahman telah bersara 18 tahun lalu di JPN Melaka (usianya kini 70 tahun! Masih sihat walafiat dan kelakar suka mengusik kawan-kawan seperti dahulu) manakala Mohamad Sulaiman masih bertugas sebagai pensyarah di IPGM Raja Melewar,Seremban,NS. Khabarnya beliau akan bersara usia 60 tahun tahun hadapan.Alangkah seronoknya jikalau semua rakan sekuliah kami 114 wajah yang lalu dapat bertemu!


Namun mustahil....kerana ada di antara kami telah terlebih dahulu menghadap llahi. Alfatihah. Semoga Datuk Shahrum yang kini adalah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara akan mengambil inisiatif dapat menghimpunkan rakan-rakan lama seperti dalam jambori yang meriah dan indah seperti masa-masa lalu. Semoga TB dan Datuk Shahrum yang akan menunaikan fardu haji pada tahun ini akan memperoleh haji yang mabrur,umrah yang makbul! Amin. (TB).

17 Ogos 2013

SAYA DAN POLIGAMI

Saya & Poligami (Mesti Baca Hingga Habis Sebelum Komen)

 

Ummu Habibah r.a (salah seorang isteri nabi s.a.w) pernah berdoa meminta dikurniakan suatu nikmat dunia hasil dari perkahwinannya dengan Rasulullah s.a.w. Namun nabi menasihatinya dengan kata baginda

قَدْ سَأَلْت اللَّه عَزَّ وَجَلَّ لِآجَالٍ مَضْرُوبَة , وَأَيَّام مَعْدُودَة , وَأَرْزَاق مَقْسُومَة , وَلَنْ يُعَجِّل شَيْئًا قَبْل حِلّه , أَوْ يُؤَخِّر 
شَيْئًا عَنْ حِلّه , وَلَوْ كُنْت سَأَلْت اللَّه أَنْ يُعِيذك مِنْ عَذَاب فِي النَّار , أَوْ عَذَاب فِي الْقَبْر كَانَ خَيْرًا وَأَفْضَل
Ertinya: Engkau telah meminta dari Allah tentang ajal maut yang telah ditentukan, hari-hari kita yang telah dihitungkan, rezeki-rezeki yang telah Allah bahagikan, dan pasti tiada diawalkan sesuatu dari masanya, atau dilewatkan dari masanya.....(Sahih Muslim)

Justeru,
1. Perkahwinan adalah dalam rezeki dan ketentuan Allah yang pasti sampai bila tiba masanya.

2. Rezeki isteri sedia ada dan yang baru menjadi isteri juga adalah ketetapan Allah swt. Tiadalah patut poligami dianggap penyebab hak dan rezeki isteri sedia ada dirampas. Menurut hadis sohih, masing-masing tidak boleh merampas hak dan rezeki khususnya apabila ia dilaksanakan mengikut neraca, prosedur dan tatacara hukum Shariah.

3. Perkahwinan ini hanya berkait dengan tiga keluarga terdekat bagi mereka (suami, isteri sedia ada dan yang baru). Justeru, jika kalian tidak termasuk dalamnya, seeloknya doakan sahaja pasangan ini atau kamu mengulas sesuatu yang di luar urusanmu yang menjadi sebab menjadi muslim yang buruk akhlak (berdasarkan kepada hadis من حسن إسلام المرء تركه ما لا يعنيه)

4. Tiada perlu membuat dosa umpatan, sangka buruk, spekulasi sebab atau bertanya cara kenal, umur, latar belakang pasangan, sebab, jumlah mas kahwin atau apa jua. Kerana ia bukanlah urusan yang mampu kalian ketahui dengan perincian yang tepat lagi sohih. Rumahtangga orang lain yang terbina jangan pula menjadi sebab susahnya fikiran kalian atau lebih bahaya, penambah dosa. 

5. Maka apa jua sebab dan alasan, jika kalian membencinya, kalian turut membenci ketetapan Allah ke atas seorang hamba Allah yang berkahwin secara halal lagi menurut tatatertibnya. 

6. Jika kalian ingin tahu, prosedur ringkas poligami yang SAYA turuti adalah:

a. Istikharah dan doa istikharah di Mekah dan Madinah serta tanahair beberapa bulan. Keputusan saya khususnya bukan hanya dari logik dan aqal tetapi ilham dan kemudahan dari Ilahi.

b. Sentiasa Istisharah (berbincang) dengan isteri sedia ada dan menyakinkan beliau akan manfaat dunia akhirat dari perkahwinan kedua yang dirancang buat kesemua kami yang terlibat. 

c. Meminang bakal isteri kedua dengan kehadiran isteri sedia ada yang bersama-sama menjelas dan menerangkan hatta bebas mencadangkan tarikh pernikahan.

d. Mendapat restu dan redha bakal mertua dan keluarganya.
e. Memaklumkan kepada mertua sekarang dengan jelas serta terang lalu mendapat restu dan redha mereka.

f. Memaklumkan dan menjelaskan kepada anak-anak (2 dalam usia remaja dan 2 dalam usia kanak-kanak) akan tujuan berkahwin buat kali kedua sebagai langkah awal untuk memahamkan mereka tentang poligami yang baik menurut syarak.

g. Memulakan proses undang-undang, iaitu perlu memohon izin dari Mahkamah Syariah (di negeri masing-masing). Hakim akan meneliti semua sebab musabbab serta kedudukan kewangan pemohon. Permohonan saya telah DILULUSKAN Mahkamah Tinggi Shariah Selangor. Nasihat saya, jadikan bernikah di Thailand sebagai pilihan terakhir setelah semua proses tanahair disekat secara salah atau tidak adil atau terlalu menyusahkan.

h. Menetapkan perincian nafqah, giliran dan pembahagian harta sepencarian bagi isteri sedia ada. Juga bagi anak-anak sedia ada. Ini penting agar kedudukan dan jasa isteri sedia ada terjaga serta keadilan material dan fizikal terjaga. Pembahagian ini TELAH diluluskan oleh mahkamah.

i. Bersabar dan menangani cemburu yang fitrah bagi wanita secara hikmah, sabar serta rasional. Ini perlu ilmu, tanpa ilmu kita tewas.

j. Bersikap kasih sayang, lembut serta konsisten dalam komunsikasi 

k. Kemudian, bernikahlah secara terbuka dengan walimah serta jemputan. 

l. Peka terhadap perasaan isteri-isteri serta meraikannya dan tambahkan kerohanianmu dan solatmu justeru bertambahlah sabarmu.

‘Say No’ kepada poligami rahsia dan dibuat secara sembrono. Bersabar hadapi cacian mereka yang cemburu di luar sana, kerana mereka hanya menambah pahalamu dan menempah tiket ke azab Allah. Bersabar juga dengan pujian yang merupakan ‘pembunuh senyap’ keikhlasan niatmu.

Kalau sebelum ini kita kagumi Rasulullah dan sifat sabarnya, bila berpoligami, pastilah bertambah fahamnya kita akan MAHA AGUNGNYA SIFAT SABAR baginda Nabi dan isteri-isterinya.

Baginda cemerlang di dalam rumah dan luar rumah. Fizikal dan spiritual.

Bantulah kami dengan mendoakan kami, itu jutaan kali lebih baik dari berspekulasi dan bersangka-sangka serta ‘terlebih mengambil berat’ dengan bertanya itu dan ini kepada isteri-isteriku yang dicintai.

Tiadalah bertambah mulia atau cela dengan poligami dan monogami. Pokoknya adalah bagaimana kamu menjalankannya.

Berhentilah dari hasrat ingin menghubungi isteri-isteri saya bagi menyampaikan rasa TIDAK PUAS HATI kalian atau cuba menyampaikan sangsi, 'racun amarah masing-masing' dan keraguan kalian. Tiada faedahnya dan perhatikanlah diri dan keluargamu, saya pula pasti bertanggungjawab atas keluarga saya. Insha Allah.

Bagi yang bujang, tidak perlu resah..tidak habis wanita solehah di luar sana..rezekimu akan sampai pada waktunya asalkan kamu bersedia dan soleh juga.

PADAMLAH gambar-gambar yang DISEBARKAN dan disensasikan TANPA izin kami. Inilah gambar yang kami rasakan sesuai dikongsi bersama masyarakat awam. Semoga catatan ringkas ini mampu menarik keberkatan buat kami dan kalian.

Akhir sekali, TIADA PERLU cemburu, dengki atau hasad dengan kami kerana BAHAGIA kalian BUKAN terletak pada URUSAN kami ATAU kucar kacirnya kami tetapi pada hati dan diri kalian sendiri. Janganlah mencari bahagia dengan PERKARA DOSA.(sumber: HD, 16/08/13)


TB: Alhamdulillah, rezeki,jodoh,kelahiran dan maut adalah KETENTUAN Allah Azawajalla. Namun perkahwinan adalah kehidupan sepanjang hayat (jikalau ijab kabul berpanjangan). Lima,sepuluh,dua puluh atau tiga puluh tahun akan datang kita tidak tahu apapun berlaku ke atas perkahwinan yang baru setahun jagung atau belum teruji. Apatah lagi jika pasangan itu telah pun beranak-pinak dan telah dimakan usia. Semoga ustaz yang dinyatakan di atas 'tidak mudah jemu' memegang 'title' berpoligami yang diamalkan tatkala usianya masih muda.Cabaran tidak kunjung padam. Kesabaran tiada penghujungnya adalah aset yang paling berharga.Apapun demi menjauhi maksiat maka tindakan amal makruf nahi mungkar tetap wajar kita sokong. Wallahualam.


11 Ogos 2013

SALAM AIDILFITRI 2013- 7 0gos 2013

TB ucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca budiman blog ini terutama juga rakan-rakan TB yang berada di seluruh Malaysia, lndonesia, Singapura, Brunei dan Thailand. Tidak ketinggalan rakan-rakan yang sedang melanjutkan pelajaran di UK, Australia dan USA. Kepada anda semua semoga Aidilfitri tahun ini disambut dengan penuh kesyukuran dan keredaan agar kita semua memperoleh barakah dan taufik daripada Yang Maha Esa.

TB mengambil kesempatan menyusun jari sepuluh memohon kemaafan mana-mana ada kata yang terlanjur bicara sepanjang waktu dan mohon dihalalkan mana-mana makan minum. Harapan TB agar kita dapat bersua  muka dan dipanjangkan usia dalam sihat walafiat dan dapat beribadat kepada Yang Maha Pengasih dengan penuh ketakwaan.

Salam Aidilfitri!

03 Ogos 2013

NAMEWEE VERY STUPID?

MENTERI  Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mohamed Nazri Aziz membidas penyanyi rap, Wee Meng Chee atau Namewee kerana memaki-hamun pelbagai pihak berhubung penangguhan filem The New Village dalam video yang dimuat naik ke laman YouTube Khamis lalu.

Dengan nada tegas, beliau mengingatkan Namewee bahawa dia tinggal di sebuah negara berbilang kaum yang penuh dengan sensitiviti yang perlu dihormati.

"Saya pun hendak hentam dia habis-habisan. Dia budak yang tidak tahu sejarah, budak yang bodoh, berhingus dan tidak faham tentang sejarah negara kita. Hidup dalam sebuah negara berbilang kaum, kita harus mengambil kira sensitiviti dalam negara.

"Dia kena ingat, polis dan angkatan tentera telah membela negara kita. Jangan esok kalau apa-apa berlaku kepada dia, polis tidak mahu ambil tindakan, dia marah pula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Rengas di sini hari ini.
Namewee dalam video terbarunya berjudul 017 Double Standard dan berdurasi selama lima minit 23 saat, mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung tayangan filem The New Village untuk dinilai oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Mohamed Nazri juga berkata, beliau tidak akan mempertahankan Namewee lagi selepas ini sekiranya lelaki tersebut sudah melampau.

"Kita manusia, mesti tahu menghormati pandangan dan sensitiviti orang. Apa untung kamu buat macam itu, nanti penumbuk naik ke muka cari polis juga," ujarnya.(sumber: UM,03/08/13)


29 Julai 2013

Puisi : HASMAHEERA SYAFIQA

Hati ayah tatkala sepi bertahun-tahun
akhirnya puteri ayu ini mewarnakan alam
setiap saat adalah gelak wajah cerianya
menjangkau ke dunia tanpa sengketa\
antara kasih sayang, semadi dan abadi
hasrat yang kita impikan bersama
esak tangis yang telah kita padamkan
erang duka pada malam hari lalu
ratib yang telah mengirimkan khabar
anakku menjengok dengan senyum soleha

Syukur pun terucap pada-Nya
ya Rabbi yang mengurniakan rahmat-Mu
akan kami bina mahligai ilmu
fikir filusuf dibina dalam tamadun zaman
indah pesona takwa duniawi ukhrawi
quran hadis pedoman jalan hidup kami
anakku hasmaheera syafiqa, pesan ayah umi.


Bukit Mahkota,Bangi.
2013.

PERANG JEMENTAH 1879

'PERANG JEMENTAH' merupaKan satu lagi peristiwa atau tragedi terpenting pernah berlaku di bumi Jementah dalam daerah Segamat Johor (kini). Daripada sumber-sumber diperolehi jelas menunjukan bahawa Perang Jementah yang berlaku dalam tahun 1879. Tragedi berdarah tersebut menjadi yang begitu penting kerana:


Perang adalah perang saudara pertama berlaku di negeri Johor.
Perang ini telah melibatkan puluhan pahlawan dan pendekar yang handal.
Tamatnya perang ini merupakan satu daripada faktor pembukaan Muar (Bandar Maharani).
Perang ini membawa beberapa kesan penting dalam sejarah Johor khususnya mulai tahun 1880 iaitu setahun selepas tamatnya perang, 'Kesang' menjadi jajahan Johor hingga ke hari ini.


Melalui perang ini, Mohammed Salleh bin Perang yang memegang jawatan Dato' Bentara Luar, salah seorang daripada elit lohor moden telah memperlihatkan kecekapannya dalam mengepalai angkatan perang.
Meletus perang Jementah pada 25 Oktober 1879 adalah disebabkan oleh 'Sekeping Kertas' yang merupakan wasiat Yang Maha Mulia Sultan Iskandar Ali, Yang Dipertuan Negeri Kesang. Beberapa jam sebelum mangkat, Sultan Ali telah mewasiatkan penggantinya iaitu Yang Maha Mulia Tengku Mahmood yang berumur 11 tahun, putera Almarhum Sultan dan isteri ketiganya iaitu orang kebanyakan.

Perlantikan melalui wasiat ini telah ditentang oleh Tengku Alam, putera sulong baginda dari isteri tuanya. Tengu Alam yang tidak berpengaruh itu telah membantah tindakan Kolonel Archibald AAnson, Pemangku Gabenor yang meletakkan jajahan Kesang di bawah pentadbiran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar buat sementara waktu.

Tindakan awal yang dilakukan oleh Tengku Alam ialah menyuruh dua orang saudara sepupunya Tengku Nong dan Tengku Mat menghasut penduduk-penduduk sekitar kawasan Kesang supaya menyebelahi pihaknya. Tengku Mat dan Tengku Nong termakan dengan janji-janji manis Tengku Alam telah berjaya mempengaruhi segelintir orang-orang tempatan dan beberapa orang Panglima Melayu yang handal.

Di antara Panglima-panglima yang handal itu ialah:

Panglima Besar Layot.
Panglima Besar Salim.
Panglima Besar Kadir.
Panglima Besar Tok Siban.
Panlima Besar Sancu.
Raja Berambut Panjang.
Wan Daud.
Wan Abas.
Atas persetujuan Tengku Alam Panglima Besar Sancu dilantik menjadi 'Kepala Perang'. Kononnya kesemua pahlawan Melayu tersebut mempunyai ilmu Kebal.

Perang Jementah bermula apabila angkatan Tengku Nong menyerang Kesang, Pertempuran awal dipercayai berlaku di Relau dan Air Kertau. Di kedua-dua tempat itu angkatan Tengku Nong tidak mendapat tentangan hebat justeru itu timbullah rasa bongkak dan angkuh di kalangan pengikut-pengikut Tengku Nong.

Pada 25 Oktober 1879 angkatan Tengku Nong disertai oleh Panglima Besar Sancu telah menyerang Jementah dalam jajahan Muar Kiri. Pada masa itu Jementah merupakan sebuah kampung yang penuh dengan dusun buah-buahan dan sawah padi. Dalam pertempuran di Jementah inilah Panglima Besar Sancu telah bertindak liar. Selain merampas harta benda penduduk-penduduk di situ, mereka juga membakar beberapa buah rumah. Mujurlah Penghulu Jementah sempat melarikan diri dan terus membuat aduan kepada pihak pemerintah di Johor.

Kemenangan dalam pertempuran di Jementah itu telah mendorong Tengku Nong mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Muda sementara Wan Daud diisytiharkan sebagai Temnggong Paduka Tuan. Kesannya, pemerintah Johor lantas mengirimkan sebuah angkatan perang diketuai oleh Ungku Ahmad iaitu saudara sepupu kepada Duli Yang Maha Mulia Baginda Maharaja Johor ke Jementah.

Kepintaran Ungku Ahmad dalam tipu muslihat perang telah menyebabkan beberapa buah kubu musuh dalam kawasan Lubuk Bandan ditawan. Tengku Nong dan Panglima Sancu beserta pengikut-pengikut mereka berundur ke hulu sungai Jementah berhampiran dengan kaki Gunung Ledang. Di satu tempat bernama Kampung Lela mereka telah mendirikan sebuah kubu berbentengkan tanah. Sementara itu, pada 2 Disember 1879 Dato' Bentara Luar iaitu Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah dihantar oleh kerajaan Johor untuk membantu Ungku Ahmad dan Encik Esa yang sedang bertahan di sebuah kubu dalam jajahan Jementah.

Dato' Mohammed Salleh bin Perang telah membawa sebanyak 400 laras senapang jenis Senader dan meriam bersama. Memandangkan pertahanan musuh masih kuat, Tengku Ahmad dan Dato' Bentara Luar telah membuat satu strategi untuk menyerang kubu-kubu musuh. Empat buah pasukan telah dibentuk dan setiap pasukan mengandungi 100 orang.

Panglima Besar Esa memimpin pasukan pertama. 
Panglima Kiri Awang memimpin pasukan kedua. 
Panglima Besar Yusuf memimpin pasukan ketiga.
Panglima Dalam Lamit memimpin pasukan keempat.

Kira-kira dua belas hari selepas pembentukan pasukan perang itu, angkatan perang Dato' Bentara Luar pun sampai di satu tempat bernama Dusun Dedap. Di Dusun Dedap dan di kawasan sekitarnya beberapa kubu dan benteng telah dibina. Yang anehnya kubu-kubu dari kedua-dua pihak yang terlibat dalam peperangan itu terletak berhampiran antara satu sama lain.

Menurut Haji Hassan bin Putih, sekurang-kurangnya lima buah kubu telah dibina oleh pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar dan pihak Tengku Nong di kawasan sekitar Dusun Dedap. Tiap-tiap kubu itu mempunyai namanya sendiri. Di antara kubu-kubu yang penting ialah Kubu Dedap, Kubu Lubuk Bandan, Kubu Sungai Siput, Kubu Macang Padang dan Kubu Raja Lela. Kononnya di salah sebuah kubu kepunyaan Tengku Nong sebuah meriam bernama 'Gegak Gempita' telah diletakkan di atas sebatang dahan pokok Dedap.

Haji Hassan bercerita lagi, bahawa satu peristiwa ganjil telah berlaku sebelum Kubu Dedap yang termasyhur itu dibina. Manaf Khatib, orang yang ditugaskan membersihkan kawasan sekeliling dusun dedap itu telah jatuh pengsan sebaik saja beliau memulakan kerja menebang anak-anak pokok hutan. Pada waktu itu hujan panas turun berderai. Hanya setelah campur tangan seorang Pawang barulah kerja membersihkan kawasan disitu dapat diteruskan.

Haji Yahya bin Kubu pula mengaku bahawa datuknya Pawang Abib turut terlibat dalam pembinaan Kubu Dedap itu. Kononnya semasa Kubu itu dibina beberapa peristiwa ganjil telah berlaku antaranya dengan semena-mena hujan panas turun berderai diikuti dengan tiupan angin kencang. Pada sebelah malamnya pula bunyi burung-burung hutan dan binatang-binatang liar bertalu-talu hingga ke waktu subuh. Kubu Dedap tempat pertahanan orang-orang Dato' Bentara luasnya 40 kaki dan bentengnya dibuat daripada tanah setinggi dua belas kaki.

Semasa membina Kubu Dedap itulah, orang-orang Tengku Nong dan Panglima Sancu telah membuat serangan secara mengejut ke atas pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar. Tektik pukul curi itu telah menyebabkan tiga orang pengikut Dato' Bentara Luar terkorban sementara enam orang mendapat cedera.

Pada pertengahan bulan Disember 1879 pengikut-pengikut Dato' Bentara Luar berjaya menawan sebuah kubu musuh di Padang Juling. Mengikut catatan Encik Daud bin Sulaiman, seorang ahli sejarah di Batu Pahat, Johor bahawa semasa bertahan di kubu Padang Juling Dato' Bentara Luar telah menyusun satu rancangan yang rapi dan lengkap bertujuan untuk menamatkan Perang Jementah dengan segera. Beliau telah memerintahkan seratus orang menebang pokok buluh dan setiap orang dikehendaki mengikat buluh-buluh itu menjadi seberkas.

Pada keesokan harinya, tiga ratus orang Dato' Bentara Luar 'berpura-pura' menyerang kubu Tengku Nong dan Panglima Sancu. Dan semasa serangan olok-olok itu dibuat, Dato' Bentara Luar menyuruh enam puluh orang pengikutnya membuat satu jalan pintas menuju ke arah kubu musuh.

Empat buah meriam dipasang dengan arah muncungnya dihalakan ke arah kubu musuh. Panglima Besar Yusuf dan Panglima Kiri Awang merangkak perlahan-perlahan mengambil tempat berhampiran pagar kubu musuh. Panglima Lamit bersama orang-orangnya mengangkut berkas-berkas buluh itu sementara Dato' Bentara Luar dan Panglima Esa disertai oleh lima orang pengikutnya membuat benteng.

Kebetulan pada malam itu hujan turun dengan lebatnya. Ini memudahkan lagi kerja Dato' Bentara Luar. Menjelang pagi Dato' Bentara Luar mengarahkan semua meriam dan senapang ditembak secara serentak. Serangan mengejut waktu subuh itu menyebabkan orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu dalam kubu menjadi kelam kabut. Kebanyakan mereka sedang tidur nyenyak ketika itu.

Pihak musuh yang mulai panik lantas memukul gendang dengan tujuan menaikan semangat mereka. Mereka sempat juga membalas tembakan dengan secara membuta-tuli. Ekoran daripada serangan pada waktu subuh itulah akhirnya membawa kepada tamatnya Perang Jementah pada 30 Disember l879.

Perang saudara itu berlaku dengan kemenangan di pihak Dato' Bentara Luar. Tengku Nong dapat ditawan dekat Gunung Ledang kira-kira sehari perjalanan dari Cohong. Wan Daud pula diberkas setengah jam selepas Tengku Nong ditangkap. Turut diberkas pada hari itu ialah ketua-ketua pemberontakan iaitu Tengku Mat, Panglima Besar Sancu, Panglima Besar Layot dan Raja Berambut Panjang.

Panglima Sarip, seorang lagi panglima yang handal ditugaskan untuk mengawal keselamatan Tengku Mat semasa diberkas cuba melawan tetapi telah ditembak oleh Panglima Perang Awang. Manakala saki baki musuh terus diburu.

Pak Yusuf bin Kamit atau dikenali dengan panggilan Pak Osop berasal dari Muar dan sudah menetap lebih 40 tahun di Segamat mendakwa bahawa pembukaan beberapa penempatan dan kampung di Segamat ada kaitan dengan tamatnya Perang Jementah.

Menurut Pak Osop menjelang tamatnya Perang Jementah, ramai pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu telah melarikan diri. Mereka seolah-olah sudah terasa kemenangan akan berada di pihak Dato' bentara Luar dan Ungku Ahmad. Malah ramai daripada pengikut Tengku Nong dan Panglima Sancu mulai insaf. Mereka sedar perjuangan mereka adalah sia-sia belaka. Menentang Dato' Bentara Luar dan Ungku Ahmad samalah seperti menentang Duli Yang Maha Mulia Maharaja Abu Bakar.

Justeru itu ramai daripada mereka tanpa mematuhi arahan ketua-ketua mereka lantas melarikan diri ke Segamat menaiki perahu menghilir Sungai Legeh dan Sungai Muar dan terus ke Segamat. Dipercayai mereka merupakan pendatang-pendatang awal yang membuka beberapa buah kampung di daerah Segamat.

Di Segamat tempat yang didatangi oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu itu dipercayai kebanyakannya berhampiran dengan sungai. Mengikut kajian sekurang-kurangnya sepuluh buah kampung atau kawasan telah dibuka oleh orang-orang Tengku Nong dan Panglima Besar Sancu. Kampung-kampung tersebut ialah:

Kampung Pogoh.
Kampung Alai.
Kampung Lubuk Batu.
Kampung Paya Dalam.
Kampung Hulu Gemereh.
Kampung Batu Badak.
Kawasan berhampiran Danau Lanjut.
Kawasan berhampiran Danau Kongkong.
Kawasan berhampiran Tebing Tinggi.
Kampung Tenang.


Mengikut Pak Osop lagi, di Kampung Paya Dalam, empat kilometer dari Bandar Segamat, dua buah kubur yang masih dapat dilihat hingga sekarang dipercayai adalah kubur-kubur pengikut-pengikut Panglima Besar Sancu yang melarikan diri itu dan kemungkinan mati di Kampung Paya Dalam. Di Kampung Paya Dalam juga terdapat kesan peninggalan Perang Jementah seperti kubu-kubu dan benteng-benteng.

26 Julai 2013

SEJARAH TEMENGGONG MUAR



HASRAT seorang pengkaji sejarah dari Jepun, menjejakkan kakinya ke daerah ini, akhirnya tercapai apabila beliau dibawa meninjau kesan sejarah pemerintahan Temenggong Muar, di Kampung Pengkalan Kota, Durian Condong, di sini, baru-baru ini.

Profesor Mika Okushima, 39, dari Kanda University of International Studies, Jepun, itu juga dibawa melawat kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar di Kampung Lubuk Batu, Segamat.

Beliau diiringi Pengerusi Persatuan Waris Temenggong Muar (Pewaris), Raja Abdul Rahman Raja Basok, dalam usaha membantu beliau menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar untuk dijadikan bahan rujukkan di universiti berkenaan.
Okushima, 39, berkata beliau dengan kerjasama Kementerian Pendidikan di negaranya sedang berusaha menerbitkan buku sejarah mengenai pemerintahan Temenggong Muar yang dikatakan berkaitan dengan pemerintahan Kesultanan Johor Lama.

Beliau mendakwa, dia sudah menjalankan kajian mengenai pemerintahan Kesultanan Johor Lama sejak 10 tahun lalu termasuk mengadakan lawatan di beberapa daerah di Kalimantan, Indonesia, Sabah dan Sarawak.

"Lawatan kami ke daerah ini dan Segamat dapat melengkapkan lagi hasil kajian yang dilakukan sebelum ini, sekali gus membolehkan buku yang bakal diterbitkan itu mengandungi bahan sejarah tempatan yang lengkap.
"Saya gembira dan bersyukur kerana berpeluang melihat sendiri enam keturunan makam Temenggong Muar, di Segamat dan satu lagi di daerah ini iaitu, di Kampung Pengkalan Kota,” katanya yang fasih berbahasa Melayu/Indonesia ketika ditemui di kampung berkenaan.

Hadir sama ialah Ketua Kampung Pengkalan Kota, Anuar Hamzah dan Tengku Khairul Azuan Tengku Saedin, 26, iaitu salah seorang waris keturunan Almarhum Sultan Hussin Shah, Sultan Johor ke-16 yang kini menetap di Bukit Siput, Segamat.

Awal Januari lalu, Okushima menghantar beberapa e-mel dalam bahasa Melayu kepada Pewaris dengan menyatakan hasrat untuk datang ke Muar bagi meninjau kesan peninggalan sejarah pembesar Muar itu.

Antara isi kandungan e-melnya, beliau menyatakan beliau dari Jepun dan seorang pengkaji antropologi serta pernah menyelidik sejarah daerah Sabah dan Kalimantan, Indonesia.
Beliau mendapatkan maklumat mengenai sejarah pemerintahan Temenggong Muar melalui laman lama web Pewaris.com selepas beberapa laporan mengenai disiarkan di akhbar ini, baru-baru ini.

Hasil kajiannya selepas bertemu dengan penduduk tertua di wilayah Kalimantan, Sabah dan Sarawak, beliau berjaya mengumpul sejarah lisan mengenai Kesultanan Bulungan, di sempadan Sabah-Indonesia.

Katanya, kajian itu mendapati seorang putra Sultan Johor dikatakan berkahwin dengan saudara perempuan Sultan Bulungan, Kaharudin 1 dan meninggal dunia pada 1850, di mana keturunannya menjadi bangsawan Muar.

Abdul Rahman berkata, di Segamat, Okushima diberi penerangan mengenai kesan peninggalan sejarah Temenggong Muar oleh mantan Penghulu Mukim Sungai Segamat, Ahmad Sulaiman, 59, bersama Tengku Khairul Azuan.

Katanya, Okushima dibawa melawat makam Temenggong Muar serta kerabat di Kampung Lubok Batu.

Beliau berkata, Okushima juga diberi penerangan mengenai sejarah pembukaan Segamat oleh Bendahara Tepok atau Bendahara Lubok Batu iaitu keturunan Bendahara Kesultanan Melayu Melaka terakhir pada 1511.

Anuar pula berkata, mengikut Sejarah Melayu, Bukit Kepong dan Lenga, hulu Sungai Muar, asalnya dikenali sebagai Teluk Dalam, kerana di situ terdapat sebuah telok yang dalamnya 14 meter.

Beliau berkata, di tepi tebing teluk yang tinggi di Teluk Dalam itu dikatakan tempat membina istana pemerintah Muar yang berpusat di hulu Sungai Muar.

Menurut Tengku Khairul, sejarah pemerintahan Temenggong Muar berkait rapat dengan pemerintahan Sultan Hussin Shah dan Sultan Ali yang bermula pada 1707.


Beliau berkata, pemerintahan Temenggong Muar bermula pada 1707 dan berakhir pada tahun 1935.

Sumber : oleh  Jamaludin Husin, Berita Harian  20/Mac/2009.

24 Julai 2013

PENGHULU LATIS MUAR

KEBETULAN tarikh hari ini  24 Julai maka bukan tujuan TB mahu mengagung-agungkan apatah lagi bersikap riak mahu mengwar-warkan keturunan TB. Secara kebetulan cuma berdasarkan buku 'Sejarah Johor' (DBP) tulisan Buyong Adil bahawa pada tarikh 24 Julai 1877 lalu TEMENGGUNG ISMAIL Muar yang menguasai daerah Muar, Johor telah menandatangani surat peristiharan menyokong ketuanan MAHARAJA JOHOR (Sultan Sir Abu Bakar) bersama penghulu-penghulu mukim dan jajahan dalam daerah Muar yang luas.

Muar dianggap bagaikan sebuah 'negeri' pada zaman itu.Antara penghulu besar yang menandatangai peristiharan itulah PENGHULU LATIS (moyang TB) yang menguasai/mengurus mukim/ jajahan TEMIANG yang termasuk kawasan Sungai Terap hingga ke Tanjung Selabu.Justeru sempena mengingati hari  ini, semoga kita sama-sama pada bulan Ramadan yang mulia ini bersedekah al-fatihah kepada roh-roh mereka dan didoakan agar  dicucuri rahmat oleh-Nya dan dihimpunkan ke dalam bersama-sama ahli-ahli syurga. Al-Fatihah.

TB: Rajiee bin Abdul Hadi bin Manja bin Sintal bin Latis (PENGHULU LATIS). Sekiranya ada para pembaca budiman yang tahu dan ada info mengenai Penghulu Latis dan sejarahnya serta salasilahnya sila beri maklumat kepada TB. Segala jasa baik tuan/puan diucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

22 Julai 2013

SUBJEK TITAS WAJAR DITERUSKAN

“SUBJEK TITA bukan bertujuan untuk mengembangkan agama Islam atau mengislamkan pelajar bukan Islam tetapi adalah untuk menggalakkan persefahaman antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini."
 
Demikian ucapan yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis berbuka puasa di Putrajaya baru-baru ini.
 
Pengenalan subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia atau TITA mengundang pelbagai reaksi di mana akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) mulai sesi pengajian September ini. Reaksi pelbagai pihak itu dapat diikuti dengan melayari blog tertentu di media sosial.
 
TITA mula diperkenalkan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak 2006. Subjek ini wajib diambil oleh semua pelajar Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak. Pada umumnya pelajar tidak menghadapi sebarang masalah untuk mempelajarinya malah terdapat pelajar bukan Islam mampu mendapat keputusan cemerlang.
 
Penawaran subjek ini boleh memberi kefahaman dan mendedahkan pelajar kepada pelbagai tamadun yang telah menyumbang kepada pembentukkan jati diri, sahsiah dan sistem nilai yang diamalkan pada masa kini.
 
Apakah sebenarnya matlamat dan isi kandungan TITA?
 
TITA bertujuan memperkenalkan ilmu ketamadunan yang mencakupi tamadun Islam, Melayu, Cina, Jepun dan India. Kandungannya meliputi perbincangan isu kontemporari serta dialog peradaban berkaitan dengan sejarah, budaya dan pembinaan negara bangsa.
 
Umumnya perbincangan tentang perkembangan tamadun-tamadun besar di dunia bukanlah suatu yang asing kerana iaadalah suatu tradisi ilmu yang dipelajari sejak sekian lama.
 
Sebagai contoh perdebatan isu tamadun pernah dikemukakan oleh penulis terkenal Samuel P Huntington tahun 1993 yang mengemukakan teori pertembungan peradaban atau ‘clash of civilizations.’
 
Berdasarkan penulisan itu perbincangan boleh dilakukan untuk menunjukkan bahawa sejarah tamadun di Asia bukanlah semata-mata hasil daripada pertembungan atau konflik tamadun. Sebaliknya perkembangan tamadun boleh terjadi melalui interaksi elemen pembangunan, pertukaran idea dan proses pinjam meminjam antara tamadun.
 
Sesungguhnya pengenalan kepada kursus ini berkaitan juga dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan tentang peri pentingnya disebarkan idea kedamaian dan kesejahteraan sejagat di kalangan negara-negara anggotanya. Sebagai tindakan susulan pertubuhan itu telah mengisytiharkan tahun 2001 sebagai ‘Tahun Dialog Antara Tamadun.’
 
Subjek TITA turut menekankan aspek nilai-nilai sepunya yang terkandung dalam pelbagai tamadun. Nilai ini perlu dihargai dan dikongsi bersama kerana ia berupaya menyelesaikan berbagai masalah dan memupuk semangat perpaduan khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk.
 
Selain itu kursus ini diharap dapat menimbulkan minat pelajar terhadap nilai-nilai tradisional dan menghayati sejarah zaman silam. Kajian terhadap pelbagai tamadun turut memberi perspektif baru kepada mereka untuk memahami dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
 
Adalah diakui tidak semua tamadun dunia dapat diajar dalam kursus TITA. Sebagai kursus pengajian bernilai sekadar dua unit adalah mustahil untuk memuatkan pengetahuan dan perbincangan tentang semua tamadun manusia. Pemilihan dilakukan secara bijaksana hanya tamadun tertentu dipilih untuk dijadikan bahan pembelajaran para pelajar.
 
Justeru isu perpaduan kaum menjadi agenda utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu, pengetahuan mendalam dan penghayatan terhadap perkembangan tamadun bangsa dan negara adalah selaras kepada usaha untuk mencapai agenda tersebut.
 
Apabila pengumuman pelaksanaan subjek ini di IPTS mulai September maka berbagai pandangan dan pendapat telah diluahkan yang dapat diikuti melalui laman-laman blog tertentu di media sosial.
Premis utama hujah mereka adalah mengapa tidak TITA dijadikan sebagai subjek elektif dan tidak dijadikan kursus wajib. Mereka menyatakan kebimbangan subjek baru ini merupakan usaha dakwah dan tarbiah yang berunsur keagamaan untuk mempengaruhi pelajar bukan Islam.
 
Tambah mereka, subjek ini tidak mempunyai hubungan signifikan terhadap bidang utama yang sedang dipelajari. Bagi mereka kursus ini tidak membantu kebolehupayaan pelajar untuk bersaing di pasaran pekerjaan nanti.
 
Ada juga di antara mereka mempersoalkan subjek ini seolah-olah tidak memberikan pembahagian yang adil di mana pemberatan hanya kepada tamadun Islam dan tidak kepada agama-agama lain.
Satu lagi isu yang dibangkitkan adalah penggunaan Bahasa Malaysia dalam pengajaran subjek ini. Dikatakan akan menimbulkan kesukaran kepada kebanyakan pelajar di IPTS kerana hampir keseluruhan pembelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris.
 
Namun demikian penggunaan bahasa ini bukan merupakan isu besar kerana mengikut Akta Pendidikan Tinggi Swasta sesuatu pengajaran boleh dilakukan menggunakan bahasa lain selain daripada bahasa kebangsaan asalkan mereka membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Pendidikan.
 
Hampir semua mereka membangkitkan isu kos dan perbelanjaan yang perlu ditanggung untuk pengajaran TITA. Alasan mereka perlu menyediakan pensyarah baru, dewan kuliah dan pertambahan masa pembelajaran.
 
Ada yang berpendapat suatu penilaian semula perlu dilakukan terhadap tajuk, isi kandungan dan kurikulum subjek ini. Mereka mencadangkan jawatankuasa penilaian semula hendaklah daripada tokoh akademik dan pakar terdiri daripada berbagai kaum.
 
Sesungguhnya pelaksanaan TITA di IPTS perlu mendapat sokongan kuat daripada semua pihak. Ini disebabkan pelaksanaan subjek ini akan membawa natijah yang besar kepada usaha memupuk keharmonian dan perpaduan kaum khususnya untuk generasi yang akan datang. Pelaburan dalam pendidikan hari ini akan membuahkan hasil untuk masa hadapan negara.
 
Dalam konteks ini Kementerian Pendidikan tidak seharusnya tunduk kepada tekanan kelompok tersebut. Hakikatnya pendedahan mengenai peradaban Islam dan peradaban Asia akan dapat mengayakan pengalaman dan persefahaman dalam kalangan generasi muda di negara ini.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UNISZA.(sumber : Alimuddin Mohd. Dom, 22/07/13)


 

SURAT UNTUK NAMEWEE


Saudara Namewee,

PENULIS  berharap agar anda sihat dan bahagia dengan kehidupan anda sekarang. Walaupun anda pernah menghina agama Islam dengan cara anda, menghina lagu Negaraku dengan RAP anda, menghina bendera Malaysia bagi menunjukkan perasaan tidak puas hati anda dan sebagainya, anda tetap hero dan idola kepada kaum anda. Ini jelas terbukti melalui filem arahan anda yang box-office selain mendapat sokongan daripada korporat Cina serta penggiat industri filem Cina.
 
Pada Ramadan tahun ini, selepas lebih enam tahun anda menghina Islam, Melayu dan Malaysia, seperti yang kami jangka, didikan dan hasutan anda kepada jutaan Cina lain khususnya anak muda remaja yang lain telah berjaya. Alvin dan Vivian hanya merupakan dua orang daripada berjuta apprentice anda yang akan meneruskan legasi 'rasis jahat' anda.
 
Sebagai anak ibu Cina, saya mengaku ibu saya mempunyai sikap perkauman yang kuat kepada bangsanya iaitu Cina. Namun ibu juga mendidik saya agar saya juga bangga dengan kaum saya sama ada Melayu atau Cina, dengan menjadi seorang 'rasis baik' yang menghormati hak dan perasaan kaum lain.
 
Tidak seperti anda Namewee, anda sebaliknya dididik ibu anda untuk berbangga menjadi 'rasis jahat' yang hanya menghormati hak dan perasaan kaum anda sahaja dan menghina hak dan perasaan kaum lain.
 
 
Saudara Namewee,
 
Saya berdoa kepada Allah agar anda diberi kesihatan dan nyawa yang panjang. Hidayah jika itu kehendakNYA. Saya amat berdoa agar anda terus hidup untuk menyaksikan kesan daripada satu tindakan anda. Tindakan yang pada anda mudah, senang dan heroic tetapi kesannya panjang dan amat mudarat kepada rakyat Malaysia yang bakal didiami oleh anak cucu anda.
 
Sejarah Wikipedia mencatat anda sebagai ahli seni yang berjaya dan tidak langsung menceritakan yang anda meminta maaf kepada rakyat Malaysia bagi mengelak tindakan ke atas anda. Tetapi saya pasti, sejarah akan mencatat anda sebagai pencetus utama kepada hubungan serta keharmonian kaum di Malaysia.
 
Terma ini amat dibanggakan anda buat masa ini kerana anda akan terus dianggap hero oleh kaum Cina. Walaupun Buddha mengajar penganutnya berdamai dan menghormati hidupan lain waima semut, maka jelaslah ramai penganut Buddha seperti anda sudah banyak terpesong daripada ajaran Buddha. Saya katakan anda terpesong kerana saya pernah membaca 'kitab' rakan Cina saya, seorang Buddha SGM. Jelas ajaran Buddha adalah baik hati, baik tutur, baik makan, baik badan, baik nafas, baik penglihatan dan baik segala yang ada di dunia.
 
Mungkin bila anda mati Buddha akan mengecilkan anda kerana memesongkan pemikiran serta mengotorkan hati penganut Buddha Malaysia.
 
Saudara Namewee,
 
Apa jua kepercayaan agama kita, kita semua tidak dapat lari daripada hukum alam. Kita akan tua, akan berkahwin, akan mempunyai anak dan akan mati.
 
Pada masa itu, anda mungkin masih tidak akan menyesal walaupun berjuta orang Cina dikotori jiwa mereka oleh anda, dihina tamadun dan nilai bangsa Cina yang sopan oleh bahasa kesat anda.
Anda sudah pasti tidak menyesal walaupun beratus Melayu Islam ditangkap polis kerana marahkan anda serta anak-anak didik anda. Jauh sekali anda tidak akan peduli walaupun berjuta Melayu terus dihambat masalah nilai maruah kerana tiada tindakan diambil terhadap anda dan banyak lagi kesan yang anda tidak pernah fikir, jauh sekali menyesal.
 
Tindakan anda pada masa lepas telah mengakibatkan pelbagai masalah kepada berjuta orang. Saya pasti agama anda mengajar anda nilai kemanusiaan tapi mungkin anda bukan seorang penganut agama yang baik. Sebagai rakyat Malaysia, saya memberi anda jaminan, saya dan ramai lagi akan mengingati anda sebagai punca kepada 'segalanya'.(Sumber:MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
Kuala Lumpur, UM, 22/07/13
)
 
 

13 Julai 2013

Abu Zahar Ithnin meninggal dunia

MELAKA ,Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin meninggal dunia di kediamannya di Merlimau di sini pukul 6 petang semalam

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan di masjid negeri Melaka sebelum zohor Sabtu.Semoga Allah cucuri ke atas rohnya,al-fatihah.

TB: Setahu TB Allahyarham Abu Zahar adalah bekas pelajar Maktab Perguruan Bahasa era 1960-an lalu.Beliau adalah bekas guru yang berdedikasi sebelum aktif dalam politik Melaka.


 

12 Julai 2013

ISU PENEMPATAN GURU : WAJUD DASAR 'MESRA KELUARGA'


Bagaimana perasaan kita jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri? Bayangkan perasaan dan kesusahan isteri yang berjauhan daripada suami dan terpisah daripada anak-anak.

Contohnya, jika guru itu mempunyai tiga anak yang masih kecil, seorang tinggal dengan suami, dua lagi yang kecil tinggal dengan isteri. Suami dan anak itu pula berulang alik setiap minggu dengan pengangkutan awam dan kenderaan sendiri. Bukankah ini terdedah kepada risiko kemalangan?

Bayangkan jika si isteri bertugas sebagai guru, bolehkah menumpukan sepenuhnya pada kerjaya mendidik anak-anak bangsa, sedangkan anak-anak sendiri menderita dan terabai?

Saya juga difahamkan ada langkah yang menambahkan keparahan dalam isu ini iaitu penempatan awal (first posting) guru ke negeri asal masing-masing dengan alasan tidak mahu menimbulkan masalah pertukaran pada masa akan datang. Maka ada yang bujang belum berkeluarga, berjaya ke negeri asal.

Bayangkan bagaimana guru-guru yang telah berkeluarga mahu mengikuti suami akan berjaya dalam permohonan pertukaran mereka jika tempatnya telah diambil oleh guru-guru baru ini? Bukankah langkah ini menambahkan penderitaan, bukannya menjadi ubat?

Sementara itu, ada guru yang mengalami masalah kesihatan seperti lelah juga tidak berjaya dalam permohonan mereka. Adakah kita mahu menunggu dia mempunyai masalah kesihatan kronik sahaja untuk dipertimbangkan permohonannya? Sedangkan untuk menikmati kehidupan berkeluarga yang bahagia bersama anak-anak ialah ketika sihat.
Saya menyeru Kementerian Pendidikan melakukan penambahbaikan dan transformasi dengan segera dalam isu ini. Begitu juga persatuan dan kelab guru hendaklah membela guru-guru dalam masalah ini.

Kementerian Pendidikan tidak boleh lagi terikat dengan prosedur dan cara lama, contohnya menetapkan berapa tahun berkhidmat baru boleh dipertimbangkan pertukaran. Ubah dengan dasar mesra keluarga.

Contohnya, walaupun guru tersebut berkhidmat 10 tahun mohon tukar, tetapi tinggal bersama suami isteri; atau guru yang berkhidmat lima tahun ke atas mohon tukar tetapi masih bujang atau tidak mempunyai anak, dibandingkan dengan guru yang dua tahun berkhidmat tetapi terpisah dengan suami dan anak-anak. Mana yang mahu didahulukan mengikut perikemanusiaan? Lihatlah keperluan secara perikemanusiaan bukannya tahun perkhidmatan.

Selain itu, Kementerian Pendidikan juga tidak boleh lagi terikat dengan opsyen kekosongan guru. Setiap guru dilatih untuk berkhidmat dengan semua opsyen jika diperlukan, kecuali opsyen yang kritikal seperti bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Jika kita lihat situasi sebenar, ada guru yang bukan mengajar opsyen yang sebenar tetapi mampu mengajar dengan baik dan tiada masalah. Sebabnya guru ini semasa belajar telah dilatih dengan ilmu keguruan secukupnya. Jadi apa yang paling penting dasar mesra keluarga ini perlu diterjemahkan, bukan dasar opsyen lagi.

Pihak kementerian juga perlu menghargai sokongan guru-guru yang sentiasa menyokong dan mempertahankan dasar kerajaan. Mereka ini perlu dihargai dan dibantu termasuk menolong dalam meluluskan permohonan pertukaran mereka.
Akhir sekali semoga isu pertukaran guru ini ditanggani secara bijak dan betul. Semoga Kementerian Pendidikan ini akan sentiasa ke hadapan. (sumber: Alnorulhadi Abd. Hamid, UM, 12/07/13)



10 Julai 2013

RAMADAN OH RAMADAN


MASA berlalu pantas meninggalkan kita sehingga tidak terasa Ramadan menjelang lagi dengan cabaran baru bakal ditempuhi setiap Muslim. Sunnatullah terhadap masa yang berlalu dan bakal mendatang akan terus dirasai sehinggalah tibanya hari penentuan. 

Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).

Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). 

Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya. 

Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa. 

Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan. 

Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu.” (Hadis sahih). 

Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh. 

Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat.” (Al-Hadis). 

Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa. 

Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan. 

Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah. 

Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. 

Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan). 

Marilah kita memanfaatkan Ramadan kali ini dengan ibadat berterusan dan memastikan kelainan berbanding tahun lalu. 

(Sumber daripada Ustaz Zamanuddin Jusoh.Beliau ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press)


TB: Kepada Ibu TB Hajah Misah Mos dan kaum keluarga semua serta para pembaca/pengunjung TBD yang setia melayari dan membaca nukilan blog TB, TB ucapkan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak. Semoga Allah memberkati amalan kita dan memperoleh rahmat. Maaf zahir dan batin daripada TB. Salam Ramadan.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN

Walaupun kesihatan TB terganggu beberapa hari ini, namun TB tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan al Mubarak kepada semua pembaca TB blog di mana-mana jua. Harapan TB agar ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini akan diterima dan mendpat ganjaran serta barakah daripada Allah S.W.T. Biarlah bersederhana dalam serba-serbi, jauhilah membazir. (TB)

01 Julai 2013

AWANG HAD SALLEH MENINGGAL DUNIA


BALU Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh, Puan Seri Salmah Abu Bakar menyiram 
air mawar di pusara tokoh akademik itu sambil dibantu anaknya, Norazlina (kanan) dan
 menantu, Abdul Rahman Dahlan di tanah perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya.

 TAN Sri Dr Awang Had Salleh yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi ini akibat komplikasi paru-paru, seorang yang gemar melukis.. Menurut menantunya yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan, kerana minatnya itu meskipun sudah bersara, bapa mentuanya itu masih mengikuti pengajian jarak jauh dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata sejak mengenali keluarga Allahyarham sejak 1997, satu perkara yang paling dikagumi ialah bapa mentuanya juga sangat menitikberatkan pendidikan."Kerana terlalu cintakan ilmu, arwah bapa mentua akan membeli hadiah bahan bacaan buat cucu-cucunya, arwah juga gemar bertutur menggunakan bahasa sastera sehingga kedua-dua anak lelaki saya dinamakannya Kencana Putra dan Karisma Putra," katanya.

Sementara itu, isterinya Datin Norazlina, anak keenam Allahyarham berkata ayahnya telah sakit hampir lapan tahun dan sering keluar masuk hospital."Keadaannya semakin serius sejak tiga hari lepas dan terpaksa dimasukkan ke Hospital Putrajaya akibat sukar bernafas, bapa juga sudah lama tidak dapat bertutur dan hanya berinteraksi dengan gerak mata dan riak muka," katanya.

Tokoh akademik itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 79 tahun,meninggalkan isteri Puan Sri Salmah Abu Bakar, 69, tujuh orang anak iaitu lima lelaki dan dua perempuan.Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini selepas solat Zuhur. (Sumber : BERNAMA 1/7/2013)

TB: Ucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham. TB telah bersama mengikuti beliau ketika Konvensyen Pendidikan pertama 1977 di Sekolah Menengah Sains, Air Keruh (sekarang  Sekolah Sultan Muzaffar Shah,Melaka). Dunia pendidikan di Malaysia dan Dr Awang Had Salleh begitu sinonim dan tidak dapat dipisahkan sejak lebih 40 tahun. Kali terakhir TB bertemu dan berbicara dengan beliau sewaktu sama-sama menghadiri Pertemuan Dunia Melayu di Jeddah,Saudi Arabia pada tahun 2000.Pemergiannya suatu kehilangan yang tiada tolok banding dan sukar dicari ganti. Alfatihah. (TB).

25 Jun 2013

PELAJAR DAPAT 'A' PUN TAK TAHU SEJARAH

Ramai pelajar kurang berpengetahuan mengenai sejarah negara walaupun berupaya mencatat gred 'A' dalam peperiksaan, kata sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
   
Tokoh akademik terkenal itu berkata ramai daripada mereka bukan saja tidak dapat menghargai sejarah tetapi juga gagal mempelajari sejarah negara yang sebenarnya begitu menarik.
   
"(sebagai contoh) Saya tanya siapakah Tun Tan Cheng Lock, mereka hanya tersenyum dan tidak tahu jawapannya. Malah sesetengah daripada mereka tidak tahu sejarah sekolah sendiri pun. Ini amat menyedihkan.
   
"Jika anda tahu sejarah, anda akan terkejut dengan bagaimana negara ini boleh terbentuk," katanya pada pembentangan di 'Second Education Nation Conference', di sini hari ini.
     
Khoo juga berasa kesal kerana sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan sekarang telah menukar kaedah pembelajaran, menyebabkan ramai yang belajar dengan cara menghafal, bukan menerusi pemahaman.

"Pada masa dulu, untuk mendapat 70 markah pun susah, tetapi sekarang mereka boleh dapat 90 ke atas.
   
"Ramai pelajar sekolah sekadar menghafal esei kerana mereka boleh agak topik apa yang akan keluar dalam peperiksaan," katanya.
   
Katanya guru harus menilai semula peranan mereka dan menjadi tenaga pengajar yang lebih efektif yang dapat bekerja dengan pelajar untuk membangunkan minda bukan sekadar membantu mereka mendapat keputusan 'A' dalam peperiksaan.
   
"Saya harap sistem pendidikan kita dapat membantu orang muda mengetahui dengan lebih mendalam mengenai negara, mencintai negara ini, sekali gus melakukan lebih banyak kebaikan untuk negara," katanya.
   
Persidangan dua hari itu dianjurkan Asian World Summit dan bertujuan mengumpul pandangan akan bagaimana institusi pendidikan tinggi dapat menyumbang ke arah mewujudkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi menjelang 2020, selain memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan lulusannya mempunyai tahap boleh upah lebih tinggi.(sumber: SH,25/06/13)